Guru diminta sabar keputusan kenaikan pangkat – Sinar Harian


Guru diminta sabar keputusan kenaikan pangkat

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Februari 2012

BATU PAHAT – Keputusan kenaikan pangkat guru yang dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) bergantung kepada pengumuman penting yang akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata, sehubungan itu golongan guru yang menantikan keputusan kenaikan pangkat diminta bersabar.

“Lebih baik kita tunggu hasil perbincangan antara Cuepacs dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana seperti kita maklum satu pengumuman penting akan dilakukan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Jika merujuk kenyataan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman hari ini (kelmarin), sesuatu ‘yang menggembirakan’ akan diumumkan Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng adalah salah seorang pimpinan Cuepacs dan saya amat yakin perkara ini ada dibangkitkan dalam perbincangan bersama JPA. Jadi kita tunggu hasilnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini mendesak Kementerian Pelajaran mengesahkan terlebih dahulu mengenai kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut SSM sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

KGMMB mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Puad berkata, tiada arahan penutupan sekolah dibuat terhadap Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah di Ayer Keroh, Melaka walaupun 67 pelajarnya di kuarantin di asrama sekolah itu selepas didapati mempunyai simptom penyakit serupa Influenza (ILI).

“Setakat ini belum ada arahan (penutupan sekolah) dikeluarkan.Kita bergantung pada pandangan daripada Kementerian Kesihatan sebelum memutuskan apa-apa.

“Apa tindakan juga yang diambil bagi menangani wabak ini, kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan. Kita akan merujuk Kementerian Kesihatan tentang langkah yang perlu diambil.

“Kementerian berharap ibu bapa tidak bimbang, apa juga tindakan diambil kita akan mengutamakan pelajar dan ibu bapa. dan paling utama kita akan pastikan wabak ini terkawal,” katanya.

Penambahan guru Kafa di Sabah – Bernama


Penambahan guru Kafa di Sabah

26 Februari 2012

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meningkatkan jumlah guru Kursus Asas Fardu Ain (Kafa) selaras dengan pertambahan jumlah murid, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Beliau berkata kini terdapat 1,651 kelas Kafa di Sabah dengan jumlah murid seramai 44,646 orang dan 2,000 orang guru.

“Kerajaan akan menyediakan pelbagai kemudahan prasarana dan latihan serta kebajikan kepada guru-guru pendidikan Islam termasuk kepada Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat bagi membimbing anak-anak umat Islam di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Pengajian Rendah Negeri Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah di sini hari ini.

Nasir turut mencadangkan satu dana latihan bagi guru-guru Kafa disediakan bagi memberikan latihan konsisten berikutan bilangan guru yang mencecah hampir 2,000 orang.

Beliau turut berharap Jakim dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi menganjurkan program seperti konvensyen itu agar menjadi instrumen kepada guru-guru untuk memperkasakan diri sebagai guru-guru agama yang efisien dan produktif.

“Jakim juga boleh memperluaskan konvensyen yang julung kali diadakan ini ke peringkat sekolah menengah mahupun ke pengajian tinggi bagi menyemarakkan lagi aktiviti pendidikan Islam terus mendapat manfaat di semua peringkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata pertambahan guru-guru Kafa dalam perhatian pihaknya memandangkan perkembangan anak-anak umat Islam termasuk di Sabah yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Melihat kepada perkembangan anak-anak yang sentiasa bertambah, keperluan guru-guru Kafa adalah dalam perhatian Jakim untuk ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam ucapannya, Othman berkata Jakim Sabah merancang meningkatkan kuota guru Kafa kepada 2,500 orang berbanding 2,200 pada masa kini untuk memperkasakan Kafa menjelang 2015.

Mengenai dana latihan bagi kira-kira 34,000 guru-guru Kafa di seluruh negara, beliau berkata pihaknya akan menjalankan kursus asas pengajaran dan pembelajaran secara berperingkat dengan menggunakan tenaga pengajar terpilih di pusat-pusat latihan sedia ada Jakim mengikut zon iaitu di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Seramai 550 peserta yang terdiri daripada 300 guru Kafa, 100 guru Sekolah Agama Negeri dan 100 guru Sekolah Agama Rakyat menghadiri konvensyen selama dua hari yang berakhir esok.- Bernama

Pendidikan medium terbaik pencegahan – Sinar Harian


Pendidikan medium terbaik pencegahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Februari 2012
Pendidikan medium terbaik pencegahan

BATU GAJAH – Sudah tiba masa warga sukan di semua peringkat di negeri ini didedahkan dengan lebih banyak pengetahuan mengenai akta dan penggunaan dadah terlarang.

Exco kerajaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, walaupun mendidik atlet negara mengenai dadah boleh dianggap sudah agak terlewat tetapi ia lebih baik daripada tidak mengambil apa-apa tindakan langsung.

