Penjaja didakwa cabul remaja 14 tahun – Sinar Harian


Penjaja didakwa cabul remaja 14 tahun

MOHD ISKANDAR OTHMAN
16 Mac 2012

GEORGETOWN – Seorang penjaja berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebatan selepas didakwa mencabul kehormatan seorang remaja pada 12 Mac lalu.

Tan Seng Hooi, 56, dari Gerbang Erskine didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik tidak bernombor di tingkat bawaH Blok 16-A, Taman Teguh, Jalan Gerbang Erskine disini.

Mengikut pertuduhan, Seng Hooi didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 14 tahun antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seng Hooi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan.

Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

‘Abah’ tarik selimut – Harian Metro


‘Abah’ tarik selimut

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Dua beradik berdepan detik cemas kira-kira lima minit apabila terpaksa bergelut dengan seorang lelaki rakan bapanya yang didakwa mencabul seorang daripada mereka di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Selasa lalu.

Sebelum kejadian di rumah mereka pada jam 3 pagi, suspek yang bersahabat baik dengan keluarga mangsa memasuki rumah berkenaan sambil memberi alasan konon tertinggal cincin dan mancis.

Mangsa berusia 17 tahun berkata, dia tersedar daripada tidur selepas menyedari selimut ditarik dan paha diraba sebelum melihat rakan bapanya itu berada dalam bilik tidurnya.

Katanya, suspek memintanya tidak menjerit, sebaliknya terus menutup lampu bilik sebelum menerkamnya hingga berlaku pergelutan.

 
“Saya cuba melawan dan sempat menendang perutnya manakala adik yang bersembunyi dalam bilik air sempat menjerit meminta tolong sebelum didengari abang yang berniaga burger di depan rumah.

“Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri manakala abang bersama rakannya yang cuba mengejar gagal menangkap penjenayah itu,” katanya.

Kes bunuh pelajar disebut semula – Sinar Harian


Kes bunuh pelajar disebut semula

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : March 16, 2012
Kes bunuh pelajar disebut semula

TAIPING – Kes bunuh pelajar perempuan di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering disebut semula 30 Mei ini.

Majistret Solehah Noratikah Ismail menetapkan tarikh itu sementara menunggu keizinan Timbalan Pendakwa raya untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan kes dibuat Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Chan Yew Hiok.

Pada 25 Februari lalu, Nurul Aien Mohd Saimon, 16, ditemui maut akibat cedera di bahagian belakang kepala dipercayai dibunuh di bilik air rumahnya.

Tertuduh yang masih di bawah umur melakukan kesalahan membunuh antara jam tiga hingga empat petang di rumah mangsa.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Remaja disyaki curi ikan – Sinar Harian


Remaja disyaki curi ikan

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : March 16, 2012

SUNGAI SIPUT (U) – Lapan remaja berusia antara 13 hingga 20 tahun ditangkap kerana disyaki cuba menceroboh kolam ikan di Taman Kledang, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kesemua remaja itu dibebaskan semula oleh polis selepas soal siasat dilakukan dan mereka sebenarnya tidak mengetahui kolam ikan berkenaan dijaga.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kesemua remaja berkenaan ditangkap ketika berada berhampiran kolam kerana disangka ingin mencuri ikan.

“Pemilik kolam ini menyangka remaja berkenaan cuba mencuri ikan dan menangkap mereka dengan bantuan penduduk kampung. Kesemua remaja itu dihantar ke balai polis dan selepas disoal siasat mereka sebenarnya tidak mengetahui kolam ini mempunyai pemilik memandangkan ia adalah bekas tinggalan lombong,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Kesemua remaja itu dibebaskan semula dan mereka sebenarnya belum sempat lagi menangkap ikan di kolam berkenaan serta pemilik kolam itu tidak mengalami sebarang kerugian.

Jurulatih pengakap hadapi 2 lagi tuduhan cabul – Sinar Harian


Jurulatih pengakap hadapi 2 lagi tuduhan cabul

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih pengakap menghadapi dua lagi tuduhan mencabul pelajar-pelajarnya berusia 13 dan 14 tahun yang diletakkan di bawah penyeliaannya.

