15,000 guru berijazah belum naik gred G41 – Berita Harian


15,000 guru berijazah belum naik gred G41
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2012/02/13

Terpaksa tanggung beban bayaran pinjaman pendidikan

SEREMBAN: Kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred G41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang sanggup membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan sendiri bagi menampung kos menyambung pelajaran sebelum ini.

Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan. – Lok Yim Pheng, Setiausaha Agung NUTP

Katanya, berikutan penangguhan itu, sebahagian guru terbabit kini menanggung masalah kewangan termasuk untuk membayar semula pinjaman pendidikan kerana gaji diterima masih di takuk lama.

“Mereka membuat perancangan rapi terutama membabitkan soal kewangan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran kerana kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai banyak komitmen.

“Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan.

“Namun, proses kenaikan gred itu kini digantung dan kami tidak tahu sampai bila,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Yim Pheng berkata, sebelum ini, proses kenaikan gred selepas seseorang calon melepasi temu duga biasanya mengambil masa kurang setahun untuk berkuat kuasa tetapi penangguhan itu turut menjejaskan tempoh perkhidmatan bagi kenaikan pangkat.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan proses berkenaan kerana jumlah guru yang tamat pengajian ijazah semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Yim Pheng meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras tiga dan empat yang layak menikmati anjakan gaji menikmatinya, walaupun tempoh sah penilaian itu tamat tahun ini berikutan pemansuhannya.

Beliau berkata, kebanyakan guru terbabit belum cukup syarat tempoh perkhidmatan dan hak mereka dinafikan kerana tempoh sah penilaian itu tamat sebelum mereka mencukupkan syarat berkenaan.

“Tidak adil bagi guru terbabit yang berusaha lulus PTK dan ketika menunggu masa untuk menikmati anjakan gaji, tiba-tiba kelulusan PTK mereka tidak boleh digunakan dan terpaksa menduduki penilaian baru,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s