Mahu pihak sekolah beri penjelasan – Sinar Harian


Mahu pihak sekolah beri penjelasan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2012
Mahu pihak sekolah beri penjelasan

KUALA BERANG – “Kalau betul sepanjang saya bekerja ada membuat masalah, kenapa tidak berbincang terlebih dahulu sebelum bertindak menyuruh majikan menukarkan saya ke tempat lain,” itu luah ibu tunggal yang mendakwa dirinya teraniaya.

Rokiah Mohamed, 44, ketika ditemui berkata, dia terkilan dengan jawapan yang diberikan pihak pengurusan sekolah kerana sepanjang bekerja di situ, dia mendakwa tidak pernah diajak berbincang masalah yang berlaku terhadap cara kerjanya sehingga diberhentikan.

“Kalau betul saya melakukan kesalahan, kenapa tidak diberitahu terlebih dahulu supaya ia boleh diselesaikan dengan cara baik, tetapi memilih cara ini sehingga saya hilang mata pencarian.

“Ini tidak adil bagi saya selaku seorang ibu tunggal yang juga menanggung anak serta cucu yang masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Rokiah yang malu dengan kenyataan itu berkata, jika benar dia mendatangkan masalah kepada sekolah selama ini, dia mahu bersemuka dengan pihak pengurusan sekolah itu untuk mengetahui cerita sebenar punca dia diarah ditukar ke sekolah lain.

“Jika betul saya salah, saya mengaku tetapi dalam situasi sekarang, saya dibuang kerja atas arahan pihak sekolah tanpa mengetahui punca sebenar menyebabkan saya amat terkilan.

“Sepatutnya perkara seperti ini perlu dibawa berbincang terlebih dahulu, jangan terburu-buru kerana saya mempunyai tanggungan dan juga seorang ibu tunggal,” katanya.

Sehingga kini, Rokiah masih mencari kesalahan yang dilakukan dan berharap pihak sekolah tampil untuk memberi penjelasan supaya dia mengetahui punca sebenar.

Semalam Sinar Harian melaporkan mengenai seorang tukang sapu di sebuah sekolah di bandar Kuala Berang mendakwa diberhentikan tanpa sebarang notis, malah lebih malang dia juga mendakwa, majikannya memberitahu arahan memberhentikannya adalah daripada pihak pengurusan sekolah.

SAR diminta daftar dengan SABK – Sinar Harian


SAR diminta daftar dengan SABK

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2012
SAR diminta daftar dengan SABK

IPOH – Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah agama yang lain diminta supaya mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi membolehkan mereka menikmati insentif dan bantuan yang diperuntukkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan masih membuka ruang malah menjemput semua SAR diserap masuk ke SABK untuk meningkatkan lagi tahap pembelajaran dan prasarana sekolah.

“Sekiranya SAR mendaftar sebagai SABK, sekolah-sekolah itu akan menikmati pelbagai kemudahan daripada peruntukan itu, kerajaan hanya pemudah cara.

“Mereka tidak perlu bimbang dengan alasan kurikulum mereka akan dikawal oleh kerajaan kerana pembelajaran tahfiz sedia ada di sekolah berkenaan akan terus dikekalkan malah dari segi pengurusan lembaga atau guru dikekalkan, yang ini ramai yang tak faham,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Multaqa Guru Takmir, Guru Kafa dan Imam Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan SUK, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan bersesuaian jika SAR menjadi SABK, termasuk skim gaji guru yang sama dengan tenaga pengajar di sekolah kebangsaan.

“Kita juga sediakan pelbagai bantuan seperti guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks, biasiswa dan pembangunan infrastruktur turut akan diberi.

“Pendaftaran SABK akan memberi banyak faedah, kemudahan dan bantuan kepada guru, murid serta pembangunan infrastruktur berbanding sekarang,” katanya.

