Pengusaha kantin masih jual 15 jenis ‘makanan tak sihat’ – Berita Harian


Pengusaha kantin masih jual 15 jenis ‘makanan tak sihat’
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/02/08

Abai garis panduan tangani masalah obesiti murid sekolah

KEMENTERIAN Pelajaran perlu melaksanakan segera larangan penjualan 15 makanan diproses di kantin sekolah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sejak sembilan bulan lalu dan sepatutnya berkuatkuasa Jun lepas. Ini kerana kegagalan mengeluarkan arahan atau surat pekeliling kepada pengusaha atau operator kantin sekolah menyebabkan makanan dan minuman tidak berkhasiat itu masih dijual secara berleluasa.

Tinjauan Berita Harian di sekolah di Subang Jaya dan Petaling Jaya mendapati juadah itu termasuk ais krim dan minuman bergas yang tersenarai sebagai makanan dilarang mengikut Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata antara kekangan pelaksanaannya adalah ketiadaan kerjasama daripada pihak pengusaha kantin atau operator kantin sekolah, pihak sekolah serta ibu bapa.

“Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan hanya boleh dilaksanakan menerusi kerjasama pihak sekolah, operator kantin, pelajar dan ibu bapa.
“Tindakan terhadap pengusaha kantin sekolah tidak boleh dilaksanakan kerana ia bukan dasar sebaliknya hanya garis panduan,” katanya kepada Berita Harian selepas melancarkan Pertandingan Antiaedes Renjer Ridsect peringkat Sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada pengumuman April tahun lalu, Kementerian Pelajaran sepatutnya mengeluarkan pekeliling kepada pihak sekolah untuk melarang penjualan makanan larangan berkenaan, bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Cadangan larangan 15 jenis makanan yang dilarang penjualannya di sekolah terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April tahun lalu.

Berita Harian sebelum ini menyiarkan makanan diproses seperti burger, sosej dan nuget serta teh dan kopi ialah antara 15 jenis makanan `tidak sihat’ yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai Jun tahun lalu.

Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan makanan ringan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru.

Garis panduan itu dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes dalam kalangan pelajar.

Penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat, terutama kanak-kanak, selain dijadikan langkah pencegahan peringkat awal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s