Sekolah lama bertukar fungsi – Sinar Harian


Sekolah lama bertukar fungsi

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Sekolah lama bertukar fungsi

LUI MUDA – Bangunan lama Sekolah Agama Rakyat (SAR) di sini yang tidak digunakan sejak kira-kira empat tahun lalu akan dijadikan sebagai Rumah Komuniti kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sekolah terbabit tidak beroperasi akibat bilangan pelajar semakin berkurangan dan terpaksa ditutup.

Biar pun begitu, kawasan bangunan sekolah berkenaan masih berkeadaan baik tanpa semak atau lalang selepas dijaga dengan baik oleh penduduk setempat.

Pengurus Felda Lui Muda, Jamaluddin Nordin berkata, kelulusan menjadikan ia sebagai Rumah Komuniti diberikan pihak Pengurusan Felda Wilayah Raja Alias dengan sokongan Felda Lui Muda.

“Kerja pembersihan dan gotong-royong akan dijalankan dalam terdekat. Kita sarankan pihak AADK membuat satu permohonan sekiranya ingin baik pulih bangunan terbabit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menghadapi masalah dengan cadangan AADK itu, malah menyokong usaha murni berkenaan.

“Kita tidak menolak kerana ia untuk kebaikan bersama. Pendekatan yang diambil pihak terbabit amat baik dan kita yakin ianya mampu beri kesan yang positif terhadap penduduk sekitar Dun Lui,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, ahli jawatankuasa Rumah Komuniti terbabit akan mengadakan mesyuarat bagi mengatur pelbagai program di situ tidak lama lagi.

Sementara itu, penduduk setempat, Mokhtar Abd Rahman, 56, berkata, langkah mengaktifkan semula bangu­nan berkenaan dapat menghindarkan pembaziran.

“Kalau dekat tempat lain, kita sering dengar rumah atau bangunan tinggal mesti ada aktiviti tidak sihat.

“Mujurlah di sini tidak seperti itu. Sekurang-kurangnya anak muda dapat sertai aktiviti berfaedah,” katanya.

Tambahan Nama Temu Duga Pelantikan ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG1-1


Tambahan Nama Temu Duga Pelantikan ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG1-1

Tambahan nama Temu Duga Pelantikan ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG1-1 di kalangan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Opsyen Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada 15 dan 17 Februari 2012 di Putrajaya dan Sarawak. Sila semak senarai nama di sini.
Muat naik pada 9 Februari 2012

Tawaran Cuti Belajar Separuh Gaji Tanpa Biasiswa (CBSG TB) Bagi Program Saluran Kedua / UPU Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP)


Tawaran Cuti Belajar Separuh Gaji Tanpa Biasiswa (CBSG TB) Bagi Program Saluran Kedua / UPU Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP)

Tarikh Tutup 31 Disember 2012
Kategori Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG 2-1, DG 2-2, DG 2-3 dan DG 2-5
Tempat Pengajian Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Pegawai perlu memohon sendiri tempat pengajian di IPTA.
Tahun Pengajian  Sesi Kemasukan dan Pengajian Tahun 2012 sahaja
Maklumat Tawaran
  • Surat Edaran Permohonan CBSG TB bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah Program Saluran Kedua / UPU Ambilan Tahun 2010.
  • Tatacara permohonan CBSG TB  Program Saluran Kedua / UPU bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Lampiran A
  • Syarat-syarat Permohonan CBSG TB Program Saluran Kedua / UPU bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Lampiran B
  • Unjuran Bidang Pengajian Program Saluran Kedua / UPU CBSG TB bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Lampiran C
  • Prinsip-prinsip Pemberian CBSG TB Program Saluran Kedua / UPU bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Lampiran D
  • Urusan Perkhidmatan Semasa CBSG TB Program Saluran Kedua / UPU bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Lampiran E
Penajaan Pembiayaan  Sendiri
Dokumen Permohonan Borang Yang Perlu Diisi:

 

  1. Borang Permohonan Cuti Belajar Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan – KPM(BT)LD 1/2011
  2. Borang  Perakuan Daripada Ketua Jabatan Bagi Permohonan Cuti Belajar Pegawai Perkhidmatan Pendidikan – KPM(BT)LD 2/2011
  3. Borang Perakuan Kedudukan Kewangan Pegawai Sebelum Cuti Belajar Pegawai Perkhidmatan Pendidikan – KPM(BT)LD 3/2011
  4. Borang Maklumat Pinjaman Pendidikan / Tabung Pendidikan –KPM(BT)LD 4/2011
  5. Borang Maklumat Politik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan –KPM(BT)LD 5/2011

 

Dokumen yang perlu disertakan:

 

  1. Salinan Kad Pengenalan yang disahkan;
  2. Salinan Buku Perkhidmatan Kerajaan yang dikemaskini;
  3. Salinan Sijil-sijil Akademik dan Transkrip yang disahkan;
  4. Salinan Surat Pengesahan Pelantikan yang disahkan;
  5. Salinan Surat Pengesahan Perkhidmatan yang disahkan;
  6. Salinan Surat Pengistiharan Harta yang disahkan; dan
  7. Salinan Slip Gaji Terkini yang disahkan.

