Perhimpunan kumpulan ibu bapa sokong dasar PPSMI – Bernama


Perhimpunan kumpulan ibu bapa sokong dasar PPSMI

15/02/2012 6:49pm

 

PETALING JAYA 15 Feb. – Satu kumpulan penyokong PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) akan menganjurkan satu perhimpunan di Dataran PJ di sini pada 10 Mac ini bagi menunjukkan pendirian serius mereka mahukan kerajaan mengembalikan dasar itu.

Penyelaras kumpulan Ibu bapa Prihatin Selangor (CPS), Shamsudin Hamid berkata, antara 5,000 dan 10,000 ibu bapa akan menghadiri perhimpunan “Parents for PPSMI” (P4P) pukul 10 pagi, dan ia akan diadakan serentak di Pulau Pinang, Ipoh dan Sabah.

“Tujuan perhimpunan ini adalah bagi menyatakan sokongan kami kepada PPSMI. Kami mahu kerajaan mengembalikan dasar itu.

“Ini tidak bermaksud kita tidak hormat pada bahasa kebangsaan. Tapi, sila lihat dalam gambaran yang lebih luas, iaitu masa depan anak-anak kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

PPSMI dimansuhkan bermula tahun ini dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). — BERNAMA

Semakan Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) – Opsyen TESL


Semakan Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) – Opsyen TESL

Sukacita dimaklumkan bahawa maklumat PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) BAGI OPSYEN TESL  yang telah lulus temu duga boleh disemak di laman ini  bermula 15 Februari 2012. Tuan/puan yang membuat semakan diminta untuk menghubungi Jabatan/Bahagian sebagaimana yang tertera di ruang MAKLUMAN untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penempatan tuan/puan.
Harap Maklum.

Khabar gembira buat penjawat awam – Metro


Khabar gembira buat penjawat awam

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Penjawat awam mungkin menerima berita gembira dalam tempoh tiga bulan ini apabila lima tuntutan utama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sedang dipertimbangkan sebaik mungkin oleh kerajaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu pertemuan baru-baru ini.
“Pada dasarnya, beliau (Mohd Sidek) bersetuju lima perkara dibangkitkan Cuepacs sebelum ini perlu diberi pertimbangan khas, khasnya perkara yang kritikal… berdasarkan itu kita rasa lega,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat kedua pasukan petugas khas di sini, semalam.

Sepak junior hingga pengsan – Metro


Sepak junior hingga pengsan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Hanya kerana didakwa tidak menghormati senior, seorang pelajar junior cedera dibelasah sekumpulan pelajar terbabit dengan kayu selain menyepaknya di badan hingga pengsan dalam kejadian di sebuah sekolah asrama di Sungai Buloh, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 malam itu, mangsa yang berusia 16 tahun berada di bilik asramanya di tingkat tiga sebelum didatangi seorang rakan yang memaklumkan seorang pelajar senior ingin berjumpanya.
Sumber berkata, sebaik tiba di bilik pelajar senior terbabit, mangsa diherdik kerana didakwa tidak menghormati pelajar senior.

 

Ketika mangsa hendak menerangkan kepada pelajar terbabit, tiba-tiba dia ditendang di dada.
“Sikap mangsa mendiamkan diri itu menyebabkan pelajar terbabit naik angin sebelum rakan sebiliknya datang menyepak mangsa di tepi badan hingga jatuh.
“Tidak cukup dengan itu, seorang lagi pelajar senior menyepak mangsa di badan selain mengugut melanggar ibu bapa mangsa jika dia mengadu kejadian terbabit kepada pihak pengurusan asrama atau sekolah,” katanya.

 

 

Menurutnya, mangsa pengsan di biliknya dan jam 11 pagi semalam, mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buluh untuk menerima rawatan selepas mangsa sesak nafas berterusan.
Mangsa disahkan cedera pada bahagian tisu di beberapa bahagian badan.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

Koperasi sekolah disaran sertai Kopsya – Utusan


Koperasi sekolah disaran sertai Kopsya

ABDUL Fattah Abdullah mengedarkan brosur kempen keahlian Kopsya kepada sebahagian guru di Sungai Petani, Kedah, semalam.

