11 murid cedera, bas sekolah tembung bas persiaran – Bernama


11 murid cedera, bas sekolah tembung bas persiaran

26 Mac 2012 JITRA – Seramai 11 orang murid dan seorang guru Sekolah Rendah Al-Azhar di Gelong di sini cedera setelah bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas persiaran di Km 16.8 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Alor Setar petang tadi.

Ketika kejadian pukul 4 petang itu, bas yang membawa 40 orang murid sedang dalam perjalanan untuk menghantar mereka pulang selepas sesi persekolahan tamat kira-kira 3 petang.

Mohammad Aisar Hamzah, 11, berkata ketika kejadian, pemandu bas yang juga guru sekolah mereka sedang membelok masuk ke lebuh raya berkenaan dari simpang Kampung Wang Perah.

“Selepas berlanggar saya terkedu bila nampak ada orang tercampak keluar dari bas dan saya nampak kepala dia berdarah,” katanya di tempat kejadian.

Antara mangsa yang cedera ialah Zihni Ilman Zairi, 9, yang patah kaki kiri dan murid Tahun Satu, Afif Shahmi Abdul Salam, 7, yang cedera di kepala dan badan akibat tercampak keluar dari bas.

Murid yang cedera termasuk guru berkenaan dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan, manakala 44 penumpang bas persiaran tersebut termasuk pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mat Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.06 petang dan sampai ke tempat kejadian pada pukul 4.17 petang bersama sembilan anggota.

“Ketika bomba sampai, tujuh pelajar yang cedera telah dibawa ke hospital, manakala penumpang dan pemandu bas persiaran tidak dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya. – Bernama

Kekosongan Jawatan Sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG44 Secara Setara (LATERAL) Di Kolej-Kolej Matrikulasi KPM


Kekosongan Jawatan Sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG44 Secara Setara (LATERAL) Di Kolej-Kolej Matrikulasi KPM


Kekosongan Jawatan Sebagai
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS)
Gred DG44 Secara Setara (LATERAL)
Di Kolej-Kolej Matrikulasi

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Remaja mengaku liwat dipenjara 21 tahun – Sinar Harian


Remaja mengaku liwat dipenjara 21 tahun

MOHD ISKANDAR OTHMAN
26 Mac 2012
Muhammad Mustakim ketika dibawa keluar dari mahkamah, hari ini.

GEORGETOWN – Bekas pelajar sebuah universiti tempatan dipenjara 21 tahun dan 11 kali sebatan selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar tabii dengan dua mangsa berusia 14 dan sembilan tahun, antara Oktober 2010 hingga Mac 2011.

Muhammad Mustakim Mohamad, 23, dari Taman Bukit Gambir, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Mustakim didakwa melakukan perbuatan di luar tabii dengan memaksa mangsa berusia 14 tahun memasukkan zakar ke dalam mulutnya, kira-kira jam 5.30 petang, 30 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memaksa mangsa yang sama memasukkan zakar ke dalam duburnya kira-kira jam 9.15 pagi, 19 Mac tahun lalu.

Pertuduhan ketiga, Muhammad Mustakim didakwa memaksa mangsa yang sama memasukkan zakar ke dalam mulutnya kira-kira jam 7.05 petang, 13 Mac tahun lalu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gambir, Gelugor di sini dan didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merangsang seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun untuk melakukan sesuatu perbuatan melampau di tandas tingkat bawah perumahan yang sama pada 15 Oktober 2010.

Berdasarkan pertuduhan kelima,dia didakwa melakukan kesalahan yang sama pada keesokan hari, kira-kira jam 3 petang terhadap mangsa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 337E yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Sitarun Nisa ketika membacakan keputusannya memutuskan tertuduh dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap kesalahan untuk pertuduhan pertama hingga ketiga manakala tiga tahun penjara dan satu sebatan untuk setiap kesalahan bagi pertuduhan keempat dan kelima.

Mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermulahari ini.

Tertuduh diwakili peguam bela Rosli Ismail dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail.

Remaja diculik, dirogol – Sinar Harian


Remaja diculik, dirogol
ERNEDA PASOLA
26 Mac 2012
Kws Rogol

SABAK BERNAM – Seorang gadis bukan sahaja dilarikan secara paksa malah dirogol oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Panjang, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian itu, mangsa berumur 17 tahun itu bersama adiknya menaiki motosikal diekori suspek dari sebuah stesen minyak di Pekan Sungai Besar.

“Setibanya di Sungai Panjang, suspek melanggar motosikal yang dinaiki mangsa dan adiknya menyebabkan motosikal itu jatuh.

