Ibu rakam anak dirogol teman lelaki – Sinar Harian


Ibu rakam anak dirogol teman lelaki

KHALILAH GUSTI HASSAN
6 Mac 2012

SHAH ALAM – Seorang janda bukan sahaja bertindak keji membiarkan anaknya diratah teman lelakinya, malah tambah jijik dia tergamak merakam aksi rogol itu menggunakan telefon bimbit untuk kepuasan nafsu.

Nasib kanak-kanak berusia 11 tahun itu mendapat pembelaan apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadap wanita itu kerana bersubahat dengan teman lelakinya merogol mangsa, tiga tahun lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap tertuduh Ma Kassim Sirat, 44.

Ma Kassim, pemandu teksi, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol mangsa di sebuah pangsapuri di Rawang pada 12 tengah malam, pertengahan Disember 2009 dan 30 Januari 2010, dan jam 10 malam, Mac 2010.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu didakwa bersubahat dengan teman lelakinya di tempat dan masa yang sama.

Pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Roland Engan dan M Hafiz Zainol Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah anak guamnya yang telah insaf dan menyesal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hemy Annerina Haja Mydin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana peranan ibu mangsa yang bersubahat dalam kes itu amat mendukacitakan.

“Perkara ini menyedihkan kerana ia tidak pernah didengar dalam mana-mana kes sebelum ini,” katanya.

Beliau yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya R Kalaiyarasi berkata, mahkamah perlu mengambil kira kesan terhadap mangsa yang trauma sepanjang hayat akibat perbuatan kedua-dua tertuduh.

“Setiap hari, mangsa akan tertanya-tanya mengapa ibunya sendiri tidak menyelamatkannya (dari kejadian rogol). Hanya disebabkan oleh nafsu kedua-dua tertuduh, mangsa berdepan titik hitam dalam hidupnya. Kecederaan fizikal boleh diperbaiki, tetapi tidak emosi,” katanya.

Berdasarkan keterangan mangsa, ibu memanggilnya masuk ke bilik tidur sebelum Ma Kassim merogolnya.

Pada kejadian kedua, ibu mengumpan mangsa dengan hadiah sempena hari lahir dan pada kejadian terakhir, wanita itu merakam perbuatan terkutuk lelaki itu.

Pelajar perlu kuasai lebih dua bahasa – Sinar Harian


Pelajar perlu kuasai lebih dua bahasa

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Mac 2012
Pelajar perlu kuasai lebih dua bahasa

BANDAR JERANTUT – Pelajar daerah ini digalakkan menguasai lebih daripada dua bahasa sebagai satu kelebihan menghadapi pasaran kerja nanti.

Pegawai Pelajaran Daerah Jerantut, Adnan Abdul Kadir berkata, penguasaan dua bahasa sahaja kini tidak mencukupi, sebaliknya pelajar perlu mempelajari lebih banyak bahasa berikutan ia mampu memberikan manfaat pada masa depan.

Menurutnya, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris yang dipelajari di sekolah sewajarnya dikuasai dengan baik, malah pelajar sepatutnya boleh bertutur dan menulis dengan cemerlang.

“Ia adalah asas, namun pelajar juga digalakkan menambah lagi penguasaan terhadap bahasa asing lain. Sebagai contoh beberapa tokoh yang dikenali di tanah air yang boleh menguasai bahasa asing menjadikannya satu kerjaya yang sangat lumayan.

“Seorang pengacara televisyen yang dikenali boleh menguasai bahasa Perancis dan kelebihan itu membawa personalitinya merata tempat dan kerap diundang dalam majlis besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Guru Penyayang peringkat daerah Jerantut di Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura (SMKI), dekat sini.

Adnan berkata, Bahasa Melayu dan Inggeris adalah bahasa asas yang diajar di sekolah dan amat rugi jika kedua-dua bahasa yang dipelajari itu gagal dimanfaatkan.

Katanya, sekiranya mereka sudah mantap dengan kedua-dua bahasa itu, maka pelajari bahasa lain seperti Mandarin, Arab, Jepun, Perancis ataupun Jerman.

“Penambahan penguasaan bahasa akan memberikan ­pelbagai manfaat pada masa depan dan ia turut membantu pelajar memperoleh kerjaya yang lebih baik dengan mudah,” katanya.

Murung selepas berkhatan – Sinar Harian


Murung selepas berkhatan

IZWAN ROZLIN
6 Mac 2012
anak

PETALING JAYA – Seorang remaja memerlukan kos rawatan bagi memulihkan anggota sulitnya yang mungkin tidak boleh berfungsi selepas dikhatankan menggunakan peralatan tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

Ibu mangsa, Ummi Kalsom Ahmed, 40, berkata, anaknya yang kini berusia 14 tahun bakal menanggung risiko alat sulitnya tidak dapat berfungsi akibat kejadian berkenaan.

