Majlis Agama Islam Negeri perlu tangani isu pelajar tahfiz kutip derma – Bernama


Majlis Agama Islam Negeri perlu tangani isu pelajar tahfiz kutip derma 

2012/01/29

YAN: Majlis Agama Islam Negeri (Main) diminta mengambil tindakan drastik bagi menangani isu memperalatkan pelajar sekolah tahfiz untuk mengutip derma.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Main perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan fenomena itu kerana ia merupakan satu penipuan kepada ibu bapa.

“Sebab kutipan derma yang dibuat semacam satu penipuan kepada pihak ibu yang meyakini anak-anak mereka ini datang (ke sekolah tahfiz) untuk menghafal Al-Quran dan belajar agama tapi lain yang dibuatnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa pelajar sebuah pusat tahfiz dikerah mengutip derma bagi membiayai aktiviti menghidupkan kembali ajaran sesat Azhar Wahab yang berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara.

Jamil Khir berkata Main wajar mengenalpasti sekolah tahfiz yang terlibat dan membuat perbincangan secara terus berhubung permasalahan itu dengan pihak sekolah terbabit untuk menyekat aktiviti mereka dengan lebih berkesan. – BERNAMA

‘Tahfiz’ auta – Metro


‘Tahfiz’ auta

Oleh HADZLAN HASSAN, ANIZA ZAINUDIN, NURUL HUSNA MAHMUD, ZULIATY ZULKIFFLI dan OMAR OSMAN
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HELAH... remaja mengutip derma sambil menjual produk herba yang diragui. Gambar kecil, surat yang dijaja untuk mengutip derma.
HELAH… remaja mengutip derma sambil menjual produk herba yang diragui. Gambar kecil, surat yang dijaja untuk mengutip derma.

SASARAN... remaja dibawa menggunakan van ke stesen minyak untuk mengutip derma.
SASARAN… remaja dibawa menggunakan van ke stesen minyak untuk mengutip derma.

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila ratusan anak yatim dan pelajar pusat tahfiz dikerah memungut derma bagi membiayai kegiatan menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara, terutama sekitar Lembah Klang.

Ajaran Azhar Wahab diwartakan sesat oleh sembilan majlis fatwa negeri, termasuk Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan secara berperingkat-peringkat sejak 1970.

Lebih mengejutkan, siasatan wartawan Metro Ahad mendapati murid dan pelajar pusat tahfiz di Kedah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dibekalkan dua produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan cakera padat video (VCD) yang bukan saja tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah klip video dalam VCD terbabit jelas bertentangan dengan imej pelajar tahfiz.

Cara kumpulan terbabit kali ini dilihat lebih tersusun bagi mengelakkan kegiatan mereka mudah dikesan dan dikenakan tindakan, namun produk yang dijual kepada orang ramai untuk diminum atau disapukan pada badan boleh diragui kandungannya kerana tidak menepati piawaian.

 
Siasatan ke sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah berdasarkan alamat pada botol produk mendapati, premis itu hanya melakukan kerja membuat ais krim dan menjahit langsir.

Selain itu, identiti beberapa remaja perempuan yang mengaku pelajar pusat tahfiz turut diragui berikutan semakan wartawan di Kedah mendapati sekolah berkenaan hanya dihuni murid tahun satu hingga enam.

Syiling 50 sen dalam perut anak – Metro


Syiling 50 sen dalam perut anak

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Sepasang suami isteri pucat lesi apabila anak kecil mereka yang berusia enam tahun menelan sekeping syiling 50 sen.

Lebih membimbangkan apabila syiling itu didapati masih tersangkut di usus perutnya sejak lapan hari lalu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengeluarkannya.
Ibu mangsa yang juga produser rangkaian televisyen Al-Hijrah, Harlida Abu Bakar, 37, berkata, anaknya Ilhan Hadiff Isnawan, 6, menelan syiling itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tadika pada 19 Januari lalu.

 

Menurutnya, suaminya, Isnawan Lamidi, 37, yang memandu kereta terkejut apabila anaknya tiba-tiba memberitahu menelan syiling yang ditemui di dalam kereta.
“Panik dengan apa yang berlaku, suami berusaha mengeluarkan syiling itu dengan menjolok tekak Ilhan.
“Malangnya, syiling itu melepasi tekaknya sebelum jatuh ke perut. Kami bimbang syiling itu boleh menyebabkan keracunan atau saluran usus tersumbat,” katanya.