“Bagi saya program kesedaran boleh diselaraskan di semua peringkat bermula di sekolah kerana dari sekolahlah kita perlu dedahkan tentang pendidikan agar mencegah atlet muda kita dari mengambil bahan terlarang.

“Ini boleh dilakukan dengan kerjasama daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan ia memberi ruang untuk nasihat dan kesedaran berterusan kepada pegawai, jurulatih dan atlet tentang pelbagai maklumat mengenai dadah terlarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Sukan Sekolah Perak 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dalam menangani isu kegagalan atlet 4X400m, Mohd Yunus Lasaleh dalam ujian doping ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu apabila ujian sampel B telah disahkan positif oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc).

Zainol Fadzi berkata, peranan jurulatih amat penting dalam memberi penekanan dan nasihat kepada atlet berhubung isu penyalahgunaan bahan antidoping.

“Berdasarkan kes sebelum ini, terdapat atlet yang tidak menyedari kewujudan bahan terlarang di dalam makanan atau ubatan yang diambil. Jurulatih yang memberikan makanan tambahan tertentu juga seharusnya mempunyai pengetahuan yang luas dan jelas khususnya melibatkan pengambilan ubat kerana kita khuatir bahan tersebut sebenarnya mengandungi dadah terlarang,” katanya.

Mohon kemasukan murid tahun satu mulai Mac – Sinar Harian


Mohon kemasukan murid tahun satu mulai Mac

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Februari 2012
Hashim

KUALA TERENGGANU – Permohonan penempatan murid ke sekolah rendah hanya boleh dibuat seawal dua tahun sebelum mula bersekolah.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd Zin melalui kenyataannya kepada Sinar Harian berkata, penempatan kemasukan murid tahun satu bagi sesi 2013 dan 2014 akan bermula pada 1 Mac hingga 30 April 2012 di sekolah yang dimohon.

Menurutnya, permohonan penempatan tersebut adalah bagi kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007, bagi tahun persekolahan 2013 dan 2 Januari 2007 hingga 1 Januari 2008 untuk tahun 2014.

“Semua urusan permohonan penempatan hendaklah dilaksanakan di peringkat sekolah mulai 1 Mac hingga 30 April 2012 pada hari bekerja dan waktu pejabat di sekolah yang dimohon.

“Ibu bapa atau penjaga perlu membawa sijil kelahiran kanak-kanak (salinan asal dan fotostat) dan juga bukti alamat tempat tinggal dengan membawa bil elektrik atau air atau dokumen lain yang berkenaan semasa pendaftaran,” katanya.

Menurutnya, bagi kanak-kanak cacat penglihatan/pendengaran dan bermasalah pembelajaran, mereka perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum pendaftaran dilakukan, di mana borang-borang pemeriksaan tersebut boleh didapati di Unit Pendidikan Khas, JPNT.

“Bagi permohonan penempatan kanak-kanak bukan warganegara bagi tahun 2013 pula, permohonan perlu dilakukan di JPNT selepas 1 Oktober 2012,” katanya.

Hashim berkata, setiap borang permohonan diisi dengan tiga salinan dan disertakan dua salinan sijil kelahiran kanak-kanak, dua salinan kad pengenalan ibu bapa, dua salinan pasport anak dan ibu bapa.

Katanya, jika ibu bapa bekerja di Malaysia, sertakan salinan pas pengajian yang sah, salinan pas tanggungan (anak/ibu) dan salinan surat majikan (semua dua salinan).

“Jika permohonan bukan daripada ibu bapa murid, sertakan salinan sijil lahir, salinan kad pengenalan murid dan ibu bapa, salinan pasport murid dan ibu bapa serta salinan surat keterangan hubungan dengan kanak-kanak tersebut.

“Kesemuanya dalam dua salinan dengan mendapatkan pengesahan Guru Besar. Borang dan keterangan lanjut boleh berhubung dengan Unit Perhubungan dan Pendaftaran, JPNT,” katanya.

Guru Kafa terima bonus khas – Sinar Harian


Guru Kafa terima bonus khas

NURUL MAZWANA HAMDAN
26 Februari 2012
kafa

IPOH – Seramai 3,120 guru Kafa seluruh negeri Perak menerima bonus khas bernilai RM500 setiap seorang daripada pihak Kerajaan Negeri atas usaha dan sumbangan yang telah dicurahkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bonus khas tersebut diberikan setelah Kerajaan Negeri membuat perkiraan dan ia sekali gus adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kepada golongan berkenaan.

“Malah pemberian bonus ini juga sebenarnya tidak ada sebarang kaitan dengan Kerajaan Persekutuan kerana ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf sumbangan guru-guru Kafa seluruh Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pembangunan dan Pengurusan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Negeri Perak daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), di sini semalam.