Menurutnya, pada 2008, anaknya mengikuti majlis khatan yang dianjurkan sebuah masjid dengan kerjasama sebuah jabatan agama, bagaimanapun anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun terpaksa dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti apabila mengadu sakit.

“Dia ditahan wad selama dua bulan, doktor ketika itu memaklumkan terpaksa melakukan pembedahan dengan menampal kulit perit pada alat sulitnya selepas ia rosak akibat dijangkiti kuman,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, di sini.

Meskipun sudah empat tahun berlalu, Ummi Kalsom berkata, anaknya kini berada dalam keadaan tertekan.

“Saya mahu meneruskan rawatan, namun sehingga kini, tiada mana-mana pihak yang mahu tampil membantu, malah sejak kejadian itu tiada individu mengakui kesalahan yang menyebabkan kejadian seumpama ini berlaku.

“Saya mahu lihat anak saya pulih dan menjalani kehidupan normal seperti remaja lain yang sedang meningkat dewasa,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Ummi Kalsom di talian             016-3734007      .

SURAT PEKELILING KEWANGAN (SPK) BIL 1 TAHUN 2012 -PENGURUSAN ELAUN MURID BERKEPERLUAN KHAS BAGI MURID DALAM KATEGORI ORANG KURANG UPAYA (OKU)


SURAT PEKELILING KEWANGAN (SPK) BIL 1 TAHUN 2012 -PENGURUSAN ELAUN MURID BERKEPERLUAN KHAS BAGI MURID DALAM KATEGORI ORANG KURANG UPAYA (OKU)

 

Kategori

Pekeliling Kewangan
Subjek Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bil 1 Tahun 2012 -Pengurusan Elaun Murid Berkeperluan Khas bagi Murid Dalam Kategori Orang Kurang Upaya (OKU)
Bil. 1
Tahun 2012
Jabatan Bahagian Kewangan
Fail Download
Tarikh 01/03/2012

Angkara gengster cilik – Metro


Angkara gengster cilik

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: “Saya sebak melihat anak terlantar kesakitan dan sering meracau selepas dibelasah beberapa murid,” kata Suzianawati Mohamad, 33, yang anaknya Fakhqrul Hakimi Mohd Kamarulzaman, 7, cedera serta lebam seluruh badan dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di Sikamat di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, kejadian disedari kira-kira jam 7.30 malam selepas Suzianawati mengambil anak sulungnya itu dari sebuah asrama anak yatim di daerah ini.
“Saya terkejut melihat muka, perut, lengan dan belakang badannya dipenuhi lebam dan bengkak teruk.

 

“Apabila ditanya, dia memberitahu dipukul tiga murid sekolah sama yang meminta wang, malah berulang kali memberitahu dipukul dengan kayu,” katanya.
Suzianawati mendakwa selepas kejadian itu, anaknya menjadi pendiam seolah-olah trauma dengan kejadian menimpa.
“Apa salah anak saya sehingga dia dipukul sebegini. Saya tidak dapat bayangkan ketika kejadian mungkin dia meraung meminta tolong, namun tiada siapa mendengarnya.

 

 

“Saya mahukan keadilan dan berharap pihak berkenaan melakukan siasatan terperinci berhubung kes ini,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Dakwanya, dia meminta penjelasan sekolah berhubung kejadian, tetapi guru besar memaklumkan anaknya berkemungkinan dipukul ketika berada di asrama.

 

“Berulang kali saya menanyakan perkara itu, namun Hakimi (mangsa) menafikan ia berlaku di asrama anak yatim, tetapi dipukul di sekolah.
“Saya bukan mahu menghukum mereka membuta-tuli, tetapi meminta penjelasan apa yang berlaku,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sikamat pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan siasatan sedang dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu dan berjanji akan menyiasat dakwaan ibu mangsa.

Pengsan makan jambu – Metro


Pengsan makan jambu

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Seorang pelajar hanya mampu meraung apabila melihat wajah adiknya berusia enam tahun bertukar kebiruan selepas tercekik jambu batu dipotong sebesar syiling 50 sen di Kampung Sitang, Jalan Puncak Borneo, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Ferentino Mijas, 6, bagaimanapun bernasib baik apabila jambu berkenaan berjaya dikeluarkan selepas dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebaik keluarga dimaklumkan mengenai kejadian, kira-kira jam 11 pagi.

Ibu mangsa, Lily Badek, 41, berkata, ketika kejadian Ferentino bersama abangnya berusia 15 tahun berada di rumah, manakala dia ke sebuah klinik kesihatan untuk melawat menantu yang melahirkan anak sulung, sebelum dikejutkan dengan panggilan kecemasan mengenai insiden itu.

