Guru mengadu dipaksa derma RM50 setahun – Utusan


Guru mengadu dipaksa derma RM50 setahun

24/02/2012 8:39pm

 

 

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini mendakwa sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor telah memaksa guru-guru Gred 44 di sekolah itu menyumbang RM50 setahun sebagai dana kewangan sekolah berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan mendakwa, sehubungan itu wakil guru terbabit telah membuat laporan kepada NUTP baru-baru ini.

“Berdasarkan aduan, pentadbir sekolah dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada 50 guru berkenaan untuk membuat sumbangan berikutan kenaikan gred mereka ke gred tersebut.

“Tujuan kutipan wang tersebut tidak diberikan penjelasan yang lengkap dan kaedah pengumpulan itu hanya tertera kepada guru yang memegang jawatan itu.

“Persoalannya, adakah arahan yang dikeluarkan pentadbir sekolah berkenaan mengikut prosedur kementerian atau ia sekadar arahan persendirian? Ini perlu dijawab pihak sekolah,” katanya pada sidang akhbar di Wisma NUTP, di sini hari ini.

Sementara itu, Hashim menambah, NUTP turut menerima aduan mengenai tindakan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Kulai Jaya yang membuat peraturan sendiri dengan memaksa guru datang sebelum pukul 7 pagi. – UTUSAN

Tuntutan maaf dibalas penumbuk – Metro


Tuntutan maaf dibalas penumbuk

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GOMBAK: Hanya kerana menyuruh orang yang melanggar bahunya meminta maaf, seorang pelajar dibelasah empat lelaki di pasar malam Taman Samudera menyebabkan cedera di muka dan pecah bibir, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, pelajar lelaki terbabit yang berusia 17 tahun sedang membelek tali pinggang di pasar malam berkenaan sebelum tiba-tiba bahunya dilanggar seorang lelaki.
Menurut sumber, mangsa yang hampir terjatuh akibat dilanggar itu kemudian menoleh ke arah lelaki terbabit dengan jelingan mata tidak berpuas hati menyebabkan lelaki terbabit terus memanggil tiga rakannya.

 

“Seorang daripada rakannya datang ke arah mangsa dan melanggarnya menyebabkan mangsa meminta mereka meminta maaf.
“Namun, mereka enggan menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum ia menjadi lebih teruk apabila seorang daripada mereka terus menumbuk muka mangsa beberapa kali hingga terjatuh,” katanya.
Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, mereka terus membelasah mangsa bertubi-tubi menyebabkan remaja itu cuba melawan,” katanya.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

 

3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar – Bernama


3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar

2012/02/24

KANGAR: Tiga pelajar, seorang daripadanya berusia 16 tahun, adalah antara 10 lelaki yang ditahan polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi dari 13 hingga 21 Februari lalu.

Suspek yang dipercayai anggota ‘Geng Kola’ berusia antara 16 dan 27 tahun, dengan lima daripadanya diuji positif dadah, katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

“Kami masih mengesan tiga lagi anggota kumpulan yang masih bebas berumur antara 19 tahun dan lewat 20-an,” katanya.

Beliau berkata, hasil penangkapan itu juga polis menemui semula empat unit komputer riba, satu komputer netbook, lima telefon bimbit yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

Abdul Rahman berkata, kesemua mereka yang ditahan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dengan penangkapan ini juga polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi di daerah ini, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana membantu menyembunyikan harta curi.
– BERNAMA

ILI: 67 pelajar dikuarantin – Utusan


ILI: 67 pelajar dikuarantin

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dikuarantin di bangunan berasingan sekolah berasrama penuh tersebut kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI) di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

 

MELAKA 23 Feb. – Sebanyak 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh di sini dikuarantin di bangunan berasingan di sekolah berasrama penuh itu kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI).

Mereka terdiri daripada 29 pelajar perempuan dan 38 lelaki dikuarantin setelah dikesan dijangkiti penyakit itu malam Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata, keadaan di sekolah terbabit terkawal dan setakat ini semua pelajar yang dijangkiti menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.

“Malah, pada awalnya sebanyak 77 pelajar dijangkiti, namun semalam 10 daripada mereka iaitu lapan perempuan dan dua lelaki dibenarkan pulang ke asrama.

“Manakala 67 lagi pelajar yang masih mengalami ILI diasingkan di sebuah bangunan dengan rawatan dan pemantauan kesihatan dijalankan oleh para doktor dan kakitangan Jabatan Kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik membawa keluar anak masing-masing dari sekolah tersebut kerana pengurusan kesihatan ILI adalah lebih baik dijalankan di situ.

“Di sini, terdapat doktor dan kakitangan perubatan yang bertugas secara berjadual bagi memberi rawatan dan ubat di samping kebersihan sekolah yang terjamin,” katanya.

Tian Loo menambah, punca bagaimana jangkitan tersebut boleh merebak juga masih belum diketahui dan sedang disiasat.

“Kita sedang menunggu laporan daripada hospital. Saya sudah tubuhkan satu unit khas untuk pantau perkembangan penyakit setiap hari,” katanya.

Lapan beranak berteduh di pondok berdinding zink, kanvas – Utusan


Lapan beranak berteduh di pondok berdinding zink, kanvas

Norhawa Arip bersama dua anaknya di Kampung Parit Abdul Aziz, Sungai Balang Darat, Muar, Johor.

 

MUAR 23 Feb. – Sebuah pondok berdindingkan zink dan kanvas tanpa pintu, menjadi tempat berteduh lapan beranak di Kampung Parit Abdul Aziz dekat sini sejak lapan bulan lalu setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Pondok berukuran 20 x 15 kaki itu didiami oleh keluarga Ariffin Md. Amin, 39, bersama isteri, Norhawa Arip, 37, dan enam anak mereka berusia tiga hingga 15 tahun.

Menurut Norhawa, pondok yang didirikan atas tanah milik ibu mertuanya itu hanya menanti masa untuk roboh, selain tidak memiliki kemudahan asas.

“Pondok ini tidak mempunyai bilik dan di ruang yang sempit inilah kami tidur, berehat, makan dan tempat anak-anak membuat kerja sekolah.

“Selain itu, ‘rumah’ ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan cara membuat penyambungan dari rumah jiran,” katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini.

Norhawa berkata, apabila hujan lebat waktu malam, semua ahli keluarga tidak dapat tidur kerana terkena tempias berikutan kanvas itu tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.

Ketika itu, mereka sekeluarga terpaksa berhimpit untuk mengelak daripada terkena tempias hujan.

Katanya, pendapatan suaminya yang tidak menentu sebagai pemandu lori menyebabkan mereka tidak mampu membina rumah baharu.

“Pendapatan yang ada sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk menanggung lima daripada enam anak yang masih bersekolah,” katanya.

Norhawa pernah membuat permohonan mendapatkan rumah baharu daripada Baitulmal menerusi ketua kampung, tetapi hingga kini masih belum mendapat maklum balas.

Dia mengakui berasa sayu apabila melihat anak-anaknya membesar dalam keadaan rumah yang kurang sempurna.

Justeru, dia berharap permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi membina rumah baharu diberi pertimbangan segera oleh pihak berkaitan.