Remaja diselamat daripada dilacur – Utusan


Remaja diselamat daripada dilacur

 

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

 

SHAH ALAM 19 Mac – Polis Thailand berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan Malaysia yang melarikan diri daripada sekumpulan anggota sindiket pelacuran selepas menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, minggu lalu.

Turut melarikan diri bersama remaja berusia 14 tahun itu ialah sekumpulan remaja Myanmar.

Remaja perempuan itu yang berasal dari Seksyen 8, Shah Alam, di sini dipercayai hilang dari rumah dan kehilangannya itu dilaporkan oleh ibunya yang berusia 37 tahun pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ibu kepada remaja itu bagaimanapun sekali lagi membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11 di sini sehari selepas itu memaklumkan dia menerima panggilan daripada anak perempuannya.

Beliau berkata, wanita itu mendakwa anak perempuannya mengadu telah diculik bersama beberapa kanak-kanak warga Myanmar oleh sekumpulan individu dan dibawa ke Thailand.

Sekolah Sahabat JPS, UNISEL capai matlamat – Berita Harian


Sekolah Sahabat JPS, UNISEL capai matlamat
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2012/03/20

ANuAR (depan, lima dari kanan) dan Khalid (enam dari kiri) bersama pengetua, pegawai pelajaran daerah
sekitar Selangor dan guru sekolah dalam majlis pelancaran SSu 2012, baru-baru ini.

ANuAR (depan, lima dari kanan) dan Khalid (enam dari kiri) bersama pengetua, pegawai pelajaran daerah sekitar Selangor dan guru sekolah dalam majlis pelancaran SSu 2012, baru-baru ini.

BAGI meningkatkan kualiti pendidikan pelajar Melayu, Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) menganjurkan Program Sekolah Sahabat UNISEL (SSU) 2012.

Program membabitkan 400 pelajar Tingkatan Lima dari 10 sekolah menengah terpilih sekitar Selangor itu adalah sebahagian aktiviti tanggungjawab sosial UNISEL dalam usaha membangunkan generasi muda lebih berdaya saing.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS), Khalid Jaafar, berkata program yang sudah masuk tahun ketiga penganjurannya itu dapat meningkatkan prestasi pelajar khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pihak JPS menyokong penuh mana-mana pihak yang menganjurkan program berteraskan pendidikan seumpama ini kerana bukan mudah menjayakannya terutama apabila membabitkan banyak pihak. -Khalid Jaafar, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS)

Beliau berkata, kepakaran pensyarah UNISEL yang disumbangkan kepada guru dan pelajar diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Pihak JPS menyokong penuh mana-mana pihak yang menganjurkan program berteraskan pendidikan seumpama ini kerana bukan mudah menjayakannya terutama apabila membabitkan banyak pihak.

“Contohnya, program ini membabitkan Yayasan Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), JPS dan UNISEL sendiri, jadi diharap perbezaan fahaman politik diketepikan dan tidak menjadi halangan menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SSU 2012 di UNISEL Kampus Shah Alam, baru-baru ini. Hadir sama, Pemangku Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Anuar Ahmad.
Dr Anuar berkata, sejak dimulakan dua tahun lalu, program itu membantu pelajar menghadapi SPM terutama bagi mata pelajaran kritikal iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Katanya, sebelum ini SSU berjaya meningkatkan keyakinan diri dan sahsiah pelajar serta memperbaiki status sekolah menengah kebangsaan luar bandar, majoriti pelajarnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Selain SSU, kami juga menghantar 50 pensyarah ke 10 sekolah menengah kebangsaan (SMK) sekitar kawasan untuk mengajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Dua fakulti yang menjayakan SSU iaitu Fakulti Sains dan Bioteknologi bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dan Fakulti Pendidikan & Sains Sosial untuk subjek Bahasa Inggeris dan program motivasi.

“Tahun ini kelompok 10 sekolah baru dipilih berbanding tahun lalu, antaranya SMK Bagan Terap, SMK Raja Muda Musa, SMK Abdul Jalil, SMK Sijangkang Jaya, SMK Ampang Pechah, SMK Bukit Gading dan SMK Meru,” katanya.

Fatihah hilang lepas direntap – Kosmo


Fatihah hilang lepas direntap

 

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
berita@kosmo.com.my

 

NOR MALA dan suaminya, Mahadi Muda menunjukkan gambar Siti Nur Fatihah yang didakwa diculik tiga individu ketika hendak membeli kad tambah nilai telefon bimbit di Taman Tas, Kuantan, Pahang kelmarin.

 

KUANTAN – Seorang suri rumah kini hidup dalam keadaan tidak keruan apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang didakwa dilarikan dua lelaki dan seorang wanita ketika mangsa pergi ke kedai telefon untuk membeli kad tambah nilai prabayar RM5 berhampiran rumahnya di Taman Tas di sini kelmarin.

Nor Mala Mohd. Lazin, 34, memberitahu, anaknya, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, dikatakan diculik oleh tiga individu terbabit yang menaiki sebuah kereta bercermin gelap pada pukul 12 tengah hari.

Katanya, anak gadisnya itu pergi ke kedai bersama dua adiknya, Siti Nurul Aishah dan Mohd. Shahmi Aiman. Dua beradik itu berusia 11 tahun. Kedai itu terletak hanya 100 meter dari rumahnya.

“Pada hari kejadian, saya terkejut apabila mendapati dua anak saya pulang dalam keadaan tergesa-gesa sambil menangis.

“Saya tanya kenapa dan mereka memberitahu yang Fatihah (nama panggilan Siti Nur Fatihah) telah diculik dua lelaki dan seorang wanita tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta bercermin gelap,” ceritanya ketika ditemui semalam.

Mengikut cerita dua anaknya, ketika sedang berjalan ke kedai itu, kereta penculik yang dipandu wanita tersebut telah berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki menarik Fatihah.

Menurut Nor Mala, kedua-dua anaknya cuba menyelamatkan kakaknya tetapi lelaki tersebut merentap Fatihah dengan kuat menyebabkan pegangan tangan mereka terlepas mengakibatkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan di sini itu dibawa lari.

Kementerian siasat dakwaan guru tak dapat cuti 90 hari – Berita Harian


Kementerian siasat dakwaan guru tak dapat cuti 90 hari

2012/03/20

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan CUEPACS bahawa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor pendidikan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata isu itu tidak seharusnya timbul terutama di kalangan guru kerana peruntukkan cuti bersalin 90 hari adalah hak mereka dan ketua jabatan tidak boleh sewenang-wenangnya menolak atau memotong tempoh cuti berkenaan.

“Isu ini tidak seharusnya timbul kerana apabila guru memohon cuti, pihak sekolah selalunya akan menyediakan guru ganti bagi meneruskan kerja mereka sepanjang tempoh cuti bersalin.

“Kementerian akan menyiasat dakwaan CUEPACS itu bagi menentukan sama ada isu berkenaan benar-benar timbul,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng mendakwa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor perguruan dan kejururawatan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari seperti diperuntukkan.

Yim Pheng berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru dan jururawat yang mendakwa permohonan cuti bersalin mereka ditolak oleh ketua jabatan masing-masing.

CUEPACS kecewa dengan tindakan sedemikian kerana alasan yang sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan tenaga kerja untuk menggantikan mereka bagi tempoh 90 hari.
Mohd Puad berkata, kementerian akan menghubungi CUEPACS bagi mendapatkan bukti mengenai dakwaan itu.