 

 

Menurutnya, dia dan suami kemudian segera membawa anak mereka ke sebuah hospital swasta di sini untuk menjalani ujian X-Ray sebelum mendapati syiling itu masih melekat di perutnya.
“Doktor kemudian memberikan ubat bagi membolehkan anak saya membuang air besar bersama syiling itu, namun ia masih terperangkap di dalam perutnya.

 

“Doktor memberitahu syiling itu perlu dikeluarkan dari tubuh anak saya berikutan bimbang ia boleh menyebabkan keracunan atau berak berdarah,” katanya.
Dia berkata, anaknya bagaimanapun tidak membuang air besar selama empat hari, menyebabkan mereka bimbang walaupun mendapati kesihatannya tidak terjejas.
“Doktor menasihati kami supaya segera membawanya mendapatkan rawatan jika Ilhan mengadu sakit perut atau tanda-tanda lain yang membimbangkan,” katanya.
Harlida berkata, dia bagaimanapun yakin syiling itu dapat dikeluarkan dari perut anaknya tidak lama lagi berdasarkan kenyataan doktor pakar ditemui kelmarin.

Mat rempit 12 tahun – Metro


Mat rempit 12 tahun

Oleh SALMAN HAMAT
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULAIJAYA: Selepas menunggang motosikal lebih 40 kilometer tanpa lesen serta tidak memakai topi keledar, dua murid tahun enam ditahan dalam operasi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya di sekitar Pekan Kelapa Sawit, di sini, pagi semalam.

Ketika ditahan untuk pemeriksaan, dua kanak-kanak berasal dari Pontian itu memberi alasan menunggang ke pekan berkenaan untuk membeli alat ganti motosikal yang didakwa dijual pada harga lebih murah.
Bagaimanapun, alat ganti didakwa baru dibeli mereka dirampas berikutan kegagalan menunjukkan resit pembelian selain untuk siasatan lanjut.

 

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, seorang lagi kanak-kanak berusia 12 tahun turut ditahan dalam operasi bermula jam 9 pagi itu selepas menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan tidak mempunyai lesen memandu.
“Seramai 30 penunggang motosikal ditahan dalam operasi ini atas kesalahan seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.
“Kesalahan dilakukan dianggap serius berikutan penunggang terbabit terdedah kepada risiko kemalangan. Selain itu, kami dapati ada motosikal ditunggang sudah tamat cukai jalannya sejak 2006.

 

 

“Sebahagian besar yang ditahan adalah remaja bawah umur dan mereka menunggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa masing-masing, sedangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.
Dalam operasi itu, sebanyak 51 saman dikeluarkan dan semua yang ditahan dibawa ke IPD Kulaijaya untuk pemeriksaan lanjut.

 

Selain itu, ibu bapa dan pemilik asal motosikal berkenaan turut dipanggil ke IPD Kulaijaya untuk membantu siasatan.
“Saman juga akan dikenakan terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal kerana membenarkan remaja bawah umur menunggang kenderaan itu,” katanya.
Zulkefly berkata, operasi dijalankan berikutan aduan diterima pihaknya selain jumlah kemalangan membabitkan remaja tanpa lesen di daerah berkenaan kerap berlaku.
Sebelum ini, menurut Zulkefly, pihaknya menjalankan program kesedaran keselamatan jalan raya, termasuk mengagihkan topi keledar secara percuma di kawasan berkenaan, namun masih ramai gagal mematuhi undang-undang jalan raya.
“Terbaru, kempen keselamatan jalan raya dijalankan kelmarin tetapi masih ramai yang ingkar,” katanya.

Ibu cari anak maut dilanggar – Utusan


Ibu cari anak maut dilanggar

 

Oleh Amran Muluppengarang@utusan.com.my

 

Samad Saliman di samping mayat Rosmariah Mohamad yang menjadi mangsa langgar lari di Melaka, semalam.

 

MELAKA 28 Jan. – Seorang wanita yang berjalan kaki bersendirian ketika keluar mencari anaknya yang tidak pulang-pulang dari bermain futsal ditimpa malang apabila mati dilanggar sebuah kereta di Jalan Tun Teja, Cheng di sini awal pagi ini.