Ho Lee Fong, 44, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pagi ini dan meminta agar dia dibicarakan.

Dia dituduh mencabul dua pelajar di sebuah bilik di Sunway SPK Damancara di sini awal Jun lalu.

Pada 1 Mac lalu, Lee Fong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencabul lapan pelajar.

Laporan media bulan lalu menyebut jurulatih itu yang diberi tanggungjawab melatih 300 ahli Pergerakan Pengakap sebuah sekolah menengah, didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan dengan memegang dada, kemaluan dan punggung mangsa.

Difahamkan, lelaki terbabit dipertanggungjawabkan melatih pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008.

Perbuatan itu terbongkar 8 Februari lalu selepas seorang mangsa dicabul mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara.

Tuala mandi jadi punca kena buli – Sinar Harian


Tuala mandi jadi punca kena buli

SARINAH MAT KASIM
16 Mac 2012

SEREMBAN – Seramai sembilan pelajar yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian membuli dan memukul seorang murid Tahun Satu, Faqrul Hakimi Mohd Kamarul­zaman, 7, pada awal bulan ini, sudah dikenakan tindakan.

Pengarah Jabatan Keba­jikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Hanapi berkata, semua pelajar dari sebuah sekolah menengah itu telah digantung persekolahan selama dua minggu, sejak seminggu lalu.

Katanya, mereka yang merupakan penghuni sama di rumah anak yatim di Taman England, Sikamat itu, bertindak agresif apabila tidak berpuas hati dengan cara Faqrul Hakimi menyidai tuala mandi.

“Selepas siasatan dibuat, kita dapati kejadian berlaku di rumah kebajikan tersebut dan antara punca utama kejadian adalah disebabkan sembilan pelajar senior ini tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membuang air kecil di tuala mandinya dan tidak menyidainya dengan baik. Hanya kerana itu, mangsa dipukul dan dicederakan sehingga lebam seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan tindakan tersebut, tujuh pelajar yang juga penghuni di Taman England, Sikamat itu, diambil tindakan gantung persekolahan selama dua minggu, manakala dua lagi dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Kami cuba berjumpa dengan mangsa dan ibunya untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian berkenaan namun gagal kerana mereka sudah pulang ke kampung di Jempol. Kami tidak dapat berjumpa dengan murid terbabit dan ibunya kerana tiada alamat lengkap,” katanya.

Abdullah berkata, rumah anak yatim berkenaan masih dalam proses pendaftaran dengan JKM berikutan terdapat beberapa dokumen belum lengkap.

Sinar Harian pada 6 Mac lalu, melaporkan seorang murid Tahun Satu trauma ke sekolah selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya cedera dan lebam.

Kejadian itu hanya disedari oleh ibunya pada 2 Mac lalu, kira-kira jam 7.30 petang selepas dia mengambil anaknya dari rumah anak yatim berkenaan.

Iktiraf pelajar cemerlang – Metro


Iktiraf pelajar cemerlang

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Kebolehannya menguasai akademik dengan baik selain aktif dalam kokurikulum dan persatuan di sekolah menjadikan Ain Nazirah Mohd Ali Norfiah, 13, sebagai pelajar kebanggaan Sekolah Kebangsaan Nyatoh (SKN), dekat sini.

Pencapaian Ain Nazirah lebih terserlah apabila memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dan menjadi satu-satunya pelajar sekolah itu yang menerima biasiswa bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Tan Sri Rashdan Baba.
Guru Besar SKN, Salmah Ismail berkata, Ain Nazirah amat aktif dalam pelbagai aktiviti ketika belajar termasuk bidang sukan terutama acara bola baling hingga mewakili sekolah ke peringkat negeri.

 

Menurut beliau, pelajar perempuan itu turut mempunyai sahsiah yang baik dan gaya kepemimpinan tinggi hingga menjadi contoh kepada pelajar lain.
“Pencapaiannya yang cemerlang dalam pelajaran selain aktif dalam bidang kokurikulum hingga mengharumkan nama sekolah membolehkandia dipilih sebagai Tokoh Pelajar SKN tahun lalu.
“Kami daripada kalangan warga Sekolah Kebangsaan Nyatoh amat berbangga dengan pencapaian dan kebolehan Ain Nazirah,” katanya.

