Kanak-kanak 8 tahun terselamat meskipun kereta dinaiki dilarikan penjenayah – Bernama


Kanak-kanak 8 tahun terselamat meskipun kereta dinaiki dilarikan penjenayah

22 Mac 2012

MELAKA — Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun melalui pengalaman getir apabila kereta yang dinaikinya dilarikan seorang penjenayah, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa, Nor Abdullah Afiq Abdullah sedang tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Gen-2 milik datuknya, Abu Samah Othman, 62.

Kenderaan itu diparkir di Jalan Melaka Raya 8 di sini apabila datuk mangsa berhenti di sebuah syarikat insurans, yang terletak kira-kira 20 meter dari situ, untuk menjelaskan bayaran bulanan.

Abu Semah ketika ditemui berkata dia tidak membawa Nor Abdullah Afiq bersama kerana cucunya itu sedang tidur.

“Saya meninggalkannya dalam kereta dengan keadaan enjin dimatikan tetapi tidak berkunci kerana membuka pendingin hawa dan radio,” katanya.

Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan di syarikat itu, dia terkejut apabila mendapati keretanya tidak ada di tempat yang diparkir.

Abu Semah berkata kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada kerani wanita di syarikat insurans tersebut yang kemudian membantu membawanya ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.

Ketika dalam perjalanan, mereka terlihat seorang anggota polis trafik dan memberhentikan kenderaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepadanya.

Abu Semah berkata dia diarah membuat laporan selepas anggota polis itu mengambil nombor pendaftaran serta jenis kereta miliknya.

“Kira-kira enam minit menunggu di balai polis, saya dimaklumkan bahawa kereta dan cucu saya berjaya ditemui di Jalan Parameswara, tidak sampai dua kilometer dari tempat saya parkir,” katanya.

Sementara itu, Nor Abdullah Afiq berkata dia terkejut apabila kenderaan dinaiki dipandu seorang lelaki tidak dikenali setelah terjaga daripada tidur selepas bola besbol yang berada di bahagian belakang kereta terjatuh atas kepalanya. Katanya, dia hanya mendiamkan diri kerana ketakutan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an hasil tindakan pantas anggota trafik tersebut yang  melakukan hebahan dan rondaan sehingga berjaya mengesan kenderaan terbabit.

“Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.

Salehhudin berkata siasatan polis turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 363 kanun sama kerana menculik. — Bernama

Subjek Pilihan Raya Di Sekolah Bukan Untuk Sebar Ideologi Politik – SPR – Bernama


Subjek Pilihan Raya Di Sekolah Bukan Untuk Sebar Ideologi Politik – SPR

KUALA LUMPUR: Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar subjek mengenai pilihan raya diperkenalkan di sekolah bertujuan membantu pelajar memahami sistem pemerintahan negara.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata ia bukan satu program politik untuk menceritakan ideologi mahupun kebaikan sesuatu parti politik.

Matlamat utama memperkenalkan mata pelajaran itu adalah untuk mencetuskan kesedaran dan perasaan sayang remaja kepada masa depan negara, katanya ketika ditemuramah dalam program “Dalam Radar” terbitan Bernama Radio24.

Wan Ahmad berkata melalui subjek itu, pelajar akan didedahkan dengan pemahaman asas mengenai demokrasi, dan kenapa negara perlu mengadakan pilihan raya selain tanggungjawab rakyat dalam menentukan kerajaan.

“Ini cerita sebenarnya…bukannya kita nak beritahu parti politik A ini lebih baik daripada parti politik B,” katanya.

Beliau berkata SPR hanya mencadangkan supaya mata pelajaran itu diperkenalkan tetapi terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada ianya perlu dilaksanakan. – BERNAMA

Surat Pekeliling Kewangan Bil.5 Tahun 2012 -Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM)


Kategori Pekeliling Kewangan
Subjek

Surat Pekeliling Kewangan Bil.5 Tahun 2012 -Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM)

Bil. 5
Tahun 2012
Jabatan Bahagian Kewangan
Fail Download
Tarikh 15/03/2012

Kajian Mengenai Guru Opsyen Pertama Bahasa Cina/Bahasa Tamil Di Sekolah Menengah/Sekolah Rendah – NUTP


Kajian Mengenai Guru Opsyen Pertama Bahasa Cina/Bahasa Tamil Di Sekolah Menengah/Sekolah Rendah

Tarikh Berita/News Date:
20/03/2012

Untuk Makluman Semua Ahli KPPK – NUTP


Untuk Makluman Semua Ahli KPPK,

Saudara / Saudari,

 

1. Urusan Kenaikan Pangkat Pengetua (Gred DG52) / Penolong Kanan (Gred DG48).

2. Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

3. Cola.

Perkara-perkara ini berkemungkinan dapat dilaksanakan pada bulan April 2012.

