Kasut berasap! – Metro


Kasut berasap!

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Sebaik dentuman kuat, kedua-dua kaki saya kebas, manakala kasut pula berasap,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin (SKM), di sini, yang cedera dipanah petir dalam kejadian petang kelmarin.

Muhammad Izaha yang turut melecur di kaki kanannya berkata, sejurus dentuman kuat itu, dia terus rebah.
Menurutnya, dia meraung kesakitan sebelum seorang guru meluru ke arahnya dan menanggalkan kasut dipakainya.

 

“Dalam keadaan terbaring itu, saya sempat melihat arwah kaku dan tersandar pada sebatang pokok, manakala beberapa murid lain meraung kesakitan.
“Sebelum dentuman petir itu berlaku, saya melihat arwah berjalan menuju ke sebatang pokok bagi mengemaskan peralatan memanah,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, di sini, semalam.
Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan mangsa, Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, maut dipanah petir, manakala seorang guru dan tiga murid lain cedera ringan.

 

 

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika lapan murid dan guru terbabit baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Insiden tidak dijangka itu turut mencederakan seorang guru, Azizul Rahman Ismail, 31, yang juga jurulatih memanah sekolah serta tiga murid dikenali sebagai Anuar Azlin, 12, Nor Arifah Fatimah, 12 dan Muhammad Izaha Jamaluddin, 10.

 

Keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk mendapatkan rawatan, namun tiga murid dibenarkan keluar malam kelmarin manakala, Azizul Rahman masih dirawat di hospital sama. Muhammad Izaha berkata, dia tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakannya itu kerana sebelum ini, dia sangat rapat dengan arwah kerana Syafiq tidak lokek mengajarnya cara memanah dengan betul.
Ketika ditanya sama ada dia mahu meneruskan minatnya dalam sukan memanah, Muhammad Izaha berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan emosinya.
Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan kaki kanannya melecur selain kedua-dua telinganya masih berdengung.
Sementara itu, Azizul Rahman ketika ditemui di HKK semalam berkata, dia yang berada paling hampir dengan arwah turut rebah sebaik petir itu mengenai tanah.
“Sebaik tersedar daripada pengsan, saya terkejut apabila mendapati arwah terbaring di atas padang berdekatan sebatang pokok manakala beberapa murid lain menjerit kesakitan.
“Sejurus kejadian, seorang guru yang berada berdekatan segera memberikan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) selain turut memeriksa nadi arwah. Bagaimanapun, Syafiq disahkan sudah meninggal dunia dan dibawa ke hospital,” katanya.
Dia yang juga guru Matematik berkata, ketika kejadian cuaca agak mendung menyebabkan dia bersama murid lain mengemaskan peralatan memanah dan bersiap sedia untuk pulang.

Dibelasah rakan angkara Facebook – Utusan


Dibelasah rakan angkara Facebook

 

Oleh SHOLINA OSMAN
utusan perlis@utusan.com.my

 

Pelajar yang dibelasah menunjukkan kesan calar dan bengkak di lengan selepas dipukul sekumpulan pelajar perempuan dipercayai punca salah faham di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, semalam.

 

KANGAR 1 Feb. – Perbalahan dalam laman sosial Facebook (FB) dipercayai menjadi punca salah faham sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah sekumpulan pelajar perempuan, termasuk rakan sekolahnya di sini semalam.

Mangsa, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini mengalami lebam dan bengkak di sebahagian tubuhnya terutama lengan, paha dan kepala berikutan kejadian itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah berseorangan selepas tamat menjalani latihan sukan di sekolah kira-kira pukul 6 petang.

Ketika melalui sebuah taman perumahan di belakang sekolah, dia ditahan oleh tiga pelajar perempuan yang masih tidak berpuas hati kerana mendakwa dia menggoda teman lelaki mereka dalam laman FB.

