45,000 budak hidap Disleksia – Berita Harian


45,000 budak hidap Disleksia

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

2012/03/24

JOHOR BAHRU: Kira-kira 50 peratus daripada lebih 90,000 kanak-kanak negara ini yang menghidapi masalah pembelajaran sejak usia lima hingga enam tahun berpunca daripada masalah Disleksia.

Perangkaan diterima Persatuan Disleksia Malaysia daripada Kementerian Pelajaran mendapati nisbah menunjukkan lima daripada 100 orang kanak-kanak berpotensi mengalami keadaan itu dan ia amat membimbangkan

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya kini dalam usaha merancang bersama kementerian bagi mewujudkan satu program khusus untuk kanak-kanak yang menghidap Disleksia supaya ditempatkan dalam kelas khas dan diajar guru khas.

Katanya, kebanyakan sekolah tidak dapat mengesan penghidap Disleksia selagi kanak-kanak itu belum menjalani pemeriksaan, justeru mereka cenderung meletakkan mereka dalam kelas pendidikan khas dengan alasan mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

“Program dalam pendidikan khas kurang sesuai untuk penghidap Disleksia, sebaliknya mereka memerlukan program dan kaedah pembelajaran khusus bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika merasmikan Pusat Persatuan Dyslexia Malaysia kesembilan di Taman Melodies, dekat sini, semalam.

Difahamkan, ada sesetengah sekolah memberi kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pelajar Disleksia, sedangkan mereka bukan mengalami penyakit yang kronik, tetapi hanya keadaan mereka yang sukar mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

Guru wanita rugi lebih RM103,000 terjerat cinta ‘Awang Hitam’ – Utusan


Guru wanita rugi lebih RM103,000 terjerat cinta ‘Awang Hitam’

KUALA LUMPUR 23 Mac – Meskipun banyak kali kisah penipuan cinta siber dilaporkan dalam akhbar, namun masih ramai wanita tidak serik melayari laman sosial untuk mencari jejaka ‘mat salleh’ untuk dijadikan teman lelaki.

Mereka yang biasanya menaruh harapan tinggi terhadap jejaka idaman setelah dijanjikan pemberian hadiah lumayan dan disunting sebagai isteri, akhirnya berendam air mata apabila menyedari kekasih dipuja rupa-rupanya hanya kasanova ‘Awang Hitam’ yang menyamar.

Mangsa bukan sahaja menderita emosi akibat cinta dipermainkan, tetapi menjadi papa kedana setelah diperdaya agar menyerahkan wang kepada anggota sindiket penipuan yang bijak menabur janji manis.

Terbaru, seorang guru wanita berusia 48 tahun, menjadi mangsa sindiket terbabit yang menyamar sebagai jejaka berasal dari Switzerland.

KR1M di 2,116 koperasi sekolah – Berita Harian


KR1M di 2,116 koperasi sekolah

2012/03/24

TEMERLOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyasarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan diwujudkan di 2,116 koperasi sekolah di seluruh negara yang mempunyai 500,000 ahli tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata dengan adanya KR1M di setiap sekolah, ia bukan saja membolehkan ahli dan pelajar mendapat barangan murah, malah memesatkan lagi kegiatan koperasi terbabit.

“Buat permulaan kemungkinan sebuah kedai KR1M akan diwujudkan di koperasi sekolah di setiap negeri dan akan diperluaskan secara berperingkat.

“Sebuah jawatankuasa khas bagi membuka KR1M koperasi sekolah akan ditubuhkan kerana ia membabitkan perancangan rapi dengan modal yang besar,” katanya di sini, semalam.

Katanya, kewujudan KR1M banyak manfaat kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan pelajar.

KR1M, beliau berkata, turut akan dibuka di beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berkata pihaknya juga menyasarkan 6,600 masjid seluruh negara akan menubuhkan koperasi kariah masjid masing-masing.
Penubuhan koperasi itu secara tidak langsung boleh memberi sumber ekonomi kepada masjid terbabit yang menjalankan pelbagai perniagaan.

Sehingga semalam 262 koperasi kariah masjid telah ditubuhkan dengan keahlian lebih 4,000 orang. – BERNAMA

Lapan beranak merempat – Utusan


Lapan beranak merempat

 

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

 

SURAYA Ismail bersama tujuh anaknya yang tinggal di tepi tangga di kaki lima tingkat 10, Flat Seri Kelantan, Sentul Pasar, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 23 Mac – Akibat kesempitan hidup, seorang ibu yang disyaki menghidap kanser payu dara, terpaksa merempat di kaki lima bersebelahan tempat pembuangan sampah di sebuah rumah pangsa di sini bersama tujuh anaknya yang masih kecil, sejak seminggu lalu.

Disebabkan keadaan itu, kesemua anak Suraya Ismail, 35, kini menghidap jangkitan kurap di kepala, muka dan anggota badan lain yang memerlukan perhatian perubatan segera.

Kedaifan itu turut menyebabkan tiga anaknya iaitu Nurul Haizatul Ardiela Abdullah, 12; Nurul Anis Farhana Abdullah, 11; dan M. Aieman Hakim Abdullah, 8, terpaksa berhenti bersekolah sejak tiga bulan lepas.

Pendidikan kesihatan reproduktif dan seks kurang berkesan – Utusan


Pendidikan kesihatan reproduktif dan seks kurang berkesan

SUBANG JAYA 23 Mac – Pendedahan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan seks dilihat kurang berkesan kerana ibu bapa dan guru-guru segan membincangkan perkara itu secara terbuka.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr. Kamaruzaman Ali berkata, tidak banyak ibu bapa mampu membincangkan mengenai pendidikan tersebut dengan anak-anak sedangkan mereka adalah individu paling layak.

“Masalah juga timbul apabila terdapat ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai pendidikan itu.

“Keadaan yang sama juga berlaku di sekolah apabila guru-guru segan dan cenderung untuk mengelak daripada menyentuh mengenai topik berkaitan reproduktif dan seks,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Kamaruzaman, walaupun kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan itu secara keseluruhannya semakin meningkat namun masih ramai yang melihatnya dari sudut negatif.

Polis kesal kehilangan anak gadis disifatkan satu penculikan – Bernama


Polis kesal kehilangan anak gadis disifatkan satu penculikan

23/03/2012 9:25pm

 

KUALA LUMPUR 23 Mac – Polis kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang menyifatkan kehilangan anak gadis mereka satu penculikan sedangkan ia sebenarnya tindakan melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kes sedemikian bukan satu jenayah tetapi merupakan masalah sosial yang berpunca daripada kegagalan institusi kekeluargaan.

“Sebelum ini, kita dapat kes yang menyatakan kononnya ada anak gadis yang diculik, tetapi sebenarnya apabila disiasat, mereka bukanlah diculik sebaliknya keluar rumah dan ikut teman lelaki sebelum kembali semula ke pangkuan keluarga.

“Kerana gagal menguruskan institusi kekeluargaan, ia membawa kepada masalah sosial hari ini,” katanya kepada pemberita selepas acara turun padang bersama masyarakat di Berjaya Times Square hari ini.

Ismail berkata, bagaimanapun, polis tetap memandang serius kes itu dan berusaha mendapatkan maklumat sehingga menjumpai mangsa.

Beliau berkata, meskipun ia masalah sosial, polis tetap sedia memberi kerjasama bagi membendung penularan kejadian seperti itu. – BERNAMA