 

Sekian, harap maklum.

 

PN. LOK YIM PHENG

SETIAUSAHA AGUNG KPPK

Tarikh Berita/News Date:
22/03/2012

SPM: Terengganu terus catat keputusan unggul – Sinar Harian


SPM: Terengganu terus catat keputusan unggul

NURUL HUDA HUSAIN
22 Mac 2012
SPM: Terengganu terus catat keputusan unggul

KUALA TERENGGANU – Terengganu terus unggul dengan mencatatkan peningkatan kepada 4.92 berbanding 5.03 yang direkodkan tahun 2010 lalu bagi Gred Purata Negeri (GPN) dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  yang diumumkan serentak diseluruh negara semalam.

Selain berjaya mengatasi Gred Purata Nasional 5.04, pencapaian tahun ini juga merupakan yang terbaik dalam tempoh empat tahun seperti juga rekod pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Hashim Mohd Zin berkata, pencapaian calon SPM 2011 pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti, di mana seramai 408 (1.95 peratus) calon berjaya mendapt keputusan gred cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 405 calon (1.88 peratus) pada tahun 2010.

“Saya percaya bahawa peningkatan GPN ini disebabkan oleh penumpuan yang dapat calon berikan terhadap mata pelajaran yang diambil setelah Dasar Mengehadkan Jumlah Maksimum Sepuluh Mata Pelajaran dan Penambahan Dua Mata Pelajaran Tambahan yang mula dilaksanakan pada tahun 2010.

“Selain itu, bilangan calon yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian atau C bagi smeua mata pelajaran yang diduduki juga menunjukkan peningkatan seramai 66 calon (0.76 peratus) iaitu 3, 589 calon (17.14 peratus) pada tahun 2011 berbanding 3,523 calon (16.38 peratus pada tahun 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia negeri Terengganu di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Menurut Hashim, sebahagian besar sekolah di negeri ini turut dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan dan hanya satu sekolah sahaja yang memperoleh pencapaian berpotensi.

Katanya lagi, pencapaian yang memberangsangkan dalam kalangan calon SPM tahun 2011 merupakan hasil daripada usaha semua pihak untuk melestarikan pendidikan terbilang di negeri ini.

Sementara itu, daripada 22, 702 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu menyaksikan seramai 19, 755 calon (94.32 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 20, 348 calon (94.61 peratus) pada tahun 2010.

Manakala lapan sekolah turut merekodkan Berpencapaian Cemerlang (GPS) 2.25 dan ke bawah iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu (1.48), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit, Kuala Terengganu (1.71), Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun, Dungun (1.82), SM Sains Kuala Terengganu, Kuala Terengganu (1.85) Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (1.86), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu (2.00), Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut (2.17) dan SM Imitiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu (2.18).

SPM: Solat hajat rahsia kejayaan Azreen – Sinar Harian


SPM: Solat hajat rahsia kejayaan Azreen

NORHAFIZAN ZULKIFLI
22 Mac 2012
SPM: Solat hajat rahsia kejayaan Azreen

BANDAR TUN RAZAK – Walaupun pergerakannya agak perlahan berbanding remaja lain seusianya, namun berbekalkan doa dan solat hajat yang tidak putus, calon orang kelainan upaya (OKU) Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat berjaya memperoleh keputusan cemerlang SPM.

Dengan keputusan 5A, 3B dan 2C, sekali gus menobatkan pelajar terbabit, Azreen Husaini Husop, 18, sebagai pelajar pendidikan khas cemerlang negeri. Anak sulung dari tiga beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang guru sekali gus berhasrat untuk menyambung pengajian di sebuah maktab perguruan.

“Tidak kisah di mana, walaupun berjauhan dari keluarga, saya sanggup asalkan dapat menyambung pengajian di maktab perguruan jika diberi peluang,” katanya.

Ibunya, Noraini Abd Hamid, 44, berkata, walaupun anaknya serba kekurangan, Azreen dikatakan cemerlang sejak dari sekolah rendah lagi.

“Ketika PMR, Azreen juga telah dinobatkan sebagai pelajar pendidikan khas terbaik. Pergerakan dan pertuturan Azreen yang perlahan sukar untuknya menaikkan dirinya dalam bidang lain kecuali dalam pelajaran, justeru, itulah yang membuatkan saya sering bangga dengannya,” katanya.

