RM100 juta untuk sekolah agama – Sinar Harian


RM100 juta untuk sekolah agama

AZIZAN INCHE HARUN
10 Mac 2012
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM100 juta untuk penambahbaikan sekolah agama di seluruh negara pada tahun ini.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM95 juta setahun untuk membiayai bantuan perkapita bagi sekolah agama yang sebelum ini tertunggak selama lima hingga enam tahun.

“Memang kalau diikutkan untuk keseluruhan sekolah tidak mencukupi, tetapi ia adalah peningkatan peruntukan yang telah luluskan,” katanya pada Majlis Perasmian Sekolah Agama Taman Molek, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi, merangkap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam pada itu, Najib turut memuji usaha Kerajaan Negeri yang tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan Pusat untuk membangunkan sekolah agama negeri.

Perangai hantu – Metro


Perangai hantu

KUALA LUMPUR: Sungguh membimbangkan apabila penagihan syabu bukan saja menular di kalangan pelajar seawal usia 13 tahun, malah ada budak semuda 10 tahun dijadikan ‘keldai dadah’ oleh sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa.

Selain menjejaskan pembelajaran dan memudaratkan kesihatan mental serta fizikal, penyalahgunaan syabu yang juga dikenali sebagai ‘ice’ dan ‘batu’ di kalangan pelajar boleh menjerumuskan mereka ke kancah jenayah.

Buktinya, ada yang ‘berperangai hantu’ apabila berani mencabul rakan sekelas, bergaduh dengan guru dan mencuri duit ibu bapa.

Bagi pengedar cilik pula, kemiskinan hidup menjadi alasan mereka mudah terjebak dengan pujuk rayu sindiket dadah biarpun upah diterima tidak seberapa.

Berikut pengakuan beberapa pelajar dan individu yang sukar melupakan ketagihan selepas terjerat dengan bahan terlarang itu sejak di bangku sekolah, selain kisah keberanian pengedar kanak-kanak di Sabah demi sesuap nasi.

Naik pangkat – Metro


Naik pangkat

JOHOR BAHRU: Kira-kira 480,000 guru di seluruh negara bakal menerima satu lagi berita gembira apabila kerajaan bersetuju menggunakan kaedah ‘time based’ untuk kenaikan pangkat golongan berkenaan dan ia bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Ia satu lagi perkembangan positif untuk menghargai jasa guru selepas kerajaan bersetuju membuat pelarasan gaji sebanyak tujuh hingga 13 peratus serta elaun saraan hidup (Cola) berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat kerana guru adalah kakitangan kerajaan paling ramai di negara ini.

“Persetujuan ini juga sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menunaikan janji kepada penjawat awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan bajet 2012, Oktober tahun lalu.

“Kami akan dapatkan perincian butiran perkara ini daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan jika tiada halangan, ia akan diumumkan secepat mungkin.

“Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) turut menyambut baik perkara ini. Kami harap pelarasan gaji untuk guru dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita Umno Malaysia di Kem Bina Negara, Gunung Pulai, Kulaijaya, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, dengan pelbagai manfaat diperoleh guru, golongan berkenaan diharapkan dapat terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan untuk mendidik anak bangsa serta kepada negara.

Pelajar tingkatan 5 maut – Metro


Pelajar tingkatan 5 maut

KUALA LIPIS: Tindakan seorang pelajar tingkatan lima yang dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan terburu-buru bersama seorang rakannya mengundang padah apabila motosikalnya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 39, Jalan Lipis-Tanjung Gahai, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, Mohamad Hafiz Mustafa, 17, yang dikatakan tercampak ke bahu jalan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa pelajar Sekolah Menengah Sungai Koyan, di sini, menunggang seorang diri sambil diekori rakannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, rakan mangsa yang melihat kejadian itu berhenti di tepi jalan dan cuba mengangkat mangsa untuk dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL).

Lenyap di laman rumah – Metro


Lenyap di laman rumah

SUGUL… Wan Norazma melihat gambar anaknya Hazim yang hilang.

PETALING JAYA: Seorang lagi kanak-kanak dilaporkan hilang, kelmarin, 11 hari selepas kehilangan Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang disyaki diculik selepas keluar ke kedai berhampiran rumahnya di Johor Bahru masih belum dapat dikesan.