 

Calon perlu mengemukakan Borang permohonan yang lengkap diisi beserta dokumen ke alamat berikut:

 

SETIAUSAHA BAHAGIAN

BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

ARAS 1, BLOK 2251, JALAN USAHAWAN 1

63000 CYBERJAYA
SELANGOR DARUL EHSAN
(u.p. : Encik Irlyrizzal Shah bin Yahya
)

Pegawai Bertanggungjawab Irlyrizzal Shah bin Yahya / Noorul Azira binti Ab Razak

E-mel : irlyrizzal.yahya@moe.gov.my   azira.ab@moe.gov.my
Tel     : 03 – 8321 7146 / 03 – 8321 7139
Faks   : 03 – 8321 7103

Saintis cilik BASF – Kosmo


Saintis cilik BASF

 

Oleh BASIR ABU BAKAR

 

KANAK-KANAK berpeluang mencuba eksperimen sains sambil dibimbing sukarelawan BASF.

 

PERNAHKAH anda terfikir bagaimana sisa kotoran diasingkan daripada air kumbahan, memisahkan warna berbeza dalam dakwat atau membuat losen badan sendiri?

Adakah anda mengenali bahan perantara yang boleh menyerap cecair 1,000 kali beratnya sendiri?

Bagi menjawab persoalan tersebut, kira-kira 1,500 kanak-kanak berumur antara enam hingga 12 tahun telah belajar mengenai kaitan bahan kimia dengan kehidupan seharian dunia di sekeliling manusia menerusi program BASF Kids’ Lab, di pusat beli-belah 1Utama baru-baru ini.

BASF merupakan syarikat peneraju bahan kimia terbesar dunia yang berpangkalan di Jerman. Atas nama pendidikan, ia membawa dunia kimia lebih dekat kepada kanak-kanak sempena ulang tahun keenam BASF Kids’ Lab di Malaysia.

Melaluinya, kanak-kanak dididik mengenai kepentingan kimia dalam kehidupan seharian.

Acara yang diadakan di ruang Oval, pusat beli-belah 1Utama itu mempelawa kanak-kanak untuk melangkah ke dalam makmal sains interaktif. Di situ, mereka menjalankan empat eksperimen amali bersama 150 kakitangan sukarelawan BASF yang membimbing dan membantu mereka.

“Di BASF, kami mencipta kimia. Dengan keazaman tersebut, kami di BASF juga fokus pada pendidikan sains dan percaya kanak-kanak hari ini adalah pemikir, penginovasi dan pemimpin hari esok.

“Melalui program Kids’ Lab, kami berharap dapat memupuk minat dan tanggapan positif tentang kimia dalam kalangan generasi muda,” kata Daniel Loh, Pengarah Urusan BASF (Malaysia) Sdn. Bhd.

Empat eksperimen yang selamat dan menyeronokkan di BASF Kids’ Lab adalah di bawah pengawasan teliti kakitangan sukarelawan BASF serta sukarelawan dari Universiti Malaya.

PARA ‘saintis’ muda ini diberikan buku hipotesis dan laporan tentang uji kaji yang mereka jalankan.

 

Semarakkan minat

Eksperimen itu direka bertujuan untuk menyemarakkan minat kanak-kanak terhadap bahan kimia yang digunakan di sekeliling mereka.

“Kanak-kanak akan melihat sisi yang menarik mengenai bahan kimia melalui pendekatan teknik sentuh, rasa dan lihat semasa menjalankan eksperimen.

“Kami gembira menyaksikan lima tahun kebelakangan ini, kanak-kanak telah belajar dan meneroka lebih mendalam dalam tentang sains dan kimia melalui Kids’ Lab.

“BASF berharap dapat memberikan impak ketara dalam meningkatkan minat kanak-kanak dalam inovasi saintifik dan konsep perkembangan mampan untuk masa akan datang,” tambah Daniel.

Kids’ Lab telah menjadi acara tahunan BASF di Malaysia semenjak tahun 2006.

