Pelajar PPG, KPLI dipertimbang pemberian baucer buku RM200 – Bernama


Pelajar PPG, KPLI dipertimbang pemberian baucer buku RM200

13/03/2012 7:02pm

 

PUTRAJAYA 13 Mac — Pelajar Program Pensiswazahan Guru (PPG) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) akan dipertimbangkan untuk mendapat baucer buku bernilai RM200 kata, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini dan Kementerian Pelajaran sudah memaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk tindakan selanjutnya.

“Sekarang difahamkan KPT sedang menilai perkara itu dan kita harap ia akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan berhubung rungutan pelajar PPG dan KPLI yang tidak memperoleh bantuan buku tersebut kerana tidak layak.

Justeru itu, Wee berharap KPT akan menyediakan satu standard prosedur berhubung mereka yang layak untuk mendapat baucer tersebut bagi menggelakkan timbul masalah.

Pemberian baucer buku itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012.— BERNAMA

Boling: Siti Nurzulaika cipta kejutan – Bernama


Boling: Siti Nurzulaika cipta kejutan

13 Mac 2012

PEMAIN bukan pilihan dari Kuala Lumpur, Siti Nurzulaika Ismail mencipta kejutan apabila mengetepikan cabaran pemain pelapis negara untuk menjuarai acara individu wanita remaja pada Kejohanan Boling Antara Negeri ke-25, hari ini.

Pemain muda berusia 14 tahun itu memenangi pingat emas buat julung kali apabila mencatatkan 1,201 jatuhan pin pada kejohanan empat hari itu yang bermula di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, dekat sini, semalam.

Dua pemain pelapis negara, Puteri Nadia Kamarul Mahadir dari Negeri Sembilan dan Siti Aishajan Hussin dari Sabah masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dengan catatan 1,158 dan 1,138 jatuhan pin.

Siti Nurzulaika, ketika ditemui Bernama selepas majlis penyampaian hadiah berkata, beliau begitu bangga dengan pencapaian tersebut kerana hanya menjadikan kejohanan itu sebagai medan latihan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA).

“Saya berterima kasih kepada kedua-dua jurulatih saya iaitu Steven Teng dan Dzulkarnain Sapian kerana memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini,” kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Seri Saujana, Sri Petaling itu.

Beliau yang bermain boling sejak berusia enam tahun lagi turut meletakkan sasaran untuk mengulangi pencapaian sama pada Sukma ke-15 di Pahang pada Julai ini.

Dalam kategori individu lelaki junior, pemain pelapis negara Mohd Haziq Sahli dari Johor muncul juara selepas mencatatkan 1,292 jatuhan pin.

Pingat perak acara tersebut menjadi milik Mohd Syazwan Kamarudin dari Terengganu dengan catatan 1,238 jatuhan pin manakala pingat gangsa diraih oleh seorang lagi pemain pelapis lelaki kebangsaan dari Kuala Lumpur, Qalif Adnor Adam dengan catatan 1,222 jatuhan pin.

Juara bertahan Mohd Nazmi Mohd Mazli dari Pulau Pinang hanya mampu menduduki tangga ke-16 dengan 1,127 jatuhan pin. – Bernama

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2011


PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2011

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2012. Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2011 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 27 Mac 2012.

Sekian, terima kasih.

Pelajar sekolah gantung diri – Sinar Harian


Pelajar sekolah gantung diri

WARTAWAN SINAR HARIAN

13 Mac 2012
SUNGAI SIPUT (U) – Mayat seorang remaja berusia 17 tahun ditemui tergantung di dalam bilik air rumahnya, di Kampung Muhibbah Fasa 3, di sini, semalam dipercayai membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa pada jam 12.15 tengah hari.

Beliau pada awalnya menyangka anak bongsu daripada sembilan beradik itu sedang mandi.

Menurutnya, sewaktu kejadian bapa mangsa bersama beberapa lagi ahli keluarga berada di rumah tetapi tidak mengesyaki kejadian seperti itu akan berlaku.

“Pada awalnya bapa mangsa menyangka anaknya itu sedang mandi tetapi selepas beberapa ketika anaknya tidak juga keluar dari bilik air. Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku bapa mangsa membuka pintu bilik air dan terkejut melihat anaknya tergantung serta sudah tidak bernyawa,” katanya.