Noraini berkata, sebagai ibu kepada anak istimewa ini, beliau juga tidak akan menghalang Azreen sekiranya hendak menyambung pengajian di tempat yang jauh dari keluarga.

“Saya memang tidak menghalangnya untuk menyambung pengajian di institusi pilihannya. Azreen memang seorang yang pandai berdikari. Malah sejak dari tingkatan satu lagi saya sudah meletakkan dia di asrama untuk belajar berdikari dan saya percaya, walaupun dia duduk jauh dari keluarga dia boleh membawa dirinya nanti,” katanya.

Azreen yang merupakan anak seorang bilal Felda Jengka 1, berjaya membuktikan walaupun dirinya serba kekurangan, namun tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya seperti mana remaja normal lain. Dalam pada itu, seorang lagi pelajar sekolah terbabit, Rasyiqah Ramli, 18, pula dinobatkan sebagai calon SPM bagi Daerah Maran.

Rasyiqah yang mempunyai keputusan 10A memberitahu, sering berjumpa dengan guru apabila tidak memahami tentang sesuatu perkara dalam pelajaran menjadi resepi utama kejayaannya.

“Sekiranya tidak faham, bersegeralah berjumpa dengan guru. Selain itu, mungkin kejayaan ini juga merupakan berkat doa kedua ibu bapa saya,” katanya.

Rasyiqah, anak pasanganRamli Katio, 71, dan Siti Aminah Waqiman, 56, mungkin antara anak peneroka Felda Jengka 8 yang memperoleh keputusan cemerlang selain boleh dijadikan contoh untuk generasi seterusnya pada masa akan datang.

Anak yatim dapat 10A – Sinar Harian


Anak yatim dapat 10A

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2012
Anak yatim dapat 10A

TUMPAT – Bergelar sebagai anak yatim menjadi pendorong untuknya mengubah nasib keluarga, sehingga memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Walaupun kegembiraan itu tidak dapat dikongsi bersama ayahnya, tetapi Muhammad Luqman Hakim Haris, 18, masih ada ibu, Norhani Muhammad, 49, seorang suri rumahuntuknya berkongsi kejayaan itu.

Muhammad Luqman adalah antara tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat memperoleh A dalam semua matapelajaran iaitu 4A+, 5A dan 1A-.

Dua lagi kawannya yang memperoleh keputusan 10A ialah Nurul Nadirah Ahmad dari Kampung Padang Tembesu dan Nurul Syahira Zulkifli dari Kampung Besut.

Fokus semasa guru mengajar

Muhammad Luqman yang menetap di Kampung Tujoh berkata, rahsia kejayaannya adalah sentiasa fokus setiap kali guru mengajar dalam kelas.

“Jika tak faham semasa guru mengajar, saya terus bertanya,” katanya ketika ditemui selepas keputusan SPM diumumkan di sekolahnya.

Menurutnya, pada waktu malam dia luangkan masa tiga jam untuk mengulang kaji pelajaran, dan juga mengikuti kelas tambahan di sekolah.

“Walaupun saya tidak dapat berkongsi kejayaan ini dengan ayah yang meninggal dunia lapan tahun lalu, tetapi saya berharap dengan kejayaan ini suatu hari nanti saya dapat mengubah nasib keluarga,” katanya.

Muhammad Luqman adalah anak ketiga daripada empat beradik dan adik bongsunya itu adalah hasil perkahwinan ibunya dengan suami baru.

Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2009, Muhammad Luqman memperoleh 9A.

SMK Tumpat muncul terbaik PPD Tumpat

SMK Tumpat muncul sekolah terbaik dalam PPD Tumpat apabila seramai tiga pelajarnya memperoleh 10A manakala di SMK Wakaf Bharu hanya dua pelajarnya memperoleh 10A.

Penolong kanan Pentadbiran, Jamari Othman berkata, bagaimanapun dari pencapaian peratus, ia merosot sedikit berbanding tahun lalu apabila mencatatkan 93.10 peratus dengan Gred Puratanya 4.83 peratus.

“Walaupun ada penurunan, tetapi saya bersyukur kerana bilangan calon yang memperoleh semua A adalah yang teramai di PPD Tumpat.

“Dari segi pencapaian peratus yang dicatatkan SMK Tumpat pada keputusan SPM ini, ia berada di kedudukan ke dua di PPD Tumpat dan SMK Tumpat mampu mengekalkan kedudukan itu selama tujuh tahun berturut – turut,” katanya.

