SBPA: Berita baik untuk penjawat awam esok? – Bernama


SBPA: Berita baik untuk penjawat awam esok?

7 Mac 2012
SBPA

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1.4 juta penjawat awam menunggu dengan penuh debaran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), esok.

Najib dijadual berucap pada perhimpunan khas yang dihadiri ketua-ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun serta pegawai kanan perkhidmatan awam di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kenyataan bahawa Datuk Omar Osman, Presiden Cuepacs, badan yang menjadi payung kepada kesatuan-kesatuan sektor awam, yang akan berucap pada majlis itu,
memberi petunjuk jelas bahawa ia mungkin memberi tumpuan kepada skim SBPA yang disemak semula.

Walaupun beberapa penganalisis melihat skim SBPA sebagai “durian runtuh” untuk penjawat awam, pelaksanaannya merupakan sebahagian daripada inisiatif
untuk mentransformasikan perkhidmatan awam negara menjadi sesuatu yang dinamik dengan budaya berpretasi tinggi yang cekap dan mampu memenuhi permintaan yang
semakin meningkat daripada masyarakat moden.

Skim itu, yang bermatlamat menyediakan ganjaran yang lebih baik dan berdaya saing kepada penjawat awam serta mengurus tarikan bakat, pengekalan dan pemacu
dalam perkhidmatan awam, merupakan sebahagian daripada pelan transformasi Najib bagi meletakkan asas ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Pada mulanya, Najib telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan skim gaji yang lebih baik bagi penjawat awam ketika beliau membentangkan
Belanjawan 2012 pada 7 Oktober tahun lepas.

Kerajaan telah memperuntukkan RM64.1 bilion untuk gaji dan pencen kakitangan kerajaan di bawah Belanjawan 2012 tetapi semakan boleh bermakna gaji yang lebih
tinggi.

Skim itu, yang dijadual dilaksanakan pada 1 Januari tahun ini, ditangguhkan selepas CUEPACS membantah terhadap kewujudan perbezaan gaji yang begitu ketara
antara mereka yang menduduki gred JUSA dan Premier berjumlah kira-kira 2,600 pegawai dan mereka yang berada dalam Gred 54 dan ke bawah.

Berikutan keadaan yang tidak seimbang, Perdana Menteri mengambil tindakan tepat pada 12 Januari apabila beliau meminta supaya skim itu disemak semula.

Satu pasukan petugas khas diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, dibentuk bagi mengkaji kelemahan yang dikatakan wujud
dalam skim yang dicadangkan itu.

Walaupun, pasukan petugas diberi tempoh sehingga 16 April untuk menyelesaikan tugasnya, tetapi ia telah dapat membereskannya lebih awal daripada
yang diduga.

Penyelesaian bagi isu yang hangat ini memberi kelegaan kepada kakitangan yang terjejas, yang mana, seterusnya ia mungkin memberikan kesan positif berganda di mana empat juta orang lagi akan mendapat manfaat jika anggaran kasar empat tanggungan bagi setiap pekerja digunakan.

Sesungguhnya, ia akan menjadi durian runtuh jika mereka juga mendapat bayaran tunggakan kerana Cuepacs meminta supaya pakej gaji SBPA yang disemak
semula berkuatkuasa daripada tarikh pelaksanaan asal iaitu 1 Januari walaupun ia ditangguhkan.

Bagaimanapun, bukan hanya penjawat awam yang mendapat faedah di bawah program transformasi Perdana Menteri ke arah mewujudkan ekonomi berpendapatan
tinggi pada akhir dekad ini. Pada akhirnya, mereka yang berada dalam sektor swasta, terutama yang berada di peringkat rendah, juga akan menikmati faedah
kerana kerajaan juga sedang menumpukan usaha bagi melaksanakan dasar gaji minimum.

Dasar yang dicadangkan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.2 juta kakitangan sektor swasta. Sementara begitu banyak perdebatan mengenai kebaikan dan keburukan bagi dasar sedemikian, perlu diingatkan bahawa teras utama ialah bagi menyediakan gaji yang memuaskan dan membebaskan mereka daripada
belenggu kemiskinan.

Kesimpulannya, semua ini adalah sebahagian usaha di bawah orientasi kerajaan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” di bawah pentadbiran Najib bagi
meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia untuk masa depan yang lebih baik. – Bernama

Sabah isytihar 11 April sebagai hari kelepasan am tambahan – Bernama


Sabah isytihar 11 April sebagai hari kelepasan am tambahan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA KINABALU: Sabah mengisytiharkan 11 April ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi negeri ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata Sabah tidak seharusnya terkecuali daripada meraikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 itu.

“Adalah wajar bagi Sabah untuk turut memberi cuti seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Musa turut mengumumkan kenaikan elaun ketua masyarakat Cina di negeri ini dari RM450 ke RM650 berkuat kuasa 1 Jan lepas.

 
Kali terakhir elaun berkenaan dinaikkan ialah kira-kira lima tahun lalu iaitu dari RM230 ke RM450. – BERNAMA

Ustaz dituduh cium remaja lelaki – Sinar Harian


Ustaz dituduh cium remaja lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Mac 2012
Ustaz dituduh cium remaja lelaki

AYER KEROH, MELAKA – Seorang guru tahfiz dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki di sebuah madrasah di Ayer Molek, lima tahun lalu.