Beliau berkata, pemberian bonus khas tersebut melibatkan peruntukkan sejumlah RM1.56 juta daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Kita amat berharap agar semua guru-guru Kafa ini dapat berkhidmat dengan cemerlang selain berupaya meningkatkan prestasi dan produktiviti dalam mendidik murid-murid,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, Kerajaan Negeri telah menerima surat daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menaik taraf Kolej Islam Darul Ridzuan kepada kolej universiti.

“Terima kasih kepada KPT kerana berdasarkan penilaian yang mereka lakukan terhadap kemampuan kepada Kolej Islam Darul Ridzuan ini.

“Kita sedang dalam peringkat melihat keperluan-keperluan bagi meningkatkan taraf kolej tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, Menjadi dasar besar Kerajaan Negeri untuk mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pendidikan malah ia selaras dengan dasar Perak untuk menjadikan Perak sebagai hub pendidikan di Malaysia.

“Dengan adanya keputusan ini, yang membenarkan kita menaik taraf, maka kita akan mempunyai sebuah lagi universiti di Perak,” katanya.

Dalam perkembangan lain Zambry turut menyerahkan replika cek bernilai lebih RM 14 juta daripada kementerian kepada Mohd Yusop untuk diagihkan kepada 660 SAR seluruh Perak.

Dua guru kempunan duit gaji – Sinar Harian


Dua guru kempunan duit gaji

NORFARAHAH OTHMAN
26 Februari 2012
Dua guru kempunan duit gaji

BENTONG – Dua guru berdepan detik cemas apabila bukan sahaja dirompak, tetapi turut dibawa ‘lari’ perompak hampir 30 kilometer dari rumah sebelum dicampak di tepi jalan.
Namun, mereka bernasib baik kerana berjaya ditemui orang awam yang kemudiannya menghubungi polis bantuan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, guru terbabit, Md Fikri Hasbollah, 28, dan rakannya, Ismail Ibrahim, 32, sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing di Taman Hijau, Karak dekat sini. Md Fikri berkata, dia dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki dan seorang wanita bersenjatakan parang.

Menurutnya, dia disuruh bangun dan kemudiannya dibawa masuk ke bilik rakannya, Ismail.

“Mereka juga memaksa kami menyerahkan dompet dan barang berharga. Selepas itu mereka bertindak menutup mata kami menggunakan pita pelekat termasuk mengikat kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Fikri berkata, salah seorang suspek turut mengarahkannya memberikan nombor pin bank dan mengu­gut akan memotong jarinya sekiranya beri nombor yang salah.

Menurutnya, dia dan rakan terpaksa memberikan nombor yang betul bagi mengelakkan diri diapa-apakan dalam kejadian itu.

“Seingat saya, kami turut dibawa menaiki kereta Kelisa milik Ismail dan diminta tunggu di dalam kereta sementara urusan mengeluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selesai. Saya tidak pasti ke mana kami dibawa selepas itu, tetapi dipercayai sekitar Mentakab,” katanya.

Md Fikri berkata, mereka berdua dipindahkan dari kereta Kelisa ke kenderaan lain dipercayai van yang di dalamnya terdapat beberapa orang lain sebelum dicampakkan ke tepi jalan sekitar kawasan Mentakab. Menurutnya, mereka diselamatkan polis peronda kira-kira jam 7 pagi.

“Kejadian ini sememangnya amat menakutkan dan memberi kesan terhadap emosi. Namun kami bernasib baik tidak diapa-apakan oleh penjenayah terbabit,” katanya.

Manakala bagi, Ismail pula, selain kereta miliknya dilarikan, mereka berdua kempunan menikmati duit gaji bagi bulan ini.

Menurutnya, gaji bulanan baru sahaja masuk dua hari lalu, namun semuanya dikebas perompak itu.

“Kejadian berlaku sememangnya tidak disangka kerana tidak sampai sebulan kami berdua berpindah ke rumah ini. Kami juga masih belum sempat membayar sewa bulanan,” katanya.

Ismail berkata, jumlah kerugian dialami mereka dianggarkan mencecah RM30,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya mengesah­kan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian.

“Orang awam mempunyai maklumat diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Susulan kejadian ini, saya menasihatkan penduduk agar peka dengan keadaan persekitaran dan sekiranya ternampak aktiviti mencurigakan, sila lapor kepada balai polis berhampiran dengan segera,” katanya.

Lahir anak moyang – Metro


Lahir anak moyang

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD dan ANIZA ZAINUDIN
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle

SUBANG JAYA: Dia memiliki dua isteri dan sudah bercicit. Bagaimanapun, status itu langsung tidak menghalang seorang lelaki berusia 75 tahun meneruskan kegilaannya terhadap gadis belasan tahun.

Bagi mencapai hajatnya, moyang terbabit yang berharta tidak berkira untuk menghamburkan wang, asalkan ‘pucuk muda’ diidam jatuh ke tangan.

