Kaunselor sekolah perlu tingkat kerjasama semua pihak – Bernama


Kaunselor sekolah perlu tingkat kerjasama semua pihak

19/02/2012 3:35pm

 

JOHOR BAHRU 19 Feb. – Kaunselor di sekolah disaran agar meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memudahkan penyaluran maklumat kursus yang sesuai dengan pasaran pekerjaan sebelum pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini bagi mengelakkan lulusan institusi pengajian tinggi tidak memperoleh pekerjaan disebabkan kursus yang diambil tidak memenuhi kehendak penawaran pekerjaan.

“Dengan mempunyai kerjasama itu, para kaunselor dapat meningkatkan pengetahuan mereka dan membantu pelajar membuat keputusan yang baik dalam memilih bidang kursus di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan karnival kerjaya ‘My Career 2012’ di Dewan Serbaguna Skudai di sini hari ini.

Subramaniam berkata, generasi muda perlu tahu bidang pembangunan utama negara sebelum memilih sesuatu kursus.

Katanya, dalam situasi negara menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, ia memerlukan sektor pembangunan berasaskan teknologi tinggi seperti bidang kejuruteraan, teknologi dan pekerjaan berkemahiran tinggi. – BERNAMA

MCA jumpa TPM berhubung kekurangan guru – Bernama


MCA jumpa TPM berhubung kekurangan guru

19/02/2012 5:11pm

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi berhubung isu kekurangan guru di sekolah vernakular Cina.

Beliau berkata, data mengenai jumlah guru sekolah SJK(C) yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran mungkin tidak menggambarkan kekurangan yang sebenar.

“Sehingga hari ini, masalah itu masih wujud. Saya akan berjumpa Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyddin Yassin untuk membincangkan perkara ini kerana kami mahu ia diselesaikan segera,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, dilaporkan bahawa sekolah rendah Cina menghadapi kekurangan hampir 2,000 guru di seluruh negara.

Isu itu pertama kali ditimbulkan sebelum sesi persekolahan bermula awal tahun ini dan Kementerian Pelajaran dilaporkan berusaha menangani masalah itu.

Hari ini, kekosongan jawatan di sesetengah sekolah telah diisi tetapi masalah baru timbul berikutan guru-guru yang dihantar ke sana tidak memahami bahasa Cina. – BERNAMA

Tiada istilah tidak sengaja – Metro


Tiada istilah tidak sengaja

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Tidak puas hati dan mahu tindakan susulan. Berikutan penafian jurulatih pengakap sebuah sekolah menengah di sini mencabul lebih 10 pelajar perempuan di bawah pengawasannya ketika menjalankan latihan fizikal, tiga pelajar tampil sekali lagi membuat laporan polis, semalam.

Jurulatih dikenali sebagai Hoo, 44, Khamis lalu, mengadakan sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor menafikan dakwaan dia mencabul selepas pelajar terbabit membuat laporan polis dan kes disiarkan akhbar pada hari sama.
Bagaimanapun, seorang bapa dikenali Leong, 40-an, yang tidak puas hati dengan kenyataan jurulatih itu, menemani anak gadisnya berusia 14 tahun membuat laporan sekali lagi di Balai Polis Bandar Sri Damansara, di sini.

 

“Saya mahu polis mengambil tindakan terhadap Hoo dan kes ini disiasat seadil-adilnya. Anak perempuan saya mendakwa pernah dicabul enam bulan lalu ketika mengikuti latihan di sekolahnya.
“Namun, dia tidak menceritakan kejadian itu kerana menyangka jurulatih terbabit tidak sengaja. Namun selepas bercerita dengan beberapa rakan lain dan mereka juga mendakwa diperlakukan sedemikian, baru mereka sedar jurulatih itu sengaja melakukannya,” katanya.
Sebelum itu, Leong dilihat masuk ke balai polis berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya pada jam 9.30 pagi sebelum keluar semula sejam kemudian.

 

 

Leong berkata, sebaik anak perempuannya menceritakan kejadian itu kepadanya, dia dan isteri membawanya membuat laporan pada 8 Februari lalu.
“Saya percaya jurulatih itu sengaja mencabul anak perempuan saya dan pelajar lain. Tiada istilah tidak sengaja apabila perbuatan memalukan itu dilakukan kepada ramai pelajar dan berulang kali.

 

“Laporan polis kedua ini dilakukan untuk menuntut keadilan dan mahu siasatan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada tiga pelajar di sekitar daerahnya, semalam.

Noraini pandai pelbagai bahasa dikejar ke hospital alami sakit kepala – Bernama


Noraini pandai pelbagai bahasa dikejar ke hospital alami sakit kepala

BESUT 18 Feb.— Pelajar yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bulan lalu, dikejarkan ke Hospital Daerah Besut semalam setelah mengalami sakit kepala yang serius.

