Guru Tadika diwajibkan mempunyai Diploma Prasekolah – Bernama


Guru Tadika diwajibkan mempunyai Diploma Prasekolah

20 Februari 2012

KUALA TERENGGANU – Semua guru tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan diwajibkan memiliki Diploma Pendidikan Prasekolah dalam
tempoh tiga tahun lagi sebagai usaha yayasan itu memantapkan kualiti pendidikan awal kepada murid-muridnya.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al Amin Ismail berkata sehingga kini seramai 126 daripada 197 orang guru seluruh Terengganu sedang mengikuti kursus lanjutan pendidikan prasekolah ketika musim cuti yang bermula November tahun lalu dan dijangka tamat pada tahun 2014.

“Yayasan komited dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang akademik serta sahsiah diri sekaligus menjadi peneraju utama dalam pendidikan awal kanak-kanak di negeri Terengganu.

“Ini memerlukan pengorbanan besar daripada guru-guru yang sanggup bertungkus-lumus menyambung pelajaran ke peringkat diploma bagi memastikan kualiti dan sistem pendidikan menepati piawaian yang ditetapkan yayasan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Seramai 43 guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mengikuti Program Diploma Pendidikan Prasekolah di Institut Perguruan (IPG) Datuk Razali
di sini manakala 83 orang guru yang sudah mempunyai kelulusan ijazah dan diploma juga diwajibkan mengikuti kursus itu di IPG Sultan Mizan di Besut.

Beliau berkata walaupun sudah mempunyai ijazah dan diploma, namun guru-guru berkenaan tetap diwajibkan mengikuti kursus diploma anjuran YIT kerana ijazah yang dimiliki sebelum ini tidak menjurus kepada sistem pendidikan awal sekolah.

“Pelaksanaan ini adalah prosedur baru YIT dalam urusan pengambilan guru tadika yang mewajibkan guru memiliki Diploma Prasekolah kerana sebelum ini syarat pengambilan guru tidak begitu ketat,” katanya.

Selain itu, katanya program menghafal surah Yaasin beserta terjemahan yang dimulakan di semua 18 cawangan tadika YIT pada tahun 2006 akan diteruskan hasil maklum balas ibu bapa yang kagum dengan kebolehan anak mereka menghafal surah berkenaan.

Program hafalan itu adalah sebagai langkah awal YIT membentuk generasi cemerlang dan celik al-Quran selaras dengan hasrat Terengganu yang dikenali sebagai negeri anjung ilmu. – Bernama

Kemahiran jamin masa depan pelajar tak minat akademik – Sinar Harian


Kemahiran jamin masa depan pelajar tak minat akademik

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2012

SEGAMAT – Pelajar yang kurang berminat dalam pelajaran disarankan mengambil inisiatif lain seperti mengikuti modul kemahiran bagi menambahkan ilmu selain sebagai bekalan masa depan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, bidang kemahiran tidak pernah dipinggirkan sebaliknya telah banyak melahirkan pelajar yang berjaya dari segi pertukangan, pembinaan dan pendawaian elektrik.

“Bidang kemahiran adalah platform khas bagi mereka yang kurang berminat dalam akademik agar golongan ini mempunyai hala tuju hidup meskipun mereka tidak memiliki kelulusan tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, bagi pelajar yang lemah dalam pelajaran dan hanya berminat dengan sukan pula, mereka perlu berusaha gigih mencapai kejayaan dalam sukan yang dipilih kerana ruang untuk memiliki masa depan yang cerah terbuka buat mereka selain bidang berkenaan juga mampu memberikan pulangan lumayan buat mereka.

Terdahulu, Ayub menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada seramai 74 pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di bawah Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemelah sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka melakar kecemerlangan dalam peperiksaan berkenaan.