Lebih menyedihkan mayat mangsa, Rosmariah Mohamad, 34, yang tercampak kira-kira lima meter ke dalam longkang berhampiran hanya ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 pagi.

Malah, suami mangsa langsung tidak mengetahui kejadian menimpa isterinya dan hanya menyedari Rosmariah tiada di rumah sewaktu terjaga dari tidur kira-kira pukul 4 pagi.

Suami mangsa, Samad Saliman, 38, berkata, isterinya dipercayai keluar dari rumah mereka di Rumah Pangsa Cheng Mutiara bagi mencari dua anak lelaki mereka, Mohamad Shazurin Farhan, 15, dan Mohamad Shazrul Fahmi, 12, yang tidak balik-balik daripada bermain futsal di sebuah gelanggang tidak jauh dari rumah mereka.

“Kira-kira pukul 12.30 tengah malam, isteri saya keluar dari rumah mencari kedua-dua anak yang keluar sejak pukul 10.30 malam.

“Selepas dia keluar, saya terus tertidur dan apabila terjaga, saya menyedari isteri saya tiada. Puas saya cari di gelanggang futsal yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah, tetapi gagal menemuinya,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua anaknya juga memberitahu tidak berjumpa dengan ibu mereka sewaktu bermain futsal.

Bagaimanapun, kata Samad, kira-kira pukul 8 pagi ini, penduduk berhampiran kecoh berikutan penemuan mayat di dalam longkang bersebelahan jalan tidak jauh dari rumah mereka.

“Mulanya saya tidak syak apa-apa dan apabila pergi ke tempat kejadian saya terkejut melihat mayat terbujur di dalam longkang itu adalah isteri saya.

“Luluh hati saya melihat mayat isteri saya yang mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kemalangan yang menimpa Rosmariah itu diklasifikasikan sebagai langgar lari.

Menurutnya, berdasarkan penemuan cermin sisi sebuah kenderaan dan dahan-dahan pokok yang patah di tempat kejadian, disyaki sebuah kenderaan melanggar wanita itu sehingga mangsa tercampak ke dalam longkang.

“Mangsa dipercayai terpelanting ke pokok seterusnya ke pagar berhampiran sebelum masuk ke dalam longkang. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Murid Tahun Enam antara 30 disaman – Berita Harian


Murid Tahun Enam antara 30 disaman
Oleh Junita Mat Rasid

2012/01/29

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA: Tindakan dua murid Tahun Enam menunggang motosikal sejauh 40 kilometer, dari Pontian ke Pekan Kelapa Sawit, di sini kononnya untuk membeli alat ganti, menerima padah apabila masing-masing disaman, manakala kenderaan mereka disita polis trafik, pagi semalam.

Dua kanak-kanak terbabit adalah antara 30 penunggang motosikal yang disaman manakala kenderaan mereka disita dalam operasi Polis Trafik Kulaijaya, bermula jam 9 pagi semalam.

Dalam operasi selama tiga jam itu, dua murid terbabit, bersama seorang pelajar Tingkatan Satu yang membonceng, turut tidak memakai topi keledar sepanjang perjalanan, selain menunggang laju.

Operasi diketuai Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Kulaijaya, Asisten Superintendan Gurbindir Singh, bersama 26 anggota itu dijalankan selepas kempen keselamatan jalan raya dan agihan topi keledar percuma dijalankan, selain pemerhatian mendapati ramai remaja bawah umur di kawasan itu menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dua murid terbabit.

“Mereka mendakwa membeli alat ganti motosikal berupa fairing dan lampu daripada seorang rakan di sebuah kedai tetapi tiada resit rasmi dikeluarkan, kita bimbang kemungkinan itu barangan curi,” katanya.

Zulkefly berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lagi murid Tahun Enam yang menunggang motosikal dengan alasan membeli barang di kedai berhampiran rumahnya di pekan terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan murid sekolah dan remaja bawah umur menunggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa atau penjaga mereka dan seolah-olah mengambil mudah peraturan jalan raya hingga mengabaikan keselamatan diri sendiri, serta pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata, semua penunggang itu dibawa ke IPD Kulaijaya untuk siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan ujian air kencing, manakala ibu bapa penunggang motosikal bawah umur turut dipanggil kerana kesalahan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan dikenakan saman.