Azman berkata, mayat pelajar tingkatan lima dari sebuah sekolah di Sungai Siput itu ditemui tergantung menggunakan kain Punjabi.

“Bapa mangsa menghantar sendiri mayat anaknya ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat jerutan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Punca sebenar kenapa mangsa mengambil tindakan sedemikian masih belum diketahui dan masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Anak terpaksa berlapar ke sekolah – Sinar Harian


Anak terpaksa berlapar ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN

13 Mac 2012

TELOK EMAS – Seorang bapa yang hilang punca pendapatan selepas kemalangan, sedih melihat empat anak berusia tujuh hingga 15 tahun, ke sekolah tanpa duit belanja.

Hairuddin Muhammad, 47, dari Taman Seri Telok Emas di sini, berkata, dia tidak mampu bekerja selepas kakinya patah tiga bulan lalu, akibat kemalangan di tempat kerja.

Menurutnya, mereka sering terputus bekalan makanan dan hanya berlaukkan telur, sumbangan individu yang simpati dengan nasib mereka sekeluarga.

“Saya bimbang soal makan minum keluarga saya kerana anak terpaksa berlapar tanpa wang belanja ke sekolah. Adakala saya teringin makan lauk asam pedas tetapi isteri hanya mampu sediakan kuahnya sahaja tanpa ada ikan ataupun daging,” katanya ketika menerima kunjungan beberapa ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Ranting Telok Emas, di sini, semalam.

Hairuddin sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah pusat pengajian agama di Padang Temu, patah kaki selepas meleraikan sekumpulan pelajar yang bergaduh pada Disember lalu.

Hairuddin berkata, sebelum ini dia tidak berdepan sebarang masalah dengan pendapatan RM500 sebulan dan ditambag dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kini hidup saya sekeluarga tak menentu. Ansuran rumah sudah tiga bulan tertunggak, begitu juga bil elektrik dan air,” katanya.

Pusat tuisyen: Bantu, jangan kaut untung – Sinar Harian


Pusat tuisyen: Bantu, jangan kaut untung

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui, kelas tuisyen adalah kelas tambahan bagi murid-murid lemah dalam mata pelajaran tertentu dan kelas ini dihadiri selepas tamat sesi persekolahan.

Namun, seiring dengan perkembangan zaman berteknologi, rata-rata ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas tuisyen atas alasan ketiadaan masa untuk memantau subjek pelajaran anak-anak, apatah lagi mengajar di rumah.

Maka, ibu bapa ini berasakan jalan penyelesaian terbaik adalah menghantar anak-anak ke kelas tuisyen.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ramai ibu bapa mengambil pendekatan menghantar anak mereka ke kelas tuisyen beranggapan sistem pembelajaran diberikan oleh guru-guru tuisyen lebih baik daripada guru di sekolah.

Memberi maklum balas terhadap tanggapan segelintir ibu bapa ini, pengetua tuisyen Kelas Cikgu Mariyam, Mariyam Abd Kader menegaskan, tanggapan sedemikian tidak tepat dan tidak wajar.

Mariyam berpengalaman lebih 20 tahun dalam mengurus dan mengajar memberitahu, kewujudan kelas tuisyen adalah sebagai membantu meringankan masalah dihadapi murid-murid dalam mata pelajaran tertentu.

“Saya tidak bersetuju jika mengatakan guru di sekolah mengajar tidak baik. Kerana baik atau tidak penerimaan seseorang murid terhadap satu-satu subjek itu sebahagian besarnya masih terletak di bahu murid itu sendiri.

“Saya percaya setiap guru mahukan anak didik mereka berjaya dalam mata pelajaran yang mereka ajar, walaupun tidak dinafikan terdapat guru-guru mengajar sambil lewa. Namun, jumlah guru-guru sebegitu sangat kurang,” katanya.

Mariyam berkata, suasana pembelajaran merupakan salah satu faktor proses penyampaian ilmu itu berjaya atau sebaliknya.

“Di kelas tuisyen, bilangan murid untuk satu kelas biasanya kecil. Paling ramai biasanya 12 orang berbanding di sekolah, satu kelas kadang-kala mencapai 40 murid. Secara tidak langsung, penumpuan guru itu sendiri menjadi terbatas kerana perlu memantau bilangan murid yang ramai.

