Dua beradik lemas ketika memancing di Sungai Antu, Sibu – Bernama


Dua beradik lemas ketika memancing di Sungai Antu, Sibu 

2012/02/05

SIBU: Dua beradik yang keluar memancing di Sungai Antu di sini tanpa pengetahuan ibu bapa mereka, ditemui lemas kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Mereka dikenali sebagai Ismail William, 11, pelajar tahun lima SK Hin Hua dan adik lelakinya berusia enam tahun, Ismawi, pelajar tadika di Hin Hua Kindergarten.

Ibu bapa mangsa, kedua-duanya dari Mukah, tidak berada di rumah ketika insiden itu dan meninggalkan mereka di bawah jagaan kakak mangsa yang berusia 17 tahun. – BERNAMA

Calon SPM, STPM perlu aktif kokurikulum untuk masuk universiti – Bernama


Calon SPM, STPM perlu aktif kokurikulum untuk masuk universiti 

2012/02/05

TEMERLOH: Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diingatkan supaya aktif dalam kegiatan kokurikulum sebagai syarat tambahan bagi melanjutkan pelajaran ke universiti di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ini kerana terdapat di mana pelajar tidak dapat menyambung pelajaran dalam kursus yang dipohon berikutan tidak mengambil bidang kokurikulum ketika persekolahan.

Katanya, untuk memasuki universiti bukan sesuatu yang sukar, sebaliknya seseorang pelajar memerlukan dua persediaan awal iaitu kelulusan akademik yang cemerlang dan 10 peratus pencapaian dalam kokurikulum. – BERNAMA

Tidak minat punca lambakan guru – Sinar Harian


Tidak minat punca lambakan guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Februari 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi.

BATU PAHAT – Penurunan jumlah pelajar mengambil jurusan Sains menjadi punca berlaku lambakan 13,000 guru subjek Sains dan Matematik di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berkata, isu berkenaan perlu diteliti bersama kerana punca masalah itu membabitkan bidang kua­sa Kementerian Pelajaran dan Ke­menterian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurutnya, kementerian kini sudah mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan bagi memastikan pengambilan guru seimbang.

“Menerusi jawatankuasa ini, kementerian akan maklumkan kepada KPT unjuran guru semua subjek untuk sekolah menengah bagi mengelakkan kekurangan mahupun lambakan. Bagi sekolah rendah tiada masalah lambakan berikutan Institut Pendidikan Guru (IPG) dikelolakan kementerian.

“Isunya kini lebih rumit apabila jumlah pelajar memilih Sains menurun, menyebabkan berlaku lamba-kan guru dalam subjek tersebut di sekolah menengah. Kita juga tidak boleh paksa pelajar memilih bidang Sains jika mereka tidak minat,” katanya selepas majlis penyerahan fasa kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penggaram, semalam.

Beliau berkata, semua pihak termasuk kementerian, sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama bagi meningkatkan semula minat pelajar mengikuti aliran Sains seterusnya mengatasi isu lambakan guru Sains dan Matematik.

430,000 guru tidak setuju SBPA – Metro


430,000 guru tidak setuju SBPA

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 430,000 guru dari seluruh negara tidak bersetuju dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan meminta kerajaan menimbang semula kepentingan penjawat awam, terutama golongan pendidik, dalam mesyuarat anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) di Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Pengerusinya, Jemale Paiman berharap kerajaan menimbang seadil-adilnya rumusan mesyuarat yang diputuskan bersama 320 pemimpin kesatuan dengan memberi tempoh lapan hari.
Beliau berkata, selain Ceupacs sebagai panel tetap, wakil peguam dan JPA sebagai sekretariat, tiga wakil khas mewakili warga pendidik dilantik untuk berjumpa atau berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan SBPA, terutama bagi membela nasib golongan berkenaan.

 

“Kami mendapati ada klausa kurang jelas dalam pelaksanaan SBPA, misalnya tidak mengambil kira kenaikan gaji tahunan antara tujuh hingga 13 peratus untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi.
“Disebabkan golongan pendidik sektor penting dalam pembangunan negara, perkara itu harus dipertimbangkan sebaik-baiknya.

Perlu RM500,000 – Metro


Perlu RM500,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak, Annur Mohd Affendi, 9, yang menderita Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan Mitochondrial Disease sejak dalam kandungan, memerlukan bantuan RM500,000 untuk rawatan di Beijing, China.

Dalam usaha mengumpulkan dana membantu kanak-kanak itu, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Radio IKIM.fm dan Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan program ‘Bonanza Amal Hope2walk’ yang berlangsung di Muzium Negara, di sini, semalam.
Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pada program itu, jualan amal barangan terpakai akan dilaksanakan dengan hasilnya disalurkan ke dalam tabung dana perubatan buat Annur.

