11 April diisytihar cuti umum sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong – Bernama


11 April diisytihar cuti umum sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 11 April depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan berkata pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan diambil oleh kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

 

Sidek berkata, dua acara utama diadakan sempena pertabalan Seri Paduka iaitu Istiadat Pertabalan pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam, kedua-duanya di Istana Negara.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember lepas, menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 November 2011. – Bernama

4 lelaki rompak, rogol pelajar – Berita Harian


4 lelaki rompak, rogol pelajar

2012/02/25

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang bukan saja dirompak, malah turut dibawa lari ke sebuah hotel sebelum dirogol secara bergilir oleh empat lelaki di sebuah hotel Jalan Pudu, di sini, Rabu lalu.

Ketika kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berasal dari Kundang turut bersendirian di bilik hotel berkenaan sebaik lelaki terbabit selesai merogolnya, sebelum kejadian ngeri itu dimaklumkan pihak hotel.

Difahamkan, sebelum kejadian itu mangsa yang berada di sebuah kedai di Bandar Country Homes, Rawang, Isnin lalu, didatangi tiga lelaki tidak dikenali sebelum mereka mengambil semua barang berharga miliknya termasuk wang tunai RM100 dan telefon bimbit.

Malah, ketiga-tiga suspek terbabit memaklumkan kepada mangsa semua barangan miliknya itu akan dikembalikan semula keesokan di lokasi yang sama tepat jam 12 tengah malam.

Sumber berkata, mangsa yang percaya dengan janji ketiga-tiga lelaki terbabit datang semula ke lokasi itu seperti yang dijanjikan sebelum melihat empat lelaki termasuk tiga individu sama yang ditemuinya sebelum ini, datang menaiki sebuah kereta Proton Wira.

Katanya, suspek kemudian menarik dan memaksa mangsa memasuki kenderaan itu dan membawanya ke sebuah hotel di Jalan Pudu sebelum keempat-empat lelaki terbabit merogolnya.

“Mangsa yang berada dalam kesakitan merayu supaya tidak diperlakukan demikian, namun tidak dihiraukan suspek.
“Suspek meninggalkan mangsa bersendirian di hotel berkenaan tanpa memulangkan wang tunai dan telefon bimbit seperti yang dijanjikan sebelum mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pihak hotel,” katanya.

Mangsa turut menghubungi ahli keluarganya supaya datang ke lokasi berkenaan dan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Gombak keesokannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya berikutan lokasi kejadian berlaku di kawasan Dang Wangi.

Katanya, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada mangsa dan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan usaha memburu suspek sedang dilakukan.

Guru skim SSM diminta tunggu pengumuman – Berita Harian


Guru skim SSM diminta tunggu pengumuman

2012/02/25

BATU PAHAT: Keputusan kenaikan pangkat guru yang dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) bergantung kepada pengumuman penting yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, golongan guru yang menantikan keputusan kenaikan pangkat diminta bersabar sehingga pengumuman itu dibuat.

“Lebih baik kita tunggu hasil perbincangan antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)… seperti kita maklum satu pengumuman penting akan dilakukan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini.

“Jika merujuk kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman semalam (kelmarin), sesuatu yang menggembirakan akan diumum Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng juga salah seorang pimpinan CUEPACS dan saya yakin perkara ini ada dibangkitkan dalam perbincangan bersama JPA… jadi kita tunggu hasilnya,” katanya selepas merasmikan Karnival TM Gegar, di Dataran Penggaram, di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta Kementerian Pelajaran mengesah terlebih dulu kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut SSM sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

KGMMB mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.

SBPA: Tunggulah pengumuman 12 Mac, kata PM – Sinar Harian


SBPA: Tunggulah pengumuman 12 Mac, kata PM

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Februari 2012
NAJIB

MELAKA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan keputusan kerajaan berhubung isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada perhimpunan yang dianjurkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada 12 Mac depan.

“Tunggulah masa, kalau saya umum hari ini tak jadi (tidak seronok), tak ada ‘surprise’ (kejutan).

“Mungkin tunggulah bila kita ada majlis, Cuepacs setuju untuk mengatur satu perhimpunan besar-besaran di mana dalam perhimpunan itu nanti saya akan
menyampaikan keputusan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di bandar Melaka di sini, semalam.

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat yang diadakan dengan Cuepacs kelmarin berlangsung dalam suasana baik dan mereka bersikap positif dalam isu penyelesaian SBPA.

Kelmarin, Najib mengadakan pertemuan dengan Cuepacs selama 45 minit dengan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Pejabat Perdana Menteri.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman pada pertemuan itu dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perhimpunan besar-besaran yang mengumpul 15,000
penjawat awam di Bukit Jalil pada 12 Mac depan yang dijangka dihadiri Perdana Menteri.

Mengenai lawatan kerjanya ke Melaka, Najib berkata beliau berpuas hati dengan kerancakan pembangunan dan pembaharuan di negeri bersejarah itu.

“Pada saya, Melaka sedang menghadapi cabaran menguruskan kejayaan… dan inilah yang saya fikirkan cabaran masa datang bagaimana boleh menentukan tahap
kemudahan di Melaka dapat ditingkatkan supaya tidak membantut perkembangan kejayaan Melaka,” katanya.

Beliau berkata pengusaha-pengusaha hotel juga menyatakan rasa puas hati dengan pelaburan mereka di Melaka.

Beliau juga berkata Barisan Nasional (BN) Melaka secara keseluruhan sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum apabila tiba masanya kelak. – Bernama