Ismail Ghazali, 44, dari Merlimau mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Ismail didapati dengan sengaja melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 14 tahun 7 bulan dengan mencium mangsa dan memaksa mangsa memegang kemaluannya.

Ismail melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Madrasah Al Muqarrabin, Balik Bukit, Bukit Lintang kira-kira jam 12.15 tengah malam, pada 16 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi meminta jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh yang tidak hadir tiga kali sebutan semula kes, bermula 2007 hingga 2008 dan menyebabkan waran dikeluarkan mahkamah.

Bagaimanapun, Ismail yang baru balik menunaikan umrah dua bulan lalu memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tidak dimaklumkan mengenai tarikh sebutan semula kes tersebut.

“Ketika itu saya sedang belajar di Yaman dan saya tidak mengetahui mengenai waran yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut, malah ahli keluarga juga tidak memaklumkan apa-apa berkaitan kes ini,” katanya.

Syajaratudur kemudian membenar Ismail diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 April depan bagi lantikan peguam.

Tawaran bina SRJK Tamil Lunas dikeluar 15 Mac – Bernama


Tawaran bina SRJK Tamil Lunas dikeluar 15 Mac

7 Mac 2012

KULIM – Masyarakat India khususnya para ibu bapa di Lunas dan sekitarnya kini sudah tidak perlu risau lagi kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah akan mengeluarkan tawaran membina sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Jalan Paya Besar, Lunas dekat sini pada 15 Mac ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, S.Ananthan yang mendapat maklumat terkini daripada Kementerian Pelajaran memberitahu bahawa kos bangunan sekolah itu telah meningkat sebanyak RM1.8 juta berbanding kos asal RM8.6 juta ringgit.

“Ini adalah kerana skop kerja telah berubah dan kos terkini adalah RM10.4 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Skim Mesra Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada 20 peserta peringkat pertama daripada 60 peserta dalam Pusat Veetri DUN Lunas di sini hari ini.

Ananthan berkata pembinaan bangunan sekolah itu merangkumi 12 bilik darjah, sebuah bilik kelas prasekolah, makmal komputer dan lain-lain kemudahan untuk menampung hampir 1,000 pelajar.

Katanya dijangkakan selepas tawaran dikeluarkan kerja-kerja permulaan di tapak dijadual pada 15 Jun depan dan bangunan dijangka siap pada hujung 2013.

“Kerajaan Barisan Nasional menunaikan janji-janji yang dibuatnya dan sentiasa mengamalkan cogan kata rakyat didahulukan dan bukanlah berjanji pelbagai retorik yang menjadi gendang kosong semata-mata,” katanya. – Bernama

Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua – Bernama


Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua

7 Mac 2012
Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua

BESUT – Seorang daripada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri Terengganu, Siti Aisyah Syahirah Azman dariSekolah Menengah Agama Maarif di sini sentiasa mengamalkan empat perkara yang beliau anggap telah menentukan kejayaannya.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini berkata amalan yang dilakukan secara ikhlas setiap hari itu mempermudahkan beliau belajar dan mengulang kaji pelajaran sehinggalah mencapai kejayaan dalam semua matapelajaran yang diambil.

“Saya selalu amalkan sembahyang sunat dhuha, sembahyang hajat, baca Al-Qurandan berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolahnya selepas menerima keputusan STPM di sini hari ini.

Gadis berusia 19 tahun ini memperolehi ‘A’ dalam Pengajian Am, Usuluddin,Syariah dan Sejarah serta ‘B+’ dalam Bahasa Arab.

Siti Aisyah Syahirah, anak seorang ahli perniagaan dan ibunya seorang guru agama, berkata masanya tidak pernah dibiarkan berlalu dengan kosong tanpa kegiatan yang berfaedah yang sekurang-kurangnya dipenuhi dengan membaca Al-Quran.

Menurutnya beliau telah khatam Al-Quran sebanyak 12 kali sejak berumur 12 tahun dan bercita-cita untuk menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dalam bidang pendidikan.

Siti Aisyah Syahirah antara tiga pelajar terbaik negeri Terengganu selain Abdul Rahim Abdullah dari SMKA Durian Guling, Marang dan Rosmalizai Adanan dariSMK Tengku Ibrahim, Setiu. – Bernama

Muhyiddin serah cokmar sempena Konvokesyen IPG – Bernama


Muhyiddin serah cokmar sempena Konvokesyen IPG 

2012/03/07

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan Cokmar sempena konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyerahkan cokmar itu kepada Rektor IPG, Datuk Dr Haili Dolhan.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Majlis konvokesyen kedua IPG dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Seramai 2,400 graduan ambilan Januari 2008, dijangka menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen tersebut. – BERNAMA

Pelajar tingkatan satu bolot hadiah utama memancing – Sinar Harian


Pelajar tingkatan satu bolot hadiah utama memancing

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Mac 2012
Pelajar tingkatan satu bolot hadiah utama memancing

BANTING BARU – Seorang pelajar tidak menyangka percubaan pertama kali menyertai pertandingan memancing membuahkan hasil lumayan apabila diumumkan sebagai johan untuk membawa hadiah utama RM2,012 di Tasik Banting Baru, kelmarin.