Beliau berkata, peningkatan kejayaan pelajar ini menunjukkan ada pendedahan yang boleh diteruskan selain pelajaran pada waktu sekolah untuk memperluaskan lagi medan ilmu mengikut rentak dunia pembelajaran masa kini
“Pada setiap tahun, di bawah Dun Kemelah disediakan peruntukan sebanyak RM3,000 bagi setiap sekolah rendah dan sebanyak RM5,000 bagi sekolah menengah untuk menjayakan kelas tambahan dan aktiviti pelajar.

“Setiap tahun ada peningkatan kecemerlangan dengan 60 peratus lebih ramai berbanding tahun sebelumnya dan ini atas usaha guru di samping ibu bapa dan pelajar sendiri yang mahukan kejayaan,” katanya.

Pada masa sama, pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dun Kemelah turut menerima anugerah kecemerlangan dan peruntukan RM10,000 diberikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Baru.

CUEPACS mahu tarikh kuat kuasa SBPA kekal 1 Januari – Bernama


CUEPACS mahu tarikh kuat kuasa SBPA kekal 1 Januari

2012/02/20

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Januari lalu dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata permintaan itu adalah wajar kerana kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Januari tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.

“Jadi permintaan CUEPACS ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari itu dikekalkan. Itu yang kita mahu.

“Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yakin lima tuntutan CUEPACS dapat diterima selepas pembentangan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula SBPA pada mesyuarat ketiganya yang dijadualkan Rabu ini.

Lima tuntutan CUEPACS itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar berkata, satu perhimpunan besar membabitkan penjawat awam dari semua gred akan diadakan pada akhir bulan depan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.
Terdahulu, beliau bersama anggota Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) mengunjungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini. – BERNAMA

Kuiz Asean Peringkat Kebangsaan 2012


Kuiz Asean Peringkat Kebangsaan 2012

Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia akan menganjurkan Kuiz Asean Peringkat Kebangsaan 2012.

Pertandingan yang akan dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris ini adalah terbuka untuk para pelajar Sekolah Menengah kerajaan dan swasta berumur 15 hingga 17 tahun. Ia bertujuan mendedahkan golongan belia kepada aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara Asean serta meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal Asean di kalangan peserta.

Pendaftaran melaui pihak sekolah boleh dibuat secara atas talian (online) diwww.penerangan.gov.my atau melalui borang yang juga boleh didapati di sekolah-sekolah dan semua Jabatan Penerangan Negeri dan daerah. Borang penyertaan boleh dihantar melalui faks di 03-8911 4959 atau emel ke aseanquiz2012@inform.gov.my.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 29 Februari 2012. Peringkat Saringan akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 22 Mac 2012.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Puan Wan Saidatul Shafina Mohd Amin, Pegawai Perhubungan Awam di talian             03-8911 7369       /             012-212 1465       atau emel ke shafina@inform.gov.my.

Kerjasama dan sokongan tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.

Duda berang dijel – Metro


Duda berang dijel


 

KOTA BHARU – Tindakan seorang duda mencederakan tiga anak kandung dengan menggunakan wayar elektrik dan paip getah kerana berang kad sim telefon bimbitnya dipatahkan menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Zawawi Dollah, 37, (gambar) selepas penganggur itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap anak-anaknya yang berusia tujuh, sembilan dan 11 tahun sehingga badan ketiga-tiga anaknya lebam.

Zawawi didakwa melakukan perbuatan mencederakan anak-anaknya itu dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip di sebuah rumah di Lot 122, Jalan Kuala Krai, Kok Lanas di sini pada pukul 6.30 petang, 13 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa bekas isteri tertuduh hendak menjemput ketiga-tiga anaknya yang berada di bawah jagaan tertuduh dia mendapati ketiga-tiga anaknya mempunyai kesan lebam pada badan akibat dipukul oleh ayah mereka.

Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah mencederakan anak-anaknya dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip.

Punca tindakan tertuduh disebabkan si bapa marahkan anak-anaknya kerana telah mematahkan kad sim telefon bimbit miliknya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam semasa membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan memohon supaya dia diberikan hukuman yang ringan.