“Saya tidak sangka, mereka bertindak kasar apabila mula menampar, menumbuk, menendang dan menarik rambut saya. Tiba-tiba, muncul ramai pelajar perempuan yang saya tidak kenal,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.

Beliau dimasukkan ke wad HTF sejak pukul 1 pagi tadi setelah mengalami muntah-muntah.

Pelajar tersebut memberitahu, dia baharu saja belajar di sekolah itu mulai awal tahun ini setelah berpindah ke sini dari Sungai Petani untuk tinggal bersama neneknya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Che Isa mengesahkan ibu pelajar berkenaan membuat laporan polis mendakwa anaknya cedera akibat dipukul.

Katanya, kes ini hanya melibatkan empat pelajar perempuan yang melakukan perbuatan tersebut antara pukul 5 hingga 6 petang semalam.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera.

Nenek hidapi masalah mental cuba bunuh diri – Utusan


Nenek hidapi masalah mental cuba bunuh diri

PETALING JAYA 1 Feb. – Seorang nenek yang dipercayai menghidap masalah mental, cuba membunuh diri dua kali selepas dia dikatakan menekap muka cucu perempuannya dengan bantal sehingga mati di tingkat lapan Kondominium Koi Legian, Taman Kinrara Puchong dekat sini hari ini.

Wanita berusia 57 tahun itu cuba membunuh diri dengan memotong jari manis kirinya sehingga putus, sebelum menghubungi anaknya iaitu bapa kanak-kanak itu kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Sebaik sahaja dihubungi, wanita itu memaklumkan kepada anak lelakinya bahawa dia membunuh anak perempuannya yang berusia 10 tahun sejak dua hari lalu.

Terkejut dengan pengakuan ibunya itu, bapa kanak-kanak tersebut yang ketika itu sedang bekerja di sebuah restoran milik keluarganya bergegas pulang ke rumah.

Dia yang tinggal bersama di rumah itu terkejut apabila mendapati ibunya berada di dalam bilik tidur anaknya yang ketika itu dalam keadaan terlentang di atas katil.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias, wanita itu kemudian bertindak mengunci pintu bilik tersebut, menyebabkan anak lelakinya segera memaklumkan kejadian itu kepada polis.

“Sebaik sahaja sepasukan polis tiba di kondominium itu pada pukul 12 tengah hari, pihak kami terpaksa memecahkan pintu bilik tidur rumah mangsa.

“Sebaik sahaja dibuka, wanita itu dilihat cuba terjun dari tingkap tingkat lapan rumahnya, namun dia berjaya diselamatkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Abd. Razak, siasatan awal polis mendapati, wanita itu mengalami masalah mental dan tinggal bersama anak lelakinya serta tiga lagi ahli keluarga lain.

Kata beliau, bapa kanak-kanak itu tidak menyedari kejadian yang menimpa anaknya meskipun dia pulang ke rumah semalam kerana menyangka anaknya tidur bersama nenek.

“Berdasarkan pemeriksaan ke atas mayat kanak-kanak itu, dia dipercayai mati dalam tempoh 12 jam sebelum ditemui.

“Wanita itu pula yang mengalami kecederaan di jari dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut,” katanya.

Polis turut menemui sebuah tong berisi darah dipercayai digunakan oleh wanita berkenaan selepas bertindak memotong jarinya, dalam sebuah bilik di kondominium itu.

Selain itu, polis turut menemui tulisan dalam bahasa Cina bermaksud, Hati tak suka, hati tak syok, mahu mati di dinding bilik berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menghidapi penyakit psikiatri menyebabkan dia bertindak di luar kawalan, selain turut menghadapi masalah ekonomi keluarga yang tidak stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pelajar maut dipanah petir selepas latihan memanah – Utusan


Pelajar maut dipanah petir selepas latihan memanah

KUALA KANGSAR 1 Feb. – Seorang pelajar tergamam apabila melihat seorang rakannya maut akibat dipanah petir selepas selesai menjalani latihan memanah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin, di sini petang semalam.

