Program Permata Negara Sedia Landskap Pendidikan Kanak-Kanak Pintar – Bernama


Program Permata Negara Sedia Landskap Pendidikan Kanak-Kanak Pintar

BANGI: Program Permata Negara penting bagi menyediakan landskap pendidikan khusus yang sesuai buat kelompok kanak-kanak pintar yang memiliki tahap kecerdasan (IQ) yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata potensi mereka tidak dapat dioptimumkan untuk kepentingan negara sekiranya kelompok ini tidak dilengkapi dengan sistem pendidikan yang sesuai dengan kemampuan pemikiran mereka yang luar biasa itu.

Beliau berkata sekiranya sistem pendidikan yang sesuai buat mereka tidak disediakan, kesannya banyak, antaranya mungkin kanak-kanak ini akan cepat bosan dengan pelajaran, atau mungkin mereka akan dihantar oleh ibu bapa masing-masing untuk menuntut dan bekerja di luar negara.

“Ini akan jadikan kita kehilangan ‘bakat’ yang boleh memberi kesan kepada negara, berlaku apa yang dikatakan sebagai “brain drain’ (penghijrahan cendekiawan),” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Pusat PERMATA pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, Selasa.

Menurutnya dengan adanya Program Permata pintar, kemampuan kanak-kanak ini dapat dicanai dan diperkasa, bagi membolehkan mereka mencapai kejayaan yang luar biasa.

Permata Negara yang diilhamkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mengandungi lima program utama yang terdiri daripada Permata Negara, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja, dan Sekolah Permata Pintar UKM, di mana kompleks khusus untuk program itu dirasmikan di sini, Selasa.

Rosmah merupakan penaung kepada Program Permata Negara.

Najib berkata beliau difahamkan ketika ini ada pelajar berumur 9 tahun yang mengikuti program Permata Negara sedang mengikuti kursus peringkat pra-universiti, di mana pada umur belasan tahun pelajar berkenaan mungkin akan diterima masuk di sebuah universiti terkemuka di luar negara.

“Manalah tahu di kalangan mereka ini akan erdapat bakal Steve Jobs di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata tanpa program Permata, bakat kanak-kanak ini tidak akan menyerlah, ia akan tersembunyi selamanya, dan negara kekurangan satu permata yang seharusnya digilap agar cahayanya dapat memberi manfaat kepada semua.

Najib berkata sekumpulan pelajar Tingkatan 4 program Permata baru-baru ini menunjukkan kebolehan cukup luar biasa apabila lulus dalam ujian Standardised Admission Test (Ujian Kemasukan Seragam) (SAT) dengan cemerlang, yang membolehkan mereka ditawar memasuki universiti di Amerika Syarikat.Mereka terdiri daripada Nur Syazana Natasha Hisham, Vishal Kalyani Mukudan, Kavinraj Naggan a/l Sukumar, Yek Ching Kong, Lee Yan Joe dan Khoo Jia Hui.

Najib berkata kerajaan perlu menyediakan pembangunan prasarana pendidikan yang lengkap kerana ia merupakan mekanisma penting dalam menyediakan kanak-kanak kepada kerjaya dunia masa depan.

“Mengikut kajian, kita perlu sediakan anak-anak kita untuk mengisi pekerjaan dan profesion di mana antara 70 dan 80 profesion itu masih belum wujud ketika ini. Jadi bagaimana hendak sediakan mereka, jenis pekerjaan itu belum kita tahu bentuknya,” katanya.

Menurutnya inilah sebabnya kerajaan menekankan kepada pendidikan bagi melahirkan pelajar yang mampu berfikir dengan lebih inovatif. -BERNAMA

Makmal sekolah dinaiki air, terpaksa belajar dalam banjir – Bernama


Makmal sekolah dinaiki air, terpaksa belajar dalam banjir

27 Mac 2012
Beberapa orang pelajar menggunakan bangku untuk masuk ke kelas ketika banjir

PELABUHAN KLANG — Beberapa pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah di sini terpaksa belajar dalam banjir apabila makmal sekolah itu dinaiki air akibat banjir kilat kira-kira pukul 9.00 pagi tadi.

Pengetua sekolah berkenaan Rahmah Arsad berkata banjir kilat itu berpunca dari hujan lebat yang turun tanpa henti kira-kira sejam serta dipercayai akibat masalah longkang tersumbat ekoran dipenuhi sampah sarap.