 

“Pelbagai barangan teseperti pakaian, barang perhiasan, buku akan dijual pada harga serendah RM2.
“Kami mengalukan sumbangan orang ramai bagi membantu Annur yang akan berangkat ke Beijing pada 14 Februari ini bagi program perubatan dan pemulihan di Hospital Erkang selama dua tahun,” katanya ketika ditemui media selepas majlis itu.
ibu Annur, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, 39, berkata, sebelum ini program itu diadakan untuk dua anaknya Annur dan Annisa, namun Annisa meninggal dunia pada 22 Disember tahun lalu akibat masalah sama.

 

 

“Selepas ke Beijing, kami akan ke United Kingdom (UK) bagi mengikuti kelas intensif di sana sehingga Annur boleh bergerak dan sihat.
“Kelas diadakan enam hari seminggu selama lapan jam tanpa henti. Diharap usaha membantu Annur menjalani kehidupan seperti insan lain,” katanya.

 

Turut hadir, Pengarah Radio IKIM.fm, Nik Roskiman Abdul Samad.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan layari laman web IAM http://www.iam.org.my atau akaun Maybank nombor 564070002424, CIMB No: 12470000477108, atau hubungi 03-89485939.

Tahfiz buta al-Quran – Metro


Tahfiz buta al-Quran

Oleh HADZLAN HASSAN, NORIAH IDRIS, ANIZA ZAINUDIN, NURUL HUSNA MAHMUD dan SHAHRUL REDZUAN ZULKIFLI
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MINTA... pelajar tahfiz  mengutip derma di R&R  Seremban.
MINTA… pelajar tahfiz mengutip derma di R&R Seremban.

PORT DICKSON: Mereka mengaku murid dan pelajar tahfiz ketika mengutip derma atau melakukan jualan amal kononnya untuk membiayai pelajaran. Namun apabila didesak, mereka tidak fasih membaca al-Quran, malah lebih mengejutkan ada yang tidak boleh membaca kitab suci itu walaupun berusia 14 tahun.

Itulah senario mengejutkan yang berlaku terhadap kanak-kanak dan remaja terbabit yang sebahagian besarnya anak ahli kumpulan bekas pertubuhan al-Mansur.
Pertubuhan itu ada kaitan dengan ajaran Azhar Wahab yang diwartakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2003 dan lapan lagi majlis fatwa negeri.

 

Seakan-akan kem tentera, kumpulan kanak-kanak terbabit direkrut menjadi ‘skuad elit’ bagi mengutip derma dan menagih simpati orang ramai selain dibayar RM10 seorang, menyebabkan ramai antara mereka lebih gemar keluar ‘bekerja’ berbanding mengikuti kelas pengajian al-Quran.
Perkembangan mengejutkan itu didedahkan bekas pengikut yang juga guru agama kelas al-Quran pertubuhan berkenaan.
Dia pernah mengajar kumpulan kanak-kanak terbabit di bangunan rumah kedai yang disewa pertubuhan itu sejak beberapa tahun lalu.

 

 

Suhaimi (bukan nama sebenar) yang kini insaf dan menjadi imam sebuah masjid di daerah ini mendakwa, dia keluar dari kumpulan itu kerana tidak tahan sikap pemimpin serta pengikut pertubuhan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
“Saya mengajar kanak-kanak terbabit mengaji al-Quran dan seterusnya mahu menjadikan mereka tahfiz, namun kecewa kerana pertubuhan itu lebih mementingkan aktiviti jualan daripada kelas mengaji.

 

