Mayat kanak-kanak dibunuh nenek dibakar esok – Bernama


Mayat kanak-kanak dibunuh nenek dibakar esok

2012/02/02

PUCHONG: Mayat kanak-kanak perempuan yang dipercayai dibunuh oleh neneknya di pangsapuri mereka di Puchong semalam akan dibakar esok.

Bapa mangsa memiliki kedai kopi dan tidak mahu dikenali berkata, mayat anaknya akan dibakar di kawasan perkuburan Kwan Tung Kuala Lumpur kira-kira 9 pagi.

Mayat mangsa telah dituntut di Hospital Serdang pagi tadi.

Mangsa yang berusia 10 tahun meninggal selepas dipercayai ditekup dengan bantal oleh neneknya yang berumur 57 tahun yang mempunyai rekod sakit mental.

Difahamkan dia kini berada di Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan kerana turut dikatakan telah memotong jarinya.

Dia direman sehingga Rabu depan. – BERNAMA

UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia – Bernama


UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia

02/02/2012 7:44pm

 

TANJUNG MALIM 2 Feb. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini akan menubuhkan sebuah sekolah makmal pertama di Malaysia yang meliputi prasekolah sehingga sekolah menengah secara berperingkat-peringkat bermula pada awal tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, penubuhan sekolah makmal itu berharga RM41 juta mampu memberikan pendedahan dan latihan yang secukupnya kepada penuntut dan siswazah UPSI.

Operasi, kokurikulum dan pengurusan sekolah dalam universiti ini dijalankan sepenuhnya oleh UPSI, katanya kepada pemberita selepas melawat UPSI hari ini.

Beliau berkata, sekolah makmal tersebut diwujudkan yang melambangkan status dan peranan UPSI sendiri sebagai sebuah universiti pendidikan yang tersohor di negara ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, sekolah makmal bagi peringkat prasekolah telah dimulakan pada awal tahun ini, tetapi menumpang di sebuah bangunan di UPSI.

“Setakat ini kami mempunyai 70 orang kanak-kanak tadika di sekolah kami dan tahun depan kita akan mulakan peringkat seterusnya satu persatu iaitu peringkat sekolah rendah apabila mereka mula naik ke tahun satu,” katanya. – BERNAMA

Sistem pendidikan: Akan ambil kira pandangan masyarakat – Bernama


Sistem pendidikan: Akan ambil kira pandangan masyarakat

02/02/2012 5:02pm

 

KOTA BHARU 2 Feb. – Kajian bagi penambahbaikan sistem pendidikan negara akan turut mengambil kira pandangan masyarakat dan badan yang ada kepentingan dengan pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, maklumat balas seperti itu penting supaya Kementerian Pelajaran mengetahui langkah yang akan diambil menepati sasaran penambahbaikan itu atau terdapat perkara lain yang perlu diambil kira.

“Ini perkara biasa yang dilakukan kerajaan apabila kita hendak membuat kajian yang menyeluruh dan besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Peringat dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kajian itu dijangka siap dalam tahun ini.

Mengenai isu pelajar kurang berminat dalam bidang sains, beliau berkata kementerian akan meneliti perkara itu supaya beberapa langkah dapat diambil bagi meningkatkan minat mereka. – BERNAMA

Bantal penamat riwayat cucu – Metro


Bantal penamat riwayat cucu

 

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my

 

KONDOMINIUM Koi Legian di Kinrara, Puchong yang menjadi tempat seorang nenek melemaskan cucunya sebelum dia cuba membunuh diri semalam.

 

PUCHONG – Niat seorang nenek untuk membunuh diri dengan memotong jari manis dan terjun dari bangunan selepas dia disyaki melemaskan cucu perempuannya dengan menggunakan bantal terbantut apabila dia dapat ditahan dalam kejadian di Kondominium Koi Legian, Kinrara di sini semalam.

Fon Mei Shuang, 10, ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.

Suspek berusia 57 tahun yang dipercayai mempunyai masalah mental tersebut ditahan selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi wanita itu pada pukul 9 pagi.

Polis yang tiba di tempat kejadian tiga jam kemudian telah memecah masuk salah sebuah bilik di rumah suspek sebelum menyelamatkan wanita itu yang cuba terjun dari tingkat lapan kondominium tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati, suspek disyaki telah membunuh cucunya pada pukul 11.30 malam kelmarin dengan menekup muka mangsa dengan sebiji bantal.

Katanya, polis turut menemui sekeping nota dalam bahasa Cina bermaksud “Hati tak suka, hati tak syok, mahu mati”. Nota itu ditulis dengan menggunakan dakwat merah.

“Selepas melihat cucunya tidak bernyawa, suspek mengerat jari manis tangan kirinya dan membiarkan darah mengalir ke dalam sebuah tong di dalam bilik itu.

“Selepas mendapati dia masih hidup, suspek telah menghubungi anak lelakinya dan memaklumkan yang dia telah melakukan pembunuhan itu sejak dua hari lalu,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah – Metro


Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah

 

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my

 

NOOR yang cedera selepas dibelasah 15 pelajar perempuan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar semalam.