Muhammad Izhar Jamaluddin, 10, antara lapan murid yang sedang berehat di tepi padang berkenaan berkata, sampai bila-bila pun dia tidak dapat melupakan kejadian pukul 5.30 petang itu yang meragut nyawa Muhammad Syafiq Mohd. Tajul Ariffin, 11.

Menceritakan detik-detik cemas tersebut, Mohd. Izhar berkata, dalam keadaan hujan renyai-renyai, semua ahli pasukan memanah sedang bersiap untuk bersurai, manakala mangsa pula sedang menyusun peralatan memanah di bawah sebatang pokok, kira-kira tiga meter dari rakan-rakannya.

“Tiba-tiba saya perasan ada cahaya kuning sepantas kilat diiringi dentuman kuat yang menyebabkan kami semua terpelanting. Selepas itu, kami melihat Syafiq terbaring di bawah pokok.

“Saya sendiri takut melihat kaki saya pucat dan apabila guru lain mencurahkan air bagi menanggalkan kasut yang terkoyak bersama stokin melekat, ia mengeluarkan bunyi macam sedang dimasak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Syafiq yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik meninggal dunia setelah cedera parah di seluruh badan akibat dipanah petir.

Muhammad Izhar melecur di kaki kanan, manakala dua lagi rakannya, Anuar Azlin, 12, dan Nor Arifah Fatimah, 12 serta seorang guru jurulatih pasukan tersebut, Azizul Rahman Ismail, 31, hanya mengalami kekejangan di kaki.

Azizul Rahman yang masih trauma dengan kejadian itu masih dirawat di Hospital Kuala Kangsar, di sini.

Menurut Muhammad Izhar, selepas kejadian itu, dia serik untuk menjalani latihan memanah lagi kerana trauma dengan apa yang berlaku.

“Kami sepatutnya menyertai satu kejohanan memanah pada bulan ini tetapi tidak tahu lah macam mana selepas kejadian ini,” katanya yang diberikan cuti sakit selama tiga hari.

Sementara itu, Azizul Rahman yang juga seorang guru Matematik berkata, dia begitu sedih dan terkejut mendengar berita kematian tersebut kerana mangsa merupakan anak didiknya sejak setahun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat sekumpulan pasukan bola sepak sedang berehat tidak jauh daripada tempat kejadian selepas menjalani latihan di padang berkenaan.

“Dalam hati, saya rasa seolah-olah macam bersalah, walaupun perkara ini berlaku di luar jangkaan sama sekali,” katanya sambil menegaskan semua aktiviti memanah tersebut dijalankan mengikut peraturan pihak sekolah.

Sementara itu, suasana suram menyelubungi keluarga mangsa yang berkumpul di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal di sini apabila jenazah Muhammad Syafiq dikebumikan pukul 11.30 pagi ini.

Bapa mangsa, Mohd. Tajul Arifin Shahruddin, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 6 petang apabila menerima panggilan daripada seorang guru ketika menanti kepulangan anaknya sewaktu hujan lebat semalam.

“Kadang kala, saya selalu juga melihat anak saya menjalani latihan di sekolah tetapi semalam, saya tidak berkesempatan. Biasanya, kalau hujan, dia akan pulang awal kerana cikgu suruh balik cepat,” katanya.

Ibu mangsa, Suhila Anwar, 37, yang terlalu sebak kehilangan anaknya itu tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang kata-kata.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Ghaffar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Guru Besar SK Raja Perempuan Muzwin, Mohd Jamaai Ahmad pula berkata, laporan lengkap berhubung kejadian itu telah dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Kaki kebas, bau hangit kena petir – Berita Harian


Kaki kebas, bau hangit kena petir
Oleh Nurhayati Abllah dan Mohd Hairi Azmi Tham

2012/02/02

KUALA KANGSAR: “Selepas bunyi dentuman kuat, saya terus tidak sedarkan diri. Apabila tersedar beberapa minit kemudian, kaki terasa kebas, kasut terbakar dan bau hangit.