Syarikat itu juga menjadi penaja global untuk Tahun Kimia Antarabangsa 2011 dan menyokong inisiatif tersebut dengan mengembangkan fungsi dan pengisian BASF Kids’ Lab di Malaysia tahun ini.

Untuk kali pertama sejak dilancarkan, Kids’ Lab diadakan di kawasan pusat beli-belah keluarga untuk tempoh lima hari dan dibuka kepada orang awam untuk memberi kanak-kanak dan ibu bapa peluang mempelajari kimia dengan lebih mendalam lagi.

Program tersebut menawarkan kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun peluang untuk menerokai dunia kimia melalui eksperimen kimia yang bersifat akademik, mudah dan selamat.

BASF Kids’ Lab telah diperkenalkan di rantau Asia Pasifik pada tahun 2002. Sejak itu, lebih 200,000 kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Kini, program itu turut dijalankan di 17 buah negara dan rantau di Asia Pasifik termasuk Australia, China, Hong Kong, Taiwan, India, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Pakistan, Filipina, Singapura dan Thailand.

Pelajar menengah sanggup ponteng kerana rokok – Metro


Pelajar menengah sanggup ponteng kerana rokok

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Pelajar menengah sanggup ponteng kerana rokok

KOTA BHARU- Hanya kerana ingin mendapatkan bekalan rokok, seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini sanggup ponteng sekolah bagi melunaskan hajatnya itu di samping mengambil upah menggali telaga untuk tujuan terbabit.

Pelajar berkenaan ketagih rokok dan kini menghisap lima batang rokok hampir setiap hari untuk melepaskan ketagihannya.

Dia yang enggan mendedahkan identitinya itu berkata, dia mula kenal dengan rokok selepas diperkenalkan rakan-rakannya yang juga hanya mencuba untuk suka-suka.

“Saya berasal dari keluarga yang susah dan dibesarkan dalam keluarga yang ramai. Pergi sekolah pun hanya cukup makan, namun kerana ketagihan kepada rokok saya sanggup bekerja bagi mendapatkan bekalannya,” katanya ketika ditemui dalam operasi ponteng bersepadu Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun sedar dengan kemiskinan keluarganya, namun dia terpaksa bekerja bagi mendapatkan bekalan rokok terbabit.

“Saya juga ponteng sekolah kerana mengikut rakan dan hanya ingin berseronok dan melupakan kesusahan.

“Apa pun saya masih berharap dapat berubah dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan dan membantu keluarga kerana saya tidak mahu lagi hidup dibelenggu kemiskinan,” katanya.

Opsyen JPP: CUEPACS mahu kerajaan campur tangan – Bernama


Opsyen JPP: CUEPACS mahu kerajaan campur tangan

10/02/2012 3:12am

 

KUALA LUMPUR 10 Feb — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan campur tangan dalam tawaran opsyen yang lebih fleksibel kepada 139 penjawat awam Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) jika cadangan penswastaan jabatan itu dilaksanakan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengadakan sesi taklimat untuk mereka kira-kira tiga bulan lepas mengenai cadangan penswastaan jabatan itu.

JPP ialah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

“CUEPACS tidak membantah cadangan penswastaan JPP tetapi kerajaan perlu campur tangan dalam isu ini dan mengembalikan opsyen kepada penjawat awam yang telah digugurkan sejak 2002, iaitu kakitangan diberi opsyen untuk kekal dengan jawatan dan gaji sedia ada selepas berlakunya penswastaan.

“Apa yang berlaku sekarang ialah JPA hanya menawarkan dua opsyen kepada penjawat awam berkenaan iaitu bersetuju untuk terus berkerja selepas penswastaan dan opsyen kedua ialah memilih untuk bersara awal,” katanya.

Omar berkata, demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pekerja terbabit untuk membincangkan isu cadangan penamatan perkhidmatan dan penswastaan JPP di pejabat JPP di Seri Kembangan di sini, semalam.

Beliau berkata, jika tidak dilaksanakan, seramai 139 penjawat awam yang terdiri daripada jurutera dan juruteknik itu akan kehilangan faedah skim kesihatan dan skim pencen selepas memilih bersara awal.

Selain itu, katanya JPA juga boleh menyerap mereka di kementerian lain seperti KeTHHA dan Kementerian Kerja Raya.

Beliau berpendapat opsyen yang diberi pada sesi taklimat JPA kepada JPP itu seumpama mengugut penjawat awam berkenaan untuk membuat pilihan yang sudah pasti tidak memberi faedah kepada kakitangan JPP dari sudut kewangan kelak.