“Hal ini menjadi lebih berat kerana kebanyakan guru-guru kini turut diberikan tugasan selain mengajar seperti kerja-kerja dokumentasi dan perlu menghadiri kursus atau mesyuarat. Oleh itu, untuk memberi tumpuan 100 peratus di dalam kelas adalah sangat mustahil,” katanya.

Kerana hal-hal sebeginilah, Mariyam berkata, wujudnya lambakan kelas tuisyen lantaran terdapat permintaan daripada pihak ibu bapa dan murid itu sendiri.

“Tidak semua kelas tuisyen bertujuan mengaut keuntungan semata-mata. Tidak adil jika menjustifikasikan kelas tuisyen seperti didakwa segelintir pihak yang kurang peka dengan keperluan adanya tuisyen di zaman kini.

“Seperti yang saya nyatakan dari awal tadi, kelas tuisyen bertujuan membantu murid-murid yang lemah dalam subjek tertentu. Kebanyakan mereka mengikuti kelas tuisyen, kerana ingin maju di dalam subjek terbabit. Bilangan rakan kelas yang kurang, memberi mereka peluang berinteraksi terus dengan guru dan membincangkan permasalahan mata pelajaran yang dihadapi,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung ini dapat membantu meringankan tugas guru di sekolah dalam memberi pemahaman kepada murid kerana selain di dalam bilik darjah, murid juga mempunyai alternatif lain untuk dirujuk.

“Isu guru tuisyen lebih baik mengajar daripada guru di sekolah tidak seharusnya timbul. Semua orang, terutamanya ibu bapa harus faham, kewujudan kelas tuisyen bukanlah sebagai pengganti atau cuba mengambil alih peranan mendidik murid-murid daripada guru di sekolah, tetapi lebih kepada membantu.

“Setiap yang sukar itu, jika ada bantuan akan menjadi mudah. Lebih-lebih lagi dalam soal memberi pemahaman dan pendidikan kepada anak-anak yang merupakan aset kepada negara, soal membantu itu telah menjadi satu kewajiban,” katanya.

Mariyam berkata, kini soal bayaran kelas tuisyen yang mahal bukanlah satu masalah besar oleh kebanyakan ibu bapa.

“Rata-rata ibu bapa sanggup berhabis wang demi pendidikan anak-anak. Yuran tuisyen yang mahal bukan kerana mahu kaut untung, tetapi bayaran untuk cikgu yang mengajar adalah tinggi. Kebanyakan mereka terdiri daripada guru berpengalaman dan dari kalangan tenaga pengajar yang terbaik. Selain kos premis tuisyen yang tinggi kini,” katanya.

Juruteknik didakwa rogol teman wanita 15 tahun – Sinar Harian


Juruteknik didakwa rogol teman wanita 15 tahun

KHALILAH GUSTI HASSAN 13 Mac 2012 SELAYANG – Seorang juruteknik pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol teman wanitanya berusia 15 tahun, minggu lalu.

Frankie Chaong Lagi, 28, didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Jalan Bukit Rawang, Gombak, pada jam 10.30 malam, 7 Mac lalu.

Keesokannya, dia didakwa sekali lagi merogol mangsa sama pada jam 11.45 malam, di tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Arunjothy Selvaraju memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap Chaong atas alasan tertuduh mengenali mangsa.

Bagaimanapun dia merayu dibenarkan ikat jamin dan minta untuk menghubungi keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dan memerintahkan Frankie menjauhi mangsa sepanjang perbicaraan.

Kes ditetapkan 10 April ini untuk sebutan laporan perubatan dan lantikan peguam.

SPR cadang subjek mengundi, pilihan raya diperkenal di sekolah – Bernama


SPR cadang subjek mengundi, pilihan raya diperkenal di sekolah

2012/03/13

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan supaya subjek mengenai pilihan raya dan kepentingan mendaftar sebagai pengundi diperkenalkan di peringkat sekolah menengah atas.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata langkah ini bagi mendedahkan golongan remaja kepada tanggungjawab masing-masing apabila mencapai umur yang melayakkan mereka mendaftar dan mengundi.

“Kalau mereka didedahkan dari awal, ini akan menanam minat mereka untuk mendaftar dan mengundi selain mengetahui tanggungjawab mereka bila dewasa kelak.

“Cadangan ini akan dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran, seterusnya SPR akan berbincang untuk mendapatkan jalan terbaik memperkenalkan perkara ini,” katanya di sini hari ini. – BERNAMA