Noraini Ismail, 17, pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Alor Lintang, dikatakan menangis kesakitan sambil memegang kepalanya.

Menurut bapanya, Ismail Salleh, 46, Noraini kemudiannya dirujuk ke Unit Kecemasan hospital itu lewat petang semalam.

Beliau berkata, anaknya mengadu sakit kepala sebaik sahaja dia bangun dari tidur selepas waktu Asar sambil menangis.

Menurut bapanya lagi, Noraini sebelum ini pernah diserang sakit kepala tetapi tidaklah serius seperti semalam.

“Noraini nampak seolah-olah telah pulih sejak seminggu lepas dan dia tidak lagi banyak bertutur dalam bahasa ganjil seperti Korea dan Mandarin, tetapi dia kembali mengulangi bercakap bahasa-bahasa itu selepas kejadian semalam,” kata Ismail. — BERNAMA

Sekolah tidak aktif KPBPNB ditamat keahlian – Utusan


Sekolah tidak aktif KPBPNB ditamat keahlian

PONTIAN 18 Feb. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB) akan menamatkan keahlian sekolah yang didapati tidak menunjukkan prestasi memuaskan selain tidak aktif menjalankan aktiviti kelab berkenaan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah sekolah yang aktif telah meningkat daripada tujuh buah sekolah pada 2010 kepada 57 buah sekolah pada tahun lalu manakala sekolah yang kurang aktif turun kepada 47 berbanding 93 buah bagi tempoh yang sama.

“Selain memberi pengiktirafan kepada sekolah yang cemerlang, PNB juga berkemungkinan menamatkan keahlian sekolah yang terus menerus menunjukkan prestasi rendah dan tidak aktif.

”Sekolah-sekolah tersebut akan digantikan dengan sekolah-sekolah lain yang dikenal pasti berkelayakan dan berminat untuk menyertai kelab,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kelab Pelaburan Bijak PNB di SMK Dato’ Penggawa Barat di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Md. Hasidin Zaini dan Pengetua sekolah tersebut, Hashim Mohd. Dom.

Menurut Hamad Kama Piah, sehingga kini sebanyak 104 buah sekolah sudah menubuhkan kelab tersebut yang bertujuan mewujudkan kesedaran dan memberi pendidikan pelaburan serta perancangan kewangan kepada masyarakat ke arah celik pelaburan.

”Pelbagai aktiviti telah dianjurkan bagi mencapai usaha tersebut seperti pertandingan pidato, kuiz pelaburan, menulis esei dan seminar perancangan kewangan.

”Seramai 62,000 pelajar telah terlibat dalam aktiviti tersebut pada tahun lalu berbanding 37,000 pada tahun sebelumnya dan kita menyasarkan penyertaan 130,000 pelajar setiap tahun pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat yang berjaya mengungguli pelbagai program anjuran PNB, sekali gus menerima piala khas dan insentif berjumlah RM20,000.

Lima sekolah menerima Anugerah Kecemerlangan Kelab Pelaburan Bijak PNB 2011 iaitu SMK Dato’ Penggawa Barat; SMK Nenasi, Pekan; SMK Abaka, Tawau serta SMK Batu 10, Manjung dan SMK Alor Pongsu, Krian.

Pendidikan vokasional jadi bidang arus perdana 2013 – Utusan


Pendidikan vokasional jadi bidang arus perdana 2013

18/02/2012 7:33pm

 

 

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

 

KUALA TERENGGANU 18 Feb. – Bidang Vokasional bakal menjadi pendidikan arus perdana apabila langkah menaik taraf 78 buah sekolah menengah vokasional di seluruh negara siap sepenuhnya menjelang tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa elemen tambahan akan dimuatkan di dalam kurikulum pendidikan itu antaranya berkaitan latihan keusahawanan.

Katanya, elemen latihan ketika bekerja akan dilaksanakan selari dengan transformasi pendidikan negara.

Dalam usaha memberi nilai tambah, bidang-bidang baru akan turut diperkenalkan termasuklah bidang hospitaliti, pengangkutan, industri sukan dan pengurusan acara.

“Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.

“Justeru kita berharap dengan adanya kolej vokasional ini nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konsolidasi, Transformasi Pendidikan Vokasional Terengganu/Kelantan di Dewan Teknokrat, Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengoperasian Sekolah Bahagian Teknik Dan Vokasional (BPTV), Zainuren Mohd. Nor dan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad memberitahu, setakat ini, sebanyak 15 sekolah telah dikenal pasti bagi menyediakan Program Asas Vokasional (PAV) dan 15 lagi untuk kolej vokasional dalam usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara terutamanya bidang kemahiran.