Mangsa terbaru, Wan Hazim Mohd Khaidir, 7, murid tahun satu Sekolah Rendah Islam Pintar Al-Amin, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat bermain sendirian di halaman rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah, di sini, petang kelmarin.

Sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan menonton televisyen di ruang tamu rumahnya jam 12.30 tengah hari sebelum ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof bersama adik bongsunya keluar untuk ke kedai milik mereka di Shah Alam.

Menurut Wan Nor Azma, 33, yang juga peniaga barangan kemas, ketika keluar rumah, Hazim baru selesai makan tengah hari sebelum menonton televisyen, manakala anak sulungnya yang berusia lapan tahun pula di tingkat atas rumah mereka bersama pembantu rumah.

“Sebelum keluar ke kedai kami, saya menutup rapat pintu rumah tapi tidak menguncinya kerana percaya Hazim tidak akan keluar rumah bersendirian, tambahan pula pembantu rumah juga ada di rumah.

“Menurut pembantu rumah, dia turun ke tingkat bawah jam 1 tengah hari tapi tidak melihat Hazim di ruang tamu, menyebabkan dia beranggapan anak kedua saya mengikut saya ke kedai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, kehilangan Hazim hanya disedari apabila dia pulang ke rumah pada jam 6.30 petang selepas ditanya pembantu rumahnya.

Wan Nor Azma berkata, terperanjat dengan pertanyaan pembantu rumahnya, dia terus menghubungi suaminya, Mohd Khaidir Hassan sebelum mereka mencari di sekitar kawasan perumahan itu, selain bertanya jiran.

“Mungkin Hazim membuka pintu dan keluar bersendirian selepas menyedari tiada orang di rumah. Saya buntu memikirkan keadaan anak saya dan di mana dia tidur malam tadi (semalam).

“Hazim susah nak bergaul dengan orang dan sebelum ini dia lebih selesa berada di rumah serta jarang bermain di luar. Namun saya yakin dia keluar dari rumah kerana jiran sebelah memberitahu ada melihatnya bermain di halaman rumah sebelum waktu solat Jumaat,” katanya.

Menurutnya, selepas beberapa jam gagal menemui anaknya, dia bersama suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Saya harap sesiapa menemui Hazim yang kali terakhir memakai baju-T kelabu dan jeans biru dapat menghubungi kami di talian 012-3400034 atau menyerahkannya ke balai polis berhampiran.

“Hati ibu mana yang tidak bimbang apabila anaknya hilang. Kami hanya mampu berdoa dan meneruskan usaha mencari Hazim selain mengharapkan dia dalam keadaan selamat,” katanya.

Segerakan pelarasan gaji baharu guru -Muhyiddin – Utusan


Segerakan pelarasan gaji baharu guru -Muhyiddin

KULAIJAYA 10 Mac – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta melaksanakan pelarasan skim perkhidmatan perguruan secepat mungkin selaras dengan pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengetahui mengenai kedudukan terperinci pelarasan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengumuman Perdana Menteri itu disambut baik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan kira-kira 480,000 warga pendidik yang merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam di negara ini.

“Pada masa ini, kita belum mengetahui tentang perincian perubahan pelarasan itu. Jadi, kita berharap pihak JPA dapat menyelesaikan ia dengan segera,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita UMNO di Kem Bina Negara Gunung Pulai, di sini hari ini.

Sistem baharu STPM tarik minat ke tingkatan 6 – Utusan


Sistem baharu STPM tarik minat ke tingkatan 6

TEMERLOH 10 Mac – Sistem baharu pengajian peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mampu menarik minat lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneruskan pengajian ke tingkatan enam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) berkata, sebelum ini, ramai lepasan SPM lebih berminat meneruskan pengajian ke peringkat matrikulasi kerana peperiksaan STPM dianggap susah.

Katanya, tindakan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) melaksanakan sistem pentaksiran baharu bermula sesi pengambilan 2012/2013 tidak akan mengubah syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

“Sebelum ini ramai lepasan SPM terutama dari aliran sains lebih berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi kerana ia dianggap lebih mudah daripada belajar di tingkatan enam dan menduduki STPM.