“Saya mohon dikurangkan hukuman. Ini kesalahan pertama saya. Bukan niat saya hendak mencederakan mereka,” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal supaya memberi pengajaran kepadanya.

Mohd. Fazaly Ali menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 15 Februari lalu dan dikenakan dua sebatan.

5 beranak nyaris maut – Metro


5 beranak nyaris maut

Oleh Cleo WIll
hmkk@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KIMANIS: Lima sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Tenom selepas menghantar anak mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) nyaris maut apabila pacuan empat roda yang mereka naiki tiba-tiba terbakar di Kilometer 38, Jalan Kimanis-Keningau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa, Lusiyaw Lantara, 40, bersama isteri serta tiga anak mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari asap hitam keluar dari enjin kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu.
Menurut Lusiyaw, dia tidur ketika kejadian manakala kenderaan itu dipandu isterinya.

 

“Ketika mendaki bukit, saya terhidu bau hangit dan sebaik terjaga mendapati kenderaan mula dipenuhi asap.
“Saya terkejut apabila mendapati asap keluar melalui ruang berhampiran brek tangan dan mengarahkan isteri memberhentikan kenderaan di bahu jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, sebaik berhenti, api mula menyambar bahagian enjin.

 

 

“Saya menarik ketiga-tiga anak berusia 12 hingga 19 tahun keluar dari kenderaan yang mula terbakar.
“Sebaik semua ahli keluarga keluar, beberapa letupan berlaku menyebabkan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa selepas seluruh kenderaan dijilat api,” katanya.

 

Katanya, akibat kejadian itu, beg tangan isteri mengandungi wang tunai, MyKad dan kad mesin juruwang automatik serta beberapa peralatan persekolahan anak yang baru dibeli bernilai RM500 musnah.
“Saya tidak tahu punca kebakaran itu kerana saya baru menghantar kenderaan ini untuk diselenggara sebelum ke Kota Kinabalu. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian dia dan keluarga menghantar seorang anak mereka di KKIA yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung.
Sementara itu, Penyelia Jabatan Bomba dan Penyelamat Papar, James Jalimbun berkata, pihaknya yang dihubungi bergegas ke tempat kejadian dan mengawal kebakaran kenderaan itu beberapa minit kemudian.
“Api merebak terlalu cepat selain berlaku letupan,” katanya.

Anak tiri jadi ‘isteri kedua’ – Metro


Anak tiri jadi ‘isteri kedua’

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi sebuah kumpulan berkonsep hip hop popular tanah air ditahan polis selepas didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun di rumahnya di Gombak Jaya, dekat sini, semalam.

Penyanyi berusia 37 tahun yang juga pernah berlakon filem itu ditahan selepas anak tirinya membuat laporan di Balai Polis Gombak, di sini, jam 11 malam, kelmarin.

Menurut sumber, dalam laporannya, mangsa mendakwa dinodai bapa tirinya itu sejak berusia tujuh tahun dan kejadian terbaru berlaku pada 9 Februari lalu.

“Berikutan laporan itu, polis melakukan siasatan sebelum menahan penyanyi terbabit di rumahnya di Gombak Jaya jam 2 pagi tadi (semalam),” katanya, semalam.

 
Sumber itu berkata, remaja perempuan terbabit mendakwa dia nekad membuat laporan polis kerana tidak tahan dijadikan hamba seks bapa tirinya sejak tujuh tahun lalu selain bimbang keselamatan adik perempuannya yang lain.

Gelora asmara – Metro


Gelora asmara

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GANESAN...maut ditikam
GANESAN…maut ditikam

PETALING JAYA: Kematian seorang pemandu lori ditikam di rumahnya di flat Taman Petaling Utama, Jalan PJS 1/52, di sini, Khamis lalu, dipercayai didalangi isterinya yang mengupah empat remaja lelaki untuk melakukan pembunuhan itu.