“Suspek kemudiannya membawa lari mangsa secara paksa dan membawanya ke sebuah kebun di Parit 15, serta merogol mangsa,” katanya adik mangsa terus pulang ke rumah dan memaklumkan kepada bapanya serta penduduk kampung serta laporan polis dibuat.

Menurutnya, suspek sempat menghubungi rakan-rakannya dan mengugut untuk merogol mangsa beramai-ramai jika mangsa memberitahu kejadian itu kepada sesiapa.

“Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari kebun berkenaan dan diturunkan di tepi jalan selepas berjanji menyembunyikan kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, penduduk yang sudah dimaklumkan tentang kehilangan mangsa terlihat suspek menurunkan mangsa dan bertindak mengejar suspek.

“Menyedari dirinya diburu, suspek memecutkan kereta yang dipandunya sehingga terbabas masuk ke dalam kebun.

“Suspek yang panik meninggalkan kenderaan itu dan menyembunyikan diri di rumah majikannya di Parit 13,” katanya.

Noor Mushar berkata, polis berjaya menjejaki mangsa berdasarkan kenderaan yang ditinggalkan mangsa, kereta Proton Saga berwarna putih itu adalah milik majikan mangsa.

“Suspek yang berusia 19 tahun akhirnya menyerah diri kira-kira jam 10.30 pagi semalam apabila majikan membawanya ke IPD bagi membantu siasatan,” katanya mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang

Menurutnya, pihaknya menghargai kerjasama yang diberikan masyarakat setempat sehingga suspek dapat dikesan.

“Kita juga memuji tindakan adik mangsa yang dapat mengingati dengan pantas nombor kenderaan, jenis dan warna kenderaan yang banyak membantu kepada menyiasat kes ini.

“Kita juga menasihatkan ibu bapa atau penjaga memantau dan memastikan anak sentiasa dalam kawalan terutamanya perempuan,” katanya

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (jenayah rogol) dan Seksyen 363 (menculik daripada jagaan sah).

Pelajar kurang mampu dapat tajaan layari portal tuisyen – Sinar Harian


Pelajar kurang mampu dapat tajaan layari portal tuisyen
26 Mac 2012

KULIM – Seramai 50 pelajar daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan di Kulim menerima tajaan melayari kelas tambahan dalam talian menerusi ‘Portal Mystar’.

Pengarah Urusan syarikat penyedia perkhidmatan, Puncak Mas Marketing Sdn Bhd, Mohd Norzuzafni Zulkifli berkata pelajar terbabit diberi kemudahan melayari portal itu secara percuma selama setahun.

“Tajaan ini bernilai RM800 setiap seorang dan setakat ini lebih 6,000 pelajar di sekolah rendah dan menengah di beberapa negeri di pantai barat Malaysia menerima tajaan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan ‘kata laluan’ program itu kepada 50 pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Sultan Badlishah, di sini.

Katanya  portal itu yang menerima sambutan menggalakkan menyediakan program untuk semua peringkat pembelajaran termasuk prasekolah (kanak-kanak berusia antara 3 dan 6 tahun).

Untuk melayari portal itu, setiap keluarga hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM100 untuk seumur hidup dan RM60 yuran bulanan, katanya.    

Ibu bapa yang berminat menyertai program itu boleh melayari http://www.1mystar.my atau menghubungi Pengurus Pemasaran, Mohd Nor Shahir di talian             012-5650023       untuk keterangan lanjut.- Bernama

JPNT nafi kecemerlangan UPSR Terengganu akibat soalan bocor – Bernama


JPNT nafi kecemerlangan UPSR Terengganu akibat soalan bocor
26 Mac 2012

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menafikan tohmahan yang tersebar bahawa kecemerlangan yang dicapai calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) negeri itu disebabkan soalan bocor.

Pengarahnya Zakaria Hussin berkata kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi terbaik itu disumbangkan beberapa faktor termasuk kerja keras golongan guru, keprihatinan ibu bapa dan kesungguhan murid.

“Ini adalah tanggapan negatif masyarakat luar yang tidak tahu betapa seriusnya jabatan dengan kerjasama erat kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru dalam dunia pendidikan di Malaysia,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita pada hari pertama memulakan tugas sebagai pengarah baru JPNT, berkata dakwaan itu juga seolah-olah mempertikaikan kredibiliti Majlis Peperiksaan Malaysia serta warga pendidik di Terengganu.

Zakaria berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang banyak serta memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar di negeri ini bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran.

Kejayaan Terengganu mengekalkan kedudukannya sebagai negeri terbaik dalam UPSR saban tahun menjadi ‘buah mulut’ masyarakat terutama yang di luar Terengganu yang mendakwa pencapaian itu disumbang oleh soalan bocor.- Bernama