Kakitangan awam boleh semak pelarasan gaji di web JPA – Bernama


Kakitangan awam boleh semak pelarasan gaji di web JPA

1 April 2012

KUALA LUMPUR –  Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling perkhidmatan mengenai jadual gaji baru penjawat awam, selaras keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Pekeliling yang telah dimuat naik di laman web JPA www.jpa.gov.my Jumaat lalu membolehkan penjawat awam menyemak jadual serta mengira secara automatik kadar gaji baru bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan. Gaji baru itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata,  pekeliling itu bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai kenaikan gaji sebanyak 13 peratus berdasarkan SSM dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana.

“Bagi pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus hingga sembilan peratus dengan KGT berdasarkan pelarasan peratusan yang ditetapkan,” katanya di dalam Pekeliling berkenaan.

Abu Bakar berkata dengan berkuatkuasanya pekeliling itu, jadual gaji bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah SSM sebelum 1 Januari 2012 dan beberapa peruntukan pekeliling perkhidmatan termasuk pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) adalah dibatalkan.

Menurut Abu Bakar, prinsip kenaikan bagi gaji baru adalah berdasarkan gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2011 dan ditambah dengan kadar peratusan kenaikan gaji mengikut gred.

Berdasarkan jadual gaji, kadar kenaikan gaji sehingga 13 peratus diberikan kepada pegawai kumpulan Pelaksana (Gred 1-40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41-54).

Kadar kenaikan tujuh peratus diberi kepada kumpulan pengurusan tertinggi (Gred Gaji VU1, VU2 dan setaraf), lapan peratus (VU3,VU4 dan setaraf) dan sembilan peratus (VU7-VU5 dan setaraf).

Pelaksanaan gaji baru itu layak diberikan kepada pegawai tetap, sementara, kontrak dan guru sandaran kecuali bagi pegawai yang dikenakan hukuman tata tertib, buang kerja yang berkuatkuasa pada atau sebelum 1 Januari 2012 dan pegawai yang bersara sebelum tarikh itu.

Abu Bakar berkata kenaikan gaji itu tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai atau elaun dan kemudahan di bawah SSM kecuali elaun yang kadar atau kelayakannya adalah berdasarkan gaji atau linkungan gaji.

Beliau berkata, peruntukan pekeliling perkhidmatan itu dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.  – Bernama

Bumbung 30 rumah, sebuah sekolah rosak dipukul ribut di Baling – Bernama


Bumbung 30 rumah, sebuah sekolah rosak dipukul ribut di Baling

1 April 2012

BALING – Sekurang-kurangnya 30 rumah rosak dan kehilangan bumbung dalam kejadian ribut di beberapa tempat di daerah Baling hari ini.

Turut diterbangkan angin dalam kejadian kira-kira 6 petang itu ialah berpuluh keping bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai (SMKJ) Kupang.

Kampung yang teruk dilanda ribut ialah Kampung Pekan Pulai, Kampung Telok Sera, Kampung Keda Telok Teduri, Kampung Sera dan Kampung Jerai Kupang.

Berikutan kejadian itu, kebanyakan mangsa ribut terpaksa menumpang di rumah jiran dan saudara mara terdekat.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Baling Azmi Che Husain berkata rumah-rumah yang rosak itu berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bayu dan Kupang.

Beliau yang juga Adun Bayu berkata bancian kerosakan sedang dibuat untuk tindakan segera bagi membantu mangsa ribut itu. – Bernama

Mohd Iskandar Fitri juarai acara lepas beramai-ramai remaja kebangsaan – Bernama


Mohd Iskandar Fitri juarai acara lepas beramai-ramai remaja kebangsaan

1 April 2012

KANGAR – Pelumba Terengganu, Mohd Iskandar Fitri Ahmad Sabti menjuarai acara lepas beramai-ramai lelaki bawah 17 dan 18 tahun kejohanan lumba basikal remaja kebangsaan Sportexcel/MSN/MILO/PKBM/PBNPs yang berlangsung di sini hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa dua jam, 17 minit dan 26 saat (2:17.26) bagi menamatkan kayuhan sejauh 91.3 kilometer untuk menyingkirkan para
pencabar terdekatnya yang turut mencatat masa yang hampir sama dengannya.

Berdasarkan foto penamat, Mohd Iskandar Fitri dinobatkan sebagai juara acara itu walaupun sembilan lagi pelumba mencatat masa yang sama dengannya.