“Saya terus meraung sebaik cikgu menanggalkan kasut kerana bau hangit itu berpunca daripada kaki kanan saya melecur,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini, yang cedera dalam kejadian dipanah petir, petang kelmarin.

Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan Muhammad Izaha, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin , 11, maut selepas badannya disambar petir, manakala dua rakan lain serta seorang guru cedera.

Mereka yang cedera ialah Azizul Rahman Ismail, 31, guru dan juga jurulatih memanah sekolah serta dua murid lain dikenali sebagai Anuar Azlin, 12 dan Nor Arifah Fatimah, 12.

Menceritakan kejadian jam 5.30 petang itu, Muhammad Izaha berkata sebelum kejadian dia bersama lapan rakan lain, termasuk arwah dan seorang guru berehat berhampiran sebatang pokok selepas selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah.

“Ketika itu cuaca mendung dan arwah bangun untuk mengemaskan peralatan memanah di tengah padang. Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat dan saya terus tidak sedarkan diri.

“Selepas tersedar saya sempat melihat arwah kaku tersandar pada sebatang pokok, manakala rakan lain meraung kesakitan. Beberapa guru kemudian cuba memberi bantuan pernafasan kepada arwah, namun beberapa minit kemudian saya mendapat tahu rakan saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, semalam.
Muhammad Izaha, murid Tahun Empat, berkata sebelum kejadian arwah sempat mengajarnya menarik tali memanah itu dan mereka bersemangat mengikuti latihan kerana berhajat untuk terpilih mewakili sekolah.

“Arwah tidak lokek ilmu. Kami sentiasa berlatih bersama-sama dan arwah sangat teruja untuk berlatih memanah, apatah lagi selepas dapat membeli penutup mata khas untuk mengikuti latihan itu,” katanya.

Muhammad Izaha kini mengakui sudah hilang minat untuk menjalani latihan memanah kerana trauma dengan kejadian itu.

“Saya sudah kehilangan rakan baik, apatah lagi kaki masih terasa kebas dan telinga berdengung kesan dentuman kuat itu,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu dan sedih menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, ketika jenazah Muhammad Syafiq yang juga anak ketiga daripada lima beradik dikebumikan jam 11.30 pagi semalam.

Ibu mangsa, Suhila Anuar, 37, berkata sebelum kejadian, arwah kelihatan sangat seronok dan bersemangat menjalani latihan memanah, apatah lagi dia baru saja membeli penutup mata bagi sukan itu.

“Dia (arwah) sanggup mengambil upah membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah sebanyak RM2 sehari untuk mengumpul wang bagi membeli peralatan berharga RM10,” katanya.

“Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar untuk meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. Lagipun, arwah tidak pandai bermain sukan lain seperti bola, jadi dia berhajat untuk mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.

CUEPACS gesa mesyuarat semakan SBPA lebih kerap – Berita Harian


CUEPACS gesa mesyuarat semakan SBPA lebih kerap

2012/02/02

KUALA LUMPUR: CUEPACS menggesa pasukan petugas khas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang ditubuhkan bulan lalu supaya mengadakan mesyuaratnya lebih kerap bagi mempercepatkan proses penambahbaikan skim itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman mencadangkan pasukan petugas itu bermesyuarat sekurang-kurangnya empat kali sebulan dan bukannya sebulan sekali seperti sekarang, supaya keseluruhan semakan dapat dilakukan dalam tempoh kurang dua bulan, walaupun kerajaan menetapkan tiga bulan.

Omar berkata, beliau akan membawa cadangan itu pada mesyuarat pasukan petugas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, yang dijadualkan 8 Februari ini di Putrajaya.

