Upah seks ‘tutup mulut’ – Sinar Harian


Upah seks ‘tutup mulut’

M FEISAL NORAWI
28 Mac 2012
Tertuduh

TEMERLOH – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang bimbang rakaman aksi hubungan seks bersama kekasihnya disebar dalam internet terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya yang merakam aksi itu sebagai upah ‘tutup mulut’.

Dalam kejadian 28 Februari 2012, mangsa keluar bersiar-siar bersama kekasihnya berusia 18 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai, Triang, Bera.

Mangsa kemudian diajak teman lelakinya melakukan hubungan seks dan dalam terpaksa mangsa menurutinya.

Tanpa mangsa sedari aksi hubungan seks itu dirakam seorang rakan mangsa berusia 19 tahun yang kemudiannya mengugut untuk menyebarkan rakaman tersebut.

Mangsa yang ketakutan akhirnya terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya sebagai upah tutup mulut.

Namun akibat ketakutan, mangsa akhirnya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Susulan kejadian, dua remaja lelaki yang masih menganggur berdepan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Tertuduh Mohd Kamarul Zaman Muhamed 19 dan rakannya yang berusia 18 tahun, kedua-duanya dari Felda Kumai, Triang bakal berdepan hukuman tersebut selepas didakwa di mahkamah pagi semalam.

Kedua-dua remaja terbabit dituduh merogol seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai kira-kira jam empat petang 28 Februari lalu.

Kedua-dua mereka yang didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (1) mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali kemudian memutuskan kes disebut semula pada 25 April 2012 untuk mendengar keputusan dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin serta dihantar ke penjara Penor untuk ditahan.

Keputusan bebas pengetua maahad tahfiz tuduhan cabul kekal – Bernama


Keputusan bebas pengetua maahad tahfiz tuduhan cabul kekal

28 Mac 2012

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Klang pada Oktober tahun lepas yang melepas dan membebaskan seorang pengetua maahad tahfiz daripada dua pertuduhan melakukan kekerasan jenayah seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak memutuskan sedemikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Majistret Ho Kwong Bin pada 31 Okt tahun lepas yang melepas dan membebaskan Abdul Rasid Abdul Ghani, 36, daripada kedua-dua pertuduhan itu.

Mohd Sofian berkata mahkamah berpuas hati bahawa Majistret Klang tidak terkhilaf ketika membuat penelitian dan penilaian berhubung kredibiliti mangsa serta percanggahan dalam keterangan saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fikrie Zabidi hadir bagi pihak perayu manakala Abdul Rasid diwakili peguam Rasshidi Syed dan Mohd Faizal Abdul Rahman.    Abdul Rasid didakwa memeluk dan mencium mangsa di sebuah rumah di Kampung Delek, Klang, pada 12.15 tengah hari 27 Jan 2007.

Dia sekali lagi didakwa melakukan perbuatan serupa di tempat sama pada 11 malam pada 1 Feb 2007.

Abdul Rasid dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.- Bernama

CUEPACS mahu suruhanjaya khas semak semua gred – Bernama


CUEPACS mahu suruhanjaya khas semak semua gred

2012/03/28

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia supaya turut menyemak semula gred perkhidmatan awam di semua peringkat.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata semakan itu perlu bagi memastikan penjawat awam yang berjumlah 1.4 juta di negara ini akan mendapat manfaat sewajarnya daripada perkhidmatan yang mereka sumbangkan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lalu dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Sambil menyambut baik penubuhan suruhanjaya khas berkenaan, Omar berkata pihaknya sudah mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan menerusi jawatankuasa bertindak yang diwujudkan CUEPACS sebelum ini untuk dibawa serta dibincangkan di peringkat suruhanjaya khas berkenaan.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Rapat 1Malaysia bersama Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM) di sini.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan agar seluruh penjawat awam di negara ini supaya tidak bersikap selesa dengan corak kerja yang diamalkan sebelum ini.

Sebaliknya, katanya, semua penjawat awam perlu melakukan transformasi daripada segi sikap serta cara mereka bekerja supaya terus relevan dengan perkembangan serta cabaran semasa.
“Ini kerana penjawat awam adalah satu elemen penting dalam negara ini yang menjadi tulang belakang dan tiang seri kepada kerajaan.

“Sekarang ini, sektor awam sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan dari segi penambahbaikan gaji, perkhidmatan yang semuanya sudah ditepati perdana menteri.