Seorang lagi pelumba Terengganu, Abd Aziz Zahit menduduki tangga kedua acara itu manakala pelumba Kedah, Mohd Nasrullah Ismanizam di tempat ketiga, pelumba Serantau Ipoh, Irwandie Lakasek di tangga keempat dan pelumba Serantau Zon Utara, Mohd Asyraf Anuar di tangga kelima.

Bagi acara lepas beramai-ramai perempuan bawah 17 dan 18 tahun sejauh 74 kilometer, pelumba pelapis kebangsaan daripada Sabah, Lauretta Eva Adrian muncul
juara dengan catatan masa 2:25:46.

Empat lagi pelumba mencatat masa yang sama seperti Lauretta iaitu pelumba Sarawak Rosnina ak Minggu diletakkan di tempat kedua, seorang lagi pelumba Sarawak, Carolline a/k George di tangga ketiga, pelumba Selangor, Nur Farah Ain Amran di tangga keempat dan pelapis kebangsaan daripada Pahang, Nurul Nadia Mohd Fauzi di tangga kelima.

Bagi acara lepas beramai-ramai lelaki bawah 16 tahun sejauh 74 kilometer, pelumba pelapis kebangsaan dari Terengganu, Asyraf Naim Ying muncul juara dengan
catatan masa 1:56:56.

Dua pelumba yang mencatat masa yang sama dengannya, Ahmad Muazam Iman Mustaffa Kamal daripada Sek Sukan Tunku Mahkota Ismail di tangga kedua dan
Shahrul Afham Rosli daripada Serantau Zon Utara di tangga ketiga.

Pelumba Kuala Lumpur, Sean Wilson yang mencatat masa 2:25:46 muncul juara acara lepas beramai-ramai perempuan sejauh 74 kilometer manakala tempat kedua disandang pelumba pelapis kebangsaan daripada Selangor Farina Shawati Mohd Adnan (2:32:05).

Tempat ketiga disandang pelumba pelapis kebangsaan dari Kedah, Nur Jeha Iwani Roslan walaupun memperolehi catatan masa yang sama seperti Farina Shawati.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dianjurkan bersama kerajaan negeri Perlis, Majlis Sukan Negeri, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Negeri Perlis dengan kerjasama Sportexcel dan MILO. – Bernama

27 guru Tadika Perpaduan Kedah dinaik gred – Sinar Harian


27 guru Tadika Perpaduan Kedah dinaik gred

ROSNANI SAAD
1 April 2012

ALOR SETAR – Seramai 27 daripada 103 guru Tadika Perpaduan di negeri ini yang memiliki diploma bakal menikmati kenaikan gaji setelah gred mereka S17 Kontrak dinaikkan kepada S27 Kontrak berkuat kuasa Februari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, kumpulan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 200 guru Tadika Perpaduan di seluruh negara, yang mendapat kenaikan gred.

Menurutnya, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan membuka ruang kepada tadika kerajaan termasuk Tadika Perpaduan dan Kemas (tabika), meningkatkan kualiti guru dan mereka yang memenuhi syarat akan dihantar mengikuti kursus peringkat diploma di institut pendidikan guru.

“Daripada keseluruhan 1,723 guru Tadika Perpaduan di seluruh negara, kira-kira 500 daripadanya sedang mengikuti kursus manakala 200 sudah memiliki diploma dan ini termasuk 27 guru di Kedah.

“Pada Februari lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju memberi gred lebih tinggi iaitu dari S17 Kontrak kepada S27 Kontrak,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perpaduan Tahun 2012 Peringkat Negeri Kedah, semalam.

Sementara itu, katanya, satu usul akan dicadangkan bagi membolehkan usia guru yang layak mendapat peluang mengikuti kursus peringkat diploma, dilanjutkan kepada 48 tahun atau 50 tahun.

“Syarat yang sedia ada membenarkan guru berusia 45 tahun dan ke bawah sahaja untuk mengikuti kursus. Kita akan minta dilanjutkan tetapi kualiti guru berusia lebih 45 tahun tetap diutamakan mengikuti kursus anjuran Kementerian Pelajaran.

“Kita menjangkakan, dalam tempoh tiga tahun lagi, semua guru Tadika Perpaduan yang layak akan memiliki diploma,” katanya.

Malaysia tangga ke-2 – Metro


Malaysia tangga ke-2

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Generasi muda di negara ini bertuah kerana mendapat pendidikan lebih baik berbanding pelajar di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Menurut Laporan Daya Saing Global 2011/2012 dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF), daripada segi kualiti pendidikan, Malaysia di tempat kedua selepas Singapura di kalangan negara Asean dan tangga ke-14 keseluruhan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini pencapaian membanggakan dan kejayaan itu pastinya hasil usaha kerajaan dan rakyat dalam meningkatkan kualiti pendidikan, kualiti modal insan dan daya saing negara.

