Syor PIBG dibawa ke PM – Utusan


Syor PIBG dibawa ke PM

 

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my

 

Muhyiddin Yassin membakar sate dan beramah mesra bersama pemilik gerai sate, Maznani Ahmad (empat dari kiri) pada Program Mesra Bersama Rakyat di Tapak Pasar Malam Taman Medan, Petaling Jaya, semalam.

 

SHAH ALAM 4 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa cadangan salah seorang wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini iaitu supaya kerajaan memberi pengecualian cukai kepada syarikat korporat atau individu yang menyumbang dana kepada persatuan tersebut di sekolah-sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, secara peribadinya beliau bersetuju agar cadangan itu dapat dilaksanakan kerana dengan cara ini sedikit-sebanyak dapat menggalakkan syarikat korporat turut sama menyumbang dana kepada tabung PIBG untuk dimanfaatkan pihak sekolah.

Beliau berkata, cadangan tersebut akan dikemukakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Saya bersetuju agar mana-mana individu mahupun syarikat korporat yang menyumbang dana kepada tabung PIBG diberi pengecualian cukai oleh kerajaan kerana ia mampu memberi penjimatan dari segi perbelanjaan kepada pihak kerajaan.

“Bagaimanapun, ia hanyalah cadangan saya tetapi ia semuanya terpulang kepada Perdana Menteri yang merupakan Menteri Kewangan untuk mempertimbangkannya kerana saya tidak ada kuasa untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program TPM Bertemu Warga Pendidik, PIBG dan Pengelola Sekolah Seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Cadangan itu timbul apabila salah seorang daripada wakil PIBG yang mencadangkannya kepada Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pelajaran dalam satu sesi dialog mengenai sistem pendidikan negara.

Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan berjumlah RM9.2 juta kepada tabung PIBG di seluruh sekolah dan sekolah agama rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menyeru supaya PIBG lebih komited dalam membantu meningkatkan prestasi persekolahan di negeri ini.

Muhyiddin memberi contoh, ketika lawatannya ke sebuah sekolah di Australia sebelum ini, beliau kagum apabila melihat ibu bapa pelajar melakukan kerja-kerja secara sukarela termasuk ada yang menjadi pembantu jurulatih kepada aktiviti sukan di sekolah tersebut.

“PIBG berperanan dalam memberi komitmen yang lebih bagi memastikan prestasi sekolah terus meningkat dari tahun ke tahun dan ini telah terbukti apabila prestasi peperiksaan di negeri Selangor meningkat pada 2011 berbanding 2010. Saya percaya ia sedikit-sebanyak adalah hasil usaha PIBG di negeri ini yang begitu komited,” jelasnya.

TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh – Utusan


TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh

SHAH ALAM 4 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan negeri itu yang mengambil tindakan hanya untuk mencari keuntungan.

“Kenapa institusi yang sudah dibangunkan berpuluh tahun mahu diruntuhkan hanya kerana kalau dapat dibangunkan, dapat mencairkan aset dan mendapat untung. Tak dengar pula nak diganti di mana?

“Kerajaan negeri kata nak agih dan pindahkan pelajar masuk ke sekolah lain di bawah Kementerian Pelajaran tapi saya sebagai Menteri Pelajaran tak tahu pun. Maknanya, dia nak lepas tangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program TPM Bertemu Warga Pendidik, PIBG dan Pengelola Sekolah Seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay.

Persatuan guru mahu kemuka cadangan tambah baik SBPA – Bernama


Persatuan guru mahu kemuka cadangan tambah baik SBPA

4 Februari 2012

KUALA LUMPUR – Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) akan mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada kerajaan untuk
proses semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Sehubungan itu pengerusinya Jemale Paiman berkata pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merangka dan meneliti skim itu khususnya kepada penjawat awam dalam bidang pendidikan.

“Kita memberi jaminan kepada kerajaan untuk kita menyiapkan satu cadangan skala gaji baru kepada penjawat awam dalam bidang pendidikan iaitu
dalam tempoh lapan hari bermula hari ini.

“Antara aspek yang diberi tumpuan adalah isu kenaikan gaji, kenaikan gaji tahunan RM80 hingga RM320 dan merapatkan jurang gaji penjawat awam gred tinggi dengan rendah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan majlis taklimat dan mesyuarat SBPA di sini hari ini.

Menurut beliau, skim SBPA adalah tidak jelas dan kurang menepati keperluan dan kehendak penjawat awam yang berkhidmat dalam bidang pendidikan
yang merupakan sektor penting dalam pembangunan negara.

Jemale berkata pihaknya juga akan mengadakan satu perjumpaan segera bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangkakan pada penghujung bulan ini.

“Pada perjumpaan itu juga, cadangan-cadangan penambahbaikan akan di serahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap agar Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dapat melantik wakil guru dalam Pasukan Petugas Khas Semakan Semula SBPA.

“Kita berharap golongan pendidik dapat bersama-sama dalam pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam untuk mereka mengetahui cadangan dan pendapat dari golongan ini,” katanya.

Beliau berkata MPKPG mencadangkan tiga wakil dalam pasukan itu iaitu Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamaed Sabri Mohd Arsad, Presiden Kesatuan Guru Sarawak dan Sabah, William Ghani Bina serta beliau mewakili MPKPG.- Bernama

Rayuan Program Pensiswazahan Guru (PPG) 2012


Rayuan Program Pensiswazahan Guru (PPG) 2012

Sukacita dimaklumkan bahawa calon-calon Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang telah ditawarkan kemasukan pada Februari 2012 boleh membuat rayuan pertukaran bidang dan institusi latihan secara dalam talian melalui url http://apps.moe.gov.my/abpg/rayu_ppg2012/ mulai 4 – 7 Feb 2012.