JERTIH: Yayasan Taqwa yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan bantuan pakaian sekolah dan kewangan bernilai RM47,520 kepada golongan memerlukan di sekitar daerah Besut, semalam.
Kesungguhan yayasan itu terhadap masalah kemiskinan membolehkan 216 pelajar mendapat manfaat.
Sumbangan disampaikan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut di Sekolah Menengah Agama (SMA) Ittifakiah Jertih.
Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Takwa, Ahmad Ayob Ibrahim; Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Yayasan Takwa, Datin Seri Rajmin Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, M Fakri Abdullah dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Timur, Mahadi Awang.
Sekolah itu turut menerima sumbangan kewangan RM3,000 untuk menjalankan aktiviti sekolah dan pelajar.
Sementara itu, Ahmad Ayob ketika ditemui berkata, tahun ini yayasan berkenaan menyediakan RM1.5 juta untuk diagih kepada golongan miskin di seluruh negara termasuk pelajar.
Menurutnya, program turun padang menjejak pelajar miskin oleh yayasan itu bertujuan membantu dan memberi dorongan kepada pelajar yang menghadapi masalah kemiskinan supaya mereka dapat meneruskan pembelajaran.
“Sumbangan dikeluarkan yayasan ini daripada sumber wang zakat Baitulmal MAIWP untuk membantu umat Islam yang miskin dan memerlukan di seluruh negara,” katanya.