 

KANGAR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini teruk ‘dikerjakan’ sekumpulan 15 pelajar perempuan lain gara-gara pertelingkahan berebut teman lelaki sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.

Dalam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang kelmarin berhampiran sekolah itu yang terletak dekat sebuah taman perumahan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Noor, 15, mendakwa dia ditampar, dipukul dan dipijak oleh kumpulan pelajar tersebut yang mengamuk selepas menuduhnya merampas kekasih mereka.

Serangan ganas itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari sekolah untuk pulang dengan menunggang basikal selepas selesai mengikuti latihan sukan.

Kumpulan pelajar perempuan itu didakwa sudah menunggu mangsa sebelum mereka terus membelasahnya. Pada masa itu mangsa yang tinggal di Pangsapuri Sena kira-kira 500 meter dari sekolahnya dalam perjalanan pulang seorang diri.

Setelah puas dikerjakan hampir 15 minit, Noor yang dalam kesakitan terpaksa mengagahkan diri mengayuh basikal pulang ke rumah. Kejadian malang yang menimpanya tidak dimaklumkan kepada ibunya.

Bagaimanapun, pada pukul 12 tengah malam, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya setelah dia muntah-muntah.

Mengimbas kejadian itu, Noor memberitahu, pertelingkahan tersebut berpunca apabila dua orang daripada kumpulan pelajar perempuan yang dikenalinya itu mendakwa dia mempunyai hubungan dengan teman lelaki mereka.

“Saya beritahu saya tiada apa-apa hubungan namun kedua-dua pelajar itu tidak berpuas hati dan terus menarik rambut dan memukul saya sebelum rakan lain ikut serta membelasah saya,” kata pelajar itu ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.

Noor, anak kedua daripada tiga beradik, baru sebulan belajar di SMK Perlis itu setelah berpindah dari Sungai Petani, Kedah bagi mengikuti ibunya yang bekerja di kedai makan di sini. Mangsa telah pun kematian bapa.

Katanya, dia langsung tidak menyangka kumpulan pelajar terbabit akan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila tergamak membelasahnya sehingga dia hampir terjatuh ke dalam longkang.

“Malah ketika itu ada dua remaja lelaki iaitu teman lelaki kepada dua pelajar yang menuduh saya menjalin hubungan dengan kekasih mereka.

“Namun, kedua-dua remaja lelaki itu termasuk seorang yang bersekolah di sekolah sama dengan saya tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, sebaliknya kedua-dua lelaki itu turut menonton dan bersorak apabila melihat saya dibelasah.

“Hanya tiga pelajar perempuan dalam kumpulan itu yang saya kenal termasuk dua pelajar yang menuduh saya mempunyai hubungan dengan kekasih mereka. Ketiga-tiga pelajar itu sebaya dengan saya dan sama kelas dengan saya,” ujarnya.

‘Aku bunuh anak kau’ – Metro


‘Aku bunuh anak kau’

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke PPUM, semalam.
ANGKAT…anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke PPUM, semalam.

SERDANG: “Aku sudah bunuh anak kamu dua hari lalu, balik sekarang untuk jengguk dia,” kata seorang wanita berusia 57 tahun kepada anaknya selepas membunuh cucu perempuannya berusia 10 tahun dalam kejadian di Apartmen Koi Legian, Taman Kandan Baru, dekat Puchong, di sini, semalam.

Wanita terbabit menghubungi anak lelakinya jam 9.30 pagi selepas membunuh cucunya, Pow Mei Shuang, 10, dengan menekup bantal ke muka kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang berusia 31 tahun gagal masuk ke dalam rumah kerana pintu utama dikunci dari dalam lalu meminta bantuan polis.

Sebaik polis memecah pintu, bapa mangsa terkejut melihat anak perempuannya terbaring kaku di atas katil di bilik utama di tingkat lapan manakala ibunya pula cuba membunuh diri dengan mengerat jari manis tangan kiri dengan pisau pemotong daging sebelum cuba terjun dari tingkap bilik.

 
Wanita terbabit yang tinggal bersama mangsa, bapa mangsa dan dua cucu lain mengalami kemurungan selepas menghadapi masalah kemerosotan perniagaan restorannya di Jalan Klang Lama.

Jaik rayu ibu bapa tidak beri sokongan – Metro


Jaik rayu ibu bapa tidak beri sokongan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Tindakan ibu bapa dan waris yang masih menghantar anak mereka ke sebuah pusat tahfiz di Jalan Kuala Kedah, di sini, menjadikan sekolah itu semakin ‘kebal’ biarpun menyedari ia tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya berkata, pihaknya meminta semua ibu bapa atau penjaga tidak menghantar anak mereka ke sekolah itu kerana bimbang dengan masa depan pelajar dikhuatiri tidak mendapat pendidikan sempurna.
Menurutnya, ini berdasarkan siasatan Jaik mendapati kalangan pelajar dan keluarga mereka terdiri daripada satu kelompok seumpama perkampungan dan kebanyakannya bukan penduduk negeri ini.