Suspek disyaki merancang komplot membunuh suaminya apabila hubungan sulitnya dengan seorang lelaki muda diketahui mangsa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata isteri pemandu lori berusia 34 tahun itu disyaki berpakat dengan kekasihnya berusia 22 tahun untuk membunuh mangsa berikutan dia menghalang hubungan mereka yang sudah terjalin lebih setahun.

Menurutnya, siasatan mendapati pasangan kekasih itu yang kini menjadi suspek utama kes berkenaan mengupah empat remaja lelaki, termasuk dua pelajar berusia 16 tahun untuk membunuh mangsa dengan menyediakan upah sebanyak RM5,000 seorang.

 
“Pada hari kejadian empat remaja terbabit dan suspek utama lelaki memasuki rumah mangsa dengan bantuan wanita berkenaan yang membukakan pintu sebelum mereka menyerang mangsa sedang tidur.

“Mangsa ditikam dengan parang di belakang badan dan tangan sebelum berlari keluar dalam keadaan berlumuran darah untuk mendapatkan bantuan. Dia bagaimanapun maut akibat kecederaan parah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Duda dipenjara, rotan kerana cederakan 3 anak – Utusan


Duda dipenjara, rotan kerana cederakan 3 anak

KOTA BHARU 19 Feb. – Gara-gara memukul tiga anak dengan wayar elektrik dan paip getah kerana merosakkan kad sim telefon bimbit, seorang duda dipenjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Zawawi Dollah, 37, mengaku bersalah mencederakan anaknya yang berusia tujuh, sembilan dan 11 tahun sehingga lebam di seluruh badan di rumahnya di Jalan Kuala Krai Kok Lanas di sini Isnin lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari seksaan itu jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, kejadian itu disedari ketika bekas isteri tertuduh hendak mengambil ketiga-tiga anaknya yang berada di bawah jagaan tertuduh dan mendapati terdapat kesan lebam pada badan kanak-kanak terbabit.

Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah mencederakan anak-anak dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip.

Punca kejadian disebabkan tertuduh marahkan anaknya kerana telah mematahkan kad sim telefon bimbit miliknya.

Terdahulu, Zawawi yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman yang ringan kerana dia tidak berniat untuk melakukan perkara tersebut di samping ia kesalahan yang pertama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal supaya memberi pengajaran kepadanya.

SBPA: Khabar gembira atau sebaliknya dijangka diketahui Rabu ini – Utusan


SBPA: Khabar gembira atau sebaliknya dijangka diketahui Rabu ini

KUALA TERENGGANU 19 Feb. – Keputusan sama ada tuntutan penambahbaikan sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) akan memberi khabar gembira kepada seluruh penjawat awam atau sebaliknya dijangka diketahui Rabu ini.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, pada hari tersebut, pihaknya akan membentangkan hasil bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA kongres itu kepada Jawatankuasa Penambahbaikan SBPA yang ditubuhkan kerajaan.

“Kelmarin dan semalam kita ada bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA CUEPACS di Kuala Lumpur di mana kita masih lagi mengekalkan cadangan lima perkara yang diutarakan kongres supaya diteliti kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama CUEPACS di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Azih berkata, pihaknya juga menjangkakan isu tuntutan CUEPACS mengenai SBPA dapat diselesaikan sepenuhnya pertengahan April ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, CUEPACS amat menghargai kesediaan dan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersungguh-sungguh untuk membantu menyelesaikan isu itu demi kepentingan penjawat awam khususnya peringkat bawahan.

“Kita sangat hargai komitmen Perdana Menteri untuk dengar pandangan CUEPACS dan kesungguhan beliau untuk membantu menyelesaikan perkara yang dibangkitkan CUEPACS ini,” katanya.

“Ini satu penghargaan tinggi daripada kerajaan kepada CUEPACS,” katanya.