Mohd Haffiz Rosny, 13, dari Banting Baru berjaya menaikkan ikan belida seberat 2.345 kilogram (kg) kira-kira jam 10.45 pagi, selepas hampir 2 jam pertandingan itu dimulakan.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka dipilih menjadi pemenang berdasarkan berat ikan yang berjaya dinaikkan.

“Saya terkejut dengan kemenangan ini kerana ini merupakan kali pertama saya dapat hadiah wang tunai yang banyak.

“Dalam gembira saya tetap bersyukur kerana masa dapat ikan ini pun saya tidak fikir ia merupakan ikan paling berat berbanding tangkapan peserta lain,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Memancing, Hindari Stress, Tenangkan Minda anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat Majlis Sukan Negeri Selangor, Hamidah Ariffin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Banting, Abdul Razak Khasbullah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting itu mengakui, tiada sebarang kelainan dirasakan sepanjang menyertai pertandingan itu kerana dia sememangnya gemar menemani bapanya, Rosny Aziz memancing.

Tanpa menggunakan sebarang teknik khas, Mohd Haffiz hanya menggunakan umpan anak ikan kap dan cacing.

Tempat kedua dimenangi Razif Safri yang menaikkan ikan belida seberat 1.64 kg dan hasil tangkapan ikan pacu Mohd Ismail seberat 800 gram melayakkannya berada di tempat ketiga.

Mereka membawa pulang wang tunai RM1,012 (kedua) dan RM512 (ketiga) serta sijil penyertaan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr Ismail Lasa berkata, program berkenaan berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita wujudkan program ini selaras dengan konsep aktiviti untuk menghindarkan tekanan selain memupuk semangat kekeluargaan dalam masyarakat,” katanya.

15 dibelasah – Metro


15 dibelasah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Seramai 15 pelajar sebuah sekolah di sini, dibelasah beramai-ramai lebih 30 pelajar lain menggunakan batang penyapu dan topi keledar hingga cedera selepas mangsa didakwa mengejek pelajar senior.

Dalam kejadian jam 10 pagi Rabu lalu, sekumpulan murid tingkatan empat dan lima sebuah sekolah menengah di sini, dilaporkan bertindak ganas menyerang sekumpulan murid tingkatan tiga.
Pergaduhan antara ‘geng senior’ dan ‘geng junior’ itu berlaku apabila seorang daripada pelajar tingkatan lima sekolah sama tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pelajar tingkatan tiga a mencaci sebelum pergaduhan tercetus.

 

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Leong, 15, berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah apabila mereka dikepung kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima itu.
Menurutnya, mereka dipukul beramai-ramai menggunakan batang penyapu selain ditumbuk dan ditendang berulang kali.
“Kami cuba melawan, namun bilangan mereka terlalu ramai. Mereka turut mendapat bantuan rakan di luar sekolah untuk memukul kami,” katanya.

450,000 guru tunggu KUP dilaksana – Metro


450,000 guru tunggu KUP dilaksana

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu kerajaan melaksanakan skim perkhidmatan khas untuk penyandang (KUP) seperti yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2012.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP menyokong penuh skim perkhidmatan itu kerana ia membabitkan kira-kira 450,000 guru yang melalui proses kenaikan pangkat berdasarkan cukup tempoh perkhidmatan (time base).
Katanya, sekiranya kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ itu dapat dilaksanakan sudah pasti mutu kerja guru dapat ditingkatkan dengan jayanya.

 

“‘Time base’ ialah cukup tempoh masa perkhidmatan apabila guru mendapat kenaikan pangkat, sebagai contoh di bawah sistem baru ini guru siswazah gred DG44 yang berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG48 berbanding tempoh masa 10 tahun sebelum ini.
“Bagi guru bukan siswazah gred DG29 yang turut berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG32, jika sebelum ini seorang guru itu terpaksa menunggu 10 tahun untuk naik pangkat, kini hanya lapan tahun saja mereka dapat kenaikan pangkat,” katanya di sini, semalam.
Katanya, NUTP berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaannya seiring dengan pengumuman semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal diumumkan keputusannya tidak lama lagi.

 

 

“Guru sering bertanya kepada kami mengenai KUP ini selepas diumumkan kerajaan tahun lalu kerana lebih 100,000 guru di negara ini masih tidak berpeluang mendapat kenaikan pangkat.
“NUTP yakin Perdana Menteri turut menyampaikan berita baik kepada warga pendidik di negara ini ketika pengumuman keputusan semakan semula SBPA nanti,” katanya.

 

Katanya, NUTP menyokong penuh penambahbaikan yang dilakukan kerajaan terhadap sistem ‘time base’ yang mula dilaksanakan sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.
Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, kesatuan itu turut mengirim telegram kepada Perdana Menteri, kelmarin merayu menjaga kebajikan guru di negara ini.