Misteri ‘van putih’ kembali – Metro


Misteri ‘van putih’ kembali

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HILANG...Zahedi menunjukkan gambar Nazatul Fadiana yang ditemui  di Bangkok.
HILANG…Zahedi menunjukkan gambar Nazatul Fadiana yang ditemui di Bangkok.

SHAH ALAM: Misteri ‘van putih’ kini kembali apabila mangsa culik Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok 11 Mac lalu, dikatakan diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali menaiki van berwarna putih sewaktu berada berdekatan sebuah restoran di Seksyen 9, di sini pada hari kejadian 30 Januari lalu.

Perkara itu diceritakan mangsa kepada ibunya dalam perbualan telefon pada 12 Mac lalu selepas diselamatkan polis Thailand sewaktu ditemui di Stesen Kereta api Hualamphong, Bangkok, Thailand.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, apa yang diceritakan mangsa kepada ibunya belum cukup untuk polis mengaitkan kejadian berkenaan dengan motif sebenar mangsa dilarikan ke Thailand.

 

“Ini kerana buat masa ini polis belum mendapat sebarang maklumat daripada mangsa kerana dia masih dalam keadaan trauma dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.
Sebelum ini, sebuah van putih turut dikaitkan dengan kejadian penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007.
Ada saksi ternampak Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van sebelum mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya, beberapa hari kemudian. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van putih di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

 

 

Zahedi berkata, Nazatul Fadiana atau lebih dikenali sebagai Nana akan terus mendapatkan rawatan di PPUM manakala lima warga Myanmar masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan yang diselamatkan bersama mangsa kini masih berada di Bangkok, Thailand.
“Semua warga Myanmar terbabit berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Mereka dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu polis mengumpul bukti dan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.

 

Menurutnya, Nana menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), di Sepang, dengan diiringi ibunya, selain beberapa pegawai polis dan imigresen Thailand, malam kelmarin.
“Sebaik mendarat, mangsa terus dikejarkan ke PPUM, Petaling Jaya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya. Akhbar semalam melaporkan, Nazatul Fadiana dilaporkan hilang selepas dihantar ibunya ke perhentian bas di Seksyen 9, di sini bagi mengulang kaji pelajaran bersama rakannya, pada jam 3 petang, 30 Januari lalu.
Namun, sehingga malam hari kejadian, mangsa tidak pulang ke rumah sebelum ibunya membuat laporan polis di IPK Selangor. Selepas dua bulan dilaporkan hilang, mangsa diselamatkan polis Thailand yang menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, bersama lima warga Myanmar, 11 Mac lalu.

559 calon SPM 2011 dapat semua A+ – Bernama


559 calon SPM 2011 dapat semua A+

2012/03/21

PUTRAJAYA: Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 403 pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud, berkata daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada 2010.

“Pencapaian keseluruhan calonSPM 2011 bertambah baik dengan Gred Purata Nasional (GPN)5.04, berbanding 5.19 pada tahun 2010,” katanya pada majlis pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 468,808 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu. – BERNAMA

Keputusan SPM: Indeks gred purata bertambah baik – Utusan


Keputusan SPM: Indeks gred purata bertambah baik

21/03/2012 9:47am

 

 

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

 

PUTRAJAYA 21 Mac – Pencapaian keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 bertambah baik dengan indeks Gred Purata Nasional (GPN), 5.04 berbanding 5.19 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, sejak 2007 hingga 2011 nilai GPN pada setiap tahun memperlihatkan peningkatan pencapaian calon secara berterusan.

“Seramai 506 calon sekolah Kementerian Pelajaran telah berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A ) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 363 pada 2010.

“Bagi calon selain dari sekolah kementerian pula, seramai 53 pelajar telah berjaya memperoleh gred A bagi semua pelajaran berbanding 40 pada 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Pembentangan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, di sini hari ini. – UTUSAN

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2011 HARI INI! (21.03.2012)


PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2011 HARI INI! (21.03.2012)

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2012. Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2011 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 27 Mac 2012.

Sekian, terima kasih.

Dengki punca anak dilarikan – Berita Harian


Dengki punca anak dilarikan
Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2012/03/21

NORMALA memujuk  Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah ketika ditemui di  rumah mereka di Kuantan, semalam.

NORMALA memujuk Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah ketika ditemui di rumah mereka di Kuantan, semalam.

Ibu terima panggilan gadis selamat

KUANTAN: Ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga, Siti Nurfatihah Mahadi mengesyaki perasaan dengki dan cemburu menjadi punca anaknya dilarikan dua lelaki dan seorang wanita ketika membeli kad tambah nilai prabayar di premis berhampiran rumah di Taman Tas, Ahad lalu.