Menurutnya, dia segera pulang ke rumah sebelum meminta ahli keluarganya membawa Ferentino ke sebuah klinik berhampiran rumah dengan segera.

 
“Apabila melihat keadaan anak yang agak kritikal dan wajah bertukar kebiruan, kakitangan klinik berkenaan kemudian segera menghubungi ambulans sebelum dihantar HUS.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku dan hanya dimaklumkan seorang anak yang melihat Ferentino tiba-tiba pengsan ketika menonton televisyen sebelum wajah bertukar kebiruan.

“Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawanya walaupun cemas seketika apabila memikirkan nasib bakal menimpa anak keenam daripada lapan beradik ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Katanya, tindakan pantas pasukan perubatan berjaya mengeluarkan jambu berkenaan dan anaknya kini ditempatkan di wad kanak-kanak.

Lily mengakui sukar membayangkan keadaan jika keluarga lewat menghantar anaknya itu ke hospital yang kemudian bertindak pantas mengeluarkan jambu batu yang tercekik, tanpa perlu menjalani pembedahan.

“Keadaan anak saya semakin pulih walaupun kebingungan dan sudah boleh menjamah makanan seperti biasa dan mungkin akan dibenarkan keluar dari wad dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ustaz mengaku bersalah sebab kematian pelajar – Bernama


Ustaz mengaku bersalah sebab kematian pelajar

2012/03/06

ALOR SETAR: Seorang ustaz mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian pelajar Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Hanif Mohd Ali, 28, mengaku melakukan perbuatan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara 6 petang dan 12 tengah malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.

Sebelum ini, Hanif dituduh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ketika mahkamah memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab berkata, keterangan pihak pendakwaan cukup untuk mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mohd Zaki berkata, keputusan hukuman terhadap Hanif akan ditetapkan esok kerana pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Hanif, ketika merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman yang ringan, memohon maaf kepada semua yang terbabit kerana tindakannya menyusahkan banyak pihak.

Hanif yang kelihatan sebak dan menitiskan air mata juga memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang selayaknya ke atas dirinya agar dia berpeluang
untuk memperbaiki diri serta bertaubat.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, pula memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh walaupun dia mengaku bersalah kerana mengambil kira kepentingan awam dalam kes itu.

“Mangsa seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, baru tiga bulan menuntut di sekolah dan masih boleh dilentur. Tertuduh sudah menyalah guna kuasa, mangsa sepatutnya dididik bukan didera, tiada agama yang membenarkan penderaan untuk mendidik.

“Mangsa dikatakan mencuri namun hukuman terhadapnya tidak setimpal. Mangsa diikat, dipukul dan dicekik hingga kekurangan oksigen dalam otak yang menyebabkan kematiannya,” katanya.

Noorin berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan hukuman setimpal adalah perlu bagi menunjukkan kebencian terhadap kesalahan yang dilakukan.

Selain Noorin, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mokthar, manakala tertuduh diwakili lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. – BERNAMA

Rogol gadis: Bapa dua anak dijel lima tahun – Utusan


Rogol gadis: Bapa dua anak dijel lima tahun

MELAKA 5 Mac. – Seorang bapa kepada dua anak dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang gadis bawah umur sebanyak tiga kali pada Februari dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Zarul Sapuan Abd. Razak, 21, dituduh merogol gadis berusia 15 tahun itu di Taman Rekreasi, Dataran Jasin, di sini pada pukul 4 pagi pertengahan Februari 2010.

Mohammad Zarul Sapuan turut didakwa mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa di tempat sama pada pukul 2 pagi dan 2.30 pagi, hujung Februari 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Semasa mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohd. Hasryzal Badasary yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh mengalami kecederaan di kepala sehingga tempurung kepalanya pecah akibat dipukul orang ramai ketika ditangkap.

Murid dakwa dibuli rakan-rakan – Utusan


Murid dakwa dibuli rakan-rakan

 

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

 

SEREMBAN 5 Mac – Seorang murid tahun satu di sebuah sekolah kebangsaan di sini trauma selepas disyaki dibuli rakan-rakannya sehingga cedera dan lebam-lebam di seluruh anggota badannya pada Jumaat lalu.

Mangsa, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, mengalami kesan lebam pada muka, badan, paha dan betis yang disyaki akibat dipukul dengan objek keras.

Menurut ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, dia menyedari kejadian menimpa anak sulungnya itu ketika menjemputnya dari sebuah rumah anak yatim di Taman England dekat sini pukul 7.30 malam pada hari sama.

Dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terkejut apabila melihat kecederaan yang dialami Faqrul Hakimi.

“Semasa disoal, dia mengaku telah dipukul di sekolah tetapi tidak dapat menceritakan secara jelas peristiwa itu, mungkin kerana trauma.