Peniaga bebas tuduhan rogol remaja sekampung – Sinar Harian


Peniaga bebas tuduhan rogol remaja sekampung

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mac 2012 KOTA BHARU-Bagaikan langsai hutang sejuta dan sangat bersyukur bagi seorang peniaga muda apabila Mahkamah Sesyen di sini, semalam memutuskan dia bebas daripada tuduhan merogol remaja sekampung dengannya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Imran Mohamed Nor, 22, didapati merogol seorang remaja berusia 15 tahun di rumah tanpa nombor di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah kira-kira jam 8 malam.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 376 (1) Kanun Keseksaan iaitu rogol hendaklah diseksa dan penjara yang boleh sampai 20 tahun.

Bagaimanapun, Hakim Zainal L Salleh menetapkan keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan primafacie ke atas tertuduh.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T merah tersebut dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

Mahkamah mendapati keterangan mangsa tidak disokong oleh laporan perubatan doktor yang merawatnya. Malah, mangsa juga tidak pasti sama ada kejadian rogol berlaku atau sebaliknya.

Mohd Imran yang ditemani peguamnya Muhammad Hasif Hassan senyum ketika berjalan keluar dari mahkamah semalam.

Bersalah cabul remaja bawah umur sembilan tahun lalu – Sinar Harian


Bersalah cabul remaja bawah umur sembilan tahun lalu

WARTAWAN SINAR HARIAN 14 Mac 2012 KUALA TERENGGANU –Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM10, 000 dan penjara 10 bulan ke atas seorang lelaki setelah didapati bersalah mencabul seorang remaja bawah umur dan memecah masuk kediaman mangsa kira-kira sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Kamal Juhan, 38, hanya tunduk ketika Majistret, Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman ke atasnya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul dan Seksyen 457 KK kerana pecah rumah.

Mengikut pertuduhan pertama, Kamal didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun di Kampung Surau Haji Daud, di sini, kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003.

Bagi pertuduhan itu, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau 10 bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, Kamal yang didakwa memecah masuk kediaman mangsa dengan masuk melalui tingkap rumah di alamat dan tarikh sama kira-kira jam 2.30 pagi turut dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan dan Abdul Hayyi memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan bermula dari tarikh sabitan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memecah kediaman mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003 dan bertindak memukul mangsa atas alasan mahu membalas dendam.

Tertuduh bertindak mencabul mangsa dan mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mangsa enggan menuruti kehendaknya.

Mangsa cuba menjerit meminta tolong tetapi gagal disebabkan tertuduh menutup mulutnya dengan tangan.

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan dia hanya tinggal bersama adiknya. Bagaimanapun, perbuatan itu tidak disedari adiknya sebelum mangsa membuat laporan selepas tertuduh beredar dari kediamannya, tertuduh berjaya ditahan pada 18 Ogos 2003.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pelajar tingkatan tiga hilang sejak 8 Mac lalu – Sinar Harian


Pelajar tingkatan tiga hilang sejak 8 Mac lalu

WARTAWAN SINAR HARIAN

14 Mac 2012 IPOH – Seorang ibu merayu anaknya, David Lim Kar Chun, 15, yang tidak pulang ke rumah selepas keluar 8 Mac lalu, agar kembali ke pangkuan keluarga.

Wong Keng Wah, 56, meminta orang ramai yang mengenali Kar Chun supaya membantunya mengesan anaknya itu yang juga merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Micheal.

Beliau yang tinggal di Taman Ipoh Timur mendakwa anaknya bersikap pelik selepas pulang daripada sekolah Rabu lalu.

“Dia (Kar Chun) ada mengemas pakaian sejurus pulang sekolah namun tidak memberitahu ke mana arah tujunya.

“Selepas itu, dia meninggalkan rumah hanya dengan memakai singlet putih dan seluar pendek hijau namun tidak pulang ke rumah sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Keng Wah yang bimbang bertindak mencari anaknya di sekolah tetapi pihak sekolah memberitahu tiga pelajar lain turut hilang pada hari yang sama.

“Setahu saya mereka yang hilang itu adalah rakan kepada anak saya, mungkin mereka melarikan diri bersama namun saya tidak tahu puncanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak berputus asa dan cuba menghubungi Kar Chun tetapi gagal.

“Bagaimanapun, beberapa hari lalu saya ada mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai anak saya.

“Mula-mula dia beritahu saya dia di Singapura kemudian di Kuala Lumpur. Tiba-tiba dia beritahu dia dalam tahanan polis dan talian terputus serta merta selepas itu.

“Saya percaya dia masih di negara ini kerana kad pengenalan dan pasportnya tidak dibawa bersama,” katanya.

Sebagai ibu, Keng Wah tidak akan memarahi anaknya itu tetapi berharap dapat pulang ke pangkuannya dengan keadaan selamat.

Sementara itu, Penyelaras BN Bercham, Lim Huey Shan berkata, pihaknya turut mencuba untuk menghubungi Kar Chun beberapa kali.

