Kencing di tuala, tidak sidai punca pelajar dibuli
SEREMBAN 14 Mac – Kencing pada tuala dan tidak menyidai tuala dengan baik dikatakan menjadi punca pelajar, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, dibuli dengan teruk sehingga cedera dan lebam-lebam di seluruh anggota badannya pada 2 Mac lalu.
Mangsa dikatakan telah dipukul oleh sembilan penghuni rumah anak yatim di Taman England yang bersekolah di Sekolah Menengah Dato’ Mohd. Redza di Sikamat dekat sini.
Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri, Abdullah Hanapi berkata, maklumat itu diperolehi daripada Pejabat Pelajaran Negeri yang memaklumkan kepada pihaknya yang turut melakukan siasatan ke atas rumah anak yatim tersebut.
“Kanak-kanak itu dipukul oleh sembilan pelajar senior atas sebab dia kencing pada tuala dan tidak menyidai tuala dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.