Pandangan mengenai PROSPEK
Saudara/ Saudari,
Sila beri pandangan mengenai PROSPEK sama ada perlu diteruskan atau tidak?
Sila hantar ke mail@nutp.org
Sekian, harap maklum.
Pn Lok Yim Pheng
Setiausaha Agung KPPK
Saudara/ Saudari,
Sila beri pandangan mengenai PROSPEK sama ada perlu diteruskan atau tidak?
Sila hantar ke mail@nutp.org
Sekian, harap maklum.
Pn Lok Yim Pheng
Setiausaha Agung KPPK
KOTA KINABALU 24 Mac — Kementerian Pelajaran berharap dapat mewujudkan lebih banyak asrama desa di kawasan pedalaman dalam usaha merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, asrama desa merupakan penyelesaian berkesan bagi mengatasi isu pelajar tidak hadir atau keciciran kerana masalah pengangkutan atau cuaca buruk.
“Apabila tidak ada asrama desa, peratus pelajar tercicir atau ponteng sekolah di luar bandar tinggi, terutama apabila hujan atau air sungai cetek di mana bot tidak bergerak menyebabkan pelajar tidak boleh datang ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konsolidasi Transformasi Pendidikan Vokasional di sini hari ini.
Beliau berkata, asrama desa akan memberi keselesaan dan motivasi kepada pelajar serta guru dalam melaksanakan pembelajaran yang lebih berkesan.
Katanya, pelajar yang ditempatkan di asrama desa akan memberi peluang kepada guru mengadakan kelas tambahan, selain mendapat pemakanan berzat dan mencukupi. — BERNAMA
TASEK GELUGOR 24 Mac — Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM440 juta bagi membiayai program pembangunan dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini sejak tiga tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Beliau berkata, peruntukan itu juga bertujuan menaikkan tahap pendidikan belia India di negara ini, dan sejajar dengan matlamat tersebut, kerajaan menambah bilangan penerima biasiswa bagi pelajar kaum berkenaan.
“Seramai 400 pelajar India di negara ini sudah menerima biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Yayasan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) supaya dapat membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pengayaan Pendidikan Prasekolah Tamil di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed dan Pengarah Yayasan Masyarakat dan Pendidikan Malaysia (MCEF), Tan Sri C Rajandram.
Nor Mohamed berkata, kerajaan juga menyediakan 1,000 tempat di matrikulasi untuk pelajar India yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2011.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi memperuntukkan RM23.6 juta bagi melaksanakan program latihan kemahiran membabitkan belia India dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah di kalangan kaum tersebut.
Katanya, program itu sedang dilaksanakan di pelbagai institusi latihan swasta seluruh negara dan ia dijangka dapat mengurangkan kadar kemiskinan, selain menjana pendapatan melalui kemahiran yang dipelajari.
Nor Mohamed berkata kejayaan Program Harapan Prasekolah kendalian kerajaan bersama MCEF sejak 2007, berjaya menarik kemasukan kira-kira 9,000 pelajar kaum India di bawah umur enam tahun. — BERNAMA
KOTA KINABALU – Seorang guru wanita menerima berita buruk kematian suaminya dalam kemalangan di Inanam, kira-kira 10 kilometer dari sini, lewat petang semalam, hampir pada hari ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
Caroline Lodimun, 27, berasal dari Kampung Mangkaladom, Kiulu, terkejut diberitahu suaminya, Aquinius Primus ,28, terbunuh selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah lori treler, kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketika kejadian wanita itu berada di Kampung Tibabar, Ranau di tempat dia mengajar dan berkahwin dengan mangsa pada 30 April tahun lepas.
Wanita itu berkata suaminya sedang dalam perjalanan dari Sepanggar menuju ke Pekan Inanam untuk keluar makan bersama keluarga bapanya apabila kemalangan berlaku.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi, ketika dihubungi di sini, mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan datang dari arah bulatan Inanam sebelum membuat pusingan sementara kereta mangsa dari pekan Menggatal menuju Inanam.
Ahmad berkata, kereta mangsa terperosok di tepi lori treler itu dan mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di dada.
Pihak bomba mengambil masa kira-kira setengah jam mengeluarkan mangsa yang kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat. – Bernama
KOTA BAHRU – Bekas guru jasmani Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Cheng di sini terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di simpang lampu isyarat Jalan Telipot di sini, hari ini.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Tan Seng Cung, 60, sedang menunggang motosikal untuk menemui seorang rakannya, berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza, pada pukul 8.45 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mati di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan.
Mendiang Tan menamatkan khidmatnya sebagai guru kontrak bahasa Inggeris dan jasmani di sekolah itu tahun lepas.
Tan terkenal di kalangan masyarakat tempatan sebagai seorang guru yang aktif dan gigih dalam kegiatan sosial dan sukan. – Bernama
2012/03/24
SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima 20 jahitan pada betis kiri setelah diserang tiga anjing ketika bermain bola sepak di Padang Awam Taman Bandar Baru di Sungai Lalang di sini petang semalam.
Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa, Muhammad Nabil Amin Abd Wahab, 10, sebelum diserang tiga anjing yang dipercayai kelaparan, dari arah belakang.
Muhammad Nabil berkata, selepas melihat kehadiran anjing-anjing itu semua rakannya melarikan diri tetapi dia tidak sempat menyelamatkan diri kerana kaki kanannya sakit pada waktu itu.
“Masa itu saya tengok mulut anjing terbuka luas hingga menyambar kaki kiri dan sempat menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang. Seekor anjing berada di atas saya manakala dua lagi berada di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, nasibnya baik kerana diselamatkan oleh pelanggan sebuah kedai makan berdekatan yang ternampak tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan.
Muhammad Nabil dihantar ke HSAH untuk rawatan dan dibenarkan pulang hari ini dan diberikan cuti sakit selama seminggu.
Sementara itu, ibu mangsa Nor Azila Osman, 29, berkata anak lelakinya itu sudah seminggu tidak ke padang permainan berkenaan kerana belum sembuh sepenuhnya daripada jahitan luka pada bahagian kaki kanan kerana terpijak kaca ketika bermain di padang yang sama.
“Dia (Muhammad Nabil) memang dah lama tidak pergi ke padang sebab tidak boleh berjalan dengan baik dan hari ini sepatutnya jahitan luka akibat kaca dibuka tetapi semalam kena tambah jahitan lagi di betis kiri,” katanya.
Nor Azila berkata, kejadian sedemikian sering berlaku di kawasan taman perumahan itu yang mana sebulan lalu terdapat kes seorang budak perempuan sekolah rendah turut digigit anjing sewaktu pulang dari sekolah. – BERNAMA
2012/03/24
YAN: Masyarakat diminta supaya tidak terlalu cepat menghukum remaja yang bermasalah, sebaliknya cuba mendekati golongan terbabit dengan menggunakan kaedah kaunseling.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pendekatan terbaik untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja terutama lari dari rumah mengikut pasangan adalah menerusi kaedah kaunseling yang membabitkan perbincangan secara bersama antara ibu bapa dengan anak-anak.
“Saya ingat perkara yang macam ini (kaunseling) seharusnya berjalan. Saya rasa pihak sekolah, pihak Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam semuanya ada selalu buat.
“Jalan terbaik bukan menghukum tetapi melalui jalan perbincangan ataupun kita panggil kaunseling,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-37 Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka dekat sini hari ini.
Beliau mengulas isu terkini berhubung masalah sosial yang membabitkan golongan remaja perempuan lari dari rumah mengikut kekasih sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa.
Jamil Khir berkata, golongan remaja terbabit bertindak sedemikian kerana perkembangan psikologi mereka yang memiliki sikap ingin disayangi dan menyayangi di samping terpengaruh dengan janji manis kekasih sehingga hilang pertimbangan.
“Ibu bapa ini pun dalam konteks hari ini menggunakan pelbagai kaedah untuk mendidik anak-anak cuma kadang-kadang bila sampai kepada kejutan keadaan itu, dia (remaja) ada orang yang bisik dengan sayang yang terlampau dalam, ‘I care about you, I love you so much, I cannot miss u,’ ini yang kadang-kadang dia jadi hilang pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata, setiap tindakan golongan remaja itu memerlukan pengawasan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan sekolah bagi mengawal aktiviti mereka supaya tidak terlampau bersosial.
Jamil Khir turut meminta golongan remaja supaya tidak bertindak secara melulu yang boleh menyebabkan diri sendiri dan keluarga mendapat malu kerana setiap permasalahan yang timbul boleh dibawa berbincang bersama.
“Kalau ada tindakan yang di luar daripada kebiasaan yang kita nak lakukan tanya kawan-kawan, ibu bapa, mungkin tanya guru kaunseling dan sebagainya ini dapat membantu untuk menghindarkan dan mengurangkan masalah sosial ataupun remaja lari dari rumah,” katanya.
Ahad lalu seorang remaja perempuan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, dilaporkan hilang dan disyaki diculik di Taman Tas, Kuantan tetpi selepas ditemui, dia mengaku dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun.
Seorang lagi remaja perempuan, Nornabila Mat Yaacob, 15, yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli kad tambah nilai telefon bimbit, di Jerantut, Isnin lalu, ditemui bersama teman lelakinya di Kuantan. – BERNAMA
KUALA LUMPUR – Nasib dua beradik lelaki, yang mendakwa mereka diculik dan dilarikan ke Tanjung Malim, Perak, berakhir dalam lokap apabila helah mereka yang sebenarnya melarikan diri dari rumah keluarga di Jalan Klang Lama di sini, terbongkar.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata dua beradik berumur 14 dan 12 tahun itu telah berpakat dengan seorang lelaki untuk memaklumkan kepada keluarga mereka kononnya mereka diculik.
