Elak kanser sejak remaja – Sinar Harian


Elak kanser sejak remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2012
kanser

BANDAR PERMAISURI – Seramai 22,058 remaja perempuan berumur 13 tahun dari seluruh negeri ini telah diberi suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) melalui program imunisasi yang diluluskan Kementerian Kesihatan sejak 2010.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman berkata, program imunisasi HPV yang telah dilaksanakan bermula tahun lalu itu bertujuan mencegah penyakit kanser serviks dan pangkal rahim dalam kalangan wanita.

“Bagi tahun 2010, seramai 11,077 remaja perempuan atau 98.7 peratus telah diberi kebenaran menerima suntikan daripada jumlah 11,222 orang.

“Manakala pada 2011 pula, sebanyak 99.3 peratus atau 10,981 orang telah menerima suntikan HPV setelah diberi kebenaran oleh ibu bapa atau penjaga daripada jumlah keseluruhan 11,063 orang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kepada mana-mana remaja perempuan yang berumur 13 tahun dan tidak bersekolah, mereka boleh mendapatkan pelalian di klinik kesihatan seluruh negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri Terengganu di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, semalam.

Menurutnya, pelalian ini diberikan sebanyak tiga kali iaitu kali pertama, diikuti suntikan kedua sebulan selepas itu dan ketiga enam bulan selepas dos pertama.

“Justeru, saya menyeru kepada semua ibu bapa atau penjaga remaja perempuan yang masih belum menerima suntikan supaya membawa anak masing-masing ke klinik kesihatan seluruh negeri ini.

“Ini sebab, pelalian yang diberikan di peringkat awal dapat mencegah penyakit kanser serviks dan pangkal rahim bagi golongan wanita di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Ketika mengulas mengenai bilangan pesakit kanser serviks dan pangkal rahim di negeri ini, Anwa berkata, pada 2007 seramai 29 orang dikesan menghidap penyakit itu dan pada 2008 pula, adalah 19 orang.

“Bagi 2009 pula rekod yang diperoleh menunjukkan seramai 24 orang dan 2010 mencatatkan 16 orang penghidap.

“Namun demikian, kita percaya masih ramai yang menghidapi penyakit kanser pangkal rahim ini tidak datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada mana-mana wanita yang mempunyai tanda-tanda awal mengenai penyakit kanser pangkal rahim dan serviks agar segera menerima rawatan di hospital,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s