Beliau berkata kejadian banjir itu bukan yang pertama dan sering berlaku setiap kali hujan turun dengan lebat dan berpanjangan.

“Saya masih ingat ketika memulakan tugas pada November lepas, saya juga ‘disambut’ dengan kejadian banjir kilat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rahmah berkata perbincangan juga sering diadakan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari semasa ke semasa namun masalah sama tetap berulang.

Beliau berkata setiap kali banjir, sekolah terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit bagi menggantikan peralatan kelas seperti kerusi dan meja yang rosak kerana ditenggelami air.  — Bernama

MB kecewa kecemerlangan pelajar jadi bahan fitnah – Bernama


MB kecewa kecemerlangan pelajar jadi bahan fitnah

27/03/2012 5:13pm

 

KUALA TERENGGANU 27 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa kerana terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah kononnya pendidikan Terengganu cemerlang disebabkan faktor soalan bocor diberikan kepada pelajar negeri ini.

“Kalau soalan bocor, pelajar-pelajar kita dapat ”A” semualah.

“Inilah susahnya kerana kadang-kadang orang seperti ini tidak mahu iktiraf kebolehan orang lain dan sembarangan saja mereka membuat tuduhan dan fitnah,” katanya selepas menyampaikan e-Book kepada 667 pelajar Tahun Empat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kecemerlangan Terengganu yang berterusan dalam peperiksaan awam terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disebabkan soalan bocor.

Ahmad berkata, fitnah yang dilemparkan seolah-olah menafikan usaha keras kerajaan, guru-guru dan ibu bapa dalam meningkatkan hal berkaitan pelajaran di Terengganu.

“Mereka yang buat fitnah ini sepatutnya bangga dengan kejayaan memajukan bidang pendidikan, bukannya mengutuk tanpa usul periksa. Apapun kerajaan negeri akan terus berperanan dalam mencapai kecemerlangan pelajar negeri ini,” katanya. – BERNAMA

Biasiswa untuk lepasan SPM, STPM – Sinar Harian


Biasiswa untuk lepasan SPM, STPM

NOOR AZURA SAHRIL
27 Mac 2012
Raja Azura

PETALING JAYA – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan) melalui program sulungnya, Peneraju Tunas Potensi, menyediakan biasiswa kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Sehubungan itu, lepasan SPM dan STPM digalakkan mengambil peluang ini yang terbuka kepada 100 pelajar menepati syarat kelayakannya iaitu Bumiputera, keputusan SPM, 5A ke atas dan bagi STPM, 2A ke atas, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pendapatan isi rumah bagi keluarga, RM3,000 ke bawah.

Objektif Peneraju Tunas Potensi adalah memastikan pelajar mendapat peluang pendidikan berdasarkan keperluan pembangunan individu.

Ketua Eksekutifnya, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, Peneraju Tunas Potensi menyediakan biasiswa pelbagai bidang, terutamanya kursus membawa kepada bidang kerja berpendapatan tinggi.

Katanya, seiring dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, iltizam mempertingkat bilangan Bumiputera yang dapat berdaya saing di peringkat pengajian bertaraf global.

“Matlamat Peneraju Tunas Potensi adalah membangunkan dan membentuk modal insan daripada persekitaran yang mencabar.

“Justeru, potensi diri golongan pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dapat digilap seterusnya dibantu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi serta mendapat pekerjaan kelak,” katanya.

Menurut Raja Azura, penekanan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan, namun tidak terhad hanya di luar bandar sahaja.

Menerusi program ini katanya, pelajar mendapat tajaan sepenuhnya untuk melanjutkan pengajian dan pelajar akan ditempatkan di institusi menawarkan program seperti A-Levels dan International Baccalaurate serta universiti yang terpilih dengan program pembangunan berstruktur untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah.

Mereka yang ingin memohon boleh melayari http://www.penerajuedu.com untuk maklumat lanjut.

Permohonan dibuka mulai sekarang sehingga 6 April 2012.

Sebelum ini, pada pelancaran Transformasi Ekonomi Bumiputera, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Yayasan menyasarkan pembiayaan 12,000 pelajar dalam tempoh lima tahun ini.

Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman kerja.

Yayasan, yang bakal meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan Bumiputera menyasarkan dana berjumlah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

Setakat hari ini, Yayasan mendapat bantuan sokongan bernilai RM158 juta dari 21 buah syarikat dan institusi.