“Seseorang ada menjawab panggilan tersebut tetapi tidak memberitahu lokasi sebenar di mana Kar Chun berada. Selepas itu, orang terbabit tidak menjawab panggilan seterusnya,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Kar Chun boleh menghubungi talian 012-5556208.

Keputusan SPM diumum 21 Mac – Bernama


Keputusan SPM diumum 21 Mac

2012/03/14

PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 21 Mac depan, menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini.

Pengumuman analisis keputusan itu pula akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di sini, jam 9 pagi pada hari yang sama.

Calon-calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi.

Bagi calon persendirian, keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri.

Keputusan juga boleh disemak menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SMS jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.

Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai 10 pagi 21 Mac hingga 12 tengah malam 27 Mac.

Seramai 468,808 calon mendaftar menduduki peperiksaan tersebut di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara tahun ini. – BERNAMA

Noda anak rakan lepas buat mangsa khayal – Metro


Noda anak rakan lepas buat mangsa khayal

MIRI: Bernafsu binatang dan berhati syaitan. Begitulah perumpamaan untuk seorang lelaki yang sanggup meratah anak rakan berusia 13 tahun selepas memberikan sebotol air mineral dipercayai dimasuk pil khayal sebelum merogolnya dalam semak berdekatan kediamannya di Bekenu, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 9 malam, apabila mangsa yang juga pelajar dipercayai dalam keadaan separuh sedar sebaik meminum air diberikan sebelum diusung ke kawasan semak dan dirogol.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika ketiadaan ibu bapa mangsa kerana keluar bekerja dengan suspek mengambil kesempatan berkunjung ke rumah mangsa dengan alasan mahu bertemu bapanya.

Menurut sumber, mangsa tidak menaruh syak wasangka mempelawa suspek memasuki rumah sementara menunggu ibu bapanya pulang.

Katanya, ketika itu, suspek dikatakan memberi sebotol air mineral yang diletakkan pil khayal menyebabkan mangsa pening.

“Melihat keadaan mangsa ketika itu, suspek mengusungnya ke dalam semak berdekatan rumah lalu merogolnya. Dalam keadaan separuh sedar, mangsa cuba melawan, namun tidak terdaya sebaliknya suspek terus melakukan perbuatan durjana itu.

“Sebaik selesai meratah, mangsa dibiarkan dalam semak sebelum suspek beredar. Mangsa yang masih trauma memaklumkan kejadian kepada keluarganya,” katanya.

Kata sumber lagi, susulan itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Pusat Bintulu sebelum kes berkenaan dirujuk ke Balai Polis Pusat Mir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

Murid kuat mengadu – Metro


Oleh Siti A’isyah Sukaimi sitiaisyah@hmetro.com.my

Murid kuat mengadu

PUTRAJAYA: “Kuat merajuk dan mengadu antara cabaran perlu dihadapi ketika mengajar di sekolah semua murid perempuan berbanding sekolah bercampur jantina, jadi sebagai guru saya perlu menggunakan pendekatan bijak ketika sesi pengajaran bagi memudahkan murid menerima setiap perkara diajarkan,” kata graduan cemerlang Institut Perguruan (IPG) Ilmu Khas Kuala Lumpur, Nor Hidayah Hamzah, 24.

Menurutnya, itu antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika memulakan tugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya, mulai Januari lalu.

“Orang cakap senang mengajar sekolah semua perempuan, tetapi sebenarnya cabaran tetap ada. Cuma berbeza cabaran mengajar di sekolah bercampur jantina. “Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat saya terus mengajar kerana saya sangat menyukai kerjaya guru,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen program Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG Kementerian Pelajaran ke-2, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam. Nor Hidayah seorang daripada 546 pelajar menerima ijazah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed pada sidang sesi pagi.

10 sekolah laksana i-Think – Metro


10 sekolah laksana i-Think

SISTEM pendidikan negara perlu melalui proses tranformasi bagi melahirkan generasi masa depan yang mempunyai inovasi, kemahiran berfikir secara kreatif dan analitikal.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sudah sampai masanya sistem pendidikan negara diberi nafas baru, sekali gus terus dapat menentukan hala tuju kehidupan rakyat lebih baik.

“Selama ini kita menekankan penghafalan. Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang.

“Justeru, kita perlu melakukan tranformasi pendidikan yang mana intipatinya bagi menggalakkan pelajar berfikir kerana kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran kreatif, inovatif dan kritis,” katanya ketika merasmikan program i-Think di bangunan Parlimen, semalam.

Hadir sama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Program i-Think, projek bersama oleh Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovatif di peringkat sekolah rendah dan menengah.

i-Think adalah pendekatan yang realistik dan praktikal untuk memupuk proses pemikiran dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah di kalangan guru dan pelajar sama-sama melalui penggunaan peta pemikiran yang dibangunkan oleh Dr David Hyerle.

Sebanyak 10 sekolah sudah menjalankan projek perintis di bawah kendalian Unit Inovasi Khas (Unik) dan Agensi Inovasi Malaysia. Kerajaan menjangkakan 1,000 lagi sekolah akan menerapkan sistem i-Think ini pada tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, menerusi program i-Think, kementerian berusaha menerap proses berfikir itu bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan mengaplikasinya dalam menyelesaikan permasalahan.

