Cabul: Tauliah jurulatih pengakap ditarik balik – Utusan


Cabul: Tauliah jurulatih pengakap ditarik balik

KUALA LIPIS 17 Mac – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menarik balik tauliah seorang jurulatih yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas tuduhan mencabul kehormatan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di ibu negara pada Jun tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, ia merupakan kes terpencil dan tiada kena mengena dengan latihan pengakap yang dilaksanakan di sekolah menengah itu.

“Setelah menerima aduan, PPM menyerahkan kepada polis membuat siasatan dan hari ini menerusi media, saya mengetahui Mahkamah Majistret melaksanakan pertuduhan berasaskan undang-undang tertentu.

“Menerusi temu bual kami dengan beberapa pihak, kes itu (cabul) adalah berasingan dan tiada kaitan dengan pengurusan serta latihan pengakap di sekolah menengah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang jurulatih pengakap yang berdepan dengan sembilan tuduhan mencabul kehormatan lapan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah, semalam sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan sama.

Mohamad Shahrom berkata, pihaknya menarik balik tauliah jurulatih dan penolong individu berkenaan sehingga Mahkamah Majistret membuat keputusan dalam kes tersebut.

“Saya anggap kes ini telah selesai di peringkat PPM dan tunggulah mahkamah membuat keputusan berasaskan undang-undang tertentu,” katanya.

Menurutnya, siasatan PPM menunjukkan, kegiatan Pengakap Remaja sekolah menengah itu mematuhi garis panduan Skim Latihan Pengakap Malaysia, termasuk prosedur lain iaitu pendaftaran, tauliah guru dan jadual latihan kokurikulum badan beruniform berkenaan.

Katanya, PPM memandang serius kejadian tersebut yang disifatkan mencalarkan imej pengakap iaitu antara pasukan beruniform sukarela tertua di negara ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s