Antara syarikat yang memberi sumbangan besar kepada dana yayasan itu adalah CIMB Group Holdings, Felda Holdings, Maybank, Management Science University, University of Nottingham, Kumpulan Sapura, Sime Darby, Telekom Malaysia, UEM Group dan Yayasan Al-Bukhary, yang masing-masing menyumbang RM10 juta.

Soalan bocor bukan punca – Sinar Harian


Soalan bocor bukan punca

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mac 2012
Soalan bocor bukan punca

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menafikan berlaku soalan bocor dalam peperiksaan awam hingga membawa kepada kejayaan negeri ini mengungguli pencapaian dalam pendidikan negara sejak beberapa tahun ini.

Sebaliknya, kejayaan yang diperoleh itu hasil kerja keras warga pendidik, di samping sokongan padu Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi keutamaan dalam bidang pendidikan membabitkan peruntukan yang cukup besar setiap tahun.

Pengarahnya, Zakaria Hussin berkata, kesungguhan Terengganu untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam pendidikan dan sukan jelas terbukti dengan pelbagai kejayaan, namun katanya, sukar untuk menghalang pihak lain beranggapan sedemikian (soalan bocor).\

“Kita tidak boleh untuk menghalang orang lain untuk beranggapan sedemikian (soalan bocor) dan biasalah apabila kita cemerlang akan timbul rasa tidak puas hati pihak lain, tetapi itu tidak halang kesungguhan kita.

“Malah, apa yang penting kita teruskan kerja dengan melaksanakan pelbagai perancangan yang telah dibuat bagi memastikan Terengganu terus mengungguli kejayaan dalam pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pertama selaku Pengarah JPNT di bilik Mesyuarat Alamanda, JPNT, di sini, semalam.

Menurutnya, tidak dinafikan kejayaan Terengganu mengungguli kecemerlangan dalam pelbagai peperiksaan awam sebelum ini mengundang pelbagai persepsi ramai pihak dan situasi itu secara tidak langsung melonjakkan lagi semangat untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Sementara itu, Zakaria yang memulakan tugas secara rasmi sebagai peneraju utama pendidikan di negeri ini semalam, turut bertekad untuk memastikan kejayaan terus menjadi milik Terengganu pada masa akan datang.

Beliau sebelum ini memegang jawatan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan mantannya, Razali Daud.

Tunjuk kemaluan depan jiran – Sinar Harian


Tunjuk kemaluan depan jiran

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mac 2012
Tunjuk kemaluan depan jiran

TELUK INTAN – Seorang lelaki hilang pertimbangan dan bertindak berbogel sambil menunjukkan kemaluannya ke arah seorang gadis berusia 17 tahun, di Jalan Pendamar, di sini.

Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa yang juga jiran lelaki itu dikatakan sedang mencuci pakaian di rumahnya kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Menurutnya, gara-gara terdengar bunyi seakan-akan kucing, mangsa bertindak mencari arah bunyi itu sebelum ternampak seorang lelaki berbogel sambil menunjukkan kemaluan ke arahnya.

“Terkejut dengan tinda­kan lelaki ini, mangsa bergegas masuk ke dalam rumahnya sebelum membuat laporan polis bagi memaklumkan kejadian tersebut.

“Sepasukan polis telah dikejarkan ke tempat kejadian dan pemeriksaan awal mendapati lelaki ini tiada di premisnya,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, ketika kejadian, suspek dikatakan turut mengambil minuman beralkohol dan kelakuan tidak bermoral berkenaan berkemungkinan di bawah pengaruh alkohol.

“Kami sedang mengesan lelaki ini bagi membantu siasatan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini, lelaki berkenaan dilaporkan pernah melakukan aksi lucah melampau kepada beberapa orang jirannya.

Syor kurangkan nisbah guru kaunseling-murid ditimbang – Bernama


Syor kurangkan nisbah guru kaunseling-murid ditimbang

27 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Kertas cadangan mengurangkan nisbah Guru Kaunseling Sepenuh Masa (GKSM) kepada seorang guru bagi 300 murid berbanding seorang guru bagi 300 hingga 850 murid di sekolah rendah dan menengah sedang diproses, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi berkata kertas cadangan itu telah dihantar kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran, untuk dipertimbangkan, namun cadangan itu belum mendapat kelulusan kerana melibatkan soal perjawatan dan faktor kewangan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) yang ingin tahu sama ada kementerian itu bercadang untuk mengubah nisbah GKSM kepada lebih rendah dan menempatkan guru kaunseling di sekolah kurang murid untuk mengatasi masalah disiplin pelajar.