‘Jasa dia kepada kami tak terhingga’ – Metro


‘Jasa dia kepada kami tak terhingga’

KUALA LUMPUR: Ibu bapa Wan Hazim Mohd Khadhir, 7, kanak-kanak yang dilaporkan hilang Jumaat lalu, berpeluang bertemu dan berterima kasih kepada lelaki yang mereka anggap wira kerana menemui serta menyerahkan Hazim kepada pihak berkuasa, sekali gus mengelakkan perkara ebih buruk berlaku.

Dalam pertemuan di sebuah restoran di Sri Petaling malam kelmarin, Mohd Khadhir Hassan, 41, dan isterinya Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, bersama Hazim serta anak bongsu mereka mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada YP Chong, lelaki yang menemui dan menyelamatkan anak kedua mereka.

Menurut Mohd Khadhir, jasa baik Chong amat dihargai dan tidak mampu untuk dibalas dengan wang ringgit ataupun pelbagai hadiah kerana keselamatan dan nyawa Hazim adalah segala-galanya bagi mereka.

“Kami sepatutnya bawa hadiah, namun saya tidak dapat memikirkan hadiah sesuai dengan jasa Chong kepada kami sekeluarga…jutaan terima kasih pun masih tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Chong yang juga ejen hartanah pula berkata, naluri seorang bapa membuatkan dia nekad menggadai nyawa menyeberangi lebuh raya sibuk untuk mengambil Hazim di tengah pembahagi jalan.

“Saya sendiri mempunyai tiga anak…budak itu anak siapa tidak penting, apa yang saya fikir ketika itu hanyalah dia (Hazim) dalam keadaan bahaya.

“Jika perkara seumpama ini berlaku lagi di depan saya…saya tidak teragak mempertaruhkan nyawa melakukan perkara sama,” katanya. Dalam kejadian pada jam 12.40 tengah hari Jumaat itu, Chong yang dalam perjalanan dari rumahnya di Sri Petaling ke Klang melalui Lebuhraya Kesas, terkejut melihat seorang kanak-kanak berada sendirian di pembahagi jalan lorong laju lebuh raya berkenaan.

Lelaki terbabit kemudian bertindak memberhentikan keretanya dan melintas lebuh raya yang sibuk untuk mengambil budak terbabit dan menyerahkannya ke Balai Polis Subang Jaya.

Polis menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ditempatkan sementara di pusat perlindungan di Cheras sebelum dituntut oleh ibu bapa mereka pada Ahad lalu.

Sembilan pelajar kena gantung sekolah – Berita Harian


Sembilan pelajar kena gantung sekolah

2012/03/14

SEREMBAN: Sembilan pelajar sebuah sekolah menengah, di sini digantung persekolahan dua minggu selepas didapati terbabit membuli dan memukul seorang murid Tahun Satu hingga lebam seluruh badan di Sikamat, di sini, awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Hanapi, berkata pelajar terbabit adalah penghuni rumah anak yatim yang didiami mangsa.

Katanya, siasatan mendapati penyelia rumah anak yatim berkenaan hanya mengetahui kejadian itu selepas ibu mangsa, Suzianawati Mohamad, 33, datang ke rumah kebajikan berkenaan pada jam 7.30 petang 2 Mac lalu, iaitu tiga hari selepas kejadian.

“Pejabat Pelajaran Negeri memaklumkan kes itu berlaku di rumah anak yatim berkenaan selepas sembilan pelajar senior tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuang air kecil pada tualanya dan tidak menyidainya dengan baik.

“Dua daripada tujuh pelajar terbabit dihantar pulang ke rumah masing-masing manakala lima lagi dikenakan tindakan gantung persekolahan,” katanya, semalam.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan murid terbabit trauma untuk ke sekolah selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.

Abdullah berkata, pihaknya belum dapat bertemu mangsa dan ibunya untuk mendapatkan penjelasan lanjut kerana mereka pulang ke kampung di Jempol.

Suruhanjaya Pilihan Raya syor perkenal subjek pilihan raya di sekolah – Utusan


Suruhanjaya Pilihan Raya syor perkenal subjek pilihan raya di sekolah

KUALA LUMPUR 13 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan agar subjek mengenai pilihan raya dan kepentingan mendaftar sebagai pengundi diperkenalkan di peringkat sekolah menengah atas.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, langkah ini bagi mendedahkan golongan remaja kepada tanggungjawab masing-masing apabila telah mencapai umur yang melayakkan mereka mendaftar dan mengundi.

“Kalau mereka didedahkan dari awal, ini akan menanam minat mereka untuk mendaftar dan mengundi selain mengetahui tanggungjawab mereka bila dewasa kelak.

“Cadangan ini akan dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran, seterusnya SPR akan berbincang untuk mendapatkan jalan terbaik memperkenalkan perkara ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini golongan sasar itu diberi taklimat oleh SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR), namun usaha tersebut boleh diberi penambahbaikan.