Bergilir pakai kasut sekolah – Sinar Harian


Bergilir pakai kasut sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Februari 2012
baju sekolah

KAMPUNG PAK SABAH – Gara-gara kemiskinan hidup, tiga beradik yang juga murid sekolah rendah dekat sini terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana tidak mempunyai wang saku ke sekolah.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga terpaksa memakai dua pasang kasut sekolah secara bergilir-gilir kerana bapanya yang bekerja sebagai tukang sapu masjid itu difahamkan tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah kerana terpaksa menyara lima lagi adik beradik lain.

Kemelut kehidupan melanda tiga beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dungun ini terbongkar setelah mereka bertiga dikatakan berhadapan masalah kehadiran yang tidak menentu.

Berikutan itu, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) melakukan siasatan dengan berkunjung ke rumah murid terbabit dan masalah ketiadaan uniform sekolah akibat kemiskinan keluarga dikatakan menjadi puncanya.

Menurut salah seorang murid malang itu, Hasliza Syahirah, 12, bapanya, Abdul Manaf Mat Hasan, 37, hanya mampu membeli dua pasang kasut sahaja manakala adiknya terpaksa memakai selipar jika mereka bertiga ingin ke sekolah.

Katanya, dalam sebulan, mereka terpaksa me­ngikat perut beberapa kali kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan.

Menurut Hasliza, jika bapanya mempunyai wang lebih, dia hanya dibekalkan RM1 setiap orang sebagai wang saku sekolah, namun jika sebaliknya, dia terpaksa ke sekolah tanpa wang saku, malah kadangkala terpaksa menahan lapar sehingga pulang ke sekolah.

“Kalau tak ada duit, ayah suruh kita puasalah, kalau ada duit, baru kita dapat beli makanan, itu pun cuma seringgit sahaja, kadang-kadang kena kongsi lagi.

“Kami dah biasa berpuasa, pakai kasut sekolah pun terpaksa bergilir-gilir kerana ayah tak mampu beli kasut untuk kami bertiga,” katanya.

Menurut adik lelaki Hasliza, Mohd Jefri, dalam keadaan kelaparan kerana tidak mempunyai wang saku sekolah, dia juga terpaksa berjalan kaki berulang-alik ke sekolah hampir satu kilometer setiap hari.

Namun, bagi tiga saudara ini, ia bukan halangan untuknya menimba ilmu untuk mengubah nasib keluarganya yang sering dihimpit kemiskinan itu.

“Dalam keadaan perut lapar ketika pulang dari sekolah, saya juga terpaksa berjalan jauh sebelum sampai ke rumah.

“Nak naik basikal, ayah tak mampu nak beli sebab adik beradik kami ramai, usah kata nak beli basikal, kadang-kadang di rumah pun terputus bekalan makanan. Adakalanya kami terpaksa makan sekali sahaja dalam sehari,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai tentera apabila besar nanti.

Bagaimanapun masalah ketiadaan pakaian sekolah tiga beradik ini berakhir setelah Timbalan Pengerusi PIBG SK Kuala Dungun, Rusdi Muda membawa pelajar berkenaan ke sebuah kedai pakaian di bandar ini untuk membeli pakaian baru bagi membolehkan mereka dapat ke sekolah.

Mengimbas kembali situasi menyayat hati itu, Nur Rohaya berkata, pada saat murid lain menikmati pakaian sekolah baru setiap kali musim persekolahan awal tahun bermula, dia bersama empat lagi adik beradiknya yang lain terpaksa memakai pakaian sudah lusuh, biarpun ia dikatakan sudah terlalu ketat dan tidak sesuai untuk dipakai lagi.

“Terima kasihlah sebab cikgu beli pakaian baru untuk kami bertiga, kami seronok sangat, minggu depan dapat pergi sekolah pakai baju baru, terima kasih atas sumbangan ini,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini, sumbangan boleh diberi melalui akaun Bank Simpanan Nasional Abdul Manaf Mat Hassan, 11105-29-00016588-0.

Mangsa lemas murid pintar, harapan keluarga – Utusan


Mangsa lemas murid pintar, harapan keluarga

GURU Besar SK Kamil 3, Md. Nawi Ismail (kiri) menenangkan Mohd. Rahim Mat Adam yang kehilangan dua anaknya di Hospital Tengu Anis di Pasir Puteh, semalam.

 

PASIR PUTEH 2 Feb. – Dua mangsa lemas di Sungai Alor Pasir Kobena dekat sini lewat petang semalam, merupakan murid pintar Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 3 dan memiliki kegemaran yang sama dengan bapa mereka iaitu minat menternak serta bercucuk tanam pada hujung minggu.

Bapa mangsa, Abdul Rahim Mahmud, 38, berkata, kegemaran dan minat yang sama itu menyebabkan kedua-dua arwah paling rapat dan sentiasa bersamanya sehingga tragedi lemas yang tidak pernah diduga itu sukar untuk diterima.

Menurutnya, anak keduanya, Mohd. Afiq Zulfikri adalah murid tahun enam dan pengawas sekolah berkenaan yang turut diharapkan oleh keluarga berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Harapan kami untuk melihat hasratnya mengharumkan nama sekolah tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya. Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit dekat sini pada pukul 12.10 tengah hari,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Bukit dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang semalam, tindakan seorang abang untuk menyelamatkan adiknya yang tergelincir ke dalam Sungai Alor Pasir Kobena dekat sini ketika membuang air kecil tidak berjaya apabila kedua-dua mereka ditemui mati lemas.