Seramai 245 calon di SMK Tumpat menduduki peperiksaan SPM 2011, tiga orang mendapat 10A manakala 32 calon lagi mendapat 6A, 7A dan 8A.

Belanja RM1,000 beli vitamin – Sinar Harian


Belanja RM1,000 beli vitamin

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2012
Belanja RM1,000 beli vitamin

KUALA BESUT – Sepasang suami isteri dari Kampung Gong Manak di sini sanggup mengeluarkan belanja RM1,000 setiap bulan semata-mata untuk membeli pemakanan tambahan bagi memastikan anak-anak mereka bijak dan berjaya.

Pasangan guru terbabit, Wan Norhashimah Wan Ahmad, 44, dan Abdullah Ya, 51, memperuntukkan sejumlah wang itu untuk pelbagai jenis makanan tambahan seperti vitamin dan makanan lain kepada lima daripada enam anaknya yang masih bersekolah.

‘Pelaburan’ mereka terbukti menjadi apabila anak kedua mereka, Fatin Hamimi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Nurul Ittifaq memperoleh keputusan 11A+ dalam keputusan peperiksan Sijil Pelajaran Malasyia (SPM) yang diumumkan semalam.

Fatin Hamimi bukan sahaja muncul pelajar terbaik di sekolahnya tetapi turut terbaik di daerah dan antara yang terbaik di negeri ini.

Malah, dia juga pelajar keempat terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2009.

Menurut Wan Norhashimah, dia sanggup tidak mencarum insurans per-lindungan sebaliknya berpakat dengan suami mengeluarkan perbelanjaan itu membeli pelbagai jenis vitamin dan pemakanan tambahan lain khusus untuk minda anaknya sejak 1995 lagi.

“Semua anak saya dibekalkan dengan makanan tersebut dan ia sangat membantu dalam memastikan dia mudah belajar,” kata guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bharu, di sini.

Sementara itu, menurut Fatin Hamimi, dia mengambil pelbagai pemakanan tambahan yang dibekalkan ibu bapanya mengikut jadual.

Namun, katanya, semua itu bukan 100 peratus penentu kejayaan sebaliknya ia diiringi usaha sendiri, kesungguhan guru dan amalan solat hajat selain solat Fardu.

“Saya juga tidak pernah mengikuti kelas tambahan sebaliknya hanya menghadiri kelas tambahan disediakan sekolah, berbincang dengan rakan dan memberi tumpuan dalam kelas,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Kakaknya, Noor Farahhannan, 20, juga bekas pelajar sekolah sama muncul pelajar terbaik SPM 2009 sekolah itu apabila memperoleh keputusan 8A+, 2A dan 1A- dan kini melanjutkan pelajaran dalam tahun dua bidang perubatan di Universiti Sains dan Teknologi Jordan (JUST).

Adik perempuannya yang belajar di sekolah sama memperoleh 9A dalam PMR sebelum ini manakala adik lelakinya memperoleh 5A dalam keputusan Ujian Percapaian Sekolah Rendah (UPSR).

MRSM teruskan tradisi keputusan terbaik SPM – Bernama


MRSM teruskan tradisi keputusan terbaik SPM

22 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dengan 1,368 calon atau 19.85 peratus daripada 6,885 pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad berkata secara keseluruhan pencapaian kesemua 39 MRSM adalah cemerlang serta berjaya mengekalkan prestasi
memuaskan dengan mencatat keputusan lulus 100 peratus.

“Pencapaian keseluruhan SPM bertambah baik dengan nilai gred purata maktab (GPM) 1.79 berbanding GPM SPM tahun lepas iaitu 1.86.

“Dalam SPM 2010 seramai 1,249 orang (18.28 peratus) berjaya mendapat gred A bagi semua mata pelajaran. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.57 peratus,”
katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ibrahim berkata pencapaian ini menunjukkan kecemerlangan pelajar-pelajar MRSM terserlah bukan sahaja di dalam bidang akademik malah mampu menguasai
pelbagai bidang kemahiran serta kemahiran insaniah.

Katanya, sistem pendidikan MRSM akan terus relevan dan menjadi penyumbang kepada pembangunan global, berintegriti, berkualiti serta mempunyai minda kelas
pertama selaras dengan visi Mara untuk menjadi organisasi amanah yang unggul untuk mengangkat martabat bangsa.- Bernama