Galak sekolah, pengusaha kantin lain – Sinar Harian


Galak sekolah, pengusaha kantin lain

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Februari 2012

KULAIJAYA – Jabatan Pelajaran Johor menyambut baik usaha Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai dekat Kampung Melayu, di sini, yang menjadi sekolah pertama di negara ini mengadakan Program Kantin 1Malaysia bermula 9 Februari yang lalu.

Pengarahnya, Mohd Nor A Ghani berkata, pihaknya menyokong dan memuji usaha Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya yang menjadi pencetus idea untuk merealisasikan program terbabit selain turut menerima cadangan dari PPD lain untuk mewujudkan pada masa akan datang.

Menurutnya, sekolah mahupun pengusaha kantin lain di negeri ini digalakkan untuk mencontohi sekolah berkenaan yang mana program tersebut berlandaskan konsep 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak.

“Program ini mengambil kira kepada sekolah yang mempunyai pelajar berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang mana menu makanan dan minuman dijual pada harga RM1 selaras dengan konsep 1 Malaysia.

“PPD Kulaijaya telah membentangkan perkara ini sebelum ini. Kami di peringkat jabatan tiada masalah dan mengalu-alukan usaha sedemikian yang mana dibuat berdasarkan kemampuan pelajar, sekali gus ia berupaya meringankan ibu bapa juga.

“Namun, biarpun terdapat menu makanan 1 Malaysia bernilai RM1, tetapi harga makanan lain yang lebih rendah dari harga tersebut juga perlu disediakan oleh pengusaha kantin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Fauzan Sukimi berkata, tercetusnya idea untuk mengadakan program itu sejak beliau bertugas di sebuah sekolah sebelum ini, di mana kebanyakan pelajar tidak makan pada waktu rehat kerana kekurangan wang.

Menurutnya, meskipun menu makanan terbabit berharga RM1, makanan tersebut tetap mengandungi khasiat dan kualiti yang diperlukan untuk pertumbuhan murid-murid sekolah bertepatan dengan slogan Murid Didahulukan, Kualiti Diutamakan.

“Kantin 1Malaysia turut mementingkan aspek 4 K iaitu kebersihan, keceriaan, kualiti serta kuantiti; dan 2 M iaitu murah dan mesra. Ini bermaksud ia turut mengutamakan persekitaran yang bersih dan mesra pelanggan serta kondusif.

“Untuk menjayakan program ini, keadaan kantin juga perlu berubah wajah dan kelihatan lebih ceria. Biarpun makanan dijual harga murah, tetapi murid-murid turut dilayan dengan mesra, selain menjadi medium atau tempat untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid-murid,” katanya.

Beliau berharap, lebih banyak lagi sekolah lain mencontohi SK Kulai untuk mewujudkan program Kantin 1Malaysia di sekolah masing-masing sebagai melambangkan keprihatinan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s