SAR terima RM132,000 – Sinar Harian


SAR terima RM132,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mac 2012

KUALA KUBU BHARU – Kementerian Pelajaran Malaysia memperuntukkan sejumlah RM131,847.24 kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) Integrasi di daerah ini bagi 2012.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar berkata, peruntukan itu disalurkan khas untuk pembangunan infrastruktur sekolah.

“Sumbangan Kerajaan Pusat akan dapat membantu meningkatkan prestasi SAR, ia juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan yang mengambil berat pembangunan pendidikan nasional, sesuai dengan keperluan masa kini,” katanya pada majlis Penyampaian Bantuan Pembangunan SAR, di sini.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor, Zainal Abidin Mohd Yusof dan Penyelia Kanan Pembangunan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor, Kamal Ma’arof Sairun.

Pada majlis itu, enam wakil dan Ketua Guru dari Kafa Integrasi Sungai Tengi Selatan, Seri Keledang, Kampung Serigala, Kampung Kuantan, Kampung Batu 30 dan Bukit Sentosa 3, menerima cek masing-masing bernilai RM21,974.54.

Mohamed Idris yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor berkata, kerajaan tidak pernah mengetepikan keperluan pembangunan sekolah, malah sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan semua institusi.

Penerima, Salina Zainol, 43, berkata, sumbangan khas yang diberikan itu diperlukan bagi membaik pulih bangunan­ yang mengalami beberapa kerosakan.

Katanya, usaha murni kerajaan sangat dihargai demi memberi keselesaan kepada warga sekolah.

“Sumbangan ini bermakna bagi kami, keprihatinan­ yang ditunjukkan wajar dihargai guru SAR.

“Kami berharap kerajaan terus menghulurkan sumbangan kepada semua sekolah agama demi kebajikan generasi masa depan,” katanya.

Bagi Anita Mustafa, 43, dari Kafa Bukit Sentosa 3, pula, bantuan diterima dapat digunakan untuk membaiki pagar sekolah yang rosak bagi tujuan keselamatan murid.

Menurutnya, mereka sentiasa berharap Kerajaan Pusat mengambil berat kebajikan SAR demi memastikan nasib terbela sama seperti guru sekolah bantuan kerajaan lain.

Bekas guru maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Bekas guru maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mac 2012
Keluarga mangsa menunggu di Unit Forensik HRPZ untuk menuntut mayat mangsa.

KOTA BHARU – Seorang warga emas maut, apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta yang dipercayai keluar dari sebuah lorong di Jalan Telipot, di sini semalam.

Kemalangan yang berlaku pada jam 9.15 pagi berhampiran simpang keluar dari Sekolah Menengah Zainab (SMK) Zainab 1, itu menyebabkan mangsa, Tan Seng Chun, 60 yang dipercayai keluar dari rumahnya untuk membuang sampah gagal mengelak kereta jenis Toyota Avanza yang keluar dari simpang terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa merupakan bekas guru, menunggang motosikal menuju ke simpang empat dan secara tiba-tiba sebuah kenderaan yang dipandu seorang wanita, keluar dari lorong kecil berhampiran asrama Sekolah Menengah Zainab 1, menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan.

“Mangsa tidak sempat menekan brek dan motosikal mangsa merempuh kereta terbabit dari belakang sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala.

Dia disahkan meninggal di tempat kejadian dan mayat di bawa ke hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat sebelum keluarga mangsa menuntutnya untuk urusan pegebumian,”katanya yang akan menyiasat kes itu mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu Sinar Harian cuba mendapatkan keluarga mangsa, namun mereka enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

Budak bermain bola cedera diserang tiga ekor anjing – Utusan


Budak bermain bola cedera diserang tiga ekor anjing

SUNGAI PETANI 24 Mac — Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima 20 jahitan pada betis kiri setelah diserang tiga ekor anjing ketika bermain bola sepak di Padang Awam Taman Bandar Baru di Sungai Lalang, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Muhammad Nabil Amin Abd. Wahab, 10, dikatakan menjadi penjaga gol ketika bermain bola sepak sebelum diserang tiga ekor anjing itu dari arah belakang, dipercayai kelaparan.

Muhammad Nabil berkata, selepas melihat kehadiran anjing-anjing itu semua rakannya melarikan diri tetapi dia tidak sempat menyelamatkan diri kerana kaki kanannya sakit pada waktu itu.

“Masa itu saya tengok mulut anjing terbuka luas hingga menyambar kaki kiri dan sempat menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang. Seekor anjing berada di atas saya manakala dua lagi berada di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Dua maut langgar sesama sendiri – Sinar Harian


Dua maut langgar sesama sendiri

24 Mac 2012

KLANG – Pelanggaran motosikal sesama sendiri di Kilometer 19.6 Lebuh Raya Kesas, berhampiran susur ke Jalan Banting/Klang di sini, awal pagi tadi mengakibatkan dua pelajar maut.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, mangsa, Amirul Asraf, 16, dan Ahmad Nazrin bersama seorang lagi rakan masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sekitar Kuala Langat, dikatakan berkonvoi dari Shah Alam menghala ke Pelabuhan Barat.

Bagaimanapun, tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang Amirul dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda menyebabkan mangsa tercampak ke lalun tengah jalan raya.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, dalam masa sama, dua motosikal dipercayai ditunggang Ahmad Nazrin bersama seorang rakan gagal mengelak dari merempuh mangsa yang ketika itu cuba bangun untuk menyelamatkan diri.

“Amirul yang parah di kepala maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Nazrin sempat dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan berikutan patah tulang rusuk, bagaimanapun mangsa meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi,” katanya.

Seorang lagi mangsa dikatakan hanya mengalami cedera ringan.

Buat masa ini Rosly berkata, polis sudah mengambil keterangan pemandu pacuan empat roda dan salah seorang mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.