Guru besar kena gomol sebab tegur kelas bising – Sinar Harian


Guru besar kena gomol sebab tegur kelas bising

GOKINA MORGANAN
28 Februari 2012

GEORGETOWN – Gara-gara tidak boleh menerima teguran,  guru lelaki dari sebuah sekolah rendah di Air Itam, dipercayai bertindak mencederakan guru  besar  di tangan dan belakang kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, ia dikatakan berpunca selepas guru besar yang melalui sebuah kelas terdengar bunyi bising sebelum menegur guru kelas berkenaan.

Difahamkan, guru kelas berkenaan enggan menerima teguran dan berlaku sedikit pertengkaran antara mereka sebelum guru besar cuba merakam suasana dalam kelas itu menggunakan telefon bimbitnya.

Ketika itu, guru kelas berang dan menggomol guru besar sambil diperhatikan murid termasuk darii kelas terbabit. Mereka hanya mampu melihat aksi kedua-dua guru berkenaan.

Suasana bertukar menjadi kecoh hingga memaksa guru lain campur tangan untuk meleraikan pergaduhan itu setelah kedua-dua tangan dan belakang kepala guru besar cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan turut membuat laporan polis mengenai  kejadian itu.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu. Guru terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan,” katanya.

Tiga anak yatim dakwa didera – Sinar Harian


Tiga anak yatim dakwa didera

ZAIRUL AFIZA HAMZAH
28 Februari 2012
dera

TEMERLOH  – Tiga penghuni sebuah rumah kebajikan anak yatim di sini dikejarkan ke hospital pagi semalam selepas dikatakan didera beberapa kakitangan rumah kebajikan tersebut.

Dua daripada mereka masih menerima rawatan di Hospital Sultan haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini sementara seorang dibenarkan keluar beberapa jam selepas menerima rawatan di wad kecemasan hospital tersebut.

Kejadian dipercayai berlaku beberapa minggu lalu dan terbaru semalam sebelum salah seorang mangsa menghubungi ibunya yang menetap di Puchong, Selangor yang kemudian bergegas ke rumah kebajikan terbabit menyelamatkan anak bersama dua rakannya.

Kesemua mereka bagaimanapun diselamatkan ibu salah seorang penghuni yang nekad membawa anaknya keluar 2.30 pagi semalam.

Siti Normala Shamsuddin, 47, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya, Nur Izzati Ngah, 14, malam semalam mengenai kejadian dan terus memandu kereta ke Temerloh bersama keluarganya.

Menurutnya, sebaik sampai dia terpaksa menipu kakitangan rumah kebajikan tersebut dalam usaha membawa anaknya bersama dua rakannya dipercayai didera keluar dari rumah itu.

“Saya lihat kesan lebam pada lengan dan tangan anak, sebelum ini dia ada mengadu, tetapi saya tidak kisah kerana anggap memang salah dia tetapi apabila kerap sangat tengok keadaan anak lebam saya nekad membawanya keluar.

“Saya kemudian terus buat laporan polis, dan hantar anak serta kawannya ke hospital,” katanya semalam.

Nur Izzati berkata, dia dicubit di lengan dan kepalanya terhantuk ke besi katil selepas melawan kata kakitangan rumah yang kerap memarahinya.

“Beberapa kawan saya juga didera dengan besi katil dan dicubit seorang kakitangan rumah kebajikan ini tanpa sebab.

“Dua kawan saya ini masih dirawat di hospital, seorang masih dirawat dan seorang lagi masih ditahan sebab waris gagal dikesan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang lagi mangsa Zawiyah Yahya 42, dari Kampung Paya Keladan di sini tidak dapat menerima kenyataan anaknya Siti Hajar Aishah, 14, menjadi mangsa dera.

Menurutnya, anaknya ada mengadu kepadanya didera sejak setahun lalu oleh kakitangan rumah kebajikan terbabit.

“Dia pernah cerita didera sebab lambat turun dari asrama untuk pergi belajar, dicubit di lengan dan disimbah air kerana lambat bangun pagi. Sekarang saya masih di wad menunggu pemeriksaan doktor kerana anak masih mengadu sakit di lengan.

“Niat saya hantar dia supaya dapat didikan agama di sini, tetapi lain pula jadinya, sekarang saya serahkan perkara ini kepada polis untuk jalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan R Sundralingam berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan kes berkenaan.

Penyanyi hip hop didakwa rogol dibebas jaminan polis – Metro


Penyanyi hip hop didakwa rogol dibebas jaminan polis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GOMBAK: Penyanyi sebuah kumpulan berkonsep hip hop popular tanah air yang ditahan polis selepas didakwa merogol anak tiri di rumahnya di Gombak Jaya pada 19 Februari lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penyanyi berusia 37 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis kerana pihaknya masih menunggu laporan kimia daripada hospital untuk melengkapkan kertas siasatan.
Harian Metro 20 Februari lalu melaporkan seorang penyanyi hip hop popular ditahan polis selepas didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun di kediaman mereka sejak tujuh tahun lalu.

 

Penyanyi terbabit yang juga pernah berlakon filem itu ditahan selepas anak tirinya itu membuat laporan di Balai Polis Gombak, di sini, jam 11 malam.
Menurut sumber, dalam laporannya mangsa mendakwa dinodai bapa tirinya itu sejak berusia tujuh tahun dan kejadian terbaru berlaku pada 9 Februari lalu. Berikutan laporan itu, polis melakukan siasatan sebelum menahan penyanyi terbabit di rumahnya di Gombak Jaya, kira-kira jam 2 pagi.
Sumber itu berkata, remaja perempuan terbabit mendakwa dia nekad membuat laporan polis kerana tidak tahan dijadikan hamba seks bapa tirinya sejak tujuh tahun lalu selain bimbang keselamatan adik perempuannya yang lain.