 

Katanya, disebabkan itu mereka masih mampu beroperasi kerana didokongi pihak tertentu yang menyokong dari belakang.
“Pada masa sama, kami juga meminta orang ramai jangan membeli barangan dijual mereka seperti kalendar atau kismis mahupun memberi derma untuk membantu menambah dana persekolahan kerana seolah-olah menyokong perbuatan mereka itu.
“Sebelum menghantar anak ke sekolah agama, kami minta ibu bapa menyiasat dulu latar belakang sekolah itu dan menyelidik terlebih dulu sama ada berdaftar dengan agensi bertanggungjawab atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

 

 

Noh berkata, daripada segi silibus pelajaran, pihaknya mendapati ia tidak meragukan jika dilihat secara luaran, tetapi tidak tahu apa aktiviti dilakukan pada waktu malam atau sepanjang hari di sekolah itu.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah menolak permohonan sekolah berkenaan untuk mendaftar melalui Jaik pada 2007 selagi pihak pengurusan sekolah itu masih membenarkan pelajar terbabit melakukan aktiviti kutipan derma dan menjual barangan.

 

“Kami bersedia memberi kelulusan dengan syarat pihak sekolah itu mematuhi peraturan dan syarat diberikan sebelum ini.
“Setakat ini, sudah 10 kali kami mengadakan lawatan di sekolah itu untuk berbincang dengan pihak pengurusan dan kami pernah memberi teguran terhadap mereka untuk menyelesaikan masalah itu, tetapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.

JKM siasat dakwaan pelajar jadi ‘buruh’ – Metro


JKM siasat dakwaan pelajar jadi ‘buruh’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan siasatan terhadap dakwaan terdapat pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dipergunakan untuk bekerja atau menjadi buruh di ladang kelapa sawit milik pengasasnya.

Ketua Pengarahnya, Hadzir Md Zain (gambar) berkata, kanak-kanak bawah usia 18 tahun dilindungi Akta Kanak-kanak 2001 yang tidak membolehkan mereka menjadi buruh dan siasatan akan dilakukan terhadap pihak terbabit seperti didakwa.
“Jika mendapat laporan daripada orang ramai, kita akan menyiasat segera mengikut maklumat diterima. Justeru, saya minta orang ramai memberikan maklumat yang boleh disalurkan melalui talian Nur termasuk dalam isu menjadikan kanak-kanak sebagai buruh.

 

“Jika perlu didakwa pihak terbabit, kita akan buat pendakwaan terhadap mereka,” katanya.

Pencabul anak patah tangan – Metro


Pencabul anak patah tangan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Padah cuba mencabul seorang remaja perempuan, seorang lelaki warga Bangladesh patah tangan kanan dan cedera di kepala selepas dibelasah bapa remaja terbabit dengan sebatang kayu di sebuah restoran di Kampung Baru, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikatakan makan bersama keluarganya dan ketika kejadian, dia ingin mencuci tangan.
Menurut sumber, remaja berusia 14 tahun itu yang ingin mencuci tangan didatangi seorang lelaki warga Bangladesh yang memeluknya dari belakang sambil meminta wang.

 

“Melihat anak perempuannya meronta-ronta, bapa mangsa yang juga seorang warga emas mencapai sebatang kayu di pekarangan restoran berkenaan dan meluru ke arah suspek sebelum membelasahnya dengan kayu itu,” katanya.

Arwah tak sabar guna penutup mata baru – Metro


Arwah tak sabar guna penutup mata baru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Arwah memang tidak sabar keluar menjalani latihan memanah di sekolah petang semalam (kelmarin) kerana mahu mencuba penutup mata khas yang baru dibelinya bagi sukan itu,” kata Suhila Anuar, 37, ibu kepada Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini yang maut dipanah petir petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa bersama tujuh murid lain dan seorang guru, baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Suhila yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, di sini, semalam berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah memaklumkan kepadanya untuk membeli penutup mata berkenaan bagi memudahkannya menjalani latihan memanah di sekolah.

 

Dia berkata, arwah sanggup membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah RM2 sehari bagi mengumpul wang membeli peralatan berharga RM10 itu. “Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. “Arwah tidak pandai bermain sukan lain, jadi dia berhajat mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.
Bapa arwah, Mohamad Tajul Ariffin Shahruddin, 40, berkata anaknya mempunyai minat yang mendalam dalam sukan memanah, malah dia sering memberi galakan kepada arwah.
“Setiap kali latihan, arwah bersiap lebih awal untuk menjalani latihan memanah di sekolah. Saya dimaklumkan guru sekolah arwah latihan semalam (kelmarin) untuk memilih peserta mewakili sekolah,” katanya.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, tiga murid dan guru sekolah yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan lanjut sebelum tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Katanya, seorang lagi mangsa yang juga guru lelaki masih dirawat di hospital sama kerana masih lemah.

 

“Laporan bedah siasat hospital mendapati, arwah maut disebabkan kecederaan parah terkena panahan petir,” katanya.