Banjir landa 17 kawasan termasuk sekolah di Klang – Sinar Harian


Banjir landa 17 kawasan termasuk sekolah di Klang

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2012
banjir

KLANG – “Ketika tidur saya rasakan tubuh badan saya bergoyang-goyang bagaikan terapung dalam air. Sebaik membuka mata rupanya air sudah memenuhi bawah tilam yang saya tidur,” demikian cerita Ishak Hassan, 40 an, sebaik menyedari kediamannya di Jalan Mohd Yamin, Telok Gadong dinaiki air, sekitar jam 4.30 pagi tado.

Ishak yang juga salah seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang berkata, dalam masa yang sama bunyi letupan kuat dari salah satu wayar elektrik mengejutkannya dan isteri yang sedang tidur dalam kediaman itu.

“Dalam masa beberapa saat, lampu yang menyala dalam kediaman terpadam secara tiba-tiba menyebabkan kediaman kami gelap-gelita.

“Pada saat itu kami khuatir jika berlaku elektrik ‘karan’ tambahan lagi air sudah memenuhi setiap sudut kediaman kami,” katanya.

Selepas mengambil masa beberapa minit, menurutnya, dia cuba menyelamatkan barangan penting dalam suasana gelap-gelita dan tatkala itu air semakin banyak yang masuk dalam kediaman hingga menyebabkan peti ais, tong gas yang masih berisi terbalik dan terapung di sudut dapur.

“Hanya satu yang sempat diselamatkan iaitu televisyen LCD sementara barangan lain termasuk laptop kesayangan saya musnah dimasuki air,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jiran mangsa dikenali Fida, 32, berkata, dia juga terdengar bunyi letupan kuat elektrik sebelum menyedari air memasuki kediaman ketika kakinya memijak lantai bilik untuk ke tandas.

“Pada awalnya saya sangka saya bermimpi rupanya memang saya terpijak air yang sudah memasuki kediaman hingga paras lutut. Lebih mengejutkan air memecah masuk kediaman bagaikan Tsunami,” katanya yang tinggal bersama dua adiknya di situ sejak berbelas tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, ia disifatkan kejadian terburuk yang pernah melanda daerah ini sejak berpuluh tahun lalu. Lebih 2000 kediaman di seluruh daerah Klang dinaiki air selepas berlaku banjir kilat ekoran hujan lebat dalam tempoh yang panjang.

Hingga jam 9.30 pagi, water level air semakin tinggi menyebabkan beberapa kawasan perniagaan turut dinaiki air sekali gus menenggelamkan kenderaan yang di parkir di pekarangan berkenaan.

Walau bagaimanapun suasana dilaporkan kembali pulih sekitar jam 12 tengah hari.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Agensi Kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebanyak 17 kawasan yang dinaiki air melibatkan kawasan kampung dan juga taman perumahan.

Kawasan tersebut adalah Kampung Delek, Kampung Raja Uda, Kampung Telok Pulai, Kampung Telok Gadong, Kampung Pandamaran Jaya, Kampung Rantau Panjang, Kampung Batu 3 Sungai Pinang, Kampung Jawa, Kampung Sementa, Taman Sentosa, Taman Saujana, Taman Klang Jaya, Bandar Puteri, Taman Chi Liung, Taman Maznah, Taman Sungai Jati dan Taman Mewah.

Dalam pada itu, tujuh sekolah ditutup berikutan banjir kilat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah (STAR), Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Lima 1, SK Simpang Lima 2, SK La Salle, SMK La Salle, SK Telok Gadong dan SK Sungai Udang.

Sementara itu enam sekolah yang yang turut dinaiki air bagaimanapun tidak ditutup adalah SK Rantau Panjang, SMK Rantau Panjang, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pandamaran A, SJKC Pandamaran B, SJKT Batu Empat dan SK Klang.

Berikutan kejadian ini, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Selangor, anggota Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pejabat Daerah Klang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan beberapa pihak lain berada di lokasi bagi pemantauan lanjut.

Pemangku Yang Dipertua MPK, Mohd Ikhsan Mukri berkata, dua pusat pemindahan sementara telah dibuka masing-masing di Balai JKKK Kampung Raja Uda dan Balai JKKK Kampung Delek.

“Bilik ini akan terus dibuka kerana khuatir kejadian sama akan berulang kembali dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun kali ini tiada mangsa yang dipindahkan dan kejadian ini disifatkan kejadian paling besar melanda daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, sejumlah mangsa banjir turut menerima sumbangan barangan harian yang disampaikan di Bilik Gerakan Kampung Delek, petang tadi.

Hadir ke lokasi, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Dr Halimah Ali bersama beberapa Exco Selangor dan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) di seluruh Klang dan Kapar.

Turut melawat lokasi, pemimpin Barisan Nasional (BN) Klang dan Kapar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s