Budak ketua geng samun – Metro


Budak ketua geng samun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ARAU: Seorang remaja lelaki bawah umur berusia 12 tahun mengetuai tiga lagi rakannya ketika memecah masuk sebuah kedai alat telekomunikasi dan komputer di Kawasan Perniagaan Arau, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila suspek bersama rakannya berusia antara 15 dan 17 tahun dikatakan terdesak untuk mendapatkan telefon bimbit baru selain barang elektronik untuk dijual di pasaran gelap.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, keempat-empat suspek yang menunggang dua motosikal dipercayai cuba memotong besi tingkap bahagian belakang kedai itu.

 

“Mereka yang dipercayai baru pertama kali memecah kedai itu berjaya memotong besi tingkap dan ketika sedang menarik keluar besi itu, kereta peronda polis yang meronda di jalan itu melihat kelibat mereka mencurigakan,” katanya.
Menurutnya, sebaik dihampiri, mereka bertempiaran lari sebelum dikejar dan berjaya menahan dua daripada suspek berkenaan berusia 15 dan 17 tahun sementara dua lagi berjaya melarikan diri.
Katanya, kedua-dua remaja itu menyerah diri di Balai Polis Arau, tengah hari semalam sebelum mengaku cuba memecah masuk kedai itu.

 

 

“Semua remaja itu berasal dari Tambun Tulang dan masih mempunyai keluarga kecuali suspek berusia 12 tahun yang tinggal bersama saudara selepas ibu bapanya bercerai,” katanya.

Remaja mengaku curi duit, telefon bimbit ayah – Metro


Remaja mengaku curi duit, telefon bimbit ayah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Remaja bawah umur yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa mencuri wang RM500 dan sebuah telefon bimbit milik bapanya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh yang berusia 17 tahun dari Taman Permint Jaya, Chendering, di sini, mengangguk faham sebelum mengaku bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang RM500 dan sebuah telefon bimbit Motorola L7 milik bapanya, semuanya bernilai RM540 di rumah mereka di Chendering, di sini, antara jam 7.10 hingga 8.30 pagi pada 17 hingga 20 Januari lalu.

 

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Noradila menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

 

Mengikut fakta kes, mangsa menyimpan wang RM500 dalam sampul dalam sebuah rak kain di rumahnya pada jam 8 malam, 15 Januari lalu. Apabila menyedari kehilangan itu pada jam 8.30 pagi pada 20 Januari lalu, dia mengesyaki ia dicuri tertuduh.

Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan – Berita Harian


Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/01/30

Menafikan peluang kenaikan pangkat cikgu

KESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.

Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.

Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.

Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.

“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.

“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.
“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).

“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.

“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.

Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.

Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah.
Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.

CUEPACS tetap enggan sertai panel semak SBPA – Utusan


CUEPACS tetap enggan sertai panel semak SBPA
Oleh S Anand Kumar

2012/01/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS tetap dengan pendiriannya tidak menyertai pasukan petugas khas semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan untuk menganggotai pasukan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menegaskan tindakan CUEPACS tidak sepatutnya dilihat sebagai mengugut, sebaliknya menunjukkan pihaknya amat serius untuk memberi input dalam membincangkan penambahbaikan SBPA.

“Saya akan hadir mesyuarat kedua yang dijadual 8 Februari ini, sekiranya tiga pemimpin CUEPACS tidak dibenarkan masuk, maka saya akan keluar daripada mesyuarat itu.

“Tidak adil dan tidak wajar apabila ada 19 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dalam pasukan itu, tetapi CUEPACS hanya dibenarkan menghantar satu wakil.

“Kehadiran tiga pemimpin kanan CUEPACS itu bertujuan untuk bersama-sama membangkitkan pelbagai cadangan kerana mereka juga mewakili kesatuan sekerja dan mempunyai maklum balas yang ingin disampaikan kepada pasukan petugas.

“Saya amat berharap pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam akan mempertimbangkan rayuan kami,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan, Jaafar Mansor.
Omar berkata, sehingga sekarang ketiga-tiga pemimpin CUEPACS itu masih belum menerima sebarang surat jemputan daripada pasukan petugas khas dan beliau amat berharap perkara itu akan disegerakan sebelum berlangsungnya mesyuarat kedua.

Selain tiga lagi wakil, CUEPACS turut mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan antaranya mengkaji semula pindaan gaji kakitangan Gred 54 dan ke bawah, kedudukan kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA, kedudukan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum dan menyemak kembali penstrukturan semula di semua gred.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong pendirian Omar dan berharap kerajaan akan memberi lebih ruang kepada wakil kesatuan untuk membantu melakukan penambahbaikan skim berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya percaya dengan kehadiran lebih ramai wakil kesatuan sekerja pelbagai isu yang timbul dapat diselesaikan secara bersama tanpa sebarang masalah.

“Tiga pemimpin kanan CUEPACS itu dapat membantu Omar dalam mesyuarat selain secara bersama-sama dapat membuat keputusan bagi pihak 1.2 juta kakitangan awam,” katanya.