MB: Penjawat awam diingat tidak tentang kerajaan – Sinar Harian


MB: Penjawat awam diingat tidak tentang kerajaan

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mac 2012

KUALA TERENGGANU – Penjawat awam di negeri ini diingatkan agar tidak bersikap menentang kerajaan sebaliknya sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik dalam pekerjaan masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, segala perancangan Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada penjawat awam kerana menyedari pentingnya golongan itu dalam membantu memacu agenda pembangunan negara.

“Sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan, kita harap penjawat awam terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan atas segala usaha yang dilakukan,” katanya.

Kata Ahmad, penjawat awam juga perlu sentiasa berterima kasih dan mensyukuri segala usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan nasib mereka terbela.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Bersama Penjawat Awam negeri, persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, di sini.

Kata Ahmad, segala perkhidmatan yang dicurahkan kakitangan awam juga turut diberi ganjaran setimpal selain sentiasa mengambil berat setiap ketidakpuasan hati golongan itu.

Terbaru, kerajaan kini sedang dalam proses menyemak kembali skim gaji baru kakitangan kerajaan iaitu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dijangka keputusan muktamad diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri janib Tun Razak, dalam masa terdekat ini.

Seramai 5,000 kakitangan awam pelbagai sektor hadir pada perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sekolah diserang ulat bulu – Sinar Harian


Sekolah diserang ulat bulu

SYAMILAH ZULKIFLI
5 Mac 2012
ulat bulu

SEREMBAN – Serangan ulat bulu di sebuah sekolah rendah di Senawang, dekat sini sejak dua minggu lalu merisaukan ibu bapa.

Kejadian disedari seorang daripada ibu bapa terbabit yang datang ke sekolah berkenaan untuk membuat uru­-san pembayaran yuran anaknya.

Md Sani Mohd Shah, 35, berkata, sewaktu tiba di sekolah berkenaan, dia terkejut melihat ulat bulu bersaiz tiga hingga lima sentimeter bewarna hitam dalam jumlah yang banyak di bahagian parkir sekolah berkenaan.

“Minggu lalu, saya ke sekolah untuk membuat urusan pembayaran yuran bagi tiga orang anak saya.

“Saya terkejut sebaik sahaja melihat banyak ulat bulu merayap di sepanjang jalan di kawasan parkir sekolah. Saya bertanya kepada seorang gu­-ru di sekolah itu dan dia sendiri mengesahkan serangan ulat bulu terbabit sudah berlaru­-tan dua minggu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, guru terbabit mengakui ada pelajar dan guru yang terpaksa mendapat rawatan selepas mengalami gatal-gatal.

“Walaupun perkara itu tidak begitu serius, namun perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia dikuatiri mengundang keadaan lebih buruk yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar,” katanya.

Sementara itu, seorang penjaga yang tidak mahu dikenali berkata, dia pada awalnya tidak percaya perkara itu selepas diberitahu anaknya, bagaimanapun terkejut ketika datang ke sekolah itu.

“Setakat ini anak saya belum lagi mengadu gatal-gatal, tapi saya bimbang jika perkara ini tidak dipandang serius ia akan berlarutan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, pihak sekolah sudah membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertanian untuk mengambil tindakan menyembur racun.

Bagaimanapun, ulat bulu terbabit masih wajud dan menganggu seluruh warga sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan, Datuk Dr Zailan Datuk Adnan dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zabidi Dun ketika dihubungi berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai masa­lah itu, tetapi kemungkinan ia diselesaikan di peringkat daerah.

Ustaz sebabkan kematian pelajar dipanggil bela diri – Bernama


Ustaz sebabkan kematian pelajar dipanggil bela diri

5 Mac 2012

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang ustaz membela diri esok (Selasa) terhadap tuduhan menyebabkan kematian pelajar Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan tertuduh Hanif Mohd Ali, 28, membela diri terhadap tuduhan menyebabkan kematian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.

Sebaliknya mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan menyebabkan kematian Saiful Syazani, 7, di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Hanif dituduh melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Dalam kejadian itu, Saiful Syazani koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pukul 5.40 pagi pada 3 April 2011 selepas dikatakan dipukul oleh warden berkenaan ketika menyiasat satu kes curi di asrama sekolah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili oleh lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.- Bernama

‘Hidup kami lebih tenang’ – Metro


‘Hidup kami lebih tenang’

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Rusila Abdul Manaf
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SIK: “Hati saya lebih tenang mengikuti pengajian di sekolah ini,” kata pelajar Sekolah Pondok Atta’lim Wattarbiah, Bandar Hilir, Teloi Tua, di sini, Mohd Syukri Ramli, 14, yang menghidap penyakit kulit sejak kecil.