Mengenai isu penempatan GKSM di sekolah kurang murid, Puad berkata hakikatnya memang tidak ada guru kaunseling dengan jawatan hakiki di sekolah berkenaan, sebaliknya kementerian melantik guru secara pentadbiran dengan diberikan latihan untuk menjalankan tugas sebagai guru kaunseling selain melakukan tugas biasa mereka sebagai guru.

Kepada soalan asal Mohd Nasir yang ingin tahu berapa nisbah guru kaunselor berbanding jumlah murid di sekolah menengah kebangsaan dan sekolah kebangsaan, Puad berkata sehingga 30 Jan lepas, terdapat 9,713 orang guru, dengan 4,033 daripadanya di sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah.

Beliau berkata nisbah seorang GKSM ialah 500 murid bagi sekolah menengah dan  350 hingga 850 murid bagi seorang GKSM di sekolah rendah.

Puad berkata menyedari pentingnya peranan guru kaunseling kepada pembangunan sahsiah murid, kementerian menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang perlu dipenuhi guru kaunseling mulai tahun ini, iaitu seorang guru kaunseling perlu memberi kaunseling kepada lima orang murid secara individu, dan untuk berkumpulan melibatkan lapan hingga 10 murid, setiap minggu.

“Peranan guru kaunselor juga adalah untuk memberi kaunseling tentang kerjaya murid supaya mereka faham ke mana harus mereka pergi (selepas tamat peresekolahan) dan untuk itu dari segi peranan, kita menetapkan KPI seperti jumlah murid dan kaunseling yang perlu dipenuhi guru bagi memenuhi sasaran yang ditetapkan kementerian untuk tahun 2012,” katanya.

Puad berakta tugas seorang guru kaunseling cukup mencabar kerana ia meliputi pembangunan dan pengembangan sahsiah diri murid, peningkatan disiplin, pendidikan dan kerjaya murid serta kesejahteraan mental murid.- Bernama

Jamin bapa rogol cucu – Metro


Jamin bapa rogol cucu

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA PILAH: Demi kasih kepada bapa, seorang lelaki sanggup menjamin bapanya yang dibicara kerana merogol anak perempuannya berusia tujuh tahun semata-mata tidak mahu warga emas itu tidur di lokap.

Lebih menyayat hati, bapa kepada kanak-kanak perempuan itu hadir ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam untuk mendengar prosiding bapanya yang dituduh merogol kanak-kanak malang itu di sebuah rumah di Gemencheh dekat sini, tiga tahun lalu.
Bagaimanapun niat murni lelaki berusia lingkungan 40-an itu tidak tercapai kerana Hakim Azura Alwi tidak membenarkannya menjadi penjamin kerana dia berkemungkinan akan dipanggil menjadi saksi pada perbicaraan nanti.

 

Tertuduh yang berusia 71 tahun dari Gemencheh, di sini, yang berkemeja putih mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Azura.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol cucu perempuannya yang ketika itu berusia tujuh tahun pada satu hari dalam tahun 2009 kira-kira jam 5.30 petang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Gemencheh, Tampin dekat sini.

 

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 sebatan.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain menyatakan bahawa pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana lelaki itu adalah datuk kepada mangsa.

 

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibebaskan dengan ikat jamin dengan alasan sudah tua dan sering sakit.
Azura membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin lain.
Beliau turut memerintahkan tertuduh tidak menghampiri mangsa dan menetapkan 2 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

Rakan tercampak – Metro


Rakan tercampak

Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: “Ketika itu saya baru mahu melelapkan mata kerana mengantuk apabila ternampak sebuah bas persiaran meluncur laju dari arah bertentangan sebelum terdengar dentuman diikuti bas bergegar kuat.

“Saya tergamam dan ternampak seorang rakan di depan sudah tercampak keluar,” kata Muhammad Aisar Hamzah, 11, murid Sekolah Rendah Al-Azhar, Gelong, antara penumpang bas sekolah yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang di Kilometer 16.8 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Alor Setar, 11 murid berusia antara tujuh hingga 11 tahun cedera manakala pemandu bas sekolah itu parah akibat tersepit kerana rempuhan berkenaan.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila bas sekolah terbabit yang dalam perjalanan menghantar murid pulang dikatakan keluar dari simpang Kampung Wang Perah, Hosba dan mahu membelok ke kanan menghala ke Bukit Kayu Hitam sebelum dirempuh bas persiaran itu yang datang dari arah Bukit Kayu Hitam.

