Henry Gurney pulih remaja – Utusan


Henry Gurney pulih remaja

 

Oleh Rizanizam Abdul Hamid
pengarang@utusan.com.my

 

MELAKA 27 Mac – Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini telah dipilih menjadi perintis pelaksanaan Program Remaja Perdana Rakan Muda iaitu satu program pemulihan bagi mengurangkan kecenderungan penghuni sekolah itu untuk kembali melakukan kesalahan juvenil.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, buat permulaan, seramai 35 penghuni sekolah tersebut, iaitu 30 lelaki dan lima wanita berusia 14 hingga 21 tahun dipilih untuk mengikuti program itu.

Menurut beliau, pelaksanaan program tersebut adalah susulan perancangan Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan Jabatan Penjara pada Disember 2010.

“Hasilnya, hari ini, dua pihak ini telah memeterai janji melaksanakan Program Remaja Perdana Rakan Muda dan di peringkat awal ini, tumpuan kita ialah 35 penghuni di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas.

Galak pelajar hayati seni, budaya: Rais – Berita Harian


Galak pelajar hayati seni, budaya: Rais

Oleh Asmat Fikri

2012/03/28

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mencadangkan beberapa subjek berkaitan budaya dan apresiasi seni dalam sistem pendidikan di sekolah diteliti semula bagi memupuk minat dan cinta seni di kalangan pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata perkara ini sedang dibincangkan dengan Menteri Pelajaran dan jika cadangannya diterima, sistem pendidikan seni yang lebih khusus akan dilaksanakan pada tahun depan.

“Kami mencadangkan supaya pendidikan seni dilakukan dengan lebih mudah kerana negara kita tidak mempunyai sistem pendidikan seni yang mengajar anak-anak minat dan cinta kepada seni.

“Seni berkembang di negara ini secara kebetulan tanpa ada asakan dan galakan mencintai seni, maka seharusnya kita perlu ada sistem pendidikan yang menggalakkan fesyen, rekaan, pemikiran kreatif dan sebagainya kepada pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tekstil Sedunia sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian, Datuk Ab Ghaffar A Tambi, Pengerusi Kraftangan Malaysia (Kraftangan), Datuk Sohaimi Shahadan dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali.

Rais berkata, institusi seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) dan Institut Kemahiran Kraf akan mencari jalan bagi menghidupkan pendidikan seni.

“Saya lihat di China misalnya, mereka ada sekolah seni yang mengajar pelajar bagaimana berlumba dalam dunia seni serta cintai seni sehingga ke tahap boleh dijadikan sebagai mata pencarian,” katanya.
Berkaitan industri tekstil di Malaysia, Rais menyifatkan industri terbabit belum berada di tahap kompetitif kerana masih banyak dilambakkan tekstil dari luar, termasuk negara jiran.

Justeru, katanya, kementerian akan memberi peruntukan tambahan kepada Kraftangan supaya boleh menjalankan lebih kajian dan pembangunan dalam bidang tekstil.

Usia 9 hingga 22 tahun paling ramai hilang 2011 – Berita Harian


Usia 9 hingga 22 tahun paling ramai hilang 2011

2012/03/28

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan perempuan berusia sembilan hingga 22 tahun adalah paling ramai dilaporkan hilang oleh ibu bapa atau penjaga mereka sepanjang tahun lalu, membabitkan 726 daripada 1,097 orang.

Statistik Bukit Aman menunjukkan setakat ini, 406 daripada mereka termasuk 273 perempuan sudah ditemui semula, manakala 691 lagi termasuk 453 kanak-kanak dan remaja perempuan masih belum ditemui dan usaha mengesan mereka masih dijalankan.

Hasil soal siasat ke atas mangsa yang sudah ditemui semula dan keluarga mangsa yang masih hilang mendapati kebanyakan mangsa hilang disebabkan lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki selain tinggal berasingan bersama ibu atau ayah selepas berlaku perceraian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata dalam tempoh itu remaja wanita berumur 14 hingga 17 tahun adalah paling ramai dilaporkan hilang, iaitu 333 kes dengan 147 daripada mereka sudah ditemui semula.

“Punca kehilangan kebanyakan kanak-kanak dan remaja perempuan adalah disebabkan lari mengikut teman lelaki sama ada rakyat tempatan atau warga asing, pengaruh rakan serta inginkan kebebasan kerana mahu lari dari masalah keluarga.

“Kejadian ini pasti tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terbabit terutama ibu bapa, penjaga dan masyarakat bersama-sama memainkan peranan dengan memberikan perhatian bagi mendalami permasalahan yang dihadapi kanak-kanak dan remaja masa kini,” katanya.

Sekolah kena banjir sejak 1963 – Berita Harian


Sekolah kena banjir sejak 1963

Oleh Norrasyidah Arshad

2012/03/28

KLANG: Hampir 2,000 warga sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah (STAR) di sini, semalam meneruskan rutin harian persekolahan walaupun terpaksa meredah banjir kilat separas lutut.