Mohd Syukri yang menderita penyakit itu berkata, biarpun diuji masalah kulit, dia reda dengan takdir Ilahi dan berazam meneruskan pengajian di sekolah itu bagi mendalami ilmu Islam.
“Saya tiada masalah belajar di sini kerana rakan memberi sokongan untuk terus hidup dan menambah ilmu yang diberkati Allah SWT,” kata pelajar Thanawi 1 berkenaan.

 

Mohd Syukri yang berasal dari Kampung Tembak B, Kuala Ketil berkata, kulit di seluruh anggota badannya kering dan menggelupas dan dia dimaklumkan doktor, penyakit itu akan sembuh apabila dia dewasa.
“Setiap kali cuti, ibu dan ayah akan membawa saya ke Hospital Baling untuk mendapatkan ubat sebagai bekalan di sini,” katanya yang berhajat menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir.
Katanya, sejak beberapa tahun menuntut di sekolah terbabit, dia mendalami ilmu hadis dan hafalan al-Quran serta mahu mempelajari ilmu tasawuf, fiqah dan nahu.

 

 

Pelajar lain, Kamilah Abdul Rahman, 19, yang mendiami sekolah itu sejak lima tahun lalu berkata, ketika berusia 14 tahun dia menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gulau, di sini, namun atas kehendaknya dia memilih belajar di sekolah pondok terbabit.
“Biarpun masyarakat di luar sana beranggapan belajar di sekolah pondok sukar mendapat pekerjaan, namun saya yakin rezeki itu datang daripada Allah,” kata pelajar Thanawi 4 itu.

 

Kamilah berkata, dia tidak menyesal selepas berhenti sekolah di peringkat menengah sebaliknya lebih gembira belajar di pondok kerana berpeluang menyelami ilmu agama. “Di pondok ini, saya hidup berdikari bersama rakan dan beramai-ramai menambah pengetahuan berkaitan ilmu akhirat selain tidak ketinggalan turut diajar pengetahuan akademik,” katanya.
Menurutnya, sebelum menjejakkan kaki ke sekolah pondok itu hidupnya tidak tenang, namun selepas itu segala-galanya berubah sejurus merasakan dirinya lebih diberkati Allah dan berazam bergelar ustazah.
Nurul Iman Zahari, 15, bekas pelajar tingkatan satu SMK Gulau pula berpindah ke sekolah terbabit kerana minat mendalam terhadap ilmu agama.
“Saya rasa bertuah dipilih menyambung pengajian di sini selain memantapkan diri dengan ilmu agama dan hidup berdikari,” katanya.
Menurut Nurul Iman, selepas tamat pengajian di sekolah itu dia mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bercita-cita menjadi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Belajar di pondok bukan penghalang berjaya dalam bidang lain. Ilmu yang dimiliki bekalan untuk saya lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Bakat luar biasa pelajar perlu dicungkil – Bernama


Bakat luar biasa pelajar perlu dicungkil

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

NEW YORK: Datin Seri Rosmah Mansor berkata, bakat luar biasa yang dimiliki pelajar Malaysia, termasuk yang berada di luar negara perlu dicungkil dan dimanfaatkan kerana mereka modal insan negara untuk masa akan datang.

“Malaysia perlu memanfaatkan semua modal insannya untuk menjadi negara maju,” kata isteri Perdana Menteri pada satu majlis di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, kelmarin.
Majlis itu dihadiri masyarakat Malaysia, termasuk pelajar yang mengikuti pengajian di sini serta anggota perkhidmatan diplomatik dan rakan rakyat Malaysia, terutama daripada sektor perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

 

Rosmah, yang tiba pada Rabu, dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena Persidangan ke-56 Suruhanjaya Mengenai Status Wanita (CSW) PBB, yang sedang berlangsung di sini.
Pada Jumaat, beliau menyampaikan ceramah bertajuk Memperkasakan Ekonomi Wanita Luar Bandar pada persidangan itu.
Rosmah menyeru pelajar Malaysia di luar negara supaya belajar dengan tekun, memperkaya pengalaman serta meningkatkan kemampuan, sebelum pulang untuk berkhidmat di tanah air.

