Remaja perempuan antara yang ditahan terlibat dadah – Utusan


Remaja perempuan antara yang ditahan terlibat dadah

01/03/2012 4:29pm

 

 

Oleh Oleh ZULHISHAM ISAHAK

 

MUAR 1 Mac – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah terbesar di daerah ini dengan tertangkapnya lima lelaki dan tiga wanita termasuk seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Jalan Salleh di sini pada Isnin lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu, polis merampas dadah jenis syabu, heroin, ketamin, pil ekstasi, ganja dan peralatan memproses dadah termasuk tiga buah kereta mewah kesemuanya bernilai RM1 juta.

Operasi yang dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu turut merampas wang tunai berjumlah RM4,200.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, rumah tersebut dipercayai dijadikan makmal untuk memproses dadah sejak sebulan lalu. _ UTUSAN

Keputusan STPM diumumkan Rabu depan – Bernama


Keputusan STPM diumumkan Rabu depan

2012/03/01

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada jam 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. – BERNAMA

Cuepacs harap pengumuman penting PM 19 Mac – Sinar Harian


Cuepacs harap pengumuman penting PM 19 Mac

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012

KANGAR – Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan akan hadir ke Perhimpunan Khas Penjawat Awam yang dianjurkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 19 Mac ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, Najib dijangka mem­buat pengumuman penting kepada selu­ruh penjawat awam mengenai keputusan tuntutan lima perkara dibawa kongres itu berhubung isu Skim Baru Penjawat Awam (SPBA).

Menurutnya, pihaknya percaya keputusan terbaik sudah difikirkan Kerajaan Pusat dalam memastikan penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak perlu menunggu masa lebih lama.

“Sehubungan itu, saya menggesa sekurang-kurangnya 20,000 penjawat awam wajib hadir menyertai perhimpunan khas itu untuk menyuarakan tuntutan kita berhubung isu SBPA.

“Setakat ini, maklum balas yang diberikan amat positif dan saya difahamkan perhimpunan ini bukan sahaja bakal disertai kumpulan penjawat awam Gred Pelaksana 1 dan 2, malah turut melibatkan kumpulan pengurusan Gred 54 dan ke bawah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bengkel Pengurusan Ahli-ahli Kesatuan Kastam Semenanjung Malaysia di sebuah hotel di sini semalam.

Hadir sama Presiden Kesatuan Kerja Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad.

Bekas pekerja kilang dibebas dan dilepas tuduhan rogol – Sinar Harian


Bekas pekerja kilang dibebas dan dilepas tuduhan rogol

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012
Bekas pekerja kilang dibebas dan dilepas tuduhan rogol

ALOR SETAR – Seorang pekerja kilang menangis kegembiraan setelah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, dari disabitkan dengan tuduhan rogol, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, membuat keputusan berkenaan selepas mempertimbangkan keterangan mangsa tidak berlaku persetubuhan semasa malam kejadian sebaliknya hanya berasmara.

Sebelum ini, pada 3 November 2011, hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dari tarikh berkenaan ke atas Mohamad Khairul Ya’kob, 21, yang didakwa merogol seorang gadis yang ketika itu berumur 15 tahun.

Kejadian berlaku di sebuah rumah, Taman Kobis, Lunas, Kulim lebih kurang jam 12.15 pagi pada 1 Oktober 2009 dan dia dituduh mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Keputusan berkenaan sekaligus membenarkan rayuan dibuat oleh Mohamad Khairul untuk mengetepikan keputusan dibuat di Mahkamah Sesyen.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, semasa keterangan dibuat tidak menunjukkan mangsa berada dalam keadaan tertekan dan keliru.

Mohamad Khairul diwakili peguam RSN Rayer dan pendakwaan dilakukan Wan Nor Hasnita Wan Daud.

Isu keselamatan murid terancam – Sinar Harian


Isu keselamatan murid terancam

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012
Isu keselamatan murid terancam

SUNGAI PETANI – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Muda sedia memberikan kerjasama bagi membincangkan aspek keselamatan di sekolah berhubung kes percubaan menculik yang berlaku di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Pegawainya, Mohd Roslan @ Sobri Ismail berkata, kakitangannya telah berjumpa dengan pihak sekolah bagi mengetahui prosedur keselamatan dan membincangkan aspek keselamatan yang perlu ditingkatkan.