“Lelaki itu menelefon ibu dua beradik berkenaan mengenai penculikan palsu itu dan ibu mereka memaklumkan kepada bapanya sebelum membuat laporan polis mengenai kes itu pada 15 Mac lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata keesokannya, dua beradik itu ditemui oleh seorang pemandu lori di Tanjung Malim apabila terdengar mereka menjerit meminta tolong dari dalam lori itu sebelum diserahkan kepada polis.
Polis kemudian menahan lelaki berusia 26 tahun itu kerana membuat panggilan palsu selain menahan dua beradik itu kerana membuat laporan palsu, katanya.
alam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai di sini dua hari lepas dan merampas heroin seberat 147.24 gram, yang dibungkus dalam 80 paket plastik kecil, bernilai RM4,000 daripadanya.
Siasatan awal polis mendapati lelaki itu aktif mengedar dadah di Lembah Pantai dan Brickfields dan dia ditahan reman sehingga 28 Mac ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah, katanya. – Bernama
PONTIAN – Mayat dua beradik ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tinggal cebisan tulang dan rangka selepas kedua-dua mereka rentung dalam kebakaran melibatkan deretan sepuluh buah rumah kedai separuh papan dua tingkat di Pekan Ayer Baloi di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan Khusnul Khotimah Selamat, 13, dan adiknya, Rohman, 12, maut selepas mereka dikatakan terperangkap ketika sedang nyenyak tidur di tingkat dua premis tersebut.
Khusnul Khotimah merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Baloi manakala Rohman murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi.
Ibu bapa dua beradik itu, Selamat Kosnan, 51, dan Hasniah Abd. Hussin, 50, serta empat adik-beradik mereka, Nor Fitri Yana, 18, Mohd. Iskandar, 17, Mohd. Hanafi, 16, dan Mohd. Sohiban, 15, terselamat dalam kejadian itu.
Turut maut ialah pemilik bengkel motosikal, Ng Kim Leong, 50-an yang dipercayai terkena serangan jantung selepas terkejut melihat premisnya terbakar. Mendiang juga menghidap asma.
Mayat dua beradik itu ditemui dua jam kemudian selepas bomba berjaya memadamkan kebakaran.
Ketika kejadian, hanya rumah keluarga berkenaan yang mempunyai penghuni manakala sembilan lain hanya dibuka pada waktu siang seperti kedai runcit, restoran, kedai telefon, pusat siber, bengkel motosikal dan stor.
2012/03/24
PONTIAN: Dua beradik yang berjaya mengejutkan keluarga mereka supaya menyelamatkan diri, ditemui rentung dalam kebakaran sederet sembilan rumah kedai usang di Pekan Ayer Baloi di sini, awal pagi semalam.
Pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, Khusnul Khotimah Selamat, 13, dan adiknya Rohman, 12, murid Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi, gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran kira-kira jam 4.30 pagi itu.
Mereka dipercayai terperangkap di bahagian hadapan tingkat atas rumah kedai itu sebelum mayat mereka yang rentung ditemui anggota bomba jatuh ke tingkat bawah berhampiran pintu masuk.
“Walaupun bersedih, kami menerima ketentuan Ilahi ini sebagai dugaan hidup dan reda terhadap kejadian menimpa dua anak kesayangan kami yang pergi buat selama-lamanya.
“Saya tak sangka, pelbagai mimpi aneh yang mengganggu tidur sejak tiga bulan lalu, termasuk kejadian rumah roboh serta dua anak terperangkap dan tidak dapat diselamatkan, menjadi kenyataan dalam kebakaran ini.
“Dua anak saya benar-benar pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Sukar untuk kami menerima kenyataan kehilangan dua anak dalam kebakaran ini, namun itulah takdir dan ketentuan Ilahi,” rintih ibu mangsa, Hasniah Abd Hussin, 50, yang mendiami rumah kedai kedai yang disewa mereka kerana berniaga kuih di hadapannya bagi menyara kehidupan keluarga selama ini.
Hasniah tidak menyangka sikap manja Rohman yang mahu tidur di sisinya sejak beberapa malam lalu menjadi petanda anak bongsunya akan pergi buat selama-lama.
Bapa mangsa, Selamat Kosnan, 51, berkata ketika kejadian, keluarganya tidur di tingkat atas rumah kedai papan itu sebelum terjaga apabila Khotimah mengejutkan mereka sambil memberitahu asap tebal di tingkat bawah.
“Dalam kegelapan kerana bekalan elektrik yang terputus dan asap menyelubungi setiap ruang kediaman kami, saya mengejutkan seluruh ahli keluarga sebelum bergegas turun menyelamatkan diri menerusi pintu belakang tanpa menyangka Khotimah dan Rohman masih belum turun.
“Dalam keadaan cemas itu, saya menyangka mereka sudah keluar terlebih dulu dan tidak menyangka mereka terperangkap dalam api yang marak itu.
“Saya hanya menyedari nasib mereka apabila gagal menemui kedua-duanya selepas kami sekeluarga berjaya keluar menyelamatkan diri tetapi mereka berdua tiada bersama,” katanya menahan sebak.