Ibu mangsa, Normala Mohd Lazin, 33, berkata beliau dihubungi lelaki berusia 20-an yang juga kenalan anaknya jam 2 pagi semalam, memaklumkan anaknya selamat.

“Saya kenal lelaki terbabit kerana dia pernah datang ke rumah. Dia memaklumkan ada seorang perempuan memberitahunya anak saya selamat dan berada di rumah ibu angkat dipercayai salah seorang individu yang mengambilnya.

“Namun lelaki terbabit enggan memberitahu di mana Siti Nurfatihah berada sekadar memaklumkan anak saya mahu pulang ke rumah hari ini (semalam), tapi sehingga kini anak saya tetap belum pulang,” katanya ketika ditemui, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang Ahad lalu, Siti Nurfatihah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, di sini keluar ke sebuah premis yang terletak 100 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai dengan ditemani dua adiknya iaitu Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah, masing-masing berusia 11 tahun sebelum dipercayai diculik suspek menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna ungu.

Selain itu, Normala berkata, dalam perbualan telefon hampir dua jam, beliau turut meminta lelaki terbabit untuk memujuk pihak yang mengambil Siti Nurfatihah memulangkan anaknya semula.
“Mungkin kerana dengki menjadi punca anak saya dilarikan, malah lelaki terbabit berkata perempuan yang mengetahui di mana anak saya berada marah apabila kes ini tersebar selain menjadi kes polis.

“Saya mengesyaki ada pakatan antara lelaki ini dan perempuan terbabit yang seakan-akan menyembunyikan sesuatu sehingga enggan memaklumkan di mana Siti Nurfatihah berada,” katanya.

“Kami sekeluarga sangat tertekan dan runsing memikirkan bagaimana keadaan Siti Nurfatihah,” katanya.

Suri rumah terbabit menolak andaian sesetengah pihak yang mendakwa anaknya sengaja melarikan diri mengikut teman lelaki dan bukan diculik.
“Saya sangat rapat dengannya dan tahu sikapnya malah setahu saya, Siti Nurfatihah tiada teman lelaki cuma dia ramah dan mempunyai ramai kenalan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi berkata siasatan berhubung kejadian berkenaan masih diteruskan, termasuk mengambil keterangan lanjut dua adik mangsa yang juga individu terakhir dilihat berada bersama mangsa sebelum kejadian.

Pemilik mohon maaf budak digigit anjing – Berita Harian


Pemilik mohon maaf budak digigit anjing

2012/03/21

BUKIT MERTAJAM: Pemilik anjing yang menyerang kanak-kanak, Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7, di Bandar Perda, di sini, Ahad lalu memohon maaf dan menyerahkan nasib haiwan peliharaannya itu kepada pihak berkuasa.

Lelaki yang identitinya enggan dikenali berkata, dia kesal dengan kejadian yang menimpa mangsa hingga kanak-kanak itu terpaksa dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan selepas diserang anjing peliharaannya.

“Saya dapat merasakan kesukaran yang dialami mangsa dan ibu bapanya kerana saya juga bapa kepada beberapa orang anak. Saya sebenarnya amat berharap kejadian itu tidak menimpa sesiapa, terutama kanak-kanak,” katanya di sini, semalam.

Lelaki itu mendakwa sudah memelihara anjing berkenaan kira-kira dua tahun dan tidak menyangka ia dapat melepaskan diri daripada kurungan sebelum menyerang mangsa.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan nasib anjing itu kepada pihak berkuasa berikutan kejadian itu.

“Saya akan menerima apa saja keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Johari A Bakar, berkata anjing berkenaan akan ditahan sekurang-kurangnya selama 10 hari.
Katanya, jabatan itu akan memantau sama ada anjing berkenaan mempunyai simptom anjing gila sebelum membuat keputusan lanjut. Mengikut prosedur, anjing itu perlu dihapuskan jika didapati berbahaya.

Semalam, akhbar melaporkan Dhiya Qairina parah selepas diserang seekor anjing yang terlepas daripada kurungan ketika menunggang basikal di Lorong Perda Timur 9, Bandar Perda, di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang bermain di depan rumah diterkam dari arah belakang oleh anjing berwarna hitam milik jiran sebelum digigit pada belakang bahu, pinggang dan punggung dalam kejadian jam 6.45 petang itu.

Mangsa diselamatkan bapanya, Muhammad Nur Akmal Abdul Latiff, 47, dan dibawa ke sebuah hospital swasta berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke dalam wad.

Berikutan itu, Muhammad Nur Akmal membuat laporan di Balai Polis Bandar Perda dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).