“Justeru, jika penjawat awam masih mempunyai daya pemikiran lama dan tidak melakukan transformasi, mereka akan ketinggalan,” katanya. – BERNAMA

Sembilan murid keracunan makanan – Sinar Harian


Sembilan murid keracunan makanan

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mac 2012

JOHOR BAHRU –Seramai sembilan murid dari Sekolah Kebangsaan Larkin 1, di sini, mengalami keracunan makanan setelah makan makanan yang dijual di kantin sekolah berkenaan pada waktu rehat, kelmarin.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Nor A Ghani mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, tiga murid perempuan dan enam murid lelaki daripada Tahun Lima dan Enam dikejarkan ke Klinik Kesihatan Larkin, dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kebanyakan daripada mereka mengadu sakit perut, muntah serta cirit birit selepas makan pada waktu rehat di kantin berkenaan.

“Sejurus insiden berkenaan, hari ini (semalam) kami di pihak jabatan bersama Pejabat Kesihatan Larkin telah membuat pemeriksaan ke atas premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kantin berkenaan kurang bersih dan diarahkan membersihkan kawasan kantin itu. Kantin berkenaan juga diarahkan tutup sementara sehingga esok (hari ini),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, salah seorang ibu bapa murid berkenaan, Asmani Omar, 34, berkata, dia agak terkilan apabila tidak dimaklumkan tentang keracunan yang menimpa anaknya.

“Dia mengadu sakit perut. Bimbang dengan kesihatannya lebih teruk, kami membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor mengesahkan anak kami mengalami keracunan makanan dan memberikan ubat. Alhamdulillah selepas makan ubat, dia dapat tidur dan datang sekolah hari ini (semalam).,” katanya.

Tambah guru kaunseling – Metro


Tambah guru kaunseling

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

“PERANAN guru kaunseling besar. Mereka bukan saja membimbing pelajar supaya tidak tercicir dalam pendidikan, malah memahami hala tuju kerjaya pada masa depan,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, bidang tugas guru kaunseling pula meliputi empat aspek iaitu pembangunan dan pengembangan sahsiah diri, peningkatan disiplin, pendidikan kerjaya, serta psikososial dan kesejahteraan mental pelajar.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan setiap guru kaunseling di sekolah memberi kaunseling kepada lima pelajar secara individu atau lapan hingga 10 pelajar bagi satu kumpulan setiap minggu.

 

“Ia selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai setiap guru untuk meningkatkan bilangan pelajar yang perlu diberi kaunseling,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas isu keciciran pelajar dari peringkat sekolah hingga universiti, Dr Mohd Puad berkata, sebenarnya berlaku intervensi iaitu pelajar melanjutkan pelajaran mengikut hala tuju kerjaya, antara lain memasuki pusat kemahiran, kolej matrikulasi serta kolej komuniti.
Mengenai masalah disiplin pelajar yang berkaitan peranan guru kaunseling, Dr Mohd Puad berkata, kadar gejala itu merosot kepada 2.06 peratus pada 2009 dan 2010 berbanding 2.10 peratus pada 2007, sebelum menurun lagi kepada 2.05 peratus tahun lalu.

 

 

Terdahulu ketika menjawab pertanyaan asal Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus), beliau berkata, sehingga 30 Januari lalu, 9,713 guru kaunseling di seluruh negara iaitu 4,033 di sekolah rendah dan 5,680 lagi sekolah menengah.
Menurutnya, nisbah guru kaunseling sepenuh masa (GKSM) ialah seorang GKSM bagi 350 hingga 850 pelajar di sekolah rendah dan seorang GKSM bagi 500 pelajar di sekolah menengah.

 

“Kementerian bercadang mengurangkan nisbah ini kepada sekurang-kurangnya seorang guru kaunseling bagi 300 pelajar.
“Kita sudah mengemukakan kertas cadangan itu kepada Bahagian Sumber Manusia, tetapi belum ada keputusan kerana ini membabitkan soal perjawatan dan faktor kewangan,” katanya.

Pelengkap pendidikan – Metro


Pelengkap pendidikan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf Program Permata Pintar sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan negara yang ketika ini banyak memberi tumpuan terhadap keperluan pelajar sederhana dan sederhana tinggi.

Katanya, pendekatan program itu yang menyedia kurikulum khas untuk pelajar pintar dan memiliki kelebihan kecerdasan akal tinggi, membolehkan mereka dididik dengan sukatan pelajaran sesuai.
Beliau berkata, ia sekali gus mengelak aliran keluar bakat pintar berkenaan ke luar negara, malah mereka boleh terus mendapat pendidikan sempurna di Malaysia menerusi Permata Pintar.

 

“Sistem pendidikan kita tak ada kurikulum mengambil kira mereka yang mempunyai IQ luar biasa dan jika kita tak dapat menyedia sistem mengikut keperluan kelompok ini, maka potensi mereka takkan dapat dioptimumkan.
“Di peringkat mereka sendiri mungkin akan cepat berasa bosan (dengan pengajaran yang tidak sesuai) atau dihantar ke luar negara kerana tentulah ibu bapa pelajar ini mahu anak mereka berjaya setanding akal luar biasa yang dimiliki.
“Atas sebab itu, kita akan hilang bakat pintar dan negara mengalami kerugian. Tetapi dengan Permata Pintar, mereka yang ada skil luar biasa ini dapat dicanai dan kelebihan diperkasa supaya mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.