Mayat Mohd. Afiq Zulfikri Abdul Rahim, 12, dan Mohd. Amirul Zulhaika ditemui penduduk kampung dan pasukan penyelamat pada pukul 7 dan 7.16 malam semalam.

Menurutnya, Mohd. Afiq Zulfikri juga dianggap sebagai tonggak utama dalam keluarga kerana sering mengambil berat supaya keseluruhan adik-beradiknya menunaikan solat fardu lima waktu pada setiap hari.

Datuk mangsa, Mohd. Rahim Mat Adam, 58, berkata, dia yang bergegas ke tempat kejadian juga gagal menyelamatkan cucunya kerana keadaan air terlalu dalam iaitu melebihi empat meter sehingga terpaksa menggunakan buluh untuk menyelam ke dasar sehingga menemui mayat Mohd Afiq yang sudah tidak bernafas lagi ketika dibawa naik ke tebing.

Katanya, tragedi bermula apabila Mohd. Amirul Zulhaika tergelincir ke dalam sungai dari tebing pasir yang runtuh menyebabkan Mohd. Afiq Zulfikri terjun dan cuba menyelamatkan adiknya itu, diikuti abang sulung mereka Mohd. Alif Zulhakimi, 14.

Mohd. Alif Zulhakimi ketika ditemui memberitahu, ketika kejadian, ibunya, Norma Mohd. Rahim 35, berada tidak jauh dari kawasan berkenaan bersama adik bongsu mereka Nur Aliya Nabila berusia dua tahun, tetapi tergamam dengan kejadian yang berlaku.

Perbicaraan kes bapa kurung anak 5 Mac – Bernama


Perbicaraan kes bapa kurung anak 5 Mac

2012/02/03

BUTTERWORTH: Mahkamah Majisteret di sini menetapkan 5 Mac ini untuk perbicaraan kes Tan Hooi Keong, 43, yang dituduh mengurung dua orang anaknya berusia enam dan dua tahun di dalam bilik air yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Majisteret Mohd Zamir Suhaimee membuat keputusan itu bagi membolehkan mahkamah memperoleh laporan perubatan kedua-dua kanak-kanak itu yang masih belum siap.

Tan menghadapi dua pertuduhan, yang pertama menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Zhi, 6, dengan merantai kaki anak perempuannya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air pada 28 Disember 2011, antara 3 petang dan 8 malam.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Han, 2, dengan merantai kaki anak lelakinya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air juga pada 28 Disember 2011 antara 3 petang dan 8 malam.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah nombor 21, Jalan Mawar, Taman Dahlia di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun atau denda tidak kurang RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masnuraznim Abdul Malik manakala Tan diwakili peguam bela Abdul Rahim Mohamed. – BERNAMA

Warga guru diminta terus beri sokongan – Utusan


Warga guru diminta terus beri sokongan

Muhyiddin Yassin dan Mustapa Mohamed bersama warga pendidik mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan di Kompleks YKK, Peringat, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Rosni Masri

 

KOTA BHARU 2 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta lebih 500,000 warga pendidik di seluruh negara memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sokongan itu penting kerana pelbagai usaha telah dirancang oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan rakyat terutama umat Islam dapat dipertingkatkan.

Bagaimanapun, kata beliau, perancangan itu akan menjadi sia-sia jika kerajaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau tidak guru, siapa lagi kerana jumlah kita (guru) adalah sebanyak 500,000 orang dan inilah kekuatan utama kita. Saya tahu masing-masing mempunyai persepsi dan pegangan hidup dan sebagainya tetapi yang penting adalah soal memperkukuhkan masa depan negara.

“Lebih kukuh kedudukan kita, maka kita tidak diganggu-gugat kerana kalau kita tengok dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita telah memberi perhatian yang paling banyak dalam memajukan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berucap di hadapan lebih 2,000 guru sempena Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan 2012 di Dewan Tun Ghafar, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Empat belas sekolah lagi terima pengiktirafan SBT – Bernama


Empat belas sekolah lagi terima pengiktirafan SBT

03/02/2012 12:51pm

PUTRAJAYA 3 Feb. – Lima sekolah dari Johor, tiga dari Kedah, dua dari Terengganu, dua dari Pulau Pinang, serta masing-masing satu dari Pahang dan Negeri Sembilan, berada dalam kohort ketiga yang mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) hari ini, menjadikan jumlahnya kini 66 sekolah.

Semua pengetua dan guru besar 14 sekolah berkenaan tampil menerima watikah pengiktirafan dan peruntukan dana khas di Auditorium Parcel E di sini, yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata SBT bukan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan sekolah semata-mata, tapi yang lebih penting ialah memastikan kecemerlangan itu dapat memberi impak positif kepada pencapaian pelajar.

“Menerusi usaha-usaha terkini kerajaan, saya jangka selepas fasa penilaian semula, dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang akan dipikul warga SBT akan menjadi lebih mencabar lagi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, SBT dilaksanakan dalam usaha mengangkat kualiti sekolah yang terbaik dengan cara meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan menerusi peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, di samping membenarkan ia melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing. – BERNAMA