29 pelajar sekolah di Pendang keracunan makanan – Bernama


29 pelajar sekolah di Pendang keracunan makanan

2012/02/09

PENDANG: Seramai 29 orang murid dari sebuah sekolah kebangsaan di Sungai Tiang, Kedah mengalami keracunan makanan setelah makan nasi lemak disediakan kantin sekolah terbabit di bawah Rancangan Makanan Tambahan pagi tadi.

Mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Tiang bagi mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Seorang murid, Muhamad Faiz Hafiz Mohd Noor, 12, berkata dia terpaksa berulang-alik ke tandas sebanyak lapan kali kerana mengalami sakit perut dan cirit-birit berlarutan selepas makan nasi lemak itu.

“Saya juga muntah lima kali serta pening kepala sehingga saya tidak tahan dan memaklumkannya kepada cikgu supaya dibawa ke klinik,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Faiz Hafiz berkata, dia terasa kuah sambal dalam nasi lemak itu masam dan pedas namun tidak mengesyaki sebarang perkara tidak baik.

Seorang lagi murid Muhamad Izzat Zakri, 11, pula berkata, dia turut mengalami cirit-birit dan muntah serta badannya berasa panas selepas makan nasi lemak berkenaan.

Muhamad Izzat berkata, hari ini pertama kali pihak kantin sekolah itu menyediakan nasi lemak dan sebelum ini tidak ada sebarang masalah yang timbul daripada menu yang disediakan.
Jurucakap Klinik Kesihatan Sungai Tiang ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai kejadian itu dan berkata berdasarkan pemeriksaan kesihatan, keadaan kesihatan murid-murid itu stabil.

“Tahap keracunan makanan yang dialami murid-murid ini tidak serius sehingga perlu dibawa ke hospital,” katanya.

Pengurusan sekolah berkenaan enggan mengulas ketika dihubungi. – BERNAMA

PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) – SEKTOR MENENGAH


PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) – SEKTOR MENENGAH

Sukacita dimaklumkan bahawa maklumat PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) – SEKTOR MENENGAH  yang telah lulus temu duga boleh disemak di laman web KPM  bermula 10 Februari 2012. Tuan/puan yang membuat semakan diminta untuk menghubungi Jabatan/Bahagiansebagaimana yang tertera di ruang MAKLUMAN untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penempatan tuan/puan.

Untuk semakan penempatan sila lawat di sini. http://apps.moe.gov.my/gsst/GBFEB2012/index.cfm

Harap Maklum

Aplikasi online e-Pendaftaran Murid Berkeperluan Khas ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bagi Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas Tahun 2012


Aplikasi online e-Pendaftaran Murid Berkeperluan Khas ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bagi Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas Tahun 2012

Sukacita dimaklumkan bahawa Aplikasi online e-Pendaftaran Murid Berkeperluan Khas ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bagi Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas Tahun 2012 akan dibuka mulai  13 Febuari 2012  hingga 02 Mac 2012.
Harap Maklum

Setahun jadi mangsa rogol kekasih ibu – Utusan


Setahun jadi mangsa rogol kekasih ibu

BALIK PULAU 8 Feb. – Perbuatan terkutuk seorang lelaki terhadap seorang remaja bawah umur sejak setahun lalu terbongkar selepas gadis itu membuat laporan polis kelmarin.

Remaja perempuan berusia 14 tahun itu dirogol teman lelaki ibunya sejak setahun lalu.

Perbuatan itu dilakukan oleh lelaki berusia 46 tahun berkenaan setiap kali ibu remaja itu keluar bekerja.

Pelajar tersebut yang menuntut di tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini hanya mampu mendiamkan diri setiap kali selepas dirogol kerana diugut akan dipukul jika memberitahu ibunya atau membuat laporan polis.

Namun, rahsia tindakan keji lelaki itu terbongkar apabila mangsa bertindak nekad melarikan diri ke rumah rakannya di Seberang Perai.

Mangsa kemudian tampil bersama rakannya membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md. Zain ketika dihubungi Utusan Malaysiahari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

CUEPACS bentang hasil kajian 22 Feb. – Utusan


CUEPACS bentang hasil kajian 22 Feb.

PUTRAJAYA 8 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membentangkan hasil kajian penambahbaikan bagi Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada mesyuarat kali ketiga bersama pasukan khas semakan semula skim tersebut 22 Februari ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, bagi memastikan tiada masalah berbangkit, Jawatankuasa Bertindak CUEPACS akan bermesyuarat selewat-lewatnya 15 Februari ini supaya hasil kajian yang dibentangkan kelak menepati tuntutan yang dibuat.

Katanya, kertas kerja tersebut dibuat berdasarkan laporan yang diterima hasil jelajah CUEPACS untuk mendengar setiap permasalahan berkaitan SBPA di seluruh negara dan lima perkara yang dituntut sebelum ini.

“Bagaimanapun kita masih membuka ruang untuk mana-mana agensi yang mahu menyatakan pandangan dan pendapat memandangkan tarikh akhir untuk membuat aduan adalah 15 Februari.

“CUEPACS yakin mampu menyediakan kertas kerja yang komprehensif ke arah penambahbaikan skim SBPA demi memastikan setiap nasib penjawat awam di negara ini terus terbela,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri menyuarat kedua pasukan khas semakan skim SBPA di sini, hari ini.

Mengulas mesyuarat kedua hari ini, Omar berkata, perbincangan berkisar kepada lima perkara yang dituntut CUEPACS sebelum ini.

Lima perkara itu adalah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji kakitangan Gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan kakitangan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan kakitangan yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Rahsia guru edar dadah terbongkar – Metro


Rahsia guru edar dadah terbongkar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TEMERLOH: Kegiatan licik seorang guru berusia 32 tahun berstatus duda menjadi pengedar dadah kecil-kecilan di Tualang Hilir, Kerdau, di sini, terbongkar apabila dia ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan pihak berkuasa pada jam 5 petang, kelmarin.

Difahamkan, ketika serbuan, guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah itu nekad merempuh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang mengepungnya.
Bagaimanapun, lelaki terbabit gagal memboloskan diri terjatuh dari motosikal ditunggangi sebelum bertindak agresif dan bergelut dengan sepasukan anggota polis dalam usaha memboloskan diri.

 

Pada masa sama, polis merampas beg pinggang dipakai guru terbabit dan mendapati ia mengandungi satu tiub straw berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.20 gram.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor, berkata selain itu, polis turut menemui lapan keratan kertas aluminium yang mengandungi beberapa ketulan pil jenis E5.
Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM463 dipercayai hasil kegiatan penjualan dadah dan alat timbang digital yang digunakan untuk menyukat syabu mengikut tempahan pelanggan.

 

 

Katanya, siasatan mendapati, guru terbabit sudah 13 tahun mengajar dipercayai terbabit dalam kegiatan haram berkenaan empat tahun lalu.