“Tujuan pihak sekolah berjumpa adalah untuk mendapat maklumat terperinci serta mengetahui tahap keselamatan, terutama semasa perjalanan pergi dan balik sekolah. Selebihnya kita serahkan kepada siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Kita juga berharap kejadian seumpama ini tidak berulang dan bersyukur kerana mangsa terselamat dari jadi mangsa culik,” katanya ketika melawat Pameran Pendidikan Kerjaya di Karnival Sungai Petani, kelmarin.

Roslan menyatakan demikian berhubung kejadian murid tahun dua yang melalui situasi cemas ditarik penculik ke sebuah van menggunakan taktik sama seperti penculikan arwah Nurin Jazlin Jazimin, lima tahun lalu.

Bapa mangsa yang bimbang dengan keadaan itu segera membuat laporan polis ke balai polis berdekatan yang disiarkan Sinar Harian 27 Februari lalu.

Dalam kenyataan bapa mangsa, penculik menggunakan pendekatan RM5 untuk mengumpan mangsa sebelum ditarik ke sebuah van yang terletak di luar pagar sekolah.

Penduduk kampung yang menyaksikan tindakan mencurigakan itu segera meminta penculik wanita berusia 30-an terbabit melepaskan genggaman tangan mangsa yang menyelamatkannya dari percubaan menculik.

Pengisian Maklumat Penarafan Keselamatan Sekolah – SISTEM PENARAFAN KESELAMATAN SEKOLAH


Pengisian Maklumat Penarafan Keselamatan Sekolah – SISTEM PENARAFAN KESELAMATAN SEKOLAH

Sukacita dimaklumkan bahawa proses pengisian maklumat Penarafan Keselamatan Sekolah bagi semua sekolah yang telah dimaklumkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) boleh dicapai melalui pautan ini.

Sekian, terima kasih.

Jabatan Pelajaran siasat guru gaduh – Metro


Jabatan Pelajaran siasat guru gaduh

 
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: Jabatan Pelajaran Pulau Pinang akan mendapatkan segala maklumat dan laporan lengkap daripada pengurusan sekolah berkaitan kejadian sebenar hingga tercetusnya pergaduhan antara seorang guru dengan guru besar di Air Itam, di sini, kelmarin.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Dr Sharifah Bee Aboo Bakar, berkata pihaknya mengumpul maklumat berkaitan termasuk mendapatkan keterangan daripada kedua-dua guru berkenaan bagi mengetahui punca kejadian sebelum tindakan diambil.

Menurutnya, buat masa ini kedua-dua masih menjalankan tugas dan mengajar seperti biasa.

Penyamun jadi tetamu – Metro


Penyamun jadi tetamu

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BAU: Sekumpulan tujuh hingga 10 penyamun bukan saja melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai lebih RM10,000, malah turut menghabiskan juadah sarapan keluarga seorang subkontraktor dalam kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Jambusan, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, kumpulan penyamun bersenjatakan parang itu dikatakan menyerbu masuk rumah mangsa, Chin Poo Kiong, 52, sebelum mengikat tangan isteri dan dua anaknya dengan tuala tangan, jam 6 pagi.

Chin berkata, dia berasa pelik apabila mendengar anjing peliharaannya tidak berhenti menyalak sebelum keluar melakukan pemeriksaan di sekitar kolam ikan diusahakan tidak jauh dari rumahnya.

“Saya dihampiri sekumpulan lelaki berparang yang mengacu senjata itu ke leher dan meminta saya menyerahkan wang,” katanya.

 
Menurutnya, lelaki terbabit membawanya ke dalam rumah sebelum menahan isterinya berusia 48 tahun yang menyediakan sarapan serta dua anak lelaki masing-masing berusia 20 dan 16 tahun sebelum mengikat tangan mereka menggunakan tali nilon dan tuala tangan.

