Murid dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk
2012/02/14
KUALA TERENGGANU: Seorang murid darjah dua Sekolah Kebangsaan Ladang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk di sini, petang semalam.
Ahmad Saibi Amir Muslim, 8, sedang mandi bersama dua lagi rakannya apabila kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang.
Pelampung yang digunakannya dikatakan pecah selepas dilambung ombak setinggi dua meter.
Dia sempat menjerit meminta tolong bagaimanapun, hanyut dibawa arus deras.
Seorang remaja, Norna Mina Nazrul Zaman, 18, yang sedang mencari remis bersama ibunya tidak jauh dari tempat kejadian bertindak membaling pelampung kepada mangsa namun mangsa gagal mencapainya.
Dua rakannya selamat dengan berenang ke pantai.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zulkahirul Razali ketika ditemui di tempat kejadian berkata, usaha mencari mangsa dilancarkan sebaik saja menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu. – BERNAMA