Denda sekolah kotor untuk jaga kesihatan pelajar – Kosmo


Denda sekolah kotor untuk jaga kesihatan pelajar

 

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR dan NASRUL FAIZ ABU AZAL
berita@kosmo.com.my

 

DUA orang pelajar mengutip plastik dan botol minuman yang tidak dikutip di hadapan sebuah sekolah di Selayang kelmarin.

 

KUALA LUMPUR – Sekolah yang gagal menyediakan persekitaran bersih serta menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan dalam kalangan pelajar wajar dikenakan tindakan denda.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, tindakan itu harus dilaksanakan demi kepentingan pelajar.

“Kegagalan pihak sekolah menyediakan kawasan pembelajaran yang bersih dan selesa menunjukkan pihak pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan alpa dengan aspek tersebut.

“Ia juga bagaikan mendidik generasi akan datang bahawa isu kebersihan adalah tidak penting dan boleh diabaikan padahal ia merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan,” katanya ketika dihubungiKosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman baru-baru ini bahawa sebanyak 20 peratus kes denggi di negara ini membabitkan pelajar sekolah.

Berdasarkan kes tahun lalu, sebanyak 4,222 daripada 19,884 kes denggi membabitkan golongan pelajar.

Dalam pada itu, Mohd. Ali turut mencadangkan agar setiap pelajar bermasalah dihukum dengan didikan menerusi kerja-kerja khidmat sosial seperti membersihkan kawasan sekolah masing-masing.

Jelasnya, hukuman yang boleh dikatakan sebagai ‘serampang dua mata’ itu bukan sahaja boleh mendidik mereka mengenai pentingnya menjaga kebersihan sekolah malah pada masa sama memastikan sekolah berkenaan sentiasa bersih.

“Selain daripada aktif menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang isu kebersihan, pihak sekolah juga perlu menjalankan gotong-royong sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Jika tidak, kes-kes sebegitu tidak akan berkurangan dan turut akan memberi persepsi yang negatif kepada pihak luar tentang kealpaan institusi pelajaran,” ujar beliau.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang semalam mendapati ada antaranya dicemari sampah sarap yang boleh membiakkan nyamuk aedes.

Di sebuah sekolah kebangsaan di Selayang, kawasan hadapan sekolah terbabit dipenuhi dengan plastik dan botol manakala kawasan pondok menunggu bas di hadapan sebuah sekolah menengah pula seakan-akan menjadi tempat membuang sampah haram.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s