 

SUNGAI PETANI 14 Feb. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memperhebatkan kempen menambah keahlian di kalangan 2,200 koperasi sekolah untuk menyertai Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) mulai bulan depan.

Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penyertaan di kalangan koperasi sekolah diperlukan bagi membolehkan pihaknya mengumpul lebih banyak dana di samping menawarkan kemudahan pembiayaan mudah kepada ahli-ahli yang bernaung di bawahnya.

Katanya, langkah tersebut juga dilihat mampu membantu kakitangan akademik dan sokongan di sekolah-sekolah agar membebaskan diri daripada dibelenggu masalah hutang dan kemungkinan diisytihar muflis.

“Peranan Kopsya adalah untuk membantu ahli-ahli koperasi di kalangan penjawat awam termasuk di sekolah menstrukturkan semula pinjaman bank mereka.

“Bagaimanapun, untuk membolehkan penjawat awam ini layak mendapatkan pinjaman, mereka perlu menyertai koperasi sekolah terlebih dahulu dan seterusnya menganggotai Kopsya,” katanya pada majlis penutup Taklimat Program Koperasi Sekolah 2012 Peringkat Kedah di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengurus (Pembangunan) Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan Angkasa, Roszurina Omar.

Abdul Fattah memberitahu, setakat ini lebih 200 koperasi kredit membabitkan dana terkumpul berjumlah RM360 juta telah menyatakan komitmen untuk menyertai Kopsya.

“Setiap koperasi disyaratkan menyumbang dana minimum sejumlah RM1,000 atau maksimum RM15 juta untuk menyertai Kopsya,” katanya.

LPM didakwa salah cetak slip keputusan SPM tujuh pelajar – Utusan


LPM didakwa salah cetak slip keputusan SPM tujuh pelajar

Lim Xiang Yin ditemani oleh ibunya, Lim Sow Lean (kiri) menunjukkan salinan keputusan peperiksaan SPM yang didakwa terdapat kesilapan percetakan sambil diperhatikan oleh Lim Thoon Leong (dua dari kanan) di Pulau Pinang, semalam.

 

PULAU PINANG 14 Feb. – Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) didakwa membuat kesilapan dalam mencetak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 hingga menyebabkan tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George di sini mendapat keputusan berlainan dalam slip dan sijil asal mereka.

Kesilapan LPM itu didakwa turut menyebabkan impian seorang daripada tujuh pelajar itu, Lim Xiang Yin, 19, untuk menjadi seorang doktor tidak tercapai.

Xiang Yin yang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kursus farmasi di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) berkata, dia mendapat slip keputusan SPM yang tertera 8A+ dan 2A pada Mac 2011.

Katanya, dia menyedari keputusan itu sepatutnya 9A+ dan 1A apabila memperoleh sijil asal SPM pada awal Februari tahun ini.

“Saya mengambil tindakan segera dengan meminta guru memanjangkan perkara ini yang melibatkan keputusan mata pelajaran Pendidikan Muzik dan LPM mengesahkan terdapat kesilapan dalam percetakan dan kini ia sedang disiasat.

“Saya kecewa dengan kesilapan percetakan ini kerana ia membawa kesan besar kepada masa depan saya. Kemungkinan besar saya boleh mendapat biasiswa JPA untuk mencapai impian saya itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA negeri, Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir ibu Xiang Yin, Lim Sow Lean, 52.

Berikutan perkara itu, Xiang Yin berharap JPA boleh meluluskan rayuannya untuk melanjutkan pengajian dalam kursus farmasi di Universiti Monash yang bermula Isnin depan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Lim Thoon Leong berkata, beliau akan membantu Xiang Yin membuat rayuan bagi membolehkannya belajar di Universiti Monash.

“Pada masa sama, saya juga akan melaporkan kes Xiang Yin kepada MCA Pusat yang mempunyai tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang sekiranya JPA tidak meluluskan rayuan berkenaan.

“LPM seharusnya memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab kerana perbezaan gred dalam keputusan SPM pasti memberi impak besar kepada masa depan seseorang pelajar,” katanya.