 

“Kita bersyukur kerana usaha kita untuk meningkatkan daya saing negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula menampakkan hasil,” katanya.
Laporan berkenaan turut meletakkan Malaysia di tangga ke-21 daripada 142 negara iaitu naik lima anak tangga daripada kedudukan ke-26 dalam laporan sebelumnya.
Menurutnya, dalam memilih institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyambung pengajian anak, pilihan utama ibu bapa ialah memastikan IPT terbabit ternama dan tinggi kualitinya sama ada daripada segi kemudahan infrastruktur, program pengajian ditawarkan dan sistem pembelajaran.

 

 

Akses kepada pendidikan tinggi berkualiti dijamin dengan kewujudan 20 institusi pengajian tinggi awam, 58 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf universiti, kolej universiti dan kampus cawangan luar negara, 409 IPTS bukan bertaraf universiti dan lebih 300 Institusi Latihan Kemahiran (ILK) yang menawarkan pelbagai bidang pengajian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

Terdahulu, ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Maktab Polis Diraja Malaysia ke-19 di Cheras, Muhyiddin berkata, sejak pelaksanaannya pada Januari 2010, Hasil Keberkesanan Utama Negara (NKRA) Pengurangan Jenayah menunjukkan hasil positif dengan penurunan 11.1 peratus dalam jenayah indeks dan penurunan hampir 50 peratus jenayah jalanan.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, Laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 mengiktiraf Malaysia sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia.
Sebanyak enam Anugerah Emas disampaikan kepada balai polis cemerlang iaitu Balai Polis Taman Johor Jaya, Johor; Balai Polis Sea Park, Selangor; Balai Polis Panching, Pahang; Balai Polis Sungai Bakap, Pulau Pinang; Balai Polis Tambunan, Sabah dan Balai Polis Sentral Sibu, Sarawak.
Penerima anugerah akan dihantar ke Hong Kong untuk mengikuti penempatan dalam perkhidmatan bersama polis Hong Kong dan ia akan dibiayai sepenuhnya oleh MCPF.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar dan Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, Datuk Hendry Chin dan Datuk Kamaruddin Md Ali.

SMK mungkin dipindah elak banjir – Metro


SMK mungkin dipindah elak banjir

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Klang, mungkin dipindahkan ke lokasi lebih sesuai dan selamat sebagai langkah mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda sekolah itu setiap kali hujan lebat.

Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus berkata, idea itu masih dalam peringkat cadangan dan perancangan rapi diperlukan sebelum pemindahan sekolah itu dilaksanakan.
Katanya, dalam masa terdekat, langkah yang mungkin diambil ialah memindahkan pejabat sekolah ke tingkat atas bangunan dan kelas dipindahkan ke bahagian bawah atau mengosongkan kawasan mudah dinaiki air.

 

“Sekolah mempunyai tembok setinggi dua kaki untuk menghalang air memasuki kawasan sekolah tetapi tembok itu gagal menghalang banjir memasuki sekolah itu, termasuk dalam kejadian terbaru semalam (kelmarin).
“Pendekatan lebih praktikal harus difikirkan untuk mengatasi masalah banjir yang kerap melanda sekolah,” katanya semalam.

Belajar semula – Metro


Belajar semula

Laporan dan foto SAFURI KAMARUDIN
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BALING: Pengorbanan dua beradik yang terpaksa berhenti bersekolah sejak setahun lalu bagi menyara keluarga dengan bekerja di kedai runcit, mendapat pembelaan selepas mereka bakal bersekolah semula bermula hari ini.

Fatin Irwayu Mustafa, 15, dan adik lelakinya, Mohd Musikmal, 14, kini menghela nafas panjang apabila dapat menyambung semula persekolahan selepas masalah mereka didengari Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Fatin berkata, selama ini dia terpaksa menyimpan hasrat belajar semula kerana kesempitan wang dialami keluarganya akibat masalah kesihatan bapanya, Mustafa Md Arof, 37, yang mengalami jangkitan paru-paru dan ketumbuhan di hempedu.

 

“Saya bersyukur dapat meneruskan persekolahan seperti rakan lain selepas hampir dua tahun tidak bersekolah kerana bapa saya diserang penyakit kronik dan tidak mampu bekerja.
“Mujur saya dapat meneruskan semula persekolahan selepas mendapat perhatian mereka yang prihatin,” katanya.
Fatin yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Dalam Wang, Pulai berkata, dia dan Mohd Musikmal sebelum ini juga terpaksa melupakan cita-cita menjadi doktor kerana tidak dapat bersekolah.