Bantu ibu, anak adegan terlarang – Metro


Bantu ibu, anak adegan terlarang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis kini mengesan seorang wanita yang sering dipaksa suaminya melakukan aksi seks termasuk di luar tabii di hadapan ketiga-tiga anaknya di ruang tamu rumah sejak tujuh tahun lalu.

Jurucakap JKM negeri berkata, pihaknya mahu mengumpul maklumat lengkap mengenai kejadian terbabit selain cuba memberi khidmat kaunseling dan perlindungan kepada mangsa berusia 30-an serta tiga anaknya berusia tujuh hingga 15 tahun.
Katanya, ketiga-tiga anak mangsa boleh dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menghalang mereka diperlakukan dengan kejam oleh bapa mereka.

 

“Mangsa yang juga isteri suspek juga boleh dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang memberi perlindungan kepadanya daripada dianiaya suami walaupun tinggal sebumbung.
“Kami akan berjumpa mangsa bagi mendapatkan gambaran kejadian dan menyiasat kes ini sama ada dia serta anaknya benar diperlakukan sedemikian rupa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, pada masa sama, pihaknya perlu terlebih dulu mendapatkan laporan perubatan mangsa jika suaminya pernah melakukan hubungan seks di luar tabii ke atasnya.

 

 

Katanya, pihaknya juga akan berhubung dengan polis bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan siasatan bagi tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri (JPWN) Perlis, Muhamad Hazimin Jamaludin berkata, pihaknya bersedia untuk memberi khidmat kaunseling kepada mangsa jika dia bercerai, sekali gus bergelar ibu tunggal.

 

Selain itu, katanya, pihaknya akan membantu daripada segi sokongan moral dan bantuan sokongan perniagaan kepadanya bagi menampung kos kehidupan pada masa depan.
“Di Perlis, terdapat lebih 5,000 ibu tunggal berdaftar dengan JPWN bagi mendapat bantuan yang dimaksudkan.
“Kami bukan menggalakkan mangsa untuk bercerai, cuma mahu orang ramai tahu perceraian itu bukan satu perkara yang bermaksud pengakhiran bagi kehidupan seseorang wanita,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan seorang penjawat awam mengharungi neraka dunia apabila sering dipaksa suaminya melakukan aksi seks termasuk aksi luar tabii di hadapan ketiga-tiga anak mereka di ruang tamu rumah mereka.
Lebih menjijikkan, suami bernafsu binatang itu juga sudah merakam aksi ‘bersama’ mereka sejak dari malam pertama perkahwinan sehingga kini.

Rogol, seks oral dalam balai polis konstabel dijel 20 tahun, sebat 3 kali – Utusan


Rogol, seks oral dalam balai polis konstabel dijel 20 tahun, sebat 3 kali

PETALING JAYA 27 Feb. – Harapkan pagar, pagar makan padi.

Demikian perumpamaan yang boleh diberikan kepada seorang konstabel yang dihukum penjara 20 tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan memaksa melakukan seks oral dan merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di dalam balai polis, empat tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abd. Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamil Abdul Sah, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Bagaimanapun, peguam Ariff Azami Hussein memohon agar perlaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi, namun permohonan itu ditolak oleh mahkamah.

Hayatul Akmal berkata, alasan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan tidak cukup kukuh untuk membolehkan hukuman itu ditangguhkan.

Jamil didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Maklumat Balai Polis Putra Heights, Putra Heights di sini antara pukul 6 dan 7 pagi, 18 Jun 2008.

Dakwaan terhadap bapa kepada seorang anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 377B dan 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Terdahulu, Ariff Azami ketika merayu untuk meringankan hukuman berkata, tidak wujud sebarang keganasan dan kecederaan di dalam kes tersebut selain tertuduh sering bekerjasama dengan menghadirkan diri ke mahkamah pada setiap kali perbicaraan walaupun dia ketika ini menetap di Sabah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen berkata, walaupun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal namun remaja itu mengalami kecederaan mental yang kekal dan sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian tersebut.

”Bagi alasan rekod kehadiran ke mahkamah, itu sememangnya menjadi tanggungjawab tertuduh dan ia tidak boleh dijadikan faktor mitigasi,” katanya.

Tambahnya lagi, hukuman yang setimpal perlu diberikan memandangkan tertuduh merupakan seorang anggota polis yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam namun dia membuat perkara sebaliknya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan sekali bagi kes memaksa mangsa melakukan seks oral dan penjara 20 tahun serta sebatan dua kali bagi kes merogol. Hukuman penjara berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama teman lelakinya telah ditahan dan dibawa ke balai polis oleh tertuduh yang merupakan anggota unit peronda (MPV) selepas mereka didapati membawa motosikal di lorong yang salah iaitu melawan arus.

Semasa di balai polis, mereka dipisahkan dengan mangsa dibawa ke sebuah bilik maklumat di balai tersebut dengan alasan untuk siasatan lanjut.

Namun semasa di dalam bilik itu, mangsa telah dipaksa untuk membuat seks oral dan dirogol.

Tertuduh kemudian mengugut mangsa dan memberi amaran supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa sebelum melepaskan dia dan teman lelakinya pulang.