Lebih jijik, dia juga didakwa tidak teragak-agak menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir mangsa andai kemahuannya ditolak mentah-mentah gadis idaman yang sebaya cicitnya.

Setakat ini, tiga gadis belasan tahun mendakwa dinodai moyang terlampau terbabit yang dikenali dengan nama Borhan hingga seorang daripada mereka mengandung anak luar nikah.

 
Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 17, mendakwa mengenali Borhan di sebuah pusat karaoke ketika moyang terbabit datang ke pusat hiburan itu untuk berhibur.

Dibenam dalam kolah – Metro


Dibenam dalam kolah

Laporan dan foto YAHYA AWANG
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERKEJUT... Saedah dengan anaknya Mohd Azrul menceritakan kejadian yang menimpa Nurul Aien.
TERKEJUT… Saedah dengan anaknya Mohd Azrul menceritakan kejadian yang menimpa Nurul Aien.

TAIPING: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui maut, dipercayai dirogol sebelum kepalanya dibenam di dalam kolah di bilik air rumahnya di sini, petang kelmarin.

Mayat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato’ Wan Ahmad Rasdi (SMKDWAR) itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh.

Dalam kejadian jam 4.30 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, mangsa dikenali sebagai Nurul Aien Mohd Saimon ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian.

 
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung jam 4.30 petang.

Kurang interaksi punca terjebak – Metro


Kurang interaksi punca terjebak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Kekurangan interaksi antara ibu bapa dengan anak dikenal pasti antara punca utama remaja perempuan mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial atau terpengaruh dengan janji manis lelaki hidung belang yang bijak mengambil kesempatan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah berkata, ibu bapa perlu menggunakan beberapa pendekatan bagi membendung pelbagai gejala sosial yang makin tidak terkawal di kalangan remaja masa kini.
Antaranya ialah meningkatkan komunikasi dengan anak berusia 10 hingga 16 tahun yang sangat penting, terutama remaja perempuan, supaya mereka tidak memindahkan tanggungjawab itu kepada teman lelaki, seterusnya membawa pelbagai musibah.

 

“Anak pada usia beginilah yang perlu diberikan tumpuan kerana remaja perlukan bimbingan untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup. Pada usia begini juga anak pandai menyimpan rahsia.
“Sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa ada bersama anak, walau sesibuk mana sekalipun. Jangan bina batasan atau jurang dengan anak kerana ia boleh menimbulkan kesan buruk. Itulah pentingnya komunikasi dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Menurutnya, meskipun bilangan penghuni Baitul Fiqh tahun lalu berkurangan berbanding tahun sebelumnya, ia tidak bermakna kes membabitkan remaja, terutama hamil luar nikah, berkurangan.

 

 

“Remaja sekarang lebih berani dan agresif serta mampu bertindak di luar kawalan dan jangkaan ibu bapa. Gejala ini harus ditangani segera dan ia memerlukan kerjasama banyak pihak,” katanya.
Juhaidi berkata, selain pengaruh kawan, telefon dan Internet juga antara yang menyumbang kepada keruntuhan moral remaja.

 

“Berdasarkan kajian dibuat di Singapura, remaja tidak bersekolah lebih ramai terbabit dengan gejala sosial berbanding yang bersekolah.
“Ini disebabkan mereka yang tidak bersekolah ada lebih banyak masa terluang yang memberi lebih peluang melakukan kegiatan tidak bermoral.
“Apa pun, ibu bapa perlu mengawasi gerak-geri anak mereka dan jangan terlalu memberi kebebasan, terutama dalam pergaulan,” katanya.

Pendidikan negara perlu kajian semula – Utusan


Pendidikan negara perlu kajian semula

BARAM, Miri 25 Feb. – Sistem pendidikan negara perlu dikaji semula dalam usaha meningkatkan kualiti bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk tujuan itu, Kementerian Pelajaran akan menyediakan satu laporan lengkap yang dijangka siap akhir tahun ini berhubung inisiatif yang perlu bagi mewujudkan sistem pendidikan berkualiti tinggi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi laporan berkenaan, kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkaitan di samping mengadakan beberapa sesi dialog pendidikan bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara itu.

‘‘Saya belum berpuas hati dengan tahap pencapaian dalam sistem pendidikan kita kerana masih banyak perkara yang boleh dilakukan dan satu daripadanya ialah kita perlu mempunyai sejumlah warga pendidik yang mahir dan terlatih.

‘‘Di negara kita, menerusi beberapa ujian tertentu yang dilaksanakan, kompetensi guru jika dilihat dari segi penanda aras antarabangsa, masih ada perbezaan ketara berbanding negara-negara lain,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Pekan Lapok, daerah kecil Bakong dekat sini petang ini.