Suami maut hampir hari ulang tahun pertama perkahwinan
KOTA KINABALU – Seorang guru wanita menerima berita buruk kematian suaminya dalam kemalangan di Inanam, kira-kira 10 kilometer dari sini, lewat petang semalam, hampir pada hari ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
Caroline Lodimun, 27, berasal dari Kampung Mangkaladom, Kiulu, terkejut diberitahu suaminya, Aquinius Primus ,28, terbunuh selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah lori treler, kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketika kejadian wanita itu berada di Kampung Tibabar, Ranau di tempat dia mengajar dan berkahwin dengan mangsa pada 30 April tahun lepas.
Wanita itu berkata suaminya sedang dalam perjalanan dari Sepanggar menuju ke Pekan Inanam untuk keluar makan bersama keluarga bapanya apabila kemalangan berlaku.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi, ketika dihubungi di sini, mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan datang dari arah bulatan Inanam sebelum membuat pusingan sementara kereta mangsa dari pekan Menggatal menuju Inanam.
Ahmad berkata, kereta mangsa terperosok di tepi lori treler itu dan mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di dada.
Pihak bomba mengambil masa kira-kira setengah jam mengeluarkan mangsa yang kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat. – Bernama