 

 

“Saya dan adik bukan tidak mahu bersekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan dan terpaksa membantu emak, Rosnita Ahmad, 34, mencari rezeki untuk keluarga sementara dua lagi adik saya masih meneruskan pelajaran di sekolah rendah.
“Emak hanya mengambil upah menoreh getah milik penduduk kampung dengan pendapatan hanya bergantung pada cuaca dan pada masa sama terpaksa menjaga bapa yang perlu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya di sini, semalam.

 

Fatin berkata, bapanya menderita penyakit asma sejak 2005 dan mulai tempoh itu mereka empat beradik dan bapanya bergantung hidup kepada ibunya.
“Sebaik berhenti sekolah, saya bekerja sebagai pembantu kedai dan selepas itu adik (Mohd Musikmal) turut berhenti sekolah dan bekerja di kedai perabot bagi menampung pendapatan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Rosnita berkata, kedua-dua anaknya terpaksa berhenti sekolah kerana membantu keluarga, termasuk kos rawatan bapa mereka yang berulang alik ke hospital Baling dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Beliau berkata, suaminya sering dimasukkan ke wad dan perlu dijaga sepenuh masa, menyebabkan segala urusan di rumah digalas Fatin, termasuk menguruskan persekolahan adiknya, Normazliana, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang dan Noraina Maisarah, 6, belajar di pra-sekolah.

SISTEM PERTUKARAN GURU e-GTUKAR


SISTEM PERTUKARAN GURU e-GTUKAR

Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi pertukaran sesi Jun 2012 untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DGA 29, DGA 32 (KUP time based), DG 41, DG 44(KUP time based) dan DG 48 (KUP time based) dibuka mulai 1 hingga 30 April 2012.

Keputusan Permohonan pertukaran Guru Sesi Jun 2012 dikeluarkan mulai 19 Mei 2012 dan maklumat penempatan ke sekolah boleh disemak mulai 26 Mei 2012 .

Sila semak maklumat anda melalui laman web e-GTukar. Sekiranya terdapat sebarang pindaan yang perlu dibuat, sila berhubung dengan pegawai unit Menengah / Rendah di Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri dengan segera sebelum sesi pertukaran bermula.

Jika masih menghadapi masalah untuk membuat permohonan e-GTukar, sila hubungi Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing (dapatkan no. telefon di “Bantuan”)

Maklumat lanjut lawat di http://apps.moe.gov.my/epgo/ menggunakan Internet Explorer (IE).

Boleh semak gaji baru di laman web JPA – Utusan


Boleh semak gaji baru di laman web JPA

PUTRAJAYA 31 Mac – Hampir 1.4 juta kakitangan awam seluruh negara boleh menyemak gaji terbaru masing-masing di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) di laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di http://www. jpa.gov.my/ hari ini.

Laman web jabatan itu telah menyediakan cara pengiraan pemindahan gaji kakitangan beserta pekeliling baru mengenai kenaikan gaji pegawai perkhidmatan awam tersebut semalam.

Pengunjung hanya perlu memilih kumpulan perkhidmatan dan mengisi ruang gaji pada aplikasi pengiraan tersebut bagi membolehkan perhitungan pemindahan gaji baru dibuat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu, telah mengumumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Minimum-Maksimum SSM berikutan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Maklumat lanjut pengiraan di sini http://docs.jpa.gov.my/ssm/#pengiraan

Talian Nur 15999 telefon awam di sekolah percuma – Utusan


Talian Nur 15999 telefon awam di sekolah percuma

KUALA LUMPUR 31 Mac – Perkhidmatan Talian NUR 15999 boleh dibuat secara percuma di lebih 40,000 telefon awam di sekolah-sekolah di seluruh negara mulai bulan Jun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkhidmatan secara percuma itu ditawarkan bagi memudahkan golongan kanak-kanak dan remaja membuat aduan mengenai masalah dera atau perkara-perkara lain yang membabitkan keselamatan mereka.

“Melalui perkhidmatan ini, kanak-kanak dan remaja berpeluang berkomunikasi dengan konsultan Talian NUR 15999 secara percuma bagi mendapatkan nasihat dan maklumat serta melaporkan aduan atau masalah yang mereka hadapi.

“Memang tidak nafikan ada segelintir yang menyalahgunakan talian ini, namun yang lebih mustahak adalah kita di peringkat kementerian perlu memberi ruang dan peluang untuk mereka membuat aduan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) di Taman Metropolitan, Kepong di sini hari ini.