“Saya yakin jika pasukan itu dapat berjumpa dan bermesyuarat lebih kerap, kebuntuan berhubung isu SBPA yang membabitkan lebih 1.2 juta kakitangan awam dapat diselesaikan segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan penubuhan pasukan khas semakan semula SBPA turut menetapkan tempoh tiga bulan sehingga 16 April depan untuk menyiapkan semakan mereka.

Dalam pada itu, Omar mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan kerana menerima tiga lagi pemimpin kanan kesatuan berkenaan bagi menganggotai pasukan petugas khas SBPA.

Kelmarin, Mohd Sidek berkata, pertambahan pemimpin kanan CUEPACS dalam pasukan petugas khas itu adalah lebih bagus kerana membolehkan kerajaan mendapat lebih maklum balas dan pandangan untuk penambahbaikan SBPA.
Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah, Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangannya, Jaafar Mansor.

Sementara itu, Omar berkata, Jawatankuasa Bertindak SBPA yang ditubuhkan CUEPACS, termasuk untuk menerima maklum balas daripada kakitangan awam mengenai skim itu akan tetap meneruskan tugasnya sebelum menyediakan kertas kerja komprehensif untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.

2 beradik lemas jatuh sungai – Berita Harian


2 beradik lemas jatuh sungai
Oleh Norliza Wasilan

2012/02/02

PASIR PUTEH: Tindakan berani seorang budak lelaki untuk menyelamatkan adiknya yang tergelincir dalam sungai berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua beradik itu lemas di Sungai Alor Pasir, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Mohd Amirul Zulhaiqal Abd Rahim, 7, dari Taman Kobena di sini, tergelincir ke dalam sungai ketika berdiri di batu untuk membuang air kecil.

Terkejut melihat adiknya terjatuh, Mohd Afeq Zulfikrie, 12, nekad terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya, namun gagal menyebabkan kedua-duanya lemas.

Abang kedua-dua mangsa, Mohd Alif Zulhakimi, 14, turun terjun ke sungai apabila menyedari adiknya hilang, namun gagal menyelamatkan mereka kerana air sungai itu terlalu dalam.

Malah, Mohd Alif Zulhakimi hampir lemas tetapi sempat ditarik rakannya yang dikenali sebagai Naim.

“Saya terjun selepas melihat selipar biru adik di sungai dan tepi sungai.

“Saya sedih tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya yang sebak dengan tragedi itu.
Ibu bapa mangsa, Abd Rahim Mohamad, 38, dan Normah Mohd Rahim, 35, tidak dapat ditemu ramah kerana terlalu sedih.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Kaharuddin Yahya, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7 petang dan segera menghantar satu jentera dengan enam anggota.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, mayat Mohd Afeq Zulfikrie sudah ditemui datuk mangsa, Mohd Rahim Mohd Adam, 58, yang membantu gerakan mencari mencari kanak-kanak itu.

“Mayat Mohd Amirul Zulhaiqal ditemui pasukan bomba pada jam 7.16 petang,” katanya.

PELANJUTAN TEMPOH PERMOHONAN ELAUN MURID BERKEPERLUAN KHAS BAGI MURID DALAM KATEGORI ORANG KURANG UPAYA(OKU) TAHUN 2012


PELANJUTAN TEMPOH PERMOHONAN ELAUN MURID BERKEPERLUAN KHAS BAGI MURID DALAM KATEGORI ORANG KURANG UPAYA(OKU) TAHUN 2012

Permohonan ini dilanjutkan sehingga 13/2/2012. Sekolah boleh mengakses ke sistem melalui laman sesawang http://apps.moe.gov.my/sisoku/.

Sebarang pertanyaan berhubung dengan permohonan ini bolehlah diajukan kepada nombor talian seperti berikut:

Bahagian Pendidikan Khas  :  03 – 8884 9152 /03-8884 9186
Bahagian Kewangan            :  03 –  8884 7081/ 03-8884 7506 / 03-8884 7616