MELAKA: Seramai 37 daripada 69 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (SMSMS) dijangkiti penyakit menyamai Influenza (ILI) pulih dan dibenarkan pulang ke asrama masing-masing sehingga semalam.
Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Dul Hadi Mat Junid berkata, bagaimanapun, 32 pelajar masih dikuarantin di bangunan berasingan sekolah berkenaan.
Katanya, penularan wabak berkenaan masih terkawal dengan hanya dua kes baru membabitkan ILI direkodkan di sekolah itu semalam.
“Keadaan bertambah baik apabila sehingga jam 12 tengah hari tadi (semalam), empat pelajar dibenarkan pulang ke asrama masing-masing, menjadikan hanya 32 pelajar kini masih menjalani proses kuarantin.
“Sejak ILI dikesan pada 19 Februari lalu, jumlah keseluruhan pelajar dikuarantin mencecah 69 orang dan mereka yang pulih 37 orang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dr Dul Hadi berkata, ibu bapa pelajar dinasihatkan tidak khuatir kerana pemeriksaan kesihatan rapi kakitangan Pejabat Kesihatan Melaka Tengah setiap hari di sekolah berkenaan. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan sekolah di negeri ini dalam tempoh terdekat bagi membincangkan langkah membendung penularan penyakit berjangkit di kalangan pelajar.
“Kerajaan negeri bercadang menganjurkan kempen kebersihan di setiap sekolah di sini khususnya berhubung amalan kebersihan perlu dititikberatkan warga sekolah,” katanya.
“Kami menggalakkan gotong-royong membersihkan persekitaran sekolah bagi mengelak penularan penyakit berjangkit,” katanya.