Rentung berpelukan – Metro


Rentung berpelukan

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RENTUNG...dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.
RENTUNG…dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.

KOTA BHARU: Memilukan apabila seorang guru lelaki dan anak perempuannya berusia empat tahun mati rentung dalam keadaan berpelukan selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum meletup dan terbakar di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, di sini, mayat Che Arminudin Abdullah, 42, dan anaknya, Marissa Alma, ditemui di bahagian tengah antara tempat duduk hadapan dan belakang Toyota Rush dinaiki mereka.
Che Arminudin berasal dari Kampung Seberang Kastam, Besut, Terengganu menetap di Kampung Seri Kulim, Melur, dekat sini dan bertugas di Sekolah Menengah Teknik Pengkalan Chepa.

 

Berdasarkan posisi mayat ketika ditemui, dua beranak itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan Che Arminudin menarik keluar anaknya, tetapi gagal apabila kenderaan dinaiki meletup dan terbakar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila Toyota Rush yang dinaiki Che Arminudin bersama anaknya menghala ke Pasir Puteh terbabas dan melanggar tiang lampu.
Menurutnya, kenderaan itu kemudian masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Ford Ranger dipandu Azaizurien Ahmad, 33, dan seorang penumpang, Siti Nor Azreen Md Yani, 24, yang menghala ke Kota Bharu.

 

 

“Akibat pertembungan itu kedua-dua kenderaan meletup dan terbakar. Pemandu dan penumpang Ford Ranger berjaya diselamatkan penduduk kampung.
“Mereka dilaporkan cedera parah dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan,” katanya.

 

Menurut Jalaluddin, jenazah Che Arminudin dan Marissa Alma turut dibawa ke HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka.
Sementara itu, saksi kejadian, Abdul Razak Abdullah, 34, berkata, dia terdengar dentuman kuat ketika bekerja di Kilang Kitar Semula RD Papers di kawasan berhampiran tempat kejadian.
“Saya berlari keluar dan mendapati dua kenderaan berlanggar dan terus membantu menarik keluar dua mangsa yang berada di dalam Ford Ranger,” katanya.
Menurut warga Myanmar itu, dia cuba menyelamatkan mangsa di dalam Toyota Rush selepas melihat si bapa cuba menarik keluar anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang.
“Bagaimanapun, saya tidak sempat menyelamatkan mereka kerana kenderaan itu tiba-tiba meletup dan terbakar,” katanya.

CUEPACS rayu kakitangan awam diberi pilihan kedua – Berita Harian


CUEPACS rayu kakitangan awam diberi pilihan kedua

2012/03/01

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu peluang kedua diberi kepada kakitangan awam untuk memilih opsyen melanjutkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun, walaupun tarikh penyerahan borang bagi tujuan itu berakhir 31 Disember lalu.

Gesaan itu dibuat Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berikutan masih ramai lagi penjawat awam berminat untuk memilih opsyen terbabit, tetapi terlepas peluang berbuat demikian sebelum ini.

“Saya dapat tahu ramai penjawat awam berminat selepas mendapat tahu kelebihan memilih opsyen terbabit yang ditawarkan melalui pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Namun, disebabkan kurangnya kefahaman terhadap opsyen terbabit ketika ia mula ditawarkan, termasuk faktor tempoh masa singkat diberikan kepada penjawat awam untuk memikirkannya sebelum ini, menyebabkan ramai yang terlepas peluang berbuat demikian.

“Justeru, saya harap ketua jabatan dapat memberi sedikit kelonggaran di peringkat dalaman kepada kakitangan masing-masing untuk menyertai skim terbabit.

“Ia terbukti membawa banyak faedah kepada penjawat awam dan saya sendiri percaya ia dapat dilakukan tanpa menjejaskan ketetapan sedia ada,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Seminar Pengurusan Kesatuan Pekerja anjuran bersama Kesatuan Pekerja Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden KPKSM, Ibrahim Ahmad.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

Dalam skim baru berkenaan, hiraki perkhidmatan awam dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.