 

 

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Permata Pintar, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Hadir sama, isteri beliau yang juga Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Turut serta Naib Presiden Yayasan Albukhary, Datuk Seri Ismail Yusof dan Pengarah Pusat Permata Pintar, Prof Dr Noriah Mohd Ishak.

Balik rumah tubuh berasap – Metro


Balik rumah tubuh berasap

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PEDIH... Safiah Sharif, 48, menunjukkan kesan simbahan asid di bahu anaknya, Nur Aqilah.
PEDIH… Safiah Sharif, 48, menunjukkan kesan simbahan asid di bahu anaknya, Nur Aqilah.

TERBAKAR... Nur Aqilah menunjukkan tudungnya yang berlubang akibat terkena simbahan asid.
TERBAKAR… Nur Aqilah menunjukkan tudungnya yang berlubang akibat terkena simbahan asid.

RAWANG: “Tanpa menghiraukan tudung dan pakaian serta beg sekolah yang terbakar, saya lari pulang ke rumah untuk meminta bantuan kerana tidak tahan perit,” kata Nur Aqilah Osman, 14, mangsa simbahan asid di pondok menunggu bas di pekan Batu 17 di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 16 itu, dia sedang menunggu bas untuk ke sekolah bersama seorang rakannya apabila terkena asid yang disimbah dua lelaki meragut rantai emas seorang guru wanita yang turut menunggu bas.

“Sebelum kejadian, dua lelaki terbabit dilihat bersandar di palang pondok menunggu bas itu sebelum mereka menegur seorang wanita berumur. Malah, saya juga nampak seorang daripada lelaki terbabit memegang botol tetapi menyangkakan ia minuman.

“Ketika wanita itu sedang bercakap dengan kedua-dua lelaki terbabit tiba-tiba mereka meragut rantai emasnya dan dia cuba melawan tetapi disimbah asid dari botol yang dibawa seorang daripada lelaki itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, malam tadi.

Pelajar, guru disimbah asid – Utusan


Pelajar, guru disimbah asid

 

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 27 Mac – Seorang pelajar perempuan dan seorang guru wanita cedera selepas kedua-duanya disimbah cecair dipercayai asid ketika sedang menunggu bas untuk ke sekolah di perhentian bas Batu 17, Rawang, dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Nuraqilah Osman, 14, dan S. Rani, 46, difahamkan dihampiri dua lelaki tidak dikenali tanpa menaiki apa-apa kenderaan.

Kedua-dua suspek kemudiannya dipercayai meragut seutas rantai emas guru sekolah tersebut sebelum menyimbah cecair berkenaan ke arah mangsa serta pelajar itu lalu melarikan diri.

Difahamkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Selayang.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, pelajar itu melecur di bahagian belakang badan dan menerima rawatan pesakit luar di pusat perubatan berkenaan.

MB nafi soalan bocor punca UPSR cemerlang – Utusan


MB nafi soalan bocor punca UPSR cemerlang

KUALA TERENGGANU 27 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa Pas yang bertanggungjawab menyebarkan tohmahan kononnya Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 11 tahun disebabkan soalan bocor.

Menurutnya, parti pembangkang terbabit melakukan perbuatan itu dalam ceramah politik mereka sebelum ini sehingga menimbulkan persepsi negatif banyak pihak terhadap keupayaan Terengganu dalam bidang akademik.

Tegasnya, memang tidak pernah berlaku soalan bocor dalam peperiksaan tersebut dan ia sengaja ditimbulkan Pas bertujuan menidakkan kemampuan dan pencapaian cemerlang Terengganu dalam pelajaran.

“Kadang kala kita tidak mahu mengiktiraf kebolehan kita, kita tidak mahu mengaku usaha kerajaan, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Bimbang peningkatan kes rogol remaja – Utusan


Bimbang peningkatan kes rogol remaja

KULIM 27 Mac – Polis bimbang dengan peningkatan kes rogol terutamanya melibatkan remaja bawah umur di daerah Kulim sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis daerah, Supritendan Ghuzlan Saleh berkata, terdapat sekurang-kurangnya satu kes rogol dilaporkan setiap minggu sejak awal tahun lalu.

Beliau berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan kes berkenaan adalah kecuaian ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak terutama perempuan.

“Apa yang membimbangkan kita ialah terdapat beberapa kes rogol berlaku di bilik tidur remaja perempuan semasa ibu atau bapa mereka turut berada dalam rumah.

“Kebanyakan mangsa berusia antara 14 hingga 15 tahun, malah ada juga yang sudah mengandung sebelum laporan polis dibuat,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis Ke-205 peringkat daerah di sini semalam.