 

 

Beliau menasihati mereka supaya memanfaatkan peluang yang ada, bukan saja untuk memperoleh ilmu dan kemahiran baru, tetapi lebih penting, untuk mengenali rakyat negara yang hebat ini.
Rosmah berkata beliau amat menghargai bantuan serta pertolongan yang diberi rakan-rakan di Amerika Syarikat kepada pelajar dan masyarakat Malaysia di sini. “Di samping melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, hubungan antara Amerika dan Malaysia juga dipertingkatkan melalui hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kebudayaan,” katanya.

 

Mengenai Permata Seni, beliau berkata program itu, yang bertujuan mengenal pasti kanak-kanak yang berbakat dan berpotensi dalam bidang seni untuk diberi pendedahan dan latihan agar kebolehan dan bakat mereka dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi, telah membuahkan hasil.
Ini terbukti apabila pemuzik berbakat besar Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal, 13, daripada Permata Seni Muzik, diterima melanjutkan pengajian dalam bidang piano dan penggubahan lagu di sekolah muzik terkenal dunia Juilliard School dan dia rakyat Malaysia pertama diterima belajar di sekolah berprestij itu.
Sementara itu, Amir Adrian Amir Hamzah, 10, daripada Permata Seni Koir pula mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat tempat di Augarten Palace di Vienna, Austria – tempat yang melatih kanak-kanak untuk menganggotai Vienna Boys Choir, yang terkenal itu. – Bernama

Jual ‘dara’ anak – Metro


Jual ‘dara’ anak

Oleh Mary Victoria Dass dan Mahaizura Abd Malik
metrojb@yahoo.com
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang ibu yang juga penghidap HIV tergamak memaksa anak dara suntinya melacur, malah bercadang menjual remaja berusia 13 tahun itu kepada mana-mana lelaki yang berminat, semata-mata untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

Bagaimanapun, remaja itu bernasib baik apabila seorang lelaki yang berniat melanggannya, simpati akan nasibnya selepas mangsa menceritakan keadaan sebenar lalu menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diberi bantuan.
Pengarah JKM Johor, Khatijah Abdullah (gambar) yang mendedahkan kejadian itu berkata, wanita penghidap HIV terbabit tergamak bertindak demikian sebagai jalan mudah untuk melepaskan tanggungjawab sekiranya dia ditimpa perkara tidak diingini selain meringankan bebannya.

 

“Semuanya terdedah selepas kami menerima maklumat berkaitan cubaan menjual mangsa daripada pelanggan gadis itu yang simpati dengan nasib malangnya.
“Itu kali pertama mangsa dipaksa melacur, jadi dia merayu kepada lelaki terbabit supaya jangan mengapa-apakannya serta menceritakan nasib malangnya. “Lelaki itu yang simpati kepada mangsa tidak jadi melanggannya, sebaliknya menyerahkan mangsa kepada kami,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Khatijah berkata, pihaknya melakukan intipan selama beberapa hari dan mendapati dua beranak berkenaan menyewa bilik sebuah rumah kedai di sekitar bandar raya ini.

 

 

“Kami kemudiannya menyerbu bilik berkenaan. Selepas diselamatkan, gadis berkenaan kemudiannya ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di sekitar bandar raya ini,” katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat remaja perempuan itu didapati keciciran sekolah dan sebelum ini ibunya juga memaksanya mengemis untuk mendapatkan wang. “Mangsa mendakwa ibunya juga pernah cuba memujuknya untuk melacur beberapa kali namun gadis berkenaan berjaya mengelak.

 

“Ibunya yang turut kami tahan kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan pesakit HIV di Taman Abad. Ketika disoal siasat, pada mulanya dia enggan mengaku cuba menjual anak gadisnya tetapi akhirnya mengubah pengakuan,” katanya.
Khatijah bagaimanapun enggan mendedahkan harga yang ditetapkan ibu gadis terbabit ketika dia mahu dijual. Menurutnya, mangsa kini sudah menyambung persekolahan malah sentiasa diberikan kaunseling selain didedahkan dengan aktiviti berfaedah baginya meneruskan kehidupan baru.
Khatijah berkata, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan anak atau individu yang dijaga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33, Akta Kanak-kanak 2011.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes pengabaian kanak-kanak mahupun remaja berusia kurang 18 tahun diminta untuk menyalurkan aduan kepada JKM di talian             07-2282971      .

