RM600,000 untuk 20 sekolah
29 Mac 2012

BATU PAHAT – Sebanyak RM600,000 diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf 20 sekolah rendah dan menengah di Parlimen Batu Pahat pada tahun ini.
Peruntukan itu adalah untuk membina pelbagai kemudahan di sekolah yang terlibat bagi memberi lebih keselesaan kepada pelajar dan guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
Ahli Parlimennya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bagi 20 sekolah terbabit, setiap sekolah akan menerima peruntukan antara RM20,000 sehingga RM50,000.
Katanya, bagi melahirkan pelajar yang pintar, suasana persekolahan juga perlu lebih baik dan selesa, justeru peningkatan serta naik taraf kemudahan tertentu adalah perlu bagi tujuan berkenaan.
“Kita berharap dengan kemudahan yang lebih baik di sekolah, ianya akan membantu dalam memotivasikan pihak sekolah dan pelajar sekali gus meningkatkan pencapaian mereka.
“Oleh yang demikian, peranan pihak sekolah adalah perlu bagi meningkatkan mutu dan kemudahan yang ada di sekolah untuk sesi akademik dan juga kokurikulumnya.
“Kedua-duanya perlu bergerak seiring dan ini bakal melahirkan generasi akan datang yang lebih pintar tanpa meninggalkan kehidupan yang sihat dan aktif dengan kegiatan bukan akademik di sekolah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahru di Senggarang, dekat sini.
Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, penglibatan ibu bapa dan komuniti amat penting dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar ke tahap yang lebih tinggi.
“Selain kurikulum di sekolah, kita ingin melihat kerjasama yang lebih erat antara ibu bapa dan ahli komuniti dalam membantu memantau keperluan pihak sekolah dan pelajar.
“Ibu bapa dan juga komuniti perlu memainkan peranan mereka untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan jangan menyerahkan 100 peratus kepada pihak sekolah sahaja,” katanya.
Pada majlis sama, Mohd Puad turut merasmikan dewan baru SK Kampung Bahru dan menyampaikan sumbangan kepada murid-murid yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).