“Memang mereka mengikuti kelas al-Quran selepas solat Subuh, tapi selepas itu dihantar ‘berniaga’.
“Kira-kira jam 9 atau 10 pagi, mereka dihantar ke pusat beli-belah, stesen minyak atau hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum pulang antara jam 1 atau 2 pagi dalam keadaan letih.
“Kanak-kanak terbabit juga lebih gemar keluar menjual barangan ahli pertubuhan berbanding mengikuti kelas agama kerana mereka boleh berjalan ke sana-sini dan tidak terperap dalam kelas pengajian,” katanya.
Beliau mengulas susulan laporan Metro Ahad 29 Januari lalu yang melaporkan ratusan anak yatim dan pelajar pusat tahfiz dikerah memungut derma bagi membiayai kegiatan menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara, terutama sekitar Lembah Klang.
Ajaran Azhar Wahab diwartakan sesat oleh sembilan majlis fatwa negeri, termasuk Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1970.
Lebih mengejutkan, siasatan wartawan Metro Ahad mendapati murid dan pelajar pusat tahfiz di Kedah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu dibekalkan dua produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
Mereka turut dibekalkan cakera padat video (VCD) yang bukan saja tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah klip video dalam VCD terbabit jelas bertentangan dengan imej pelajar tahfiz.
Suhaimi berkata, kebanyakan kanak-kanak yang diperalatkan kumpulan terbabit adalah anak ahli kumpulan itu yang pernah diharamkan kerajaan, iaitu al-Mansur dan ketika dia mengajar dulu ada juga anak orang luar tapi jumlahnya terlalu kecil.
Lebih mengecewakan, katanya, ada remaja perempuan yang diperalatkan pertubuhan itu menjadi mangsa rogol ketika menjalankan aktiviti mengutip derma dan sepanjang pengetahuannya, dua kes rogol berlaku.
“Tiada laporan polis dibuat kerana mereka tidak suka orang luar campur tangan tapi sepanjang pengetahuan saya, dua kes rogol berlaku dengan satu daripadanya berlaku terhadap remaja lembam,” katanya.
Suhaimi berkata, kini kebanyakan anak orang luar dari pertubuhan itu keluar dari pusat pengajian berkenaan selepas mendapat tahu mereka diperalatkan dan yang tinggal hanya anak ahli yang taksub dengan pemimpin mereka.
“Saya kenal sangat mereka, kebanyakannya bekas ahli al-Arqam tetapi apa yang diamal dan dibawakan mereka kali ini lebih teruk daripada pertubuhan itu,” katanya.
Menurutnya, dia bertemu Azhar atau SM Amin tiga kali ketika lelaki berkenaan datang ke Lukut memberi ceramah kepada ahli supaya meneruskan taat setia dan menyokong perjuangan dan kepemimpinannya.
“Ketika memberi ceramah, dia akan bersalam, berpeluk dan bercium dengan semua orang, tidak kira lelaki atau perempuan, anak dara atau isteri orang, menyebabkan saya mula curiga dengan amalan dan perjuangan Islam yang didakwa diamalkannya.
“Pernah saya bertanya cerdik-pandai agama dalam pertubuhan itu tetapi dimarahi kerana mempertikaikan tindak-tanduk ‘tuanku’ mereka dan dimaklumkan semua orang tidak boleh berbuat demikian kecuali tuanku atau ayahanda mereka,” katanya.

Syor sumbangan PIBG dikecuali cukai – Berita Harian


Syor sumbangan PIBG dikecuali cukai
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
2012/02/05

MUHYIDDIN  membakar sate jualan Maznani Ahmad di Pasar Malam Taman Medan Baru, semalam. Beliau meluangkan masa melawat peniaga di tapak itu sempena program turun padang ‘Sepetang Bersama TPM’ anjuran UMNO dan Barisan Nasional Petaling Jaya.

MUHYIDDIN membakar sate jualan Maznani Ahmad di Pasar Malam Taman Medan Baru, semalam. Beliau meluangkan masa melawat peniaga di tapak itu sempena program turun padang ‘Sepetang Bersama TPM’ anjuran UMNO dan Barisan Nasional Petaling Jaya.

Muhyiddin rujuk kepada PM galak sektor swasta hulur dana

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan mengenai cadangan memberi pengecualian cukai kepada penyumbang dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berpendapat langkah itu boleh menggalakkan lebih banyak sektor swasta dan masyarakat menyumbang kepada PIBG.

Beliau berkata, langkah itu membantu menambah baik kualiti pendidikan di sekolah, sekali gus mengurangkan beban kerajaan.

“Ketika ini, sumbangan itu tidak menerima pengecualian cukai,” katanya pada sidang media selepas bertemu warga pendidik, pesara guru dan pengerusi PIBG seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay.

Perkara itu dicadangkan seorang wakil PIBG pada sesi dialog selama 15 minit mengenai sistem pendidikan negara.
Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan peruntukan kementerian RM9.2 juta kepada tabung PIBG semua sekolah dan sekolah agama rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin meminta PIBG lebih komited membantu meningkatkan prestasi persekolahan di negeri berkenaan.

Muhyiddin memberi contoh, ketika lawatannya ke sebuah sekolah di Australia sebelum ini, beliau kagum apabila melihat ibu bapa pelajar melakukan kerja sukarela termasuk menjadi pembantu jurulatih kepada aktiviti sukan di sekolah berkenaan.

“PIBG berperanan dalam memberi komitmen yang lebih bagi memastikan prestasi sekolah terus meningkat dari tahun ke tahun. Ia terbukti apabila prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Selangor meningkat pada 2011 berbanding 2010.

“Saya percaya, kejayaan ini sedikit sebanyak adalah hasil usaha PIBG di negeri ini yang begitu komited,” katanya.

Ditanya tindakan kerajaan negeri mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) di Kampung Pandan, katanya, beliau kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab itu hanya atas alasan mahu mencairkan aset dan mengaut keuntungan.

“Kenapa institusi yang sudah dibangunkan berpuluh tahun diruntuhkan? Tak dengar pula nak diganti di mana.

“Dia (kerajaan negeri) kata nak diagihkan pelajar masuk ke sekolah lain di bawah Kementerian Pelajaran tapi saya sebagai Menteri Pelajaran tak tahu pun. Maknanya, dia nak lepas tangan. Kalau roboh bina baru tak apa tapi tak ada pun dengar begitu.

“Bagi saya ia satu perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan menyayat hati ramai rakyat Selangor,” katanya.