Tidak mengaku cabul budak 14 tahun – Sinar Harian


Tidak mengaku cabul budak 14 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mac 2012
Tidak mengaku cabul budak 14 tahun

GEORGETOWN – Seorang penjaja berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebatan selepas didakwa mencabul kehormatan seorang remaja pada 12 Mac lalu.

Tan Seng Hooi, 56, dari Gerbang Erskine didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik tidak bernombor di tingkat bawaH Blok 16-A, Taman Teguh, Jalan Gerbang Erskine di sini.

Mengikut pertuduhan, Seng Hooi didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 14 tahun antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seng Hooi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin. Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan.

Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Kejutan api asrama – Metro


Kejutan api asrama

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: “Saya hanya sedar kejadian ini apabila terhidu asap ketika sedang makan bersendirian di bilik,” kata pelajar pusat tahfiz, Wan Aidil Rafie Wan Zee, 13, selepas kebakaran memusnahkan tingkat atas tempat pengajiannya, Maahad Tahfiz Tok Faqih, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu menyebabkan pusat tahfiz dua tingkat yang dibina hasil sumbangan penduduk kampung, hangus termasuk bahan untuk sesi pelajaran bagi 17 pelajar termasuk buku dan komputer.
Wan Aidil Rafie berkata, sebelum kejadian, dia berada di biliknya sementara pelajar lain beriadah di luar asrama serta membersihkan kawasan masjid.

 

Katanya, dia yang baru tiga hari dihantar ke pusat berkenaan, memeriksa bilik sebaik menghidu bau pelik dan terkejut melihat api marak membakar langsir di bilik sebelah.
“Selepas melihat api marak, saya menjerit supaya rakan meminta bantuan daripada penduduk. Ada rakan mahu menyelamatkan barang peribadi, namun sempat dihalang memandangkan api semakin besar.
“Penduduk kampung kemudian menghubungi bomba,” katanya.

 

 

Mudir Maahad Tahfiz Tok Faqih, Mustafa Ismail berkata, ketika kejadian dia berada di majlis kenduri saudaranya sebelum mendapat panggilan daripada rakan memaklumkan pusat tahfiz berkenaan terbakar.
Katanya, dia beristigfar apabila melihat kejadian itu dan hanya mampu melihat anggota bomba memadam api.

 

“Akibat kejadian itu, semua pelajar dan dua guru agama tinggal di Masjid Kota sementara menunggu ia dibaik pulih,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Azmi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.09 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera dan 12 anggota termasuk tujuh anggota dan sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Katanya, ketika tiba, pihaknya mendapati 90 peratus tingkat atas pusat tahfiz berkenaan sudah terbakar dan anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal api sebelum dapat dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian.
“Dua bilik tidur pelajar dan pejabat pentadbiran di tingkat atas musnah dan kerugian dianggarkan RM250,000. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya

Rombakan beri faedah kepada semua pelajar – Berita Harian


Rombakan beri faedah kepada semua pelajar

2012/03/17

Pelan pembangunan pendidikan mentransformasi generasi muda

KUALA LUMPUR: Pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara akan memberi faedah kepada generasi muda, termasuk mentransformasikan mereka menjadi lebih bersedia untuk berdepan perubahan serta cabaran global.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.

Katanya, dalam proses perancangan yang dijalankan kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.

“Kita kena fikir di luar kotak kerana ini membabitkan masa depan generasi muda pada masa kini.

“Oleh itu panel jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam rombakan ini tidak sepatutnya membabitkan hanya ‘orang lama’ tetapi kumpulan berbeza usia termasuk generasi muda supaya maklum balas mereka lebih menepati apa yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.
Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, pula berkata sistem pendidikan yang menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan menafikan bakat serta pembinaan karakter pelajar.

Katanya penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak membangun.

“Oleh itu pada peringkat pembentukan pelan ini, kerajaan perlu pastikan penilaian dilakukan dengan lebih bersepadu dan seimbang dengan menekankan meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter,” katanya.

Sekolah perlu kuasa autonomi – Utusan


Sekolah perlu kuasa autonomi

 

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 16 Mac – Pihak pengurusan sekolah perlu diberi kuasa autonomi bagi mentadbir dan mengurus sekolah masing-masing ke arah melahirkan pelajar yang berkualiti.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad(gambar) berkata, perkara itu merupakan antara cadangan yang perlu dipertimbangkan kerajaan dalam pembentukan pelan strategik hala tuju sistem pendidikan negara yang bakal digubal.

‘Semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran perlu diberi kuasa autonomi untuk merancang sendiri pengurusan supaya institusi tersebut boleh bergerak ke hadapan dalam menentukan kejayaan pelajar.

”Perkara ini telah dilaksanakan di sekolah swasta dan sekolah antarabangsa dan sekolah berkenaan menjadi pilihan ibu bapa yang sanggup membayar lebih demi kejayaan anak.