Sekeluarga disamun – Metro


Sekeluarga disamun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PORT DICKSON: Seorang guru lelaki dan keluarganya menempuh detik menakutkan apabila diikat dalam sebuah bilik oleh tiga lelaki bertopeng yang menceroboh masuk kediaman mereka dalam kejadian samun di Kampung Permatang Pasir, Linggi, dekat sini, awal pagi Khamis lalu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3.15 pagi, mangsa berusia 45 tahun yang tidur dikejutkan dengan kehadiran penyamun yang melarikan barangan berharga dianggarkan bernilai lebih RM10,000.
Mangsa yang berjaya melepaskan diri daripada ikatan dua jam kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Linggi untuk tindakan lanjut.

Dialog pendidikan mulai April – Berita Harian


Dialog pendidikan mulai April
Oleh Junita Rasid, Azidan Nahar dan Farid Noh
bhjb@bharian.com.my
2012/03/04

MUHYIDDIN  mendengar permasalahan rakyat ketika minum petang bersama masyarakat Cina di kedai kopi Cawan Mas di Taman Bukit Pasir, semalam.

MUHYIDDIN mendengar permasalahan rakyat ketika minum petang bersama masyarakat Cina di kedai kopi Cawan Mas di Taman Bukit Pasir, semalam.

Nilai semula sistem pendidikan untuk lahir rakyat berilmu: Muhyiddin

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan memulakan siri Dialog Pendidikan Nasional mulai bulan depan, bagi mendapatkan pandangan pelbagai peringkat masyarakat untuk menambah baik sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dialog itu sebahagian daripada kajian menyeluruh yang dimulakan sejak tahun lalu, bagi menilai semula sistem pendidikan negara untuk mencapai matlamat melahirkan rakyat terdidik dengan ilmu berkualiti.

“Sudah banyak kemajuan kita capai tetapi dalam dunia penuh saingan dan kompetitif ini, kita mahu melihat semula apa yang kita lakukan terhadap sistem pendidikan, kelemahan dan kekurangan yang dihadapi, apa yang perlu untuk menambah baik mutunya.

“Kita akan anjur Dialog Pendidikan Nasional bulan depan, bagi mendapatkan apa jua pandangan, cadangan dan idea pemikiran daripada semua lapisan masyarakat pelbagai kaum dan keturunan yang mewakili mereka yang berkepentingan. Kita akan pergi ke semua negeri dan mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak dalam Parlimen Pagoh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata sesiapa saja termasuk persatuan, pertubuhan dan organisasi boleh mengemukakan cadangan atau memorandum kepada panel dialog itu selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang didukung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dialog yang akan mengambil masa beberapa bulan hingga akhir tahun ini bagi memberi peluang kepada semua pihak mengemukakan cadangan masing-masing dalam pelbagai bidang untuk penilaian.
“Kita mahu rakyat sama ada Cina, Melayu, India atau di Sabah dan Sarawak supaya tampil ke depan mengemukakan pandangan sistem yang boleh dibaiki, apa perkara perlu ditokok tambah, diubah atau perkara berkaitan dasar, program baik dalam pembelajaran dan pengajaran, kokurikulum dan soal guru di peringkat nasional, negeri atau daerah, ” katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Kolej Komuniti Segamat 2 Batu Anam, Muhyiddin berkata Kolej Komuniti wajar menjadi tonggak dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi kelompok masyarakat terbesar kerana ia berpotensi membantu melonjakkan ekonomi negara.

Katanya, dasar komprehensif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang diperkenalkan kerajaan mengandungi strategi efektif, menyeluruh dan bersesuaian dengan peranan Kolej Komuniti yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, satu daripada Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 yang dilancarkan tahun lalu, dirangka dengan objektif menjadikan PSH sebagai satu gaya hidup masyarakat bagi melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mendalam.

“Dalam konteks ini, Kolej Komuniti dipertanggungjawabkan sebagai hab PSH dan melaksanakan program berorientasikan kemahiran dan berfokus kepada program seperti latihan perantis untuk golongan masyarakat yang kurang mempunyai latar akademik yang tinggi,” katanya.

Selepas majlis perasmian itu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) semalam.

Ketika berucap merasmikan Karnival Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat sempena Ulang Tahun Ke-10 penubuhannya, di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, Muhyiddin berkata, kerajaan akan membuat pembaharuan terhadap Akta Syarikat supaya bercirikan perundangan korporat yang dinamik dengan mengambil kira keperluan semasa dan situasi akan datang.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif serta kompetitif di negara ini.