Juesteru itu, Omar berkata beliau akan berjumpa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada masa yang terdekat ini untuk menyelesaikan isu itu. — BERNAMA

Minta kerajaan kembali opsyen ketiga – Metro


Minta kerajaan kembali opsyen ketiga

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengembalikan opsyen ketiga sekiranya ingin menswastakan atau mengkorporatkan jabatan tertentu bagi menjamin kedudukan penjawat awam yang terbabit.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ia merangkumi pilihan untuk terus berada di dalam jabatan kerajaan serta pada masa sama bersedia untuk ditukarkan ke agensi lain mengikut kesesuaian tugas dan keperluan jawatan.
Katanya, ketika ini, opsyen ditawarkan kepada kakitangan jabatan yang diswastakan ialah menerima skim terbabit atau bersara awal seperti di dalam Seksyen 12 Akta Pencen 1980 namun ia dilihat tidak adil kepada penjawat awam yang sudah pun membuat perancangan hidup mereka sejak sekian lama.

 

“Kita tidak menentang usaha kerajaan, tapi biarlah adil kepada penjawat awam ini kerana mereka sudah berkhidmat sebagai kakitangan awam sejak dulu lagi. Bila diswastakan, ia mengakibatkan berlaku perubahan besar dalam hidup mereka dengan segala kemudahan sedia ada akan terjejas.
“Apa yang Cuepacs mahukan ialah kerajaan mengembalikan semula opsyen ketiga yang digugurkan pada 2002. Selepas itu, jika nak swastakan atau korporatkan tidak jadi masalah. Cadangan kita ialah jabatan terbabit dikorporatkan terlebih dulu kerana pekerja ini akan tetap menerima faedah sebagai kakitangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan teknikal Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di sini, semalam.

 

 

Pada pertemuan itu, Omar mendengar sendiri luahan 139 penjawat awam jabatan itu yang berdepan kemungkinan ditawarkan ke sektor swasta apabila JPP diswastakan sedikit masa lagi.
Beliau turut meminta jasa baik, Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan masalah pekerja terbabit seperti tidak mempunyai pencen.

Anak selam tak timbul – Metro


Anak selam tak timbul

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETRA JAYA: “Adik… bangun…adik…bangunlah,” rintih seorang ibu selepas mendakwa terbayang anak bongsunya yang hilang dan dikhuatiri lemas ketika menangkap ketam di Sungai Midin, berdekatan Kampung Semerah Padi, di sini, petang kelmarin.

Lebih menyedihkan apabila Rabinah Junaidi, 53, dikatakan pengsan sebaik menerima khabar buruk menimpa Mohd Idris Roni yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi, kira-kira jam 6.40 petang.
Menurut Rabinah, sebelum kejadian, anak bongsunya baru saja pulang dari sekolah dan tidak sempat menjamah makan petang yang disediakan, sebaliknya terus menanggalkan seragam sekolah untuk melihat bubu yang dipasang di sungai berkenaan.

 

“Sebaik sampai di rumah, dia terus menukar pakaian. Saya menyuruhnya makan terlebih dulu kerana semua makanan sudah disediakan, namun memberitahu mahu berjumpa rakan.
“Hanya beberapa minit kemudian, seorang penduduk memberitahu saya, Mohd Idris lemas ketika mahu menarik tali bubu yang tersangkut pada akar pokok bakau,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, semalam.
Sebelum kejadian, Mohd Idris bersama seorang lagi rakannya, Mohd Uzaed Safari, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi, ke sungai itu untuk melihat bubu ketam yang dipasang mereka, pada pagi hari kejadian.

 

 

Bagaimanapun, Mohd Idris dikatakan hilang selepas menyelam untuk melepaskan tali bubunya yang tersangkut pada akar pokok bakau itu.
Sementara itu, Mohd Uzaed berkata, ketika kejadian dia berada pada jarak 10 meter dan air sungai pasang sehingga paras pinggang.

 

“Ketika itu, Mohd Idris berkata, tali bubunya tersangkut sebelum terus menyelam. Tetapi, selepas beberapa minit dia tidak timbul sebelum menjerit memanggil namanya, namun tidak dijawab,” katanya.
Katanya, dia bergegas pulang ke rumah memberitahu ibunya sebelum memaklumkan kejadian kepada ibu Mohd Idris.
“Kami berdua cukup rapat, malah sering menangkap ketam menggunakan bubu di sungai itu. Namun, persahabatan kami tidak berpanjangan dan lebih menyedihkan apabila kejadian itu berlaku di depan mata saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat, Balai Bomba Petra Jaya, Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.30 malam, sebelum mengerahkan 27 anggota ke lokasi itu.
“Operasi bermula setengah jam kemudian dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta penduduk kampung, sebelum dihentikan jam 12 tengah malam semalam (kelmarin),” katanya.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat disambung jam 7.30 pagi semalam, namun sehingga jam 5.30 petang, mangsa masih gagal dijumpai.