Pengetuanya, Rahmah Arsad, berkata hujan lebat selama kira-kira 30 minit bermula jam 8.30 pagi menyebabkan air naik dengan cepat sebelum melimpah masuk ke kelas di tingkat bawah bangunan sekolah.

Bagaimanapun, katanya, sesi pembelajaran tetap diteruskan seperti biasa berikutan kejadian itu bukan kali pertama, malah warga sekolah sudah lali dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat.

“Masalah ini dibincangkan hampir setiap tahun tetapi ia masih belum dapat diselesaikan. Ia bukan saja dibincangkan pada Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), malah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK),” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim turut meninjau keadaan sekolah berikutan banjir itu.

Penolong Kanan Pentadbiran STAR, Raja Rozita Raja Hanafi, berkata sekolah itu berdepan masalah banjir sejak dibuka pada 1963.

Katanya, kedudukan sekolah di kawasan lembah dan dikelilingi jalan raya lebih tinggi menyebabkan sekolah berkenaan menjadi tempat takungan air.
“Sekolah ini juga dilanda banjir kilat semalam (kelmarin) sebelum surut dalam masa dua jam tetapi hari ini (semalam) keadaan lebih teruk. Kami bimbang kerana haiwan berbisa seperti ular pernah ditemui ketika banjir kilat,” katanya.

Raja Rozita berkata, sekolah sentiasa bersedia menghadapi keadaan itu setiap kali musim hujan terutama ketika peperiksaan besar berlangsung.

Katanya, pelajar yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan ditempatkan di dewan atas bagi mengelak berlaku sebarang masalah.

Pelajar, R Veeshnu, 16, berkata dia sentiasa membawa selipar setiap kali musim hujan bagi mengelak kasut sekolah basah.

Katanya, banjir yang berlaku tidak mematahkan semangat pelajar meneruskan sesi pembelajaran, malah ia dianggap satu cabaran untuk berjaya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA) MPK, Norfiza Mahfiz ketika dihubungi berkata, MPK sedia maklum dengan apa yang berlaku dan akan mengambil tindakan segera bagi menanganinya.

Katanya, MPK akan mengadakan kerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mencari jalan terbaik berhubung isu banjir itu.

Norfiza meminta orang ramai segera menghubungi talian 1800 88 23826, 03-33714404 atau menghantar SMS ke 012-2303781 jika berlaku banjir di kawasan mereka.

Gadis termakan pujuk kena rogol – Berita Harian


Gadis termakan pujuk kena rogol

2012/03/28

KANGAR: Padah mengikuti seorang lelaki ke Perlis, remaja perempuan berusia 15 tahun dari Alor Setar dikurung sebelum dirogol lelaki terbabit sekurang-kurangnya dua kali sepanjang tiga hari sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama datuknya diperlakukan sedemikian oleh suspek berusia 23 tahun, yang turut dikenalinya selepas dikatakan terpedaya pujukan lelaki terbabit ketika keluar bersiar bersamanya, petang Sabtu lalu.

Berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Alor Setar dikatakan dijemput suspek di rumah datuknya di Kampung Pokok Pauh, Alor Setar, sebelum dibawa ke rumah lelaki itu di Kampung Kenangan, dekat Behor Mali, di sini.

Mangsa kemudian dirogol suspek sekurang-kurangnya dua kali, selain dikurung di rumah itu sebelum mangsa berjaya melepaskan diri petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu susulan laporan dibuat datuk mangsa di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, mangsa mendakwa dirogol suspek dua kali kira-kira jam 1 pagi Ahad lalu. Malah, mangsa turut dikurung suspek tiga hari selepas dibawa ke rumah tidak bernombor itu.

“Mangsa nekad melarikan diri sebelum pulang ke Alor Setar dan memaklumkan kejadian itu kepada datuknya,” katanya.
Polis kini memburu suspek yang dipercayai melarikan diri selepas menyedari mangsa membuat laporan polis.

2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang – Bernama


2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang

28 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan seorang gadis menjadi mangsa simbahan asid oleh dua lelaki ketika menunggu bas di Batu 16, Rawang, dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, S.Rani, 46, dan Nuraqilah Osman, 16, telah disimbah asid oleh seorang daripada suspek yang berjalan kaki.

Beliau berkata, suspek telah meragut rantai leher Rani sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.

“Semasa melarikan diri, seorang daripada suspek itu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah wanita itu yang turut mengenai mangsa kedua menyebabkan belakang badannya melecur,” katanya dalam satu sistem pesanan ringkas malam ini.

Abdul Rahim berkata Nuraqilah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang manakala Rani, yang cedera di muka, leher, tangan serta dada, masih dirawat di hospital sama.

“Mangsa tidak dapat mengecam identiti kedua-dua suspek kerana semasa kejadian, keadaan gelap dan perlakuan suspek terlalu pantas,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Bernama