Bagaimanapun tambahnya, 10 buah sekolah teknik masih lagi dikekalkan bagi memberi peluang pelajar-pelajar yang meminati bidang kejuruteraan dan perdagangan meneruskan persekolahan mereka.

“Kita akan melihat perkembangan ini dari semasa ke semasa dan buat masa ini, hanya 10 buah sekolah dikekalkan bagi memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang ingin menyambung pelajaran khusus dalam bidang-bidang kemahiran ini,” katanya. – UTUSAN

Sistem sekolah vernakular bukan bererti tak cinta negara – Utusan


Sistem sekolah vernakular bukan bererti tak cinta negara

18/02/2012 7:35pm

 

 

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN & OOI CHOON

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Pengekalan sistem persekolahan vernakular bukan bererti pelajar sekolah aliran itu tidak mempunyai perasaan cinta kepada negara kerana mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, orang ramai tidak harus menganggap kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak cinta kepada negara sebaliknya perlu menghormati agama, budaya dan bahasa kaum lain.

“Walaupun sekolah vernakular, mereka perlu mengikut silibus kementerian dan tiada bezanya sekolah aliran itu dengan sekolah lain. Pelajar sekolah juga tidak terhad kepada satu kaum sahaja.

“Penglibatan pelajar kaum lain dalam sekolah vernakular dapat meningkatkan tahap keharmonian negara apabila mereka saling memahami budaya dan bahasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panel sesi kedua yang bertajuk ‘Perjuangan Sekolah Vernakular: Apakah Implikasi kepada Masyarakat Cina’ pada Persidangan Masyarakat Cina di Persimpangan Politik di Berjaya Times Square di sini hari ini.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Institut Penyelidikan Dasar dan Analisis Strategik (Insap), Tan Sri Dr. Fong Chan Onn dan tiga ahli panel lain iaitu Dekan Institut Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof. Dr. Ho Khai Leong; Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Tambah Ka Siong, menerusi sekolah vernakular, pelajar juga dapat mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa tempatan serta dapat menyumbang kepada perpaduan negara apabila semua pihak dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Sementara itu, Sin Woon pula memberitahu, sejak 2008 kerajaan telah meluluskan pembinaan 22 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dan kira-kira 15 buah sekolah telah pun siap sepenuhnya.

“Peruntukan kerajaan juga mengalami peningkatan setiap tahun iaitu RM50 juta (2008), RM95 juta (2009) dan RM100 juta pada tahun ini.

“Masalah yang dihadapi oleh SRJK seperti kekurangan guru, sekolah dan peruntukan sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan MCA akan terus memastikan kelangsungan sekolah berkenaan terjamin pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Sistem pendidikan negara harus pentingkan kualiti – TPM – Bernama


Sistem pendidikan negara harus pentingkan kualiti – TPM

18/02/2012 8:23pm

 

GEORGETOWN 18 Feb. – Kualiti pendidikan harus dipertingkat seiring perkembangan ilmu dan teknologi bagi melahirkan modal insan yang berupaya memacu Malaysia menjadi negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata cabaran yang harus dipikul kini adalah meningkatkan aspek kualiti pendidikan negara.

Beliau berkata, aspek itu adalah satu perkara yang penting dalam sistem pendidikan negara dan ia harus dipandang serius.

“Kami (kerajaan) telah membentuk satu pasukan petugas bagi mengkaji pelbagai perkara berkaitan bidang pendidikan dan kokurikulum, Laporan Razak serta Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI),” katanya dalam ucapan perasmian majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Pulau Pinang hari ini.

Muhyiddin berkata, cabaran yang ada kini harus dipikul semua pihak, terutama warga pendidik, dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Saya akui ini cabaran utama kerana masih banyak yang perlu dilakukan supaya matlamat negara untuk menjadi negara maju dapat dicapai,” katanya. – BERNAMA

Guru tidak akan naik pangkat secara automatik: Muhyiddin – Bernama


Guru tidak akan naik pangkat secara automatik: Muhyiddin

2012/02/18

BALIK PULAU: Kenaikan pangkat guru tidak akan berlaku secara automatik sebaliknya mereka harus melalui pelbagai proses termasuk temu duga, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kaedah kenaikan pangkat guru terbabit akan diputuskan selepas perbincangan antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan kerajaan selesai kelak.

“Berkaitan soal kebajikan guru kita sudah ambil kira. Tetapi apapun, keputusan muktamad belum tercapai kerana urusan ini sudah kita bawakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam disamping perbincangan di peringkat wakil kesatuan dan CUEPACS, katanya pada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat, di sini, hari ini.

Katanya, isu kenaikan pangkat itu bagaimanapun dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang memetik seramai 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan pada April ini. – BERNAMA