 

 

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Serentak Sekolah-Sekolah Menengah dan Kebangsaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato` Shamsudin Nain, Rantau, baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdul Halim Abdul Razak serta Pengerusi Penyelaras PIBG Sekolah DUN Rantau, Mohd Radzali Mohd Sani.

 

Pada majlis itu, Mohamad menyampaikan pelbagai anugerah kecemerlangan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah dari kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ain Nazirah yang meneruskan pelajaran di tingkatan satu di SMK Bukit Kepayang Seremban 2 berkata, kejayaannya hasil sokongan padu daripada ibu bapa dan guru SKN.
Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor berhasrat meneruskan kecemerlangan dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan lain di peringkat lebih tinggi.
“Saya akan terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran selain terus aktif dalam sukan kerana kedua-dua bidang berkenaan penting dalam membina semangat serta keyakinan diri untuk masa depan yang baik,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad mahu semua sekolah dalam DUN Rantau berusaha mengekalkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan awam setiap tahun bagi memastikan Negeri Sembilan berada dalam kelompok terbaik di peringkat kebangsaan.
Beliau berkata, selain guru, PIBG dan ibu bapa harus berperanan penting dalam memastikan pencapaian pelajar terus meningkat.
“Pihak sekolah juga tidak harus cepat berpuas hati dengan prestasi dan kejayaan yang dicapai dalam peperiksaan awam setakat ini sebaliknya kedudukan itu perlu ditingkat lagi pada masa depan,” katanya.

Guru didakwa edar gambar lucah kepada seorang remaja – Bernama


Guru didakwa edar gambar lucah kepada seorang remaja

2012/03/15

KUALA LUMPUR: Seorang guru bahasa Inggeris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini atas pertuduhan mengedar gambar lucah kepada seorang remaja, dua tahun lalu.

C Shanmuga, 32, didakwa mengedar gambar lucah kepada seorang remaja perempuan berumur 18 di Jalan GU 3/10, Taman Garing Utama, Rawang di sini antara 21 April hingga 27 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Isa Nor membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Mei sebagai tarikh sebutan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya S Arunjothy manakala Shanmuga diwakili JRV Ramjahen dan S Satheesan. – BERNAMA

Dialog pelan strategik pendidikan – Utusan


Dialog pelan strategik pendidikan

KUALA LUMPUR 15 Mac – Pandangan, maklum balas dan idea dari rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan hala tuju dan pelan strategik sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkan proses penglibatan bersama rakyat itu sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dialog pendidikan kebangsaan akan dilancarkan bagi membolehkan rakyat melibatkan diri dalam usaha merangka pelan strategik tersebut sebelum ia dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Beberapa pendekatan akan dilaksanakan bagi mendapatkan penglibatan rakyat iaitu seperti melalui forum, sesi meja bulat, kaji selidik dan media sosial, katanya dalam satu pertemuan dengan pengarang-pengarang media di sini, hari ini.

14,000 guru terima Bayaran Insentif Tawaran Baru – Utusan


14,000 guru terima Bayaran Insentif Tawaran Baru

MUHYIDDIN Yassin diapit Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed (kanan beliau) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud (kiri beliau) ceria menunjukkan isyarat 1Malaysia bersama 403 guru besar yang menerima anugerah BITB dan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 15 Mac – Kira-kira 14,000 warga pendidik daripada 403 buah sekolah rendah pelbagai aliran di seluruh negara menerima Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) 2011 bernilai hampir RM15 juta, hasil kecemerlangan prestasi sekolah masing-masing sepanjang tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia terdiri daripada 300 sekolah kebangsaan, 46 sekolah jenis kebangsaan Cina, 51 sekolah jenis kebangsaan Tamil, lima sekolah agama bantuan kerajaan dan sebuah sekolah Orang Asli.