Seks songsang pelajar serius – Utusan


Seks songsang pelajar serius

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac – Kajian yang dilakukan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendapati sebanyak 21 laporan polis telah dibuat sepanjang tahun lalu berkenaan pembabitan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kegiatan seks sejenis.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, statistik bagi seluruh negara itu amat membimbangkan dan keadaan dijangka menjadi lebih dahsyat sekiranya perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat tempat di negara ini.

“Untuk bulan Januari tahun ini sahaja, sudah empat laporan polis dibuat mengenai kes ini yang membabitkan pelajar-pelajar sekolah dan itu tidak mengambil kira lagi kes-kes yang tidak dilaporkan.

“Kita lihat masalah keruntuhan akhlak ini semakin menjadi-jadi dan lebih merisaukan adalah apabila terdapat hampir 20 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta beberapa parti politik yang secara terbuka menyokong LGBT,” katanya ketika Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Wan Hazim ditemui jam 2 pagi – Berita Harian


Wan Hazim ditemui jam 2 pagi

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Mohd Fahmi Mohd Yusof
bhnews@bharian.com.my 2012/03/11

Budak dilapor hilang merayau sendirian di bawah jejambat di Lebuhraya KESAS

PETALING JAYA: Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang petang kelmarin selepas keluar bersendirian dari rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah, di sini, ditemui semula, awal pagi semalam.

Wan Hazim Mohd Khadir ditemui kira-kira jam 2 pagi oleh seorang lelaki di Lebuhraya KESAS menghala ke Klang ketika kanak-kanak itu sedang berjalan merayau di bawah jejambat berhampiran Summit USJ di Subang Jaya.

Lelaki itu menghantar budak lelaki itu ke Balai Polis Subang Jaya dan budak berkenaan kemudian dihantar rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cheras.

Ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, berkata beliau menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 7 malam semalam menyuruhnya datang ke balai berkenaan untuk membuat pengecaman gambar.

“Sebaik saja tiba di balai itu pada jam 10 malam, saya membuat pengecaman gambar budak lelaki yang dihantar ke JKM Cheras itu. Saya mengesahkan gambar itu adalah Wan Hazim. Saya rasa lega sebab anak saya selamat dan saya akan mengambilnya Isnin ini pada waktu pejabat sebab malam ini dan esok tidak dibenarkan kerana di luar waktu pejabat, ” katanya ketika ditemui di balai berkenaan malam tadi.

Wan Nor Azma berkata, risalah yang diedarkan beliau di kawasan perumahan termasuk balai berkenaan sebelum itu berjaya mengesan anaknya apabila pihak polis menyedari gambar risalah itu menyamai gambar yang berada dalam simpanan mereka. Sebelum itu, Wan Hazim dikatakan menonton televisyen di ruang tamu kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, pulang menghantar abang mangsa dari sekolah dan keluar semula sambil memaklumkan kepada pembantu rumah bahawa mangsa sendirian di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.

Pembantu rumah yang tidak mendengar laungan majikannya hanya turun ke tingkat bawah kira-kira 30 minit kemudian sebelum menyedari Wan Hazim tiada, namun beranggapan anak kedua daripada tiga beradik itu keluar bersama ibunya.

Kehilangan Wan Hazim hanya disedari jam 6 petang sebaik ibu mangsa pulang bersama anak bongsunya dan memaklumkan beliau meninggalkan anak keduanya bersendirian di ruang tamu ketika keluar.

Wan Nor Azma seorang peniaga berkata, sebaik menyedari anaknya hilang, beliau sekeluarga dengan bantuan jiran mencarinya di sekitar perumahan berkenaan, namun usaha yang dilakukan sehingga petang semalam menemui jalan buntu.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menyebarkan poster anaknya dan berjumpa dengan ustaz, namun belum menerima sebarang berita atau panggilan daripada orang awam.

Sementara itu, di PASIR GUDANG, empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan Nur Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, sejak kanak-kanak itu dilaporkan hilang dipercayai diculik dekat Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini pada 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata tiga individu iaitu sepasang suami isteri dan seorang lelaki manakala seorang lagi, bapa kandung kanak-kanak itu.

“Tiga individu termasuk sepasang suami isteri ini ditahan pada hari kanak-kanak ini dilaporkan hilang manakala bapanya ditahan kira-kira jam 7 malam Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.