Pelajar tingkatan satu dikhuatiri dibaham buaya – Utusan


Pelajar tingkatan satu dikhuatiri dibaham buaya

KUCHING 9 Feb. – Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi dikhuatiri dibaham buaya selepas tiba-tiba dilihat tenggelam ketika leka mengumpul hasil tangkapan ketam bersama seorang rakannya di Sungai Midin di sini petang semalam.

Mohd. Idris Roni, 13, dari Tanjung Sungai Midin, Kampung Semerah Padi, di sini dilaporkan hilang ketika mengharungi air sungai itu untuk memeriksa bubu yang dipasang dalam kejadian pukul 6.30 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.30 petang dan empat anggota dikejarkan ke lokasi bagi meninjau keadaan di kawasan tersebut.

“Operasi mencari dan menyelamat terus digerakkan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta penduduk kampung dengan kekuatan keseluruhan seramai 39 orang.

“Kita melakukan operasi mencari meliputi kawasan Sungai Midin hingga ke Sungai Semariang Batu dan ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Operasi pencarian disambung semula pada pukul 7.30 pagi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari sekolah pada pukul 6.20 petang telah pergi ke sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya bersama seorang rakan, Mohd. Uzait Jeffry, 15, untuk memeriksa bubu ketam yang dipasang.

Bagaimanapun ketika mengharungi air sungai, Mohd. Idris yang berada di belakang Mohd. Uzait tiba-tiba tenggelam sebelum hilang menyebabkan rakannya cemas lalu memanjat pokok sementara menunggu mangsa timbul semula.

Mangsa namun tidak timbul-timbul dari dalam sungai terbabit menyebabkan Mohd. Uzait terus menunggu di atas pokok kerana khuatir mangsa disambar buaya memandangkan sungai terbabit sememangnya terkenal dengan reptilia berkenaan.

Dalam pada itu, ibu Mohd. Uzait yang bimbang selepas anaknya tidak pulang ke rumah keluar mencarinya dan menemui remaja tersebut di atas pokok sebelum memaklumkan kepada penduduk.

Kembalikan opsyen ketiga – CUEPACS – Utusan


Kembalikan opsyen ketiga – CUEPACS

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengembalikan opsyen ketiga iaitu pilihan bagi penjawat awam memasuki mana-mana jabatan lain yang berkaitan sekiranya jabatan mereka diswastakan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini kerana dua opsyen yang kini ditawarkan kepada penjawat awam terlibat iaitu memasuki jabatan yang telah diswastakan itu ataupun bersara awal mengikut Akta Pencen 1980 (Akta 227) dilihat tidak adil kepada golongan tersebut.

“Opsyen ketiga yang tidak digunakan lagi sejak 2002 sebenarnya penting kerana sejak kebelakangan ini apabila berlakunya penswastaan, banyak rintihan yang kami dengar daripada penjawat awam yang berasakan diri mereka diugut untuk memasuki syarikat swasta tersebut.

“Sekiranya berlaku penswastaan, mereka juga akan terputus hubungan dengan hal ehwal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tiada tempat mengadu. Kita tidak akan tahu nasib mereka di bawah penswastaan.

“Bagaimanapun, CUEPACS tidak menentang dasar penswastaan atau pengkorporatan jika ia memberi manfaat kepada semua pihak. Namun, sekiranya penjawat awam tiada opsyen tambahan dalam memilih laluan karier mereka, ia dapat menyebabkan pelbagai masalah terutama apabila mereka sakit atau kos sara hidup yang tinggi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama 139 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang akan mengalami penswastaan dalam masa yang terdekat.

Sehubungan itu, jelas Omar, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan supaya dipertimbangkan opsyen ketiga itu bagi digunakan semula.

Berhubung penswastaan JPP, pihaknya mencadangkan kerajaan tidak menswastakan jabatan itu sebaliknya mengkorporatkannya serta memberi mereka pilihan opsyen ketiga.

Beliau berkata, bantahan oleh 139 kakitangan JPP yang terdiri daripada kelompok teknikal termasuk jurutera dan juruteknik perlu didengari kerajaan dengan tidak meneruskan langkah penswastaan itu.

“Sekiranya JPP mahu diswastakan juga, ambil sahaja pekerja dalam kalangan 35,000 pekerja berstatus kontrak untuk ditawarkan ke swasta. Jangan sakitkan mereka yang telah lama berkhidmat,” ujarnya.