Click Here

 
Bas persiaran terbabit membawa 44 penumpang yang bercuti di Pulau Langkawi sejak beberapa hari lalu dan dipercayai menuju ke Shah Alam, Selangor.

SK Setiawangsa, anjur program antarabangsa – Berita Harian


SK Setiawangsa, anjur program antarabangsa

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/03/27

SEBAHAGIAN pelajar SD Al-Zahra yang menyertai program Pengantarabangsaan di SK Setiawangsa Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SEBAHAGIAN pelajar SD Al-Zahra yang menyertai program Pengantarabangsaan di SK Setiawangsa Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Murid didedah kemenjadian modal insan berkualiti

SEJAK menerima pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun lalu, Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa, Kuala Lumpur menjalankan pelbagai program pengantarabangsaan bagi membolehkannya terus mengekalkan kecemerlangan.

Guru Besarnya, Ruslan Madon, berkata antara program itu ialah penyertaan dalam Pertandingan Bola Sepak dan Bola Tampar Peringkat Antarabangsa anjuran Teesaban 1 Enseangsamakkee School, Hadyai, Thailand.

SBT dapat membantu murid di sekolah lain untuk mencapai kecemerlangan peringkat tertinggi, seiring sasaran Kementerian Pelajaran mengiktiraf 66 sekolah itu menjadi penanda aras kepada sekolah lain. – Ruslan Madon, Guru Besar SK Setiawangsa

Pada program berkenaan, Badan Kebajikan Guru dan Staf SK Setiawangsa turut menjalinkan hubungan dua hala dengan Pihak Pejabat Datuk Bandar Hadyai.

“Pada pertandingan di Teesaban 1 Enseangsamakkee School, kami menjuarai acara bola sepak dan naib juara pertandingan bola tampar,” katanya ketika pada majlis perasmian Program Pengantarabangsaan SBT SK Setiawangsa dan Sekolah Dasar (SD) Al-Zahra, Jakarta, Indonesia di SK Setiawangsa, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Shabudin Hasan.

Hadir sama, Ketua Rombongan SD Al-Zahra, Prof Dr H Darwis Hude; Timbalan Pegawai Pelajaran, Pejabat Pelajaran Wilayah Keramat, Kuala Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman; dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Kuala Lumpur, Saadun Kasim.
Ruslan berkata, program pengantarabangsaan lain sekolah itu adalah penyertaan dalam acara anjuran SD Al-Zahra di Jakarta tahun lalu.

Katanya, pada program di sana, pihaknya menjuarai aktiviti bercerita, pengucapan awam, hafazan dan tilawah al-Quran serta tempat ketiga dalam pertandingan ping-pong berpasukan.

“Februari lalu pula, kami menjalinkan program Pengantarabangsaan SK Setiawangsa dan SD Al-Zahra di SK Setiawangsa. Delegasi SD Al-Zahra disertai 33 murid dan 15 guru serta Pegawai Kementerian Pendidikan republik itu.

“Pelajar terbabit menjadi anak angkat kepada masyarakat sekitar sekolah ini selama tiga hari dua malam,” katanya.

Ruslan yang juga Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) berkata, mereka bakal menganjurkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penggunaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Seterusnya beliau berkata, jalinan peringkat antarabangsa pula membabitkan program kecemerlangan akademik dengan Universiti Brunei Darussalam, serta penyertaan dalam Festival Tarian ASEAN yang akan diadakan di Ranchawinit Primary School, Saturn, Thailand.

Katanya, murid diberi pendedahan kepada program peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam menentukan kemenjadian untuk membentuk modal insan yang berkualiti dan berpotensi terhadap keperluan negara.

“Selain itu, SBT dapat membantu murid di sekolah lain untuk mencapai kecemerlangan peringkat tertinggi, seiring sasaran Kementerian Pelajaran mengiktiraf 66 sekolah itu menjadi penanda aras kepada sekolah lain serta membantu kecemerlangan murid melalui penyertaan dalam penganjuran program berkaitan,” katanya.