Pakatan jijik kekasih, bekas kekasih – Metro


Pakatan jijik kekasih, bekas kekasih

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua lelaki dipercayai kekasih dan bekas kekasih seorang pelajar berusia 15 tahun yang menjadi mangsa rogol di sebuah chalet di Kampung Raja, Besut, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek pertama berusia 17 tahun yang tidak bersekolah adalah kekasih gadis itu berasal dari Kampung Keluang, Besut, manakala suspek kedua, bekas kekasihnya yang juga tidak bersekolah berusia 18 tahun dari Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut.
Menurutnya, mangsa, seorang pelajar tingkatan tiga berasal dari Kampung Tanah Merah, Kerandang, Besut mendakwa dirogol dua lelaki itu pada tarikh dan tempat berbeza.

 

“Mengikut laporan, kira-kira jam 9.45 malam Khamis lalu, mangsa keluar mengikut teman lelakinya, suspek pertama ke sebuah chalet di Kampung Bukit Keluang, Kampung Raja, Besut,” katanya.

Cabul: Tauliah jurulatih pengakap ditarik balik – Utusan


Cabul: Tauliah jurulatih pengakap ditarik balik

KUALA LIPIS 17 Mac – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menarik balik tauliah seorang jurulatih yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas tuduhan mencabul kehormatan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di ibu negara pada Jun tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, ia merupakan kes terpencil dan tiada kena mengena dengan latihan pengakap yang dilaksanakan di sekolah menengah itu.

“Setelah menerima aduan, PPM menyerahkan kepada polis membuat siasatan dan hari ini menerusi media, saya mengetahui Mahkamah Majistret melaksanakan pertuduhan berasaskan undang-undang tertentu.

“Menerusi temu bual kami dengan beberapa pihak, kes itu (cabul) adalah berasingan dan tiada kaitan dengan pengurusan serta latihan pengakap di sekolah menengah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang jurulatih pengakap yang berdepan dengan sembilan tuduhan mencabul kehormatan lapan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah, semalam sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan sama.

Mohamad Shahrom berkata, pihaknya menarik balik tauliah jurulatih dan penolong individu berkenaan sehingga Mahkamah Majistret membuat keputusan dalam kes tersebut.

“Saya anggap kes ini telah selesai di peringkat PPM dan tunggulah mahkamah membuat keputusan berasaskan undang-undang tertentu,” katanya.

Menurutnya, siasatan PPM menunjukkan, kegiatan Pengakap Remaja sekolah menengah itu mematuhi garis panduan Skim Latihan Pengakap Malaysia, termasuk prosedur lain iaitu pendaftaran, tauliah guru dan jadual latihan kokurikulum badan beruniform berkenaan.

Katanya, PPM memandang serius kejadian tersebut yang disifatkan mencalarkan imej pengakap iaitu antara pasukan beruniform sukarela tertua di negara ini.

300 pelajar terima komputer 1Malaysia – Bernama


300 pelajar terima komputer 1Malaysia

18/03/2012 2:36pm

 

KEPALA BATAS 18 Mac – Seramai 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang dan SMK Agama Al-Irshad menerima komputer riba yang diagihkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Projek Pengagihan Komputer 1Malaysia.

Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, program itu merupakan satu daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah negara.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana ramai pelajar di Parlimen Kepala Batas menerima komputer riba 1Malaysia untuk kemudahan dan kegunaan mereka di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia di sini hari ini.

Beliau percaya komputer yang diberikan secara percuma itu akan meningkatkan keupayaan dan prestasi pelajar dalam usaha kerajaan menjana modal insan yang cemerlang serta berpengetahuan luas.

“Pelajar adalah modal insan masa hadapan negara kerana bakal menjadi satu kekuatan kepada negara, justeru pemberian komputer ini adalah perlu untuk membantu meningkatkan prestasi serta nilai tambah iaitu pengetahuan yang luas kepada pelajar-pelajar terutama dalam bidang teknologi maklumat.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pelajar mesti berpegang kuat dengan budaya untuk meningkatkan penguasaan ilmu kerana melalui kemajuan teknologi yang